December 13, 2014

Takmilah



Teori  yang merujuk
Kepada Unggul Sempurna
Inspirasi bagi kreativiti seni
Tonggok Piawaian  tertinggi
Meski  tak tersentuh jari

Ia adalah merentasi jarak kualiti
Dilalui sang pengkarya
Mungkin dari paksi sifar
Mendukung karya
Melalui tiang seri estetika
Dan perkembangan minda
Membawa khalayak bersama
Maqam demi maqam berlapisan
Yang pencapaian berlebih kurang
Menuntut sempurna kepuasan.

Jika mendepani Al-Qur`an
Menanggapi estetika dan penghayatan
Dia brdepan piawaian lengkap sempurna
Kalam Tuhan yang diwahyukan
Amat jauh ruang perjalanan
Dari bumi ke planet-planet
Bintang-bintang ke ruang tanpa sempadan
Sejauhmanakah daya estetika dan minda
Mengharapkan khalayak bersama ?
Sesungguhnya tidak mungkin-sampai
Dia Yang Abadi
Dirilah yang fana.

Jika  disentuhi bidang sastera
Dengan bakat dan keilmuan
Ke jauh-mendalam getar jiwa
Dengan irama kecapi bahasa
Mampu menggubah tema-tema
Ke ufuk rasa ke ufuk minda
Menyentuh kemanusiaan
Menyentuh kebijaksanaan
Menyentuh kerohanian
Terpegun khalayak menghayati
Yang pasti tiada batas  mengakhiri.

Jika ditangani senibina
Adalah kombinasi bersama
Membina sebuah katakan masjid
Harapan `Master Peace`  kenangan zaman
Dari arkitek berwibawa seni
Kontrektor berdedikasi
Pentadbir beramanah teliti
Terjelma indah seni pada kubah-menara
Ruang solat hening beribadat
 Dari ruang Mihrab mimbar di hadapan
Guru-guru menghambur mutiara pengajaran
Disambut jamaah kedahagaan
Masjid bukan semata bangunan
Lebih hidup dengan pengimarahan
Gemanya merentasi zaman.

Takmilah dengan bidang seni berbagai
Kombinasi taman tamadun-peradaban
damba  aman  di Negara maju  makmur
Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
20 Safar 1436
13 Disember 2014.


No comments:

Post a Comment