September 22, 2014

Bengkel Bagi Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm


BBB, 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014 (Ahad):
Bengkel di atas dirancang selepas setengah tahun pembinaan fizikal Masjid Al-Umm berlangsung (10 Disember 2013 – Jun 2014), namun ianya ditangguhkan kepada hari ini, iaitu selepas separuh dari tempoh pembinaan fizikal Masjid Al-Umm  berlangsung yang dijangka siap pembinaan pada pertengahan Mei 2015. Bengkel diadakan ialah sebagai persediaan bagi pengisian kegiatan, khususnya pengajian yang akan diisi sebagai kegiatan masjid. Bagi tujuan ini jawatankuasa pendidikan  diketuai oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin dengan ahli-ahlinya Nik Muhammad Adhan (S/U), Hj. Mohd Ghazali Abbas, Hj Ahmad Hasbullah, Hj. Abdul Rahman Daud, Hj. Mohd. Suib Maulud, Hj. Mohd. Nor Mohd. Yasin dan Dr. Mohd Sobri Haron, mereka telah merangka program bagi menjayakan bengkel pada hari ini bertempat di Puri Pujangga UKM mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.


Bagi mencapai matlamat apakah kegiatan-kegiatan yang dapat mengimarahkan Masjid Al-Umm yang dijangka mulai digunakan pada pertengah Mei 2015, maka dijemput Nazir Masjid Al-Hasanah Pengerusi surau-surau bersama setiausaha atau wakil-wakil  sebagai peserta-peserta termasuk NGO-NGO. Jumlah mereka termasuk AJK-AJK Pembinaan Masjid Al-Umm adalah seramai 100 orang. Diharap pengalaman  mereka mentadbir masjid dan surau-surau dapat memberi  input yang dapat menjadi panduan bagi AJK Masjid Al-Umm menjalankan kegiatan bagi mengimarahkan masjid tersebut. Pengerusi majlis bagi perjalanan bengkel  ialah Tuan Haji Ghazali Abbas.
Objektif bengkel  antaranya ialah:


·         Mengenal pasti kegiatan, keilmuan dan  pengajian yang akan diisi
·         Memilih kitab-kitab dan kurikulum serta guru-guru  bagi bidang-bidang pengajian
·         Sasaran pengajaran yang melibatkan semua generasi
·         Taburan masa bersesuaian bagi semua jenis pengajaran
·         Bermatlamat dengan kegiatan masjid membentuk masyarakat dan generasi berilmu dan bertakwa  di Bangi


Tokoh utama yang mengisi aturcara yang  menyampaikan ucaputama ialah Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat bagi AJK Pembinaan,  Pengisian Pengajian dan Kegiatan di Masjid Al-Umm. Dengan didahului ucapan alu-aluan oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku Pengerusi Bengkel  dan diikuti Taklimat Pembinaan Masjid Al-Umm oleh  Haji Abdul Rahman Daud, manakala pembentangan kertas kerja disampaikan  oleh Dr.Haji Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dengan Pengulas ialah oleh Profesor Dr. Azimi Hamzah dari Fakulti Pendidikan UPM. Moderator bagi sesi pembentangan ialah Tuan Haji Ahmad Hasbullah.  Adalah diharapkan dari pembentangan kertas kerja dan pengulasan dapat dijana pendapat-pendapat dan cadangan-cadangan dari peserta-peserta apabila sesi soal jawab dibuka.


Satu lagi program yang disusun ialah Sidang Pleno mulai jam  2.30 hingga 4.30 petang. Ahli-ahli sidang  ialah mereka yang terlibat secara langsung dengan pentadbiran masjid-masjid. Mereka ialah Ustaz Asrizal yang merupakan penceramah bebas lulusan Syariah dari Jordan dan pernah  berkhidmat sebagai Pegawai di Balfast Islamic Centre di Ireland beberapa tahun sebelum kembali ke Malaysia. Ahli bagi sidang Pleno kedua ialah Ustaz  Napiah Shahrani yang merupakan Nazir bagi Masjid Al-Umm dan berpengalaman menjadi  guru sekolah, pentadbir dan pensyarah di Institut Pendidikan Islam Bangi sebelum bersara dan menjadi Nazir Masjid. Beliau juga merupakan guru tarannum. Seorang lagi ahli sidang pleno ialah Ustaz Abdul Muis Pegawai dari PAID Hulu Langat yang terlibat secara langsung dengan pentadbiran Masjid-Masjid dan surau-surau di Hulu Langat. Moderator bagi sesi sidang pleno ini dikendalikan oleh Dr. Mohamad Sabri Haron, Profesor Madya dari Pusat Pengajian Umum UKM.


Bengkel yang diadakan secara ekslusif dengan jemputan secara khusus ini mendapat sambutan di luar dugaan. Peserta-peserta, termasuk ada wakil dari wanita memenuhi ruang bengkel dan penyertaan mereka berterusan sehingga ke sesi petang. Sudah tentulah, walaupun bengkel bertujuan mendapat cadangan dan saranan bagi kegiatan Masjid Al-Umm, pihak surau-surau turut sama mengambil manfaat dari berbagai cadangan yang dikemukakan oleh peserta-peserta.


Dengan benkel yang diadakan ini banyak cadangan yang dapat disifatkan sebagai bernas dikemukakan  oleh peserta-peserta yang akan dijadikan dokumen dan panduan di dalam mengisi kegiatan-kegiatan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment