October 2, 2009

Saudara Saidin sepatutnya lebih bertanggungjawab !

MPKj, 13 Syawal = 02 September ( Jumaat)
Sesudah menghadiri mesyuarat penuh MPKj Bil. 9/2009 pada 30hb. September 2009 (Rabu), jam 1.30 petang ADUN turun dari tingkat 7 ke tingkat satu bangunan MPKj untuk pulang ke Pejabat di Bandar Baru Bangi, sebaik keluar dari lif ADUN diserbu oleh Saudara Saidin dan beberapa orang pengiringnya, sambil menunjukkan satu memorandum protes berhubung dengan cadangan untuk menutup sementara pasar-pasar malam Sabtu, Selasa dan Pasar Tani Hari Khamis. Beliau menyatakan, `Memorandum itu akan dihantarkan kepada Menteri Besar dan Perdana Menteri.`` ADUN menjawab, `` Perkara berkenaan dalam perbincangan. Tunggulah keputusan.`` Secara kebetulan Dr. Tajul Ariffin Noordin, selaku Ahli MPKj dan Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi keluar dari lift dan datang ke tempat kami dan bertanya apa masalah. ADUN meminta Sdr. Saidin dan kawan-kawannya bertanya kepada Dr. Tajul, kerana Seksyen 16 dan persoalan pasar-pasar di tempat tersebut terletak di bawah zon ahli Majlisnya.

Dalam pertemuan Dr. Tajul dengan ADUN di Pejabat ADUN pada 1 Oktober, ADUN diberitahu tentang jemputan YDP MPKj untuk bermesyuarat pada hari ini berhubung dengan memorandum yang dihantar dan ADUN bersetuju untuk hadir.

Pagi Jumaat ini ADUN hadir ke MPKj, di tingkat 7 menepati waktu jam 10.00 pagi. Turut telah tiba ialah Dr. Tajul Ariffin, kakitangan MPKj, Sdr Nordin Said Pengurus Pasar Malam Selasa dan Haji Talib Harun Pengurus Pasar Malam Selasa Belia 4B dan beberapa pengiring. Seharusnya sudah tiba Saudara Saidin Mat Ani yang dijemput lantaran beliaulah yang menghantar memorandum yang kita fahamkan tidak dirujuk kepada Sdr. Haji Talib, apa lagi tidak kepada Dr. Tajul sebagai ketua-ketua penganjur pasar malam (Selasa dan Sabtu). Kita difahamkan Sdr. Saidin diberi tapak perniagaan kedua-dua pasar malam Sabtu dan Selasa yang sepatutnya beliau bersyukur dan bekerjasama dengan Persatuan Penduduk dan Penganjur-penganjur. Tapi nampaknya beliau memandai-mandai buat memorandum bagi mewakili diri dan segelintir orang yang dipengaruhinya.

Perlu ditegaskan sebagai orang yang mengetuai penghantaran memorandum kepada YDP MPKj beliau seharusnya hadir ke mesyuarat yang dijemput, tetapi kami menunggu kehadirannya yang tidak muncul-muncul. Akhirnya YDP MPKj tiba dan menjalankan mesyuarat jam 11.15 pagi.

Menurut YDP yang memulakan mesyuarat, sebenarnya tidak ada masalah. Pihak MPKj melaksanakan arahan dari Exco Kerajaan tempatan yang meminta setiap PBT mengenalpasti tempat yang paling kotor dan memulihkannya hingga menjadi tempat paling bersih diantara 12 PBT di Negeri Selangor. Hadiah akan diberi kepada yang paling bersih. Menurut YDP, MPKj telah memilih kawasan pasar-pasar malam dan pasar tani di Seksyen 16 sebagai projek Bangi Bersih. Penutupan sementara perlu dilakukan bagi pembersihan. Penutupan sepatutnya dilakukan pada bulan Julai yang lalu. Tetapi memikirkan gangguan terhadap peniaga, ditangguh selepas Ramadhan dan Raya, masa sesuai berehat selepas berniaga sepanjang Ramadhan dan sesuai pada masa raya. Perancangan penutupan sebulan dari berniaga mulai awal Oktober, tetapi menurut YDP, ``Jika pembersihan dan pembaikan infrastruktur dapat dilaku dan dibaik pulih segera, maka kemungkinan penutupan dapat dipendekkan''. Menurut YDP, MPKj pembersihan dan gotong royong akan bermula dari Isnin 5 Oktober, jam 2.00 petang.

Dr. Tajul mengingatkan pasar malam ditaja oleh persatuan penduduk dan penduduk tempatan dengan tujuan untuk memberi peluang kesempatan penduduk setempat berniaga. Kesempatan diberi kepada orang bukan tempatan atas dasar untuk menolong. Tetapi jika orang yang tidak berkenaan dan ditolong secara ehsan ini membuat kacau, kita akan tarik semua kebenaran dan kemudahan yang diberi kepada yang berkenaan.

ADUN Bangi bercakap mengenai aduan-aduan yang diterima mengenai masalah yang timbul dari pasar malam dan pasar tani di Seksyen 16 sebagaimana dalam tulisan di dalam blog ini sebelum ini mengenai pasar-pasar berkenaan (Sila baca). Sebagai tambahan ADUN mencadangkan, untuk satu kali setahun atau lebih kerap dari itu diadakan
`Hari Mesra Pasar Malam` bagi memberi perhargaan bagi peniaga dan tapak paling bersih di samping mempereratkan ukhuwwah.

Saudara Nordin Said Pengurus pasar malam Sabtu, mencadangkan system demerit, mana-mana yang melakukan kesalahan diberi ingatan dan jika kesalahan berulang sampai 3 kali, diberi cuti dari berniaga yang menyebabkan yang berkenaan rugi dari pendapatan.
Beliau berhasrat untuk mendisiplin peniaga menjaga kebersihan, mempunyai pakaian seragam yang bersih dan mempunyai warna kanopi tersendiri sebagaimana pasar tani. Jika ini dapat dijalankan secara teratur, bukan saja memberi keuntungan kepada peniaga, tetapi menjadi tarikan pelancung !
Dr. Tajul menambah kita adalah penganjur, pihak yang diberi berniaga jangan memandai-mandai. Sepatutnya mereka bantu penganjur supaya pasar lebih maju bererti memajukan perniagaan sendiri. Siapa pengacau, kita akan ambil tindakan, tegas Dr. Tajul.

Saudara Hj. Talib Harun bersetuju dengan cadangan untuk memendekkan tempoh penangguhan berniaga dan bersedia berbincang dengan peniaga-peniaga.
Sebagai catatan pihak FAMA telah bersetuju memindahkan operasi perniagaan pada hari Khamis dari Seksyen 16 ke Seksyen satu. Perpindahan berlaku pada 1 Oktober, Khamis (Lihat dalam blog sebelum ini). Lokasi di Seksyen Satu ini kekal atau berpindah ke tempat lain selepas sebulan akan dibincangkan kemudian.

YDP MPKj menegaskan apa yang dibincangkan pada hari ini ialah tindakan yang dilakukan dalam tempoh sebulan atau lebih awal. Untuk fasa kedua sama ada perniagaan pasar malam di Seksyen 16 dijadikan sekali seminggu dan sebagainya akan dibincangkan pada fasa kedua. YDP MPKj menyatakan kekesalan pihak yang menghantar memorandum tidak hadir. Beliau seharusnya bertanggungjawab. Selepas berakhir mesyuarat dalam perjalanan pulang ke Bangi, bagi mengejar waktu sembahyang Jumaat, ADUN terima telefon dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyatakan ada kumpulan yang datang membuat protes berhubung dengan penangguhan pasar malam dan ADUN diberitahu mereka akan turun dengan Menteri Pertanian Tan Sri Noh Omar. ADUN menjawab secara ringkas apa yang berlaku kepada Setiausaha yang memaklumkan kepada ADUN itu.

Kita tak pasti di mana tempat mereka yang mau memprotes itu mahu turun, jika bidang yang berhubung dengan Menteri Pertanian, agak terlambat, sepatutnya dia turun Khamis 1 Oktober semalam. Kita mencabar Sdr. Saidin dan kawan-kawan turun untuk sama bergotong royong membersih tempat yang diberi peluang secara ehsan untuk mereka berniaga. Sekian. (Sab).

3 comments:

  1. siapa saidin ni? nak buat hal dah

    ReplyDelete
  2. Saya setuju dan menyokong penuh perjalanan pasar malam ini dinilai semula dan dikemaskini. Antara faktor yang perlu dinilai ialah:

    1. Mutu makanan yang merosot.
    2. Kebersihan kawasan yang tidak terkawal.
    3. Gangguan kepada laluan trafik dan kemudahan awam.
    4. Sistem pengawetan ikan dan sayuran.

    ReplyDelete