March 13, 2013

Penubuhan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)

BBB, 29 Rabiul Akhir 1434 = 13 Mac 2013 (Selasa):

Oleh kerana dalam aduan AJK PMUKM ada menyebut bahawa pihak Perhubungan pelajar meragui penubuhan PMUKM walaupun mereka berurus dengan PMUKM. Mereka mau bukti dengan minit mesyuarat. Satu tuntutan yang boleh disifatkan lucu, menafikan kehadiran PMUKM yang mereka sedang berdepan dan berurusan.


Sebagai antara Pengasas PMUKM, kami merasa terhina dengan sikap pegawai berkenaan. Penulis mungkin masih menyimpan fail-fail berkenaan, tetapi untuk mencari dalam timbunan fail yang tersimpan memakan masa dan tenaga. Penulis mau membuktikannya berdasarkan dalam catatan diari. Penulis memang mencatat segala peristiwa yang penulis lalui setiap hari sejak 1962 hingga kini – Tarikh mulai berkhidmat sebagai guru. Untuk mendapat maklumat berkenaan Penubuhan PMUKM Penulis mengeluarkan simpanan diari bagi tahun 1970 dan 1971.

Sebagaimana dimaklumi, UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970 bertempat di Maktab Perguruan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Penggunaan Kampus Sementara di sini memakan masa selama 7 tahun sebelum UKM berpindah ke Bangi pada akhir 1977. Sudah tentulah penubuhan PMUKM lebih lewat dari tarikh penubuhan UKM. Bahkan penubuhan PMUKM lebih kemudian dari penubuhan Jawatankuasa Dewan Rendah Kolej (JKDRK), UKM.

Menurut catatan di dalam diari (1970) Penulis, penubuhan Jawatankuasa Penaja (Protem Committee) PMUKM ialah pada hari Ahad 13 September 1970 bertempat di Kolej Pertama, UKM, Jalan Pantai. Pada pagi hari tersebut diadakan Mesyuarat Agung Luar biasa di kalangan Mahasiswa UKM yang berjumlah 197 orang itu bagi meminda Perlembagaan Jawatankuasa Dewan Rendah Kolej berkenaan. Berikutnya diadakan Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa Penaja PMUKM. Mesyuarat memilih dan melantik AJK Penaja sebagaimana berikut:
 photo 20130312_100450_zps327b9035.jpg
  • Ramli bin Ibrahim - Pengerusi
  • Mohd Zahid bin Awang – Penolong Pengerusi
  • Mohamed bin Kassim – Setiausaha
  • Mohd Ali Mat Daud - Penolong Setiausaha
  • Shafie Abu Bakar – Bendahari
  • Asiah Sarji – AJK
  • Siti Hanum Mohd. Sangkut – AJK
  • Che Uda Che Nik - AJK
  • Sdr. Mardi - AJK

(3 orang Wakil Fakulti perlu dipilih – Ada tiga Fakulti di UKM pada peringkat permulaan, iaitu Fakulti Sastera, Sains dan Islam).


Antara aktiviti penting (untuk dicatat semua agak banyak) yang dilakukan oleh AJK Penaja sebagaimana catatan dalam diari 1970 dan 1971 Penulis.

  1. Pada 7.10 1970 – PMUKM menerima lawatan mahasiswa/I Universiti Phnom Phenh. Menurut catatan Penulis selaku Bendahari keluar dengan Penolong Setiausaha bagi membeli keperluan bagi sambutan kehadiran mahasiswa/I berkenaan.
  2. 11.10.1970 mengadakan Jamuan Berselerak memperkenalkan AJK PMUKM dan JKDRK. Turut hadir mahasiswa UM yang antara mereka turut tinggal di Kolej UKM, kerana Kolej mempunyai lebihan bilik kosong.
  3. 21 November 1970 Berbuka puasa di rumah Naib Canselor UKM Dr. Rashdan Baba yang tinggal di Maktab Pertanian Serdang (kini UPM). Hadir AJK Harian PMUKM, kakitangan UKM dan Maktab Pertanian Serdang.
  4. 6.12.1970 Mesyuarat AJK PMUKM membincangkan draf undang-undang PMUKM.
  5. 20.12.1970 Bersama AJK PMUKM mengunjungi rumah Yang Berhormat Dato` Hussein Onn (Tun) yang baru dilantik menjadi Menteri Pelajaran menggantikan Dato` Patinggi Abdul Rahman Ya`kob (Tun) yang menjadi Ketua Menteri Sarawak). Rumah Y.B. Dato` Hussein di kawasan Taman Perumahan berdekatan dengan Bangunan EPF Jalan Gasing, Petaling Jaya. Kami diterima baik dan berbincang selama dua jam mengenai UKM dan Kementerian Pelajaran.

1971

Situasi Negara pada masa itu adalah dalam pemerintahan Mageran (Majlis Gerakan Negara) selepas 13 Mei 1969 yang merupakan kerjasama berbagai parti di dalam pemerintahan. Datuk Razak bin Hussein adalah Perdana Menteri Malaysia yang beliau adalah Canselor UKM.

6) 6.1.1971 negara dilanda banjir. Bilik gerakan banjir peringkat Negara ialah di Parliman yang juga menjadi pusat Pentadbiran Mageran. Berikut dari banjir melanda negera, kami AJK PMUKM menubuhkan Tabung Banjir PMUKM dengan memungut derma dan menghimpun pakaian terpakai. Pada hari ini kami AJK PMUKM ke Parlimen Malaysia menyerahkan kutipan derma wang dan pakaian kepada Ketua Gerakan Bencana Negara – Tan Sri Raja Mohar Badiuzzaman. Penulis dan Setiausaha dan beberapa yang lain menyertai upacara penyerahan. Pada petang hari itu keluar berita dalam tv tentang penyerahan Bantuan Banjir dari Mahasiswa UKM.

