January 24, 2015

Pentingnya Diwan Hassan Bin Thabit Al-Ansari: Kandungan


BBB, 02 Rabiul Akhir 1436 = 23 Januari 2015 (Jumaat):


Meneliti lebih detail dan mendalam Penulis makin menyedari bahawa pentingnya Diwan Hassan bin Thabit. Sebagaimana telah disebut inilah buku puisi yang paling lengkap dan sempurna hasil dari zaman Al-Mukhadramun (dua zaman – Jahiliyyah dan Islam). Apa yang terkandung di dalam buku puisi ini lebih banyak gambaran pada zaman permulaan Islam, bahkan boleh dikatakan zaman transisi antara Jahiliyyah dan Islam. Sungguhpun ada beberapa penyair dua zaman menghasilkan puisi masing-masing, tetapi tidak selengkap, dan lebih banyak zaman Jahiliyyah berbanding dengan apa yang dihasilkan oleh Hassan, banyak tema dan isu pada zaman permulaan Islam.
Tanpa melihat kepada nilai perpuisian, maka Diwan Hassan bin Thabit sebenarnya merupakan maklumat sejarah Jahiliiyyah, Islam, tokoh, nilai, budaya dan masyarakat pra-dan zaman permulaan Islam. Ia merupakan tambahan maklumat dari sumber utama iaitu Al-Qur`an, Al-Hadith, sejarah (sirah) dan berbagai-bagai maklumat yang lain. Cuma barangkali, kerana Diwan di dalam bahasa Arab yang setengah bahasanya bersifat arkaik sukar difahami, lagi pula ia adalah di dalam bentuk puisi. Selain daripada itu mungkin ada sifat bias penyair di dalam menanggapi sesuatu peristiwa dan tema. Namun dapat diperiksa dan dibandingkan untuk mencari kesahihan dengan sumber-sumber yang lain. Pokoknya ia membantu di dalam membekalkan maklumat sejarah masyarakat umat, terutama Arab menjelang dan zaman Islam.
Kandungan Diwan Hassan bin Thabit ialah cerminan dan gambaran masa, nilai, budaya, pegangan dan sudut pandangan Hassan bin Thabit pada zaman yang dilaluinya. Hassan dilahirkan lapan tahun sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w. dan berkesempatan zaman awal kerajaan Umawiyyah (Hassan m. 54H/674M.)
Buku Diwan Hassan bin Thabit tidak bertujuan memaparkan kronologi sejarah, sebaliknya pembahagian kandungan lebih patuh pada pembahagian puisi berdasarkan huruf pada akhir tiap-tiap bait. Sebab itu bab-babnya berdasarkan seturut huruf hija`iyyah, misalnya `Qafiyah al-Hamzah, Qafiyah Al-Ba`, Qafiyah Al-Ta` dan seterusnya, manakala panjang pendek sesuatu baris, tidak berdasarkan suku kata seperti di dalam pantun Melayu seumpamanya, tetapi berdasarkan ukuran wazan dan kombinasi wazan-wazan yang diberi nama seperti Al-Wafir, Al-Kamil, Al-Tawil, Al-Ramli, Al-Basit, Al-Madid, Al-Mutaqarib, Al-Rajzu, Al-Munsarih, Al-Khafif dan seumpamanya. Kaedah perpuisian ini memerlukan kemahiran ilmu saraf dan juga nahu.
Buku Diwan Hassan Bin Thabit Al-Ansari yang dikaji oleh Dr. Yusof `Iid dan diterbitkan oleh Dar al-Jayl pada 1412H./1992M. di Beirut ini setebal 429 hlm. Dan 443hlm jika dicampur dengan indeks kandungan. Dari segi kandungan, sungguhpun Hassan dikenali sebagai Penyair Nabi, tetapi kandungannya tidaklah seluruhnya fokus kepada Nabi Muhammad s.a.w., tetapi melibatkan juga tokoh-tokoh dari kalangan sahabat yang mendokong dakwah Nabi Muhammad s.a.w, juga seteru-seteru dan musuh-musuh Islam, tokoh-tokoh dan individu-individu menjadi bahagian dari lingkungan hidup Hassan dari peringkat atas hingga ke peringkat bawah, peristiwa-peristiwa sejarah penting seperti Hijrah, peperangan Badar, Uhud, Mu`tah dan sebagainya.
Dari segi kandungan.
Di dalam 429 halaman buku, maka adalah didapati terisi dengan 246  judul puisi.
Tema yang paling banyak ialah yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w. Iaitu peristiwa-peristiwa yang secara langsung dilibati atau disaksi oleh Hassan bin Thabit tentang Rasulullah s.a.w. atau pujian dan sanjungan terhadap baginda berhubung dengan berbagai-bagai persoalan. Tema yang berhubung dengan nabi terkandung di dalam 15 buah puisi.
Tema yang melibatkan sahabat ialah mengenai Khalifah `Uthman bin `Affan. Hassan bin Thabit nampaknya amat simpati terhadap Sayyiduna `Uthman bin Affan. Pembunuhannya ditangisi oleh Hassan dan isu dan persoalan ini tergambar di dalam puisi-puisinya berkenaan dengan Khalifah `Uthman bin Affan. Terdapat sejumlah 8 buah puisi yang diungkap Hassan berkait dengan Sayyiduna `Uthman bin Affan.
Watak seterus yang paling utama yang sering dikecam oleh Hassan bin Thabit, ialah Abu Sufyan. Tokoh ini hanya menerima Islam selepas berlaku pembukaan Kota Makkah (tahun 8H.). Kebencian juga terhadap Hindun anaknya yang membedah dada Sayyiduna Hamzah dan mengeluarkan jantungnya di dalam peperangan Uhud.  Terdapat 7 buah puisi yang mengambil tema  mengenai Abu Sufyan.
Musuh utama di dalam Islam juga menjadi kecaman bagi Hassan bin Thabit ialah Abu Jahal yang banyak menghalang dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Terdapat 4 judul berhubung dengan Abu Jahal, manakala musuh seganding dengan Abu Jahal, ialah Abu Lahab turut menjadi tema puisi Hassan, tetapi hanya bagi sebuah puisi.
Tokoh yang menjadi seteru di dalam Islam juga ialah Al-Zuba`ri seorang penyair yang melarikan diri semasa pembukaan Makkah, tetapi akhirnya ia terbunuh. Hassan bin Thabit mengecam tokoh ini di dalam 4 buah puisi.
Tokoh-tokoh lain dari kalangan sahabat. Misalnya tidak disebut berhubung dengan Khalifah Islam pertama Abu Bakar al-Siddiq, meskipun ada peristiwa yang mana Rasulullah meminta Hassan bin Thabit berbincang dengan Sayyiduna Abu Bakar cara menyerang musuh dengan menggunakan puisi. Berhubung dengan Sayyiduna `Umar bin Al-Khattab terdapat sebuah puisi yang bertema ratapan terhadap pembunuhan Sayyidua `Umar Ibn al-Khattab. Di kalangan sahabat yang lain turut menjadi tema puisi Hassan bin Thabit ialah Abdullah bin Abbas (1), Hamzah bin Abdul Muttalib (2), Ja`afar bin Abi Talib (1), Al-Zubayr bin al-`Awwam (1) Talhah bin Abi Talhah (1), Amru ibn al-`As (1) Al-Walid bin al-Mughirah (7) yang banyak kecaman dituju oleh Hassan bin Thabit terhadapo tokoh ini. Turut dikaitkan dalam tema peropuisiannya ialah `Aishah r.a(ha) (3). Turut dibicarakan ialah seorang Raja Ghassan iaitu Jabalah bin al-Haiham yang kemudiannya menerima Islam.
Peristiwa yang paling utama mendapat tempat dan menjadi tema perhatian Hassan bin Thabit ialah berhubung dengn peperangan-peperangan yang berlaku di dalam Islam, iaitu peperangan Badar, Uhud, Mu`tah dan peperangan Al-Khunduk yang jumlah puisi berkenaan peristiwa-peristiwa yang berkait dengan peperangan semuanya (21) buah. Manakala baki yang lain mengenai berbagai tema yang berkait dengan tokoh dan peristiwa, khususnya yang berhubung dengan lingkungan hidup Hassan dan Thabit.
Melihat kepada kandungan secara sepintas lalu jelaslah bahawa kandungan Diwan Hassan bin Thabit penting dari segi perpuisian, sejarah, nilai dan sosio-budaya dan lingkungan hidup penyair dan masyarakat pada zamannya – zaman pra dan permulaan Islam (Al-Mukhadramun).

Sekian. 

1 comment:

  1. Petikan: "Watak seterus yang paling utama yang sering dikecam oleh Hassan bin Thabit, ialah Abu Sufyan. Tokoh ini hanya menerima Islam selepas berlaku pembukaan Kota Makkah (tahun 8H.). Kebencian juga terhadap Hindun anaknya yang membedah dada Sayyiduna Hamzah dan mengeluarkan jantungnya di dalam peperangan Uhud.  Terdapat 7 buah puisi yang mengambil tema  mengenai Abu Sufyan."

    Hindun binti Utbah isteri kepada Abu Sufyan.Muawiyah adalah anak mereka berdua.

    Satu lagi perlu diperbetulkan sejarah ialah fakta "Hindun membelah dada dan keluarkan jantung (serta mengunyah) adalah sejarah yang bersumber dari Syiah.Di sebabkan permusuhan antara sahabat(berlaku kekhilafan antara Syaiyidina Ali dengan Muawiyyah sehingga membawa kepada peperangan shiffin).

    Syiah tidak mengikhtiraf Muawiyah sebagai salah seorang sahabat Nabi SAW bahkan menuduh sebagai munafik.Kerana itu Syiah memburuk-burukkan keluarga Muawiyyah!

    Seharusnya orang yang terlibat secara langsung dalam bidang akedamik perlu lebih berhati-hati dalam setiap penulisan.
    Harap Maklum!

    ReplyDelete