October 4, 2014

Bengkel Masjid Al-Umm: Keperluan Dan Pendekatan


BBB, 08 Zulhijah 1435 = 03 Oktober 2014 (Jumaat):
Bengkel berjudul: Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi sengaja di atur dan sepatutnya telah berlangsung sejak 3 bulan yang lalu (Sya`ban/ Julai) sebelum Ramadhan, tapi ditangguhkan kepada 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014. Pun begitu dengan berlangsungnya bengkel pada hari ini masih dikira selesa dan masih mempunyai ruang untuk membuat persediaan dan pembaikan, lantaran bengkel pada hari ini merupakan berada pada masa separuh kedua dari tempoh pembangunan fizikal masjid Al-Umm yang bermula pada 10 Disember 2013 hingga kini sudah Sembilan bulan dan tarikh dijangka siap ialah pada 25 Mei 2015 yang bakinya masih separuh tempoh pembinaan tamat. Menurut Penyata Laporan Kerja oleh Kontrektor Tekad Nusantara Sdn. Bhd. hingga 31 Ogos 2014, kerja pembinaan menurut jadual ialah 20%, tetapi pencapaian kerja ialah 21.21%, iaitu lebih cepat sebanyak 1.21%,  selepas 264 hari digunakan daripada 532 hari. Penggunaan hari adalah 49%.
Bengkel yang diadakan ialah merupakan persediaan bagi pengisian kegiatan Masjid Al-Umm apabila mula digunakan pada Jun 2015 menjelang Ramadhan 1436.
Banyak persediaan  perlu disusun yang melibatkan kegiatan masjid. Masjid sebagai institusi di bawah JAIS perlu melantikPegawai Dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Umm yang menurut format mesti terdiri dari 15 AJK yang diketuai oleh Nazir, Timbalan Nazir, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan 8 orang AJK dan dua orang pemeriksa kira-kira. Seorang Setiausaha Kerja perlu dilantik. Manakala pegawai-pegawai selaku petugas-petugas harian perlu dilantik. Jika menurut format Masjid Al-Hasanah terdiri dari 4 Imam (Imam 1 hingga 4), dua Bilal (Bilal 1 dan dua), tiga siak (Siak 1 hingga 3).
Selain daripada itu, jika menurut format Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, di samping Nazir dan Ajk-Ajk dan petugas-petugasnya terdapat biro-biro yang ditubuhkan dan setiap biro pula mempunyai AJKnya sendiri. Biro-biro yang ditubuhkan ialah:
1)      Biro Dakwah
2)      Biro Pembangunan Dan Landskap
3)      Biro Kebajikan Dan Keselematan
4)      Biro Pendidikan
5)      Biro Pengurusan Tanah Kubur & Wakaf
6)      Biro IT Dan Multimedia
7)      Biro Pemuda
8)      Biro Wanita
9)      Biro Ekonomi  (Termasuk penubuhan Koperasi Masjid)
Format Pentadbiran dan kegiatan yang ditubuhkan oleh Masjid Al-Hasanah ini boleh dijadikan contoh dan mungkin diubahsuai menurut kepentingan dan kesesuaian  bagi Masjid Al-Umm.
Masjid Al-Umm sejak dari awal mempunyai misi dan visi yang lebih luas di dalam bidang Pengajian (Pendidikan). Masjid Al-Umm sebagai masjid yang menjadi Pusat Ibadat yang memupuk ubudiyah hamba kepada Allah melalui ilmu dan amal, maka di dalam visi dan misinya,  Masjid Al-Umm adalah menjadi induk bagi `Wadi Ilmu` bagi kegiatan ibadat dan keilmuan bagi lokasi Wadi Ilmu berkenaan.
Konsep Wadi Ilmu ini dilihat sebagai lokasi bersifat Mikro bagi perluasan secara meluas ke seluruh Bangi Bandar Ilmu – dengan kerjasama masjid-masjid , surau-surau dan institusi-institusi ilmu yang lain yang termasuk konsep dan sekaligus perlaksanaan gagasan Bangi Bandar Ilmu.
Pembentang kertas kerja  bagi Bengkel Untuk Merancangkan & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi, tidak membincangkan Gagasan Bangi Bandar Ilmu yang begitu luas skop perbincangannya. Tetapi pendekatannya melihat bahawa Fungsi Masjid Al-Umm, Pengajian Dan Pendidikannya seharusnya menjadi Induk Bagi Wadi Ilmu dan formatnya  secara fleksibal boleh diperluaskan ke seluruh Bangi Bandar Ilmu.


Pendekatan bagi Bangi Bandar Ilmu sebenarnya telah dibincangkan di dalam Bengkel Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu yang telah diadakan pada 14 Jun 2014 bertempat di Puri Pujangga UKM atas inisiatif Persatuan Pemuda Prihatin Bangi dan pihak Sekretariat Bangi Bandar Ilmu menerbitkan kertaskerja –kertaskerja berkenaan di dalam bentuk buku. Didalamnya terdapat dua kertaskerja satu Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu bertolak secara Mikro oleh Dr. Shafie Abu Bakar dan sebuah lagi kertaskerja Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu secara Makro oleh  Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri. Kertas secara Mikro bertolak dari Masjid Al-Umm sebagai Induk bagi Wadi Ilmu dan kertas secara makro membicarakan konsep Bangi Bandar Ilmu sebagai gagasan secara menyeluruh.
Penulis bagi kertaskerja Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm memilih satu aspek penting sahaja  bagi pengisian dan kegiatan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm ialah ``Pengajian Di Masjid Al-Umm``. Bidang ini dianggap penting sebagai pengisian berterusan di masjid Al-Umm. Adapun peranan Masjid Al-Umm di Wadi Ilmu dan meluas di Bangi Bandar Ilmu bersama-sama institusi yang lain boleh dirujuk di dalam buku, ``Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu (2014) yang diedarkan serentak bersama kertaskerja kepada peserta-peserta. Bahkan peserta Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi diminta membaca kertaskerja bersekali dengan buku yang diedarkan bagi memahami peranan Masjid Al-Umm secara mikro dan Makro bagi Wadi Ilmu dan Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment