September 29, 2014

Memulai Kerja Tapak, Menentukan Arah Kiblat Dan Penerimaan Dana


BBB,  03 Zulhijjah 1435 = 28 September 2014 (Ahad):
Menjelang dan bermula dengan tahun 2013 adalah tarikh penting bagi pembinaan fizikal bagi Masjid Al-Umm. Sebagaimana telah disebutkan bahawa pada 10 Disember 2013 ialah tarikh penyerahan dan pemilikan tapak bagi Kontrektor Tekad Nusantara Sdn. Bhd. Bererti dari hari ini dikira mula kerja dan `count down`  kerja keseluruhan. Kerja awal bagi kawasan tapak masjid yang telah sedia berpagar dengan zink biru sebelum daripada tender dibuka ialah karja tanah.
Sementara itu, sebelum daripada tender dikeluarkan, pihak AJK telah menghubungi pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi penentuan arah Kiblat. Kerja-kerja penentuan arah Kiblat ini adalah diswastakan oleh Jabatan Mufti kepada syarikat syarikat penentuan arah Kiblat yang berdaftar dengan Jabatan Mufti. Pihak AJK Pembinaan menerima maklumat dari Jabatan Mufti negeri Selangor bahawa  tarikh penentuan arah Kiblat ialah pada Khamis  02 Januari 2014. Semasa AJK berkunjung ke rumah Penaung AJK Pembinaan Masjid Al-Umm TG Dato` Dr. Haron Din pada 16 Disember 2013 pihak AJK Pembinaan menjemput TG Dato` Dr. Haron Din untuk membaca doa selamat dan seterusnya Merasmikan Penetapan Arah Kiblat. Al-hamdulillah  TG berkelapangan pada hari itu.
Jadi serentak dengan kerja tapak turut disediakan tapak bagi penentuan arah Kiblat. Permulaan kerja tanah, ialah meratakan kawasan tapak Masjid Al-Umm yang pada asalnya kelihatan tidak rata, iaitu meratakan tanah pada bahagian masuk dari hadapan yang lebih tinggi ke bahagian sebelah kiri yang lebih rendah yang pada asalnya dijangka perlu dibawa tanah dari luar, tetapi dengan pembinaan masjid tiga tingkat tidak  diperlukan tanah dari luar. Tanah juga perlu ditolak ke bahagian sebelah kiri berhampiran dengan rumah semi D yang lama yang pada bahagian ini juga adalah rendah. Proses kerja tanah juga ialah memindahkan tanah pada bahagian hadapan tapak masjid berhampiran dengan jalan bersebelah Medan Usahawan ke tapak parkir di kawasan parkir di bawah talian letrik bersebelah sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan di belakang perumahan rumah teres Seksyen Dua, Bandar Baru Bangi. Pemindahan ini melibatkan lebih kurang 2.000 muatan lori.
Pada hari perasmian penetapan Arah kiblat, tapak kelihatan sebahagian besar telah diratakan, sedang pada bahagian untuk level bawah tanah adalah rendah dan tidak diratakan – kerana ianya perlu dikorek sebagai level bawah tanah.
Sebuah khemah adalah didirikan pada bahagian tapak bagi Majlis Perasmian antara 9.00 hingga 1030 pagi  yang bermula dengan Do`a Selamat. Tamu yang hadir ialah AJK Pembinaan  Masjid Al-Umm, Nazir Masjid Al-Hasanah,  Pengerusi-pengerusi dan wakil-wakil surau. Persatuan Penduduk,  tenaga kerja yang melalkukan ukuran dan pihak kontrektor dan arkitek. Selepas upacara doa TG Penaung Masjid Al-Umm merasmikan penentuan arah Kiblat yang keputusannya ialah berukuran:
Latitude   02 darjah   56 minit   40 saat
Longitude 101 darjah  46 minit   15 saat
Arah Kiblat     292 darjah   36 minit  58 saat
Tarikh pengesahan ialah 2 Januari 2014
Diperakukan oleh  Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor
Tarikh  3 Januari 2014
Surat dari Jabatan Mufti   6 Rabiul Awal 1435 bersamaan 8 Januari 2014..
Berikut dari perasmian semasa minum bersama TG Dato` Dr. Haron Din, dan bercakap khususnya berhubung dengan dana yang ada, iaitu hanya RM2.5 juta, TG berjanji untuk mendapatkan derma RM1.5 juta  dalam tempoh seminggu. Walau bagaimana belum sempat seminggu TG menghubungi pihak AJK Pembinaan untuk datang ke rumah beliau pada 4 Januari 2014. Jumlah derma yang disumbangkan oleh TG melebihi dari yang dijanjikan, iaitu berjumlah RM1.52 juta. Melalui jasa baik dan usaha TG juga Masjid Al-Umm menerima derma melalui Yang Amat Mulia Tan Sri Dato` Seri Syed Anwar Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor pada 24 April 2014 derma berjumlah sebanyak RM1.8 juta.  Kedua-dua derma merupakan jumlah terbesar diterima oleh Masjid Al-Umm. Terima kasih dan jazakum Allah khairan kathiran.
Dengan penerimaan sumbangan-sumbangan derma di atas bersama dengan derma orang ramai memberi  kelegaan kepada AJK Pembinaan menguruskan pembinaan Masjid Al-Umm.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment