September 5, 2014

Kubah: Paling Lama Dibincang Mencari Bentuk Paling Berkenan


BBB,  09 Zulkaedah 1435 = 4 September 2014 (Khamis):
Kubah menjadi salah satu bentuk ciri masjid dan kubah juga merupakan ciri estetika yang  mengindahkan senibina  masjid yang mencirikan elemen estika rohaniah dan takmilah. Kubah boleh dibaratkan sebagai mahkota bagi masjid. Kubah biasanya dipasang sesudah sempurnanya binaan. Kedudukannya pula di atas pada posisi paling tengah dan di tengah pula pada lantai utama bagi jamaah.
Kubah sebenarnya bukan satu kemestian bagi sesebuah masjid  atau surau, tetapi kubah sudah menjadi budaya bagi seni bina masjid. Kubah digunakan di Masjid al-Aqsa Baitul Maqdis,  Masjid Nabawi di Madinah (Kubah Hijau), bahkan kubah-kubah kecil digunakan di Masjidil Haram, Makkah,  lantaran itu ianya turut digunakan di masjid-masjid dan surau-surau.
Apakah istimewanya kubah ?


Kubah dengan bentuknya yang bulat adalah melambangkan kesempurnaan. Dari segi geometri  ianya 360 darjah sempurna. Banyak fenomena alam yang berbentuk bulat dari bumi, bulan, matahari dan planet-planet yang lain. Dengan bentuk bulat melambangkan ketangkasan dan kelicinan. Contoh bumi dan bulan yang bulat beredar dengan mudah. Dengan bulat pergerakan betul, seimbang  dan teratur contoh tayar yang dengan bentuk bulatnya bergerak secara teratur yang boleh laju dan perlahan. Oleh kerana bulat bentuk sempurna, maka banyak bentuk-bentuk bulat di masjid  digunakan bagi melambangkan kesempurnaan Yang Maha Sempurna seperti, tiang, menara, mihrab, khususnya kubah.
Bentuk kubah bagi  Masjid Al-Umm amat diberi perhatian oleh AJK-Ajk Masjid Al-Umm, bahkan kubah yang patut dipasang terakhir, iaitu selepas masjid siap ini, dibincangkan sejak awal sebelum pembinaan fizikal masjid. Perbincangan dimaksudkan bukan setakat di kalangan AJK, tetapi melibatkan syarikat-syarikat yang berpengalaman membina kubah-kubah masjid.
Antara Syarikat terawal yang menawarkan kepakaran membina kubah ialahSyarikat Aktif Aluminium Sdn. Bhd. dengan anak syarikatnya (membina kubah) Tri-Arch Sdn. Bhd membentangkan bentuk-bentuk kubah yag direka ciptanya pada 11 September 2013. Syarikat ini dipanggil interview pada 6.5.2014 dan datang dengan proposal  lebih kemas  dengan contoh-contoh kubah yang pernah dibina seperti Kubah Masjid Kg. Likas, Sabah, Kubah Bangunan Sapura Seri Kembangan, Masjid Batu 4, Gombak, Masjid Sultan Ahmad Kuantan dan Masjid Universiti Tenaga Nasional Bangi. Pihak AJK berminat dengan kepakaran dan pengalaman luas syarikat ini di dalam membina Kubah dan memanggilnya berbincang sekali lagi pada 14.5.2014.Turut diinterview pada 6.5.2014 ialah Syarikat  Kubah Anum dari Setapak yang juga turut dipanggil bagi perbincangan lanjutan pada 14.5.2014. Turut datang membentangkan proposal bagi kali pertama pada 14.5.2014 ialah Syarikat TA Decke Sdn. Bhd. Subang. Setiap syarikat membentangkan bentuk kubah yang dicadang, material yang digunakan dan bagaimana kubah dibina, juga komponen bagi kubah. Misalnya lapisan, bentuk bingkai dan kaedah cantuman dan pemasangan. Walaupun ada cadangan yang menarik, pihak AJK tidak membuat sebarang komitmen bagi memilih syarikat-syarikat di atas dan masih dalam tahap mencari dan membanding dari segi kualiti, termasuk harga.


Mutakhir, iaitu pada 28.8.2014 sebuah syarikat bernama Majleza Aluminium Sdn. Bhd. dari Johor Bharu datang membentangkan proposal secara praktikal dengan mencontohi Kubah Masjid Sultan Qabus, Oman. Walau bagaimana AJK Pembinaan tidak mau peniruan 100% bentuk kubah mana-mana masjid dan maukan kubah Masjid Al-Umm mempunyai ciri dan bentuknya yang tersendiri. Berbagai bentuk bulat dibincangkan antaranya bulat delima, bulat epal, bulat limau dan bulat bujur telur. Antara yang dipilih dari tiga contoh yang dibuat, ialah pemilihan bentuk bulat bujur separuh telur dengan struktur berkerawang dan mempunyai lapisan tiga lapis. Adalah dicadangkan pada kubah ini mempunyai cahaya api yang mengeluarkan cahaya keemasan, lantaran kubah dicadangkan berwarna keemasan. Pihak AJK juga maukan lambang Masjid dipuncak kubah sebagai tunjuk langit dan ianya hendaklah dilakar secara estetik dan mempunyai cahaya yang dengannya secara bergurau kami katakan menjadi masjid ini sebagai `Masjid Al-Umm al-Munawwarah`. Bersetuju di atas perbincangan ini syarkat  Majleza meminta tempoh seminggu untuk  merangka design Kubah sebagaimana dibincangkan. Tetapi belum cukup seminggu, ialah selepas 5 hari (pada 2.9.2014) pihak Syarikat Majleza datang membentangkan kubah yang dipadankan dengan Masjid Al-Umm. Walau bagaimana pihak AJK tidak berpuashati dengan kubah yang dicadangkan, terutama dari segi lambing Masjid Al-Umm pada tunjuk langit sebagai – maaf  `reba atau ranting kayu` dan `penyangkut baju` yang jauh dari bersifat estetik. Kami mencadangkan syarikat merangkakan bentuk yang lebih menarik dan memuaskan. Syarikat ini turut membentangkan `konsep menara` Masjid Al-Umm.  Pihak AJK masih tidak membuat sebarang komitmen. Kami dapati belum ada yang dapat menawarkan bentuk bersama lambang Masjid Al-Umm yang memenuhi ciri estetika selayaknya bagi Masjid Al-Umm.

Sekian.

No comments:

Post a Comment