January 6, 2010

YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Berfikir Dengan