October 8, 2014

Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu Berindukkan Masjid Al-Umm: Pendekatan Mikro


BBB, 12 Zulhijah 1435 = 07 Oktober 2014 (Selasa):
Tajuk di atas adalah merupakan tajuk bagi kertaskerja pertama dan utama bagi Bengkel Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Kertaskerja ini bertolak dari falsafah pendidikan dan pengajian di dalam Islam berprinsipkan ayat Al- Qur`an pertama diturunkan, iaitu `Iqra`. Daripadanya diperluaskan kepada konsep PESURAT` dan Teori Takmilah yang merupakan pendekatan bagi  membina Peradaban dan Tamadun Umat. Membangun Bangi  Bandar Ilmu adalah percikan darinya.
Sesungguhnya BBB mempunyai institusi-institusi keilmuan dan infrastruktur yang dapat merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Di Bandar Baru Bangi terdapat:
·         Masjid (2 buah)
·         Kompleks Pendidikan Islam
·         Sejumlah universiti dan Pusat pengajian tinggi (20 buah)
·         Sekolah (10 buah)
·         Pra-sekolah
·         Surau (melebihi 30 buah)
·         Darul Shifa
·         Pusat-pusat latihan (10 buah)
·         Tahfiz
·         Pendidikan swasta dan persendirian
Dengan jumlah institusi pendidikan sedemikian sudah menampakkan yang Bangi adalah Bandar Ilmu. Namun institusi-institusi berkenaan perlu digerak secara bersepadu dan berwawasan. Kertaskerja menyarankan pada peringkat permulaan dengan kemampuan yang ada agar  mengambil pendekatan secara mikro dan memperluaskannya  secara makro apabila infra-struktur sudah ada dan ada tenaga melaksanakannya.
Saranan yang dibuat ialah menjadikan Masjid Al-Umm (kini dalam progres pembinaan dan dijangka siap pada Mei 2015) sebagai Induk Pengajian di dalam satu  lokasi `Kampus Ilmu` yang dikenali dengan `Wadi Ilmu` lantaran lokasi ini berada di tengah banjaran Bukit Bangi. – Kawasan seluas 300 hektar (anggaran). Dalam kawasan ini terdapat satu masjid, 8 surau, satu Dar al-Shifa`, 4 sekolah biasa, 2 sekolah agama dan sebuah kompleks Pendidikan Islam (KPI). Masjid merupakan induk yang mengendalikan pendidikan agama, manakala KPI mengendalikan pendidikan formal (persekolahan) dan Dar Al-Shifa` mengendalikan Perubatan Islam . Surau merupakan fakulti-fakulti pengajian bagi masjid dengan KPI dan Dar al-Shifa` sebagai pengukuh keilmuan bagi pengajian.
Berasaskan Masjid Al-Umm, maka konsep pendidikan di dalam kawasan ini diintegrasikan dengan kurikulum keilmuan keislaman dan mendapat kerjasama dari pengajian-pengajian tinggi yang berada di Bangi dan sekelilingnya. Setiap pusat keilmuan berperanan meningkatkan keilmuan di dalam bidang masing-masing dengan pembaikan-pembaikan secara penyelarasan. Sedang pihak Masjid Al-Umm sebagai induk mengadakan pengajian yang diselaraskan, iaitu:
·         Pengajian mengiringi waktu solat fardu, khususnya selepas Maghrib dan Isya`
·         Pengajian-pengajian pada hujung minggu
·         Pengajian berpakej yang bersifat mingguan, bulanan, bahkan tahunan
·         Konvensyen Ilmu pada waktu-waktu bersesuaian.  Contoh cuti persekolahan
·         Pengajian Berkembar dengan pengajian terkenal, Mou dan ziarah Ilmu
Pihak Masjid juga  bercadang mengadakan
·         Pengajian Tahfiz dan Tadika
·         Pengajian Ala Pondok, khusus bagi warga emas
·         Kursus-kursus khusus seperti Haji, Perkahwinan, Keluarga bahagia, kesihatan,  ekonomi rumahtangga dan kursus belia (termasuk pelajar).
Keilmuan-keilmuan yang dicadangkan adalah keilmuan Islam, iaitu:
·         Al-Qur`an dan Tajwid
·         Aqidah
·         Fiqh
·         Tafsir
·         Hadith
·         Tasawuf
·         Sirah
·         Ekonomi Islam
·         Bahasa Arab, Melayu ,  Inggeris dan Penulisan
·         Seni Khat, tarannum,, nasyid, marhaban dan lain-lain
·         IT,  Komputer dan Animasi
·         Kursus usahawan, professional dan lain-lain.
Bagi kursus-kursus di atas ada kurikulum yang dirangkakan, buku-buku rujukan dan panduan. Guru-guru berkelayakan dipilih mengendalikan pengajaran bagi bidang-bidang keilmuan di atas. Kurikulum khusus dirangka bagi kursus-kursus khusus yang dianjurkan. Surau-surau di dalam kawasan Wadi Ilmu sama mengendalikan kursus di atas secara pilihan dan penyelarasan. Antara pelajar yang memilih pelajaran-pelajaran berkenaan perlu bergerak antara surau ke surau. Mereka juga boleh mengikuti pengajian di KPI sebagai pilihan mana-mana kursus yang bersesuaian. Mereka juga boleh mengikuti pengajian di Dar Shifa` sekiranya berkelayakan. Ada penilaian yang dibuat terhadap pelajar (formal) berdasarkan jumlah unit-unit pengajian yang dipilih. Pelajar Tahfiz dan yang di dalam lingkungan persekolahan perlu mengikuti pengajian formal persekolahan seperti di KPI, Sekolah Integrasi  dan sekolah-sekolah di BBB dengan tambahan pengajian di masjid di luar dari masa sekolah.
Bagi menjayakan pengajian di Wadi Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm ada keperluan-keperluan yang perlu diambil tindakan seperti melantik AJK pentadbiran yang berwibawa, mempunyai peruntukan kewangan yang stabil  antaranya mempunyai asset waqaf dan harta masjid, mempunyai fasiliti yang mencukupi termasuklah ruang pentadbiran, pengajaran, perpustakaan, asrama, penerbitan, kompleks sukan yang sempurna. Adalah dicadangkan Masjid mempunyai bangunan yang menempatkan bahagian pentadbiran, pengajian, perpustakaan dan keperluan-keperluan yang lain. Dari tahap pengajian Wadi Ilmu berasaskan Masjid Al-Umm ini dapat diperluaskan kepada peringkat Makro ke seluruh Bangi berasaskan masjid, surau-surau dan institusi pebndidikan yang lain dengan kerjasama pusat-pusat pengajian tinggi yang berada di Bangi dan sekelilingnya. Pada puncak perkembangannya membolehkan pengajian di Wadi Ilmu mencapai status pengajian bersifat Jami`ah dan bertaraf universiti.

Sekian.

No comments:

Post a Comment