December 6, 2014

Gurdwara Institusi Keagamaan Dan Kemasyarakatan Kaum Sikh


BBB, 12 Safar 1436 = 05 Disember 2014 (Jumaat):
Prof. Madya Dr. Sarjit Singh a/l Darshan Singh dari Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia UPM membentangkan kertaskerja bertajuk: Pelbagai Aspek Pantang Larang Masyarakat SikhDi Selangor pada 26 November 2014 di PADAT, Shah Alam. Membaca kertaskerja  yang dibentang kita bukan saja diberitahu tentang pantang larang masyarakat Sikh, tetapi diperkenalkan dengan  Agama Sikh dari permulaan pengasasannya, tetapi juga aspek-aspek agama tersebut yang daripadanya dapat kita tanggapi di sana sini aspek pantang larang.
Selepas pembentangan Penulis bertanya, apakah pendapat Dr. Sarjit Singh dengan kenyataan  yang mengatakan, terdapat banyak elemen- terutama keislaman, di samping Kristian dan Hindu dalam agama Sikh, lantaran semasa lahirnya agama Sikh negara India (abad 15-117) sebahagian besar adalah di bawah kekuasaan Islam ?


Beliau mengakui  wujudnya elemen Islam, tetapi tidak begitu jelas dengan elemen Kristian dan Hindu.Dari segi sejarahnya orang Sikh ke Tanah Melayu  sejak pemerintahan British (1870an) berkhidmat dalam pasukan keselamatan. Jumlah kaum Sikh kini di Malaysia ialah 70 ribu orang, iaitu 0.23 % daripada penduduk Malaysia.
Agama Sikh  dipelopori oleh Guru Nanak (1469-1569). Agama ini berkepercayaan kepada Tuhan yang Esa. Pencipta Alam Yang Kekal Abadi dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Guru Nanak dan Sembilan orang penggantinya menurut Dr. Sarjit Singh, ``menolak secara total system kasta, menyeru pengikut mengamalkan konsep persaudaraan sesama manusia dan mendukung konsep kemanusiaan. Tidak ada perbezaan antara manusia.``. Walaubagaimana kata Dr. Sarjit Singh, ``Agama Sikh tidak pernah menggalakkan sesiapapun untuk menukar atau memeluk agama Sikh sebaliknya disaran agar sentiasa mematuhi ajaran agama masing-masing dengan baik dan ikhlas.`` (hlm.2). Agama Sikh diperkukuhkan apabila pada 1699 Guru Gobind Singh memperkenalkan konsep `Khalsa` (Tulen) dikuti pada (1708), Guru Gobind Singh mengiktiraf  Guru Granth Sahib sebagai guru Sikh  yang abadi dengan  Kitab Suci Guru Granth Sahib yang merupakan inti pengajaran dari 10 guru pendukung bagi Guru Nanak. Kitab ini sebagai Kitab Agama Sikh yang menjadi sumber ibadat dan amalan.
Bagi orang Sikh mereka mempunyai rumah ibadat dan social yang dikenali dengan Gurdwara yang bangunan mirip sebagai bangunan ibadat Islam dan mempunyai kubah. Menuriut Dr. Sarjit Singh:
``Gurdwara bukan sahaja merupakan pusat keagamaan bagi penganut agama Sikh untuk berkumpul dan menjalankan tugas-tugas agama mereka, tetapi fungsinya melebihi daripada itu. Antara fungsi Gurdwara adalah untuk memastikan segala elemen-elemen yang berkaitan dengan agama Sikh terpelihara serta dipraktikkan sepenuhnya oleh penganut Sikh. Misalnya, penganut Sikh berkumpul di Gurdwara untuk menjalankan upacara-upacara keagamaan seperti upacara  kelahiran, upacara pembaptisan, upacara perkahwinan dan upacara kematian. Di dalam Gurdwara juga penganut Sikh memperolehi pengetahuan agama baik melalui kotha (syarahan) agama yang diberikan  atau melalui nyanyian lagu-lagu mazmur, iaitu kirtan. Selain itu Gurdwara merupakan tempat untuk orang Sikh sembahyang berjamaah (sangat).`` (hlm. 3-4).
Kitab Suci Guru Granth Sahib adalah induk di Gurdwara dan kehidupan orang Sikh. Kitab setebal 1,430 hlm. Ini merupakan kumpulan puisi yang diagungkan yang  `ditabal dan diraikan` pada setiap pagi dan petang. Upacara berlangsung di Gurdwara setiap hari ialah sembahyang waktu pagi, sembahaynag waktu petang dan juga berdoa. Seterusnya dalam kertaskerjanya Dr. Sarjit Singh membicarakan 25 artikal daripada pengajaran agama Sikh berkenaan yang di dalamnya mengandungi pantang larang. Antaranya:
