January 4, 2010

Hadir Meraikan Pengerusi Persatuan Pondok Kelantan

Bandar Bukit Mahkota, BBB, 16 Muharram = 01 Januari (Jumaat)

~Al-Fadhil Dr. Luqman bin Abdullah~

Maghrib hari ini ADUN berada di Surau al-Raudah, Bandar Bukit Mahkota, Bangi bagi meraikan Al-Fadhil Dr. Luqman bin Abdullah. Beliau adalah Pensyarah di Jabatan Usuluddin di Akademi Islam, Universiti Malaya. Beliau dijemput oleh Pengerusi Surau, Ustaz Awang bagi menyampaikan ceramah berhubung dengan Hijrah al-Rasul. Selepas sembahyang maghrib dan sebelum majlis bermula, ADUN berbual ringkas dengan Dr. Luqman yang ADUN dimaklumkan bahawa beliau adalah anak Tuan Guru Pondok Haji Abdullah Lubuk Tapah di Kelantan, iaitu sebuah pondok terkenal di Kelantan seperti pondok-pondok Pasir Tumbuh dan Sungai Durian. ADUN dimaklumkan bahawa Dr. Luqman kini bukan saja mentadbir Pondok Lubuk Tapah selepas ayah beliau meninggal, tetapi juga dilantik sebagai Pengerusi Persatuan-Persatuan Pondok di Negeri Kelantan. ADUN bertanya,
"Kini berapa jumlah pondok di dalam persatuan ?"
"Ada 14 buah," jawab Dr. Luqman. Menurutnya ada lagi sejumlah pondok yang tidak menyertai persatuan. ADUN bertanya, "Bagaimana menjalankan pentadbiran, sedangkan bertugas mengajar di KL?"
"Berulang dari Bangi hujung-hujung minggu," katanya. Dr. Luqman tinggal di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Beliau memilih tinggal di BBB, kerana suasana BBB yang hidup dengan budaya ilmu. Bukan beliau saja, beberapa keluarganya yang lain turut tinggal di BBB.
Berhubung dengan persatuan Pengajian Pondok di Kelantan ini, ADUN pernah menghadiri kegiatan persatuan di Pondok Pasir Tumbuh, semasa menjadi Pensyarah di UKM sekitar 1980an dan kemudian pernah dijemput membentangkan kertas kerja berhubung Kitab Hikam di Dewan Seminar di Lundang yang juga dianjur oleh Persatuan Pondok Kelantan.
ADUN bertanya, "Bagaimana dengan Pondok Moden di Kelantan masih berfungsi ?"
"Masih bergiat, tetapi pondok diletak di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri," kata Dr. Luqman.


Semasa menjadi pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, seorang pelajar ADUN dari Kelantan pernah membuat Latihan Ilmiah berhubung dengan Pondok Moden tersebut, iaitu pada peringkat permulaan Pondok Moden ini ditubuhkan. Menurut Dr, Luqman, hanya sebuah pondok moden ini saja dan tak ditambah selepas itu. Sebelum Dr Luqman berceramah ADUN diminta oleh pihak surau menyampaikan ucapan alu-aluan.

No comments:

Post a Comment