January 19, 2011

Berkonvoi Amal Dan Menderma Kepada Keluarga Encik Rusman

BBB, 10 Safar = 15 Januari (Sabtu):


Seminggu sebelum tarikh di atas anak bungsu Adun menghubungi Adun di Pejabat menyatakan kawan peguamnya – Zul ahli Kelab Bikes akan menyertai konvoi ke Bangi pada tarikh di atas bagi memungut derma bagi menolong keluarga En. Rusman – Isterinya Puan Norhaliza sakit kronik dan anak kecilnyanya Firdaus sakit jantung yang sudah lima kali dilakukan pembedahan dan akan dibedah sekali lagi. Oleh kerana lokasi lawatan termasuk di bawah Dun Bangi, maka dimaklumkan kepada Adun bagi kemungkinan Adun menyertai Majlis Menyampaikan Derma yang akan dilangsungkan. Adun menghubungi Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan menerangkan perkara dan kemungkinan menyertai acara yang diadakan.


Sebagaimana program disusun, maka Adun tiba di Surau Abdul Rahman Ibn Auf Seksyen 3, tepat waktu zohor dan azan mulai berkumandang. Rumah bakal diziarah adalah berhampiran surau ini. Selepas menunaikan solat zohor, pihak Surau diketuai Imam bertugas mengadakan majlis ringkas Doa Selamat bagi keluarga En. Rusman. Adun dan pengiring bergerak ke rumah berkenaan. Jadual asal rombongan Bikers sepatutnya disambut ketibaan mereka yang bergerak secara berkonvoi mulai dari Tol Bangi. Tapi nampaknya mereka tiba lebih awal dari jadual yang disusun. Adun menjangka jumlah mereka sekadar puluhan motorsikal. Tetapi kelihatan ratusan motorsikal dengan 200 bikers, kebanyakan motorsikal bersaiz besar tersusun di semua ruangan kosong antara surau hingga ke khemah yang didirikan di hadapan rumah En. Rusman.


Majlis Penyampaian bantuan bermula dengan doa dan ucapan-ucapan bermula dengan ucapan Captain Persatuan Bikers Encik Razak bin Abu Bakar yang memaklumkan konvoi Bikers adalah datang dari Singapura – termasuk diri beliau dan berpuluh kelab dari utara Semenanjung hinggalah ke Selatan Johor dan Singapura. Antara Bikers yang disebut ialah Bumi Bikers (Ketua Abang Ariffin), Captain Bikers (En. Abdul Razak) Eagle Bikers ( ?), Extreme Bikers (?), Ninja 205 (?), Sun Bikers (Khairuddin Sidek), Lanun Bikers (En. Budin), Just Right Bikers (Zaharuddin, Singapura), Just Ride Malaysia (Syed Azhar), Nila Bikers Community (Adam Chong), Petronas Tasik Titiwangsa (En. Khana), Golden Setia Bikers (Wan Zaini), Honda Wave Club (Gift Brothers) My First Icon Bikers (Miko), G. 20 (Sulaiman) danVirus Bikers (Jem).


Menurut En. Razak bagi menghimpun derma kepada sahabat dari Persatuan Bikers ada antara mereka yang menjual motorsikal bagi menderma. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Konvoi dan Majlis yang diadakan. Beberapa yang lain turut berucap antaranya En. Khairul Anuar dari Petronas Dagang, Wakil Bikers En. Adam Chong dan Tuan Rumah En. Rusman yang terharu dengan Majlis diadakan. Beliau tidak dapat berucap panjang kecuali mengucapkan terima kasih.


Adun berucap berterima kasih kerana prihatin pihak persatuan-persatuan Bikers, secara bergurau Adun menyatakan, ``Melihatkan kepada cara berpakaian dan perwatakan ahli-ahli Kelab Bikers rugged, kita tidak menyangka terselit kemurnian jiwa dan rasa kemanusiaan tinggi. Mereka berusaha membantu sahabat sekelab yang keluarga mengalami sakit. Adun mengucapkan syabas kepada Kelab-Klelab Bikers dan berharap dengan jumlah dana yang akan dihimpun akan dapat meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh En. Rusman dan keluarganya. Menurut Adun beliau difahamkan bagi keperluan membeli ubat ribuan ringgit terpaksa dibelanjakan setiap bulan. Adun berharap contoh yang baik ditunjukkan oleh ahli-ahli persatuan dalam membantu sahabat dan mereka yang susah dapat diikuti mereka yang lain.


Majlis berikutnya ialah penyampaian derma antaranya dari Adun, Datuk Ujang Bagung, En. Khairul Anuar dari Petronas dagang dan diikuti satu persatu oleh Kelab-Kelab Persatuan Bikers.

Berikutnya Adun dan lain-lain menemui keluarga En. Rusman – isteri dan anaknya Firdaus yang agak lemah. Kita mendoakan semoga mereka lekas sembuh dan kembali sihat wal afiat. Insya Allah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment