July 14, 2013

Agens-Agensi Terawal Di Bandar Baru Bangi Menempatkan Pejabat Sementaranya Di Bangunan Kedai-Kedai Di Jalan 1/4 BBB

-->
BBB, 04 Ramadhan 1434 = 13 Julai 2013 (Sabtu):

Bandar Baru Bangi mula dihuni ialah pada akhir November 1977 (PKNS serah kunci pada 30 November 1977 dan Penulis mengambilnya pada hari ini). Penulis pindah secara rasmi sekeluarga ialah pada hari Sabtu 3 Disember 1977. Pada masa berpindah air baru dimasuk, tetapi api belum lagi dimasuk dan terpaksa guna cahaya lilin, tetapi setengah rumah sudah dimasukkan api. Rumah yang ada pada masa itu lebih kurang 100 buah, iaitu rumah semi D di lereng bukit, dua baris rumah teres dua tingkat dan sekelumpuk rumah teres setingkat jenis A dan B. Sebahagian jalan belum diturap dan bertanah kuning. Daripada 100 buah rumah terdapat 4 buah kedai teres satu tingkat yang masih belum dibuka. Segala keperluan pada masa itu terpaksa membelinya di Kajang melalui jalan estate merentasi jambatan kayu di West Country (Jambatan ke UKM belum dibina).

Pada peringkat permulaan ini belum ada sebarang jabatan didirikan di Bandar Baru Bangi. Jabatan yang terawal berurusan dengan penduduk, ialah Pejabat PKNS. Pada peringkat awal pembangunan di Bangi (1975), pejabatnya ialah di beberapa buah kedai di Taman Mesra yang didirikan oleh PKNS. Segala urusan pembeliaan dan pembayaran rumah di Bandar Baru Bangi perlu pergi di Taman Mesra, Kajang. (Penulis ke Taman Mesra hari ini bersama saudara Azizi bagi mengambil gambar kedai-kedai teres setingkat yang menjadi pejabat awal PKNS menguruskan pembangunan dan penjualan rumah kepada pembeli-pembeli yang mau tinggal di BBB). Tidak ramai pada peringkat permulaan yang mau tinggal di BBB, kerana jauh dan tiada kemudahan.


Agensi kerajaan yang awal diadakan di BBB, ialah Pejabat Polis bagi menjaga keselamatan penduduk setempat. Pejabat Polis terawal ialah apabila perumahan di Jalan 1/7 dan sekitarnya siap pada akhir 1980an. Di situ terdapat 4 pintu kedai teres setingkat. Pihak Polis menyewa satu unit (kanan bersebelahan Bengkel Along sekarang) sebagai Balai Polis terawal di BBB yang tidak jauh dari Surau An-Nur sekarang. Pihak Polis beroperasi di sini hanya beberapa tahun sahaja.


Pada awal 1990an, pihak PKNS membina dua baris kedai dua tingkat di Jalan ¼.
Baris hadapan adalah 11 unit dan belakang 4 unit bersebelahan Pasar Basah Bandar Baru Bangi. Bangunan kedai ini lebih selesa, tetapi tidak menjadi rebutan oleh pembeli, walaupun harga satu unit pada masa itu ialah RM90,000 sahaja, tapi sudah dianggap mahal. Dengan adanya unit-unit kosong, maka beberapa agensi terawal pindah dan mulai bangunan kedai di sini sebagai pejabat.

