September 23, 2019

PERANAN BADAN DAKWAH DAN AGENSI KERAJAAN


BADAN DAKWH DAN AGENSI KERAJAAN
(Fikrah Bangi: 355),
BBB>  23 Muharram 1441H. = 23 September 2019M. (Isnin).
Telah disebut bahawa negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum dan berbagai agama dan yang tidak beragama adalah ruang dan peluang yang baik bagi berdakwah. Secara teratur dan tersusun, bahawa di negara kita mempunyai agensi-agensi dakwah. Bagi setiap negeri ada Jabatan Agama Islam masing-masing dan mempunyai bahagian dakwah. Puncak dari  Jabatan Agama, iailah Jabatan  Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Walaupun pihak negeri mempunyai kebebasan dari Pusat, kerana hal Ehwal Agama adalah di bawah kekuasaan Negeri, tetapi adalah diterima sebagai Penyelaras bagi kegiatan Agama Islam seluruh negera dan ianya terletak di bawah  kuasa Yang Di Pertuan Agung, namun negeri mempunyai kebebasan sendiri.
Pada dasarnya baik pada peringkat JAKIM dan Jabatan-jabatan agama negeri, semuanya adalah berfungsi sebagai pentadbir bagi Hal Ehwal Agama Contoh  pentadbiran masjid, zakat, sekolah agama dan sebagainya.
Pada peringkat JAKIM dan Jabatan Agama negeri-negeri mempunyai bidang dakwah. Dakwah secara luas adalah mentadbir dan memperkembangkan pengajaran dan kefahaman Islam kepada masyarakat yang pada umumnya adalah termasuk ditujukan kepada penganut Islam. Namun tujuan dan maksud dakwah kepada yang bukan Islam yang sepatutnya diberi penekanan, tetapi kurang menyerlah. Bahkan apabila disebut dakwah, maka banyak kegiatan yang ditunjukkan ialah dakwah terhadap orang-orang asli.  Memang ianya sebahagian daripada dakwah, tetapi dakwah kepada orang-orang atau penduduk yang bukan Islam yang menjadi sebahagian dari rakyat di negara ini kurang ketara. Mengapa ?
Sebagaimana kita sebutkan pada permulaan Malaysia ditubuhkan usaha dakwah di Sabah dan Sarawak oleh tokoh-tokoh tertentu begitu berjaya, tetapi kegiatan seumpama ini tidak terus berlaku, khususnya terhadap rakyat bukan Islam di seluruh negara.  Mungkin pihak jabatan-jabatan agama  merasa, kerja yang sedemikian – untuk mendekati mereka dan  mencari pendekatan terbaik tidak dapat mampu dilaksanakan. Banyak halangan sosial terpaksa didepani. Apa yang dilihat pihak jabatan-jabatan lebih berfungsi memberi perhatian dan bantuan terhadap muallaf-muallaf yang sudah masuk Islam.
Mereka yang masuk Islam lebih dijalankan oleh badan-badan dakwah bebas dan sukarelawan  yang mempunyai pendekatan tersendiri dengan mendekati mereka secara peribadi dan memperkenalkan Islam kepada mereka. Cara yang tidak formal ini dilihat sebagai cara yang lebih efektif. Tokoh-tokoh dakwah yang berwibawa dan mampu bercakap dan menarik perhatian orang ramai termasuk bukan Islam lebih berkesan di dalam menyampaikan dakwah, sebab itu mereka yang berkelayakan perlu digalakkan mereka untuk berdakwah dan tidak disekat.
Badan dakwah bebas, khususnya ditubuhkan oleh kalangan yang menganut Islam dan berusaha menarik kalangan mereka menerima Islam dilihat lebih efektif. Misalnya lahir dari kalangan muslim di negara ini pertubuhan muslim mereka yang antaranya dikenali dengan Malaysian Chinss Muslim Association. Pertubuhan seperti ini tidak saja berdakwah, tetapi mendirikan masjid dan menjalankan berbagai kegiatan kebajikan.
 Pihak kerajaan dan jabatan-jabatan adalah wajar menggalakkan pertubuhan-pertubuhan yang sedemikian dan memberi galakan dan bantuan. Adalah wajar ditubuhkan misalnya `Persatuan India Muslim, Persatuan Muslim Kadasazan, Persatuan Muslim Iban dan sebagainya.
Pihak Jabatan perlu memikirkan galakan dan inisiatif bagi menyemarakkan dakwah Islam melalui pertubuhan-pertubuhan yang sedemikian. Melalui persatuan sedemikian pihak jabatan turut bersama berada di kalangan mereka bagi mengukuhkan dakwah Keislaman.
Pihak kerajaan tidak  seharusnya mengambil sikap menunggu, tetapi seharusnya membantu dan melalui kesatuan sedemikian dapat dijadikan perantaraan bagi mendekati berbagai-bagai kaum yang belum Islam di negara ini.
Sekian.

No comments:

Post a Comment