7) 7.1.1971 Berita Bantuan Banjir dari Mahasiswa UKM kepada Ketua Gerakan Banjir Negara, yang dihantar ke Parlimen iaitu wang tunai sejumlah RM151.05 dan dua kotak pakaian keluar berita di dalam akhbar Berita Harian. Nama Penulis sebagai Bendahari dan Setiausaha saudara Mohamad bin Kassim turut tercatat di dalam akhbar pada hari itu.

8) 4 – 10.4.1971 Bersama AJK PMUKM ke Johor Baharu menyertai Persidangan anjuran PKPIM yang pada masa itu saudara Anwar Ibrahim menjadi Presiden (sebelum penubuhan ABIM). Konvensyen bertempat di Sekolah Sultan Ismail, Johor Baharu. Antara AJK yang pergi saudara Mohd Zahid Awang, sdr. Mohamad bin Kassim, Ahmad Kalyubi, Siti Hanum Mohd Sangkut dan Asiah Sarji. Antara aktiviti:

Pada 5.4.1971 persidangan dirasmikan oleh Timbalan Pertdana Menteri Dato` Dr. Ismail (Tun) bin Abdul Rahman.
Malamnya Ceramah Ekonomi oleh Dr. Abdul Halim Ismail – Pensyarah Ekonomi UKM.
Jamuan Negeri disediakan oleh Menteri Besar Johor Dato` Othman Saat.
Berkesempatan melawat Muzium Johor dan ke Singapura.

9) 12.4.1971 Mesyuarat PMUKM yang membincang banyak perkara penting seperti soal Akta Universiti yang mulai diperkatakan pada masa itu yang kecenderungan kami menentangnya. Soal Orientasi bagi menerima pelajar baru. Ini merupakan pengalaman baru kami bakal menerima generasi kedua pelajar UKM. Soal menggantikan Naib Canselor baru UKM, kerana Kolej Pertanian Serdang akan dinaiktaraf kepada universiti. Oleh kerana Dr. Rashdan Baba (Tan Sri) berasal dari UPM, beliau cenderung untuk pulang menjadi Naib Canselor UPM. Ada cadangan untuk menggantikannya dengan Dato` Abdullah Ayob Setiausaha Negara, kami menentang perlantikannya yang membawa kami berdemonstrasi ke Jalan Dato` Onn Kuala Lumpur. Tapi akhirnya Dato` Dr. Ariffin Ngah Marzuki dilantik menjadi Naib Canselor – Seorang Pakar Sakit Puan.

10) 5.6.1971 AJK PMUKM dijemput ke rumah Naib Canselor Baru Dato` Dr. Ariffin Ngah Marzuki berbincang dengannya mengenai masa depan PMUKM dan universiti.

11) 14 – 17.6.1971 Demonstrasi besar-besaran gabungan mahasiswa UKM, UM dan turut sama ITM menentang lawatan Thanom Kitikachon Perdana Menteri Thailand yang menekan umat Islam di Selatan Thailand (Patani, Narathiwat, Songkla dan Satun). Tempat utama demonstrasi di Bulatan Universiti di Lembah Pantai. Lebih dua ribu keluar berdemonstrasi, 24 buah trak Polis Hutan datang mengekang penunjuk perasaan dan lori-lori Merah FRU menembak gas dan air pancut berkimia. 19 orang ditangkap termasuk kena pukul dan cedera. Turut kena tangkap 4 orang mahasiswa UKM.

12) 5.9.1971 (Ahad) Mesyuarat Agung bagi mengesahkan AJK PMUKM. Dirasmikan oleh Naib Canselor Dato` Dr. Ariffin Ngah Marzuki. Perbincangan hangat. Kesudahan Laporan Kewangan disedia Penulis sebagai Bendahari digantung, turut digantung Laporan Khemah Kerja dan Pengesahan Perlembagaan juga ditangguh. Mesyuarat akan disambung Ahad minggu hadapan.

13) 12.9.1971 (Ahad) Selama seminggu Penulis dalam keadaan resah bagi menyediakan laporan kewangan secara smart. Kawan-kawan AJK dan beberapa yang lain turut menolong menyiapkan persediaan Laporan Kewangan. Pada hari persidangan disambungkan soal laporan kewangan terus hangat dibincangkan. Tapi Al-Hamdulillah akhirnya disahkan. Pengesahan paling akhir ialah Perlembagaan.

14) 28.9.1971 Tarikh bersejarah jam 8.00 malam Dewan Mahasiswa yang dikuasai PMUKM pertama kali bersidang mengesahkan Kabinet PMUKM. Saudara Ramli Ibrahim masih kekal sebagai Presiden dengan Setiusaha saudara Mohamad bin Kassim. Sedang Penulis ditugaskan sebagai Setiausaha Perhubungan disamping ditugaskan menjaga bahagian Penerangan dan Penerbitan.

Mulai dari sini bermula Sesi kedua pentadbiran PMUKM yang makin menuju kepada kematangan.

Jelas dari paparan terpilih di atas, PMUKM walaupun setahun jagung usia, tapi menunjukkan kematangan. PMUKM bebas merangka perlembagaan, membuat program dan tindakan. PMUKM dihormati oleh berbagai pihak baik dari Naib Canselor membawa kepada Menteri Besar, bahkan kepada Timbalan Perdana Menteri. Dalam setahun PMUKM membina legasinya, bagaimana dengan 40 tahun lagi ? PMUKM selama ini telah berjasa mengangkat martabat dan imej UKM. Atas dasar dan penilaian apakah mau menghapuskannya?

Sekian.

No comments:

Post a Comment