Pertama pihak PKNS yang terawal memindahkan pejabatnya dari kedai teres setingkat di Taman Mesra, Kajang ke 3 unit daripada 7 buah rumah kedai dua tingkat sederet di sini. Peranan PKNS pada masa itu semakin penting dalam membangunkan Bandar Baru Bangi. Turut membuka pejabat di sini ialah Pejabat Unit Penyelidikan Atom yang menyewa dua unit daripada 7 buah kedai dua tingkat sederet di sini. Ini diikuti dengan perpindahan Balai Polis dari Jalan 1/7 BBB yang dianggap tidak begitu strategic ke bangunan kedai dua tingkat tepi tengah (No. 8, Jalan ¼) mulai 1997. Bekas Balai Polis di Jalan 1/7  dijadikan surau sementara bagi Surau An-Nur di sini. Apabila Surau An-Nur siap di tapak sekarang, maka Surau An-Nur menurut Tuan Haji Ghazali Abbas berpindah ke Surau An-Nur yang rasmi pada 1998. Adapun bangunan Surau lama yang juga menjadi Balai Polis Lama menjadi Sekolah Agama di bawah kelolaan ABIM hingga sekarang. Sementara itu ketiga-tiga agensi (PKNS, Agensi Atom dan Polis) membina tapak agensi masing-masing. Antara yang awal berpindah pada akhir 1990an ialah Pusat Pnyelidikan Atom Tun Dr. Ismail yang terkenal dengan nama ringkasnya PUSPATI, tapi nama ini beberapa kali berubah seperti Malaysians Atomic Research Malaysia dan kini sebagai Malaysian Nuclear Energy yang terletak di dalam kawasan tanah UKM di jalan Antara BBB dan Pekan Bangi.

    PKNS                                                                                                  Atom
  
                                                                                                      
Kemudian pihak PKNS yang mendirikan bangunan rasminya di Seksyen 9 BBB dan siap kira-kira awal 2002 turut berpindah ke Bangunan barunya yang setinggi 4 tingkat dan menjadi salah satu `landmark` bagi BBB. Menurut sumber dari PKNS, oleh kerana pembangunan di BBB Bangi kini sudah hampir penuh dan tiada lagi tanah kosong dan pembangunan makin mengurang, maka pejabat PKNS di BBB memberi tumpuan kepada Pembangunan di Cyber Jaya yang PKNS BBB menjadi pejabat utamanya. Tetapi PKNS bakal mempunyai bangunan sendiri yang lebih besar di Cyber Jaya, maka PKNS akan berpindah ke sana dan tinggal beberapa unit saja di BBB bagi kepentingan pengurusan di sini. Selebihnya akan disewakan. Adapun bangunan-bangunan yang ditinggalkan di Jalan ¼ BBB oleh PUSPATI dan PKNS dijual kepada pembeli-pembeli berminat setelah agensi-agensi berkenaan berpindah. Kedai-kedai di sini menjadi kedai-kedai bengkel dan bidang komersil yang lain.


Yang terakhir berpindah ke bangunan sendiri, ialah Polis BBB. Pihak pemerintah    menyediakan pembangunan bagi Polis Bandar Baru Bangi. Bangunan Polis Baru ialah berdekatan dengan Sekolah Agama Integrasi dan Balai Bomba BBB. Pihak polis telah berpindah sejak 2001 dan pembukaan rasmi dilakukan oleh Timbalan Polis Negara Bahagian Jenayah Dato` Fauzi Shaari pada 27 Jun 2002.










Sebaik pihak Polis berpindah ke Bangunan Barunya, Pihak Adun Kajang pada masa itu, iaitu Dr. Shafie Abu Bakar berunding dengan pihak PKNS bagi membeli bangunan dan dijadikan Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Kajang dari 2001 sehingga akhir Mei 2004 dan Pejabat Adun Bangi dari 2008-2013.
Perkembangan dan perpindahan ini berlaku di dalam kawasan Seksyen Satu BBB sahaja, adapun dengan seksyen-seksyen yang lain baru dalam pembangunan. Walau bagaimana kedai-kedai yang baru dibina pada peringkat awal BBB dihuni, khususnya kedai-kedai di Jalan ¼ menjadi pejabat-pejabat sementara bagi beberapa agensi kerajaan, iaitu PKNS, Pejabat Penyelidikan Atom dan Pejabat Polis BBB. Ini terletak dalam satu baris bangunan kedai sahaja. Banyak lagi perubahan yang tidak disedari, tanpa memberi perhatian maklumat-maklumat lama menghilang dan adalah satu kerugian bagi kita tidak mencatat berhubung dengan sejarah tempatan yang kita sendiri menghuninya.


Sekian.

No comments:

Post a Comment