September 16, 2019

PIAGAM PAKATAN UMNO-PAS PERLU REALISTIK


PIAGAM PAKATAN UMNO-PAS PERLU REALISTIK
(Fikrah Bangi: 349),
BBB: 16 Muharram 1441H. = 16 September 2019M. (Isnin).
Dalm bulan Kemerdekaan dan Kebangsaan ini beberapa peristiwa politik penting tanahair berlaku. Ketara ialah termeterainya Piagam Pakatan Ummah antara Umno dan Pas dan bagi pihak Kerajaan PH mengambil  pendekatan `Kemakmuran Bersama` yang ditujukan kepada negeri-negeri dan rakyat. Menurut pendekatan itu, pihak PH akan berusaha mengimbangkan  kemakmuran negera antara negeri-negeri yang miskin dengan negeri-negeri yang kaya. Negeri-negeri yang miskin disebut seperti Kelantan, Kedah dan Perlis.
Melihat kepada Piagam Penyatuan Ummah antara Umno dan Pas selain dari Piagam pertama, iaitu `Menjunjung Perlembagaan Negara. Ianya lebih menekankan penyatuan antara Umno dan Pas yang terdiri dari orang Melayu dan Bumiputra. Konsep ummah itu sendiri membawa maksud kepada umat Islam. Walau bagaimana terdapat klausa di dalam piagam ketiga, bahawa  kesatuan Ummah bagi mensejahterakan rakyat Malaysia. Ini diperkukuhkan di dalam Piagam keempat, bahawa mesyuarah akan dilakukan dengan semua kaum dan agama bagi kepentingan negara. Sesungguhnya Piagam adalah berfokus kepada orang Melayu dan Bumiputera, manakala bagi rakyat lain difahami sebagai berkedudukan kedua dan terpinggir. Ini antara kelemahan yang dilihat di dalam piagam berkenaan. Piagam sebenarnya lebih melihat ke dalam, sepatutnya bersifat realistik. Adalah lebih baik jika pada Piagam ketiga ditekankan, ``Pakatan membuka ruang kerjasama dengan semua kaum dan rakyat Malaysia. Dan bagi piagam keempat. Bertujuan menyatupadukan rakyat dan bekerjasama bagi mencapai kemakmuran dan kesejahteraan.
Dengan demikian rakyat bukan Melayu dan bumiputra  diberi peluang dan kedudukan yang sama  dalam kerjasama bagi mencapai kemakmuran dan kesejahteraan. Wajar dilengkapkan piagam keempat, iaitu Mendidik rakyat semua peringkat agar berilmu dan berperadaban dan kelima Menyatupadukan  rakyat bagi mencapai kemakmuran dan kesejahteraan.
Jika disusun kembali Piagam adalah terdiri dari lima prinsip berikut:
1)      Menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Negara Malaysia.
2)      Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputra.
3)      Pakatan Membuka ruang kerjasama setaraf  dengan semua kaum dan rakyat Malaysia.
4)      Mendidik rakyat semua peringkat agar berilmu dan berperadaban.
5)      Menyatupadukan rakyat bagi mencapai kemakmuran dan kesejahteraan.
Dengan lima prinsip ini, walaupun kerjasama antara Umno dan Pas, tetapi ruang terbuka bagi kerjasama dengan semua kaum secara setaraf. Dengan demikian tidak kelihatan atau terasa bahawa kaum-kaum yang lain bertaraf kedua dan terpinggir.
Prinsip keempat adalah penting, kita bukan saja mau kerjasama antara Melayu-Bumiputra dan kesemua rakyat, tetapi mau mendidik dan menjadikan rakyat semua peringkat berilmu, termasuk bidang teknologi dan komunikasi yang mendominasi kehidupan kini. Pakatan Umno-Pas mau mendepani pilihanraya, jadi Piagam perlu realistik dan serasi dengan kemahuan rakyat Malaysia.
Piagam hendaklah sesuatu yang kukuh. Pakatan Umno dan Pas hendaklah membawa prinsip yang lebih kukuh, realistik dan terbuka atau sekurang-kurangnya setara dengan apa yang ditawarkan oleh PH.
Piagam adalah satu hal dan melaksanakannya satu pinilaian yang lain. Rakyat mau melihat perlaksanaannya mulai kini dan bukannya menunggu apabila berpeluang memerintah.
Sekian.

1 comment: