March 5, 2013

Yang Terbakar Dan Yang Hidup Terlantar

BBB, 19 dan 20 Rabiul Akhir 1434 = 02 dan 03 Mac 2013 (Sabtu dan Ahad):

Menghadapi kehidupan perlu usaha untuk survival bagi menampung keperluan diri dan keluarga. Banyak peluang pekerjaan dan perlu usaha untuk mendapatnya. Lebih dari itu perlu rajin dan cekal di dalam mencari rezeki. Ramai mereka yang berjaya di dalam kehidupan, jika pun tidak dapat dikatakan amat berjaya, sekuarng-kurang dapat hidup seperti biasa dan dapat menikmati kehidupan secara selesa dan menikmati apa yang dikatakan `Bahagia`. Namun di dalam menghadapi kehidupan dan berusaha mengatasi cabaran, ada yang berdepan ujian dan terlantar di dalam kehidupan seperti beberapa kes yang dihadapi.

1) Warung Terbakar


Pada Sabtu Adun bersama AJK Kebajikan ke Kedai Nik Samira binti Nik Mokhtar beralamat No. 1A Kedai PLB, Kampung Teras Jernang – Berdekatan Masjid As-Salihin Teras Jernang setelah menerima surat darinya mengadu warungnya terbakar. Nik Samira lulusan ITM dan keluarganya (Ayah, Ibu dan Adiknya – Asal Kelantan) berniaga di sebuah warung yang disewa dari Masjid, mereka menambah satu lagi warung ditepi warung lama, dengan izin Pejabat Daerah. Mereka menjual makanan. Mereka berniaga di sini sejak 10 tahun dulu. Kedua kedai ini dipotong letrik baru-baru ini kerana bil tertonggak, menyebabkan mereka menjual makanan pada siang hari dan malam memasang lilin, menyebabkan berlaku kebakaran pada jam 3.00 pagi 22 Februari 2013 lepas. Kerugian didakwa dalam laporan kepada Polis sebanyak RM80,000.


Adun turun bersama AJK Kebajikan, kemudian disertai Ketua Kampong En. Shukor Jantan dan Nazir Masjid As-Salihin Tuan Haji Yusof Izzuddin bin Ali. Kami dimaklumkan tanah tapak perniagaan berkenaan kini sudah digezet sebagai tanah masjid. Bayaran sewa seharusnya dibayar kepada masjid. Penyewa nampaknya tidak bayar sewa sepenuhnya dan tertonggak. Walau bagaimana Adun turun atas nama kebakaran, tidak personal dari segi latar, penyokong mana dan sebagainya. Mereka berada di dalam kawasan Adun. Maka Adun sampaikan bantuan (RM1,000) atas dasar simpati dan menasihati Nik Samira dan Ibunya Siti Roha bt. Muhamad (bapa sakit) agar membuat hubungan yang baik dengan pihak Masjid dan melunaskan hutang (Sewa RM300 sebulan) dan jaga kebersihan warung yang kelihatan kurang bersih.

2) Warung Di Stesyen Keretapi Pekan Bangi Terbakar


Pada tengahari Ahad 3 Mac berikut dari aduan Adun juga pergi ke Stesyen Keretapi Pekan Bangi kerana melihat warung di Stesyen Keretapi Pekan Bangi disewa oleh En. Ibrahim bin Saleh (73) seorang Pesara KTM sejak 1995 berasal dari Kelantan juga terbakar. En. Ibrahim berniaga menjual makanan. Berlaku kerosakan letrik dan sebahagian peralatan dan bahan masakan terbakar. Semua wiring musnah. Walau bagaimana tidaklah teruk. Adun diiringi selain dari AJK Kebajikan termasuklah saudara Ruslan mewakili Ketua kampung yang menunaikan Umrah. Kami sampaikan sedikit bantuan atas dasar simpati.

3) Melawat Rumah Ibu Tunggal Miskin


Pada Ahad tengahari ini kami dipandu oleh saudara Ari Krishnan Ketua Antara Kaum Adun Bangi juga saudara Narayanan Ahli MPKj meredah semak dan rumput tinggi yang tidak dipotong untuk  melawat rumah uzur Puan Tilagawati A/P Kolanda (51) yang terletak di bahagian belakang Taman Intan juga di belakang Econsave – tanah reserve JPS. Puan Tilagawati Ibu Tunggal beranak lima – 2 daripada mereka cacat. Suami meninggal tujuh tahun lepas. Aduan rumah amat uzur, bocor dan tidak terjaga. Walau macam mana ada api dan air. Keliling rumah semak. Puan Tilagawati bekerja sebagai cleaner. Terpaksa kunci rumah tinggalkan dua anaknya yang cacat bila keluar kerja. Anak yang lain tidak bersama.



Berhubung dengan rumah uzur ini Adun berbincang dengan sdr. Ari, saudara Narayanan dan AJK Kebajikan. Bersetuju minta saudara Ari menguruskan gotong royong bagi membina satu bilik tambahan sebelum sebahagian dari rumah yang uzur itu diroboh dan diperbetulkan sebahagian yang lain.

Kami menyampaikan bantuan simpati permulaan sebelum urusan pembinaan dimulakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment