October 14, 2014

Bengkel Pengimarahan Masjid Al-Umm: Perbincangan


BBB, 18 Zulhijah 1435 = 13 Oktober 2014 (Isnin):
Berikut dari pembentangan kertaskerja  `Pengajian Di Masjid Al-Umm` dalam Bengkel Untuk Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi  pada pagi 26 Zulkaedah 1435 =  21 September 2014 di Hotel Puri Pujangga, UKM Pengerusi sesi pembentangan Ustaz Haji Ahmad bin Haji Hasbullah memberi  peluang kepada peserta-peserta membuat pertanyaan atau memberi   pendapat.


1)      Prof. Madya Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri, Surau Damai, Seksyen Dua BBB
Peserta yang pertama bercakap dan membuat cadangan ialah Prof. Madya Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri Rektor KUIS yang juga  ahli kariah yang tinggal berdekatan dengan Masjid Al-Umm  Dato` Dr. Abdul Halim bercakap tentang  aktiviti masjid, pentingnya kurikulum pengajian, kebajikan Saudara Baru dan program bagi menarik belia ke masjid.
Menurut Dato` Dr. Abdul Halim kemajuan sesebuah masjid banyak bergantung pada keaktifan AJK yang dilanti. AJK  Masjid Al-Umm  seharusnya bersifat kreatif dan inovatif. Beliau mengambil contoh Masjid Al-Hasanah. Sebelum dari perlantikan AJK-AJK  (2011-2016) kurang berdaya maju dari kurang dari dihadiri jamaah. Tapi Al-Hamdulillah kini Masjid Al-Hasanah diimarahkan dengan berbagai kegiatan sehingga masjid ini dikategorikan sebagai  salah sebuah Masjid bertaraf lima Bintang di Selangor dan satu dari tiga masjid terbaik di Hulu Langat (dua lagi di Pandan dan Puchong). Beliau mau masjid bersifat terbuka dan kalau boleh terbuka  dan berfungsi 24 jam.
Antara fungsi masjid ialah sumber  bagi keilmuan Islam. Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri bersetuju dengn pembentang kertas kerja bahawa pengajian di  Masjid Al-Umm hendaklah dirangka dan disusun secara teratur dari segi bidang dan keilmuan yang mau diajar bermatlamat dan berobjektif. Keilmuan yang mau ditawarkan hendaklah berkurikulum dan mempunyai buku-buku atau kitab-kitab rujukan dan ada buku atau kitab utama sebagai bahan panduan. Guru-guru yang dijemput mengajar hendaklah dipilih secara selektif dan berwibawa di dalam bidang keilmuan  yang diajar dan jangan timbul perkara-perkara yang bersifat kontroversi. Elak dari bersifat tangkap-muat bagi mengisi slot semata-mata. Penceramah-penceramah yang dijemput juga hendaklah bersifat terpilih dan perlu diketahui latar belakang , topic dan isi yang hendak disampaikan, kalau boleh di dalam rangka keilmuan dan kurikulum yang diatur oleh masjid.
Menyentuh persoalan Saudara Baru, Dato` Dr. Abdul Halim mau kebajikan mereka dijaga agar tidak timbul kekecewaan di kalangan mereka yang boleh menyebabkan mereka  keluar dari Islam atau bertukar kepada agama lain. Beliau menekankan  Biro Dakwah Dan Kebajikan  di masjid perlu memainkan peranan di dalam menjaga kebajikan, membimbing dan memberi pendidikan dan pengajaran agama Islam. Dato` Dr. Abdul Halim yang juga Ahli Majlis MAIS menyebut statistic Saudara Baru di Selangor bagi tahun 2013 ialah berjumlah 2,500 orang. Tarikan mereka terhadap agama Islam  lebih meningkat jika layanan diberi oleh pihak masjid, PAID, JAIS, MAIS dan berbagai pihak yang prihatin dengan dakwah Islam.
Penekanan dari segi kebajikan patut diberi keutamaan oleh masjid selain dari Saudara Baru, ialah kebajikan terhadap anak yatim dan faqir miskin. Beliau menyebut antara khidmat kebajikan ialah dengan mengadakan perkhidmatan dylisis kepada pesakit-pesakit buah pinggang.
Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri juga mau masjid memberi  perhatian terhadap kalangan belia bagi menarik mereka ke masjid.  Beliau member I   contoh seperti  menubuhkan Kelab Bermotosikal  Kuasa Tinggi di bawah naungan masjid dan mengadakan kegiatan sukan seperti pertandingan futsal, bola sepak, badminton dan sebagainya.


2)      Tuan Haji Yaakob Mohd Nor, Surau Al-Umm, Seksyen Satu, BBB
Tuan Haji Yaakob Mohd. Nor adalah antara jamaah setia di masjid dan surau menekankan tuntutan berjamaah di Masjid atau surau. Beliau berharap dengan siapnya Masjid Al-Umm memberi  kemudahan kepada jamaah dapat menunaikan solat berjamaah di Masjid. Beliau berharap Masjid Al-Umm  mendapat sambutan bagi  bersolat berjamaah pada setiap waktu. Beliau mengingatkan agar kita tidak tergolong dari kalangan munafiq yang lalai dan menangguh-nangguhkan solat. Tuan Haji Yaakob berharap aktiviti-aktiviti ibadat akan lebih dipertingkatkan di Masjid Al-Umm.
Tuan Haji Yaakob juga mengingatkan AJK Masjid mempastikan perjalanan, khususnya pengajaran di masjid hendaklah sentiasa berlandaskan Al-Qur`an dan Al Sunnah. Masjid menurutnya hendaklah  menjadi institusi yang mengukuhkan aqidah, beramal menurut syari`at dan berakhlak menurut akhlak Rasulullah.


3)      Tuan Haji Mubarak, Surau Abdul Rahman Bin Auf, Seksyen 3, BBB
Tuan Haji Mubarak menimbulkan soal asas dan utama di dalam solat. Di samping masjid mau menawarkan pengajian di dalam bidang-bidang pengajian yang beliau sifatkan sebagai tinggi, tapi katanya perlu diberi perhatian perkara- perkara asas, seperti membetulkan bacaan Fatihah yang menjadi rukun sembahyang. Beliau mau masjid memberi  penekanan tentang pembacaan Al-Fatiihah, terutama bagi Imam yang menjadi ikutan makmum. Imam hendaklah diuji bacaan Fatihahnya juga mamum agar solat sempurna.
Perlu maklum bahawa  pengajian Al-Qur`an diberi perhatian utama di dalam pengajian di masjid.
Menurut perancangan di masjid  ada kelas-kelas  Al-Qur`an yang ditawarkan kepada anak-anak, pelajar-pelajar sekolah dan juga kepada orang dewasa. Termasuk membaca Al-Fatihah secara betul. Di samping itu ada Tahfiz, tafsir dan bahasa Arab  sebagai kunci keilmuan Islam.

(Bersambung).

No comments:

Post a Comment