December 15, 2009

Hulu Langat Juga Sambut Jubli Perak

Kajang, 28 Zulhijjah = 15 Disemeber (Isnin):

Jemputan ke Majlis Pembuka Tirai Jubli Perak Pas Hulu Langat pada pagi tadi dari YDP Tuan Haji Razali Hassan, ADUN terima dengan gembira dengan menyatakan kesanggupan untuk hadir. Kehadiran ADUN ke Dewan Orang Ramai MPKj seawal jam 8.00 malam bagi ADUN bukan sebagai tamu, tetapi sebagai sebahagian dari mereka yang pernah bersama PAS Hulu Langat, bahkan kerjaya politik ADUN pernah tumbuh dan berkembang dari Hulu Langat.

Dalam perbualan ADUN bersama YDP Tuan Haji Razali, termasuk YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parliman Hulu Langat yang sengaja meninggalkan sidang Parlimen sedang berlangsung kerana menghadiri majlis, sambil menunggu jemputan, khususnya YAB Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Tamu Istimewa, khusus dari Perak, sesuai dengan sambutan Jubli Perak, ADUN bertanya kepada Tuan Haji Razali,
"Betulkah Pas Hulu Langat baru berusia 25 tahun. Ana rasa sudah lebih 25 tahun," tambah ADUN,
Suasana terhenti seketika. Masing-masing cuba mengingat dan menghitung. "Kalau 25 tahun, bererti Pas Hulu Langat baru ditubuh sekitar 1985 dan agak muda. Betulkah?" tambah ADUN dengan pertanyaan.
"Pas Hulu Langat ditubuh, seingat saya tahun 1972," jawab Dr. Che Rusli yang pernah menjadi YDP Pas Hulu Langat itu.
"Kalau 1972 bererti sudah 38 tahun usia Pas Hulu Langat," kata Tuan Haji Razali.
"Tak apa," jawabku untuk mewajarkan keadaan, "Selagi tak sampai 50 tahun, usia emas masih boleh disambut Jubli Perak," tambahku.
"Masih ada 11 tahun lagi boleh disambut," jawab Dr. Che Rusli secara bergurau.
"Jubli Perak Matang," kataku.

Bagi melengkapkan maklumat kami menyebut satu persatu YDP-YDP yang pernah memimpin Pas Hulu Langat bermula dari Tuan Haji Othman Razak, Dato' Haji Ahmad Ibrahim, Dr. Che' Rusli, Dr. Hamirdin Isnin, Dr. Shafie Abu Bakar, Tuan Haji Abdullah Acheh dan terkini Tuan Haji Razali Hassan.

Majlis pada malam ini adalah sebagai permulaan bagi pelancaran Jubli Perak yang akan bermula pada 25 Disember dan berterusan sehingga 3 Januari 2010. Selama masa tersebut diadakan karnival bertempat di Dataran Stadium Kajang yang dijangka dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor. Dalam masa tersebut diadakan ceramah antaranya diisi oleh YB Dato' Dr.Hasan Ali Pesuruhjaya Pas Selangor. YB Datuk Seri Anwar Ibrahim Penasihat PKR dan YB Sdr. Azmin Ali akan hadir berucap dalam Majlis Penutup yang akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Dr. Harun Din selaku Timbalan Murshidul Am Pas.

~ADUN Bangi bersama tetamu jemputan lain di meja makan~

Majlis malam ini selepas makan malam diisi dengan ucapan-ucapan bermula dengan YDP Tuan Haji Razali Hassan yang mengalu-alukan para jemputan dan menerangkan tujuan majlis dan program-program yang akan diadakan dalam sambutan Jubli Perak, ADUN Bangi diberi penghormatan berucap selaku Bekas YDP Hulu Langat yang juga pernah menjadi ADUN Kajang di bawah Hulu Langat dari 1999-2004. ADUN Bangi amat terhutang budi dengan Hulu Langat kerana kerjaya politiknya bermula di Hulu Langat. ADUN Bangi melahirkan kesyukuran kerana dapat mencipta sejarah sebagai calon terawal menang di kawasan multi rasial. Kerjasama dengan semua kaum dengan orang Cina dan India dan kerjasama erat dengan DAP jauh lebih awal di sini. Walaupun ada pergolakan pada peringkat pusat dan DAP pernah keluar dari Kerajaan Perpaduan Ummah, kita di sini terus bekerjasama dari masa Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kelab Penyokong Pas sebenarnya secara praktikal bermula di sini dan insyaAllah kerjasama akan berterusan.

~Antara hadirin yang hadir memenuhi dewan~

Saudara Yong teman rapat ADUN dari DAP yang banyak membantu ADUN berkempen dan amat fasih berbahasa Melayu turut dijemput berucap. Beliau menggalurkan pengalaman bagaimana keterlibatan beliau dalam membantu Pas berkempen. Beliau menyebut perbezaan antara pemerintahan BN dan PR yang benar-benar bersifat Rakyat dan tidak mementingkan kekayaan diri. Majlis diakhiri dengan ucapan oleh YB Dr. Che Rusli Che Mat yang membentangkan laporan kegiatan beliau di Parlimen dengan menyebut berbagai-bagai isu yang dibawa ke Parliman. Cikgu Izhan Bekas Calon Seri Serdang yang telah mengusahakan kehadiran YAB Nizar Jamaluddin melalui Persatuan Anak Perak di Selangor yang dipimpinnya, namun sehingga jam 11.00 malam Dato' Seri Nizar masih tidak tiba, maka beliau memohon maaf kepada hadirin di atas ketidakhadiran YAB Dato' Seri Nizar, kerana terikat dengan urusan Parliman.

No comments:

Post a Comment