Umum
·         Tidak ada sebuah buku yang boleh diletak lebeih tinggi atau seirng dengan kitab Suci Sikh – Guru Granth Sahib.
·         Tidak ada kasta dalam Sikh samaada sesama Sikh atau bukan Sikh
·         Perlu menutup kepala dalam himpunan.
·         Dilarang menggunakan tembakau atau minuman keras yang memang dilarang oleh agama Sikh
·         Seorang Sikh mesti bersifat jujur menurut ajaran agama Sikh dari kecil ke akhir hayat.
·         Pertemuan antara satu sama lain hendaklah mengucap salam dengan  ucapan `Waheguru ji Ka Khalsa, Waheguru Ji Ka Fateh``.
·         Lelaki hendaklah memakai turban (dastar)
·         Rambut anak lelaki dan perempuan hendaklah dijaga rapi dan tidak dibenarkan untuk dipotong kerana ia pemberian Tuhan
·         Tidak boleh mengambil ganja dan sebarang perkara yang memabukkan.
Perkahwinan  Dan Kelahiran
·         Perkahwinan tidak mengira batas social. Perkahwinan hendaklah sesama agama Sikh, jika tidak kena mengikut undang-undang sivil. Tiada sekatan hari yang sesuai atau tidak terpulang kepada persetujuan dua pihak. Pertunangan bukan perkara wajib. Digalakkan upacara perkahwinan secara sederhana. Ada akad dan penerangan tugas dan hak kedua pihak.  Isteri yang suaminya meninggal dibolehkan mencari suami baru, demikian juga bagi pihak suami
·         Selepas kelahiran bila berkemampuan ibu dikehendaki ke Gurdwara untuk upacara memberi nama oleh Guru Granth  Sahib. Bagi anak lelaki berhujung dengan Singh dan bagi anak perempuan berakhir dengan Kaur.
Kematian dan Pengkebumian
·         Bila kematian dilarang mengalih mayat yang mati atas katil jangan diturunkan ke lantai. Dilarang menderma lembu betina bagi majlis memperingati si mati. Jangan meraung, memukul diri sebagai kesedihan melampau. Ucapan-ucapan agama diulang-ulang dalam upacara kematian. Mayat si mati akan dibakar, boleh dilakukan samaada siang atau malam. Sebelum daripada itu mayat dimandi dan dipakaikan dengan pakaian yang bersih. Sepanjang upacara disertai pembacaan keagamaan. Lampu minyak dinyala selama 360 hari selepas kematian bagi menerang jalan kepada si mati. Ada upacara agama menurut jumlah hari selepas mati
Upacara Pembaptisan
·         Dilakukan dihadapan Guru Granth Sahib (Kitab Suci) melibatkan 6 orang Sikh. Boleh termasuk wanita, syarat bagi semua sihat dan normal.
Yang hendak dibaptiskan perlu mandi dan bersih. Ada penerangan tentang agama Sikh. Ada pengakuan untuk berkhidmat kepada agama Sikh. Ada jampi dari kitab Suci. Acara minum sebanyak lima kali dengan bacaan-bacaan. Acara baptis ini diberi penerangan begitu detail oleh pembentang
Terakhir dari Penerangan (artikal 25)
Sebarang kesalahan atau dosa dilakukan oleh penganut Sikh perlu mengaku melakukan pengakuan silap di hadapan jamaah. Jamaah lima orang dengan kehadiran Guru Granth Sahib meneliti dan mengumumkan tentang hukuman. Hukuman dikenakan biasa bukan secara keras, tetapi lebih bersifat khidmat. Doa Ardas dibaca untuk memperbaiki kesilapan.
Kebanyakan acara berlangsung di Gurdwara. Ini mencerminkan betapa pentingnya institusi ini bagi orang Sikh. Dari pembentangan dapat dikesan bahawa ada elemen pengaruh agama  Islam, Kristian dan Hindu di dalam agama Sikh. Namun elemen agama Islam agak ketara.

Sekian.

1 comment:

  1. orang singh mati - lampu minyak tidak dibakar
    untuk upcara amrit - baptis - tiada jampi; cuma versi versi keagaaman dilaungkan berkali kali
    kepercayaan ritual tiada didalam agama sikh

    ReplyDelete