January 8, 2011

Antara Federalisme, Hak Kerajaan Negeri & Wakil Rakyat

BBB, 01 Safar = 06 Januari: (Khamis):

Akhirnya YAB. Tan Sri Dato' Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dan Exco-Exco hadir ke upacara mengangkat sumpah Dato' Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan negeri Selangor atas dasar menjunjung kasih dan menghormati Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Negeri Selangor, namun menurut Dato` Sri, ini bukan bermakna penerimaan terhadap perlantikan Dato` Khusrin. Jika pun kedudukannya terus kekal beliau akan terus dipantau dan beliau perlu membuktikan sifat professional dan sikap kecualinya. Meskipun ini adalah merupakan sebagai anti klimeks dari episode yang berlaku, tetapi bukan bererti peleraian yang menyelesaikan permasalahan yang berentetan.

Dari episod kemelut perlantikan banyak dapat ditarik pengajaran, khususnya dari tatacara perhubungan antara Kerajaan Federal dan kerajaan negeri. Selama ini permasalahan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak timbul oleh kerana negeri-negeri yang pernah dimenangi bukan dari BN sebelum 2008 adalah dari – Unfederated States yang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri mempunyai kuasa perlantikan. Tetapi selepas pilihanraya ke 12 (Mac 2008), beberapa negeri Federated States jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Bertentang dari kehendak rakyat dengan kekalahan yang dialami pihak BN yang tidak menghormati kehendak rakyat, berusaha secara tidak demokratik dengan segala kemungkinan bagi menjatuhkan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat. Contoh sebagaimana yang berlaku di Perak.

Bukan menjadi rahsia lagi, sebagaimana di Perak, BN tidak berhenti-henti berusaha bagi menjatuhkan negeri yang paling kukuh ekonomi dan paling strategic bagi Kerajaan Federal. iaitu Selangor. Kali ini ruang bagi mereka ialah melalui manipulasi perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, tanpa merujuk kepada Ketua Pentadbir Negeri, iaitu Menteri Besar. Bayangkan dari segi logic, adakah wajar dilantik seorang Setiausaha Kerajaan Negeri, lebih-lebih lagi yang pro-BN tanpa rundingan dan mendapat persetujuan Menteri Besar Selangor ? Bagaimana misalnya jika seorang Setiausaha Negara yang dilantik tanpa persetujuan dari Perdana Menteri ? Ini adalah antara kepincangan di dalam Perlembagaan Negara yang mencerminkan sikap tidak menghormati pihak berkuasa Kerajaan negeri, termasuklah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Menteri Besar Selangor. Ini bererti untuk kewajaran dan bagi menjaga integreti Perlembagaan Persekutuan, keadilan dan kewajaran bagi Kerajaan negeri perlunya kepada perubahan perlembagaan Kerajaan Persekutuan dan Perlembagaan Kerajaan Negeri.

Persoalan yang boleh dibangkitkan bukan setakat perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi ada lagi peruntukan-peruntukan yang perlu dikaji dan diubah atau dipastikan keadilan terlaksana. Misalnya pengagihan peruntukan kepada kerajaan negeri. Selangor yang memberi sumbangan 20% kepada pendapatan Negara, tetapi Selangor tidak mendapat peruntukan setimpal dengan sumbangannya kepada kerajaan Federal. Jika peruntukan sudah sedia ada, maka yang perlu kerajaan Federal melaksanakannya. Di samping itu kerajaan Federal didapati mulai menceroboh hak-hak dan kekuasaan kerajaan Negeri misalnya dari hak dan kekuasaan terhadap tanah dan juga air. Melalui alasan-alasan tertentu hak dan kekuasaan bagi kepentingan tertentu hak-hak berkenaan diceroboh.

Dari aspek yang lain amalan yang menghakiskan demokrasi dilakukan oleh kerajaan BN, misalnya kerajaan BN melaksanakan amalan yang buruk yang menjadi ikutan bagi yang lain. Contoh seorang wakil rakyat baik pada peringkat Parlimen atau DUN yang dipilih bukan dari kerajaan yang memerintah dinafikan peruntukan tahunan bagi kawasannya yang menyukarkan kegiatannya. Pada hal wakil rakyat berkenaan dipilih rakyat dan rakyat membayar cukai kepada kerajaan. Amat wajar peruntukan disalurkan kepadanya kerana beliau pilihan rakyat yang membayar cukai dan wakil mereka sepatutnya mendapat kemudahan yang menjadi haknya.

Dari perbincangan di atas didapati ada peruntukan perlembagaan yang perlu diubah dan jika sudah ada peruntukan, maka ianya perlu dipatuhi dan dilaksanakan.
Pada dasarnya kita tidak mau melemahkan kedudukan Federal, tetapi kewajaran peruntukan di dalam perlembagaan bagi kerajaan negeri dan Wakil Rakyat perlu diberi, dipatuhi dan dilaksanakan. Kefahaman tentang perlembagaan juga perlu dirakyatkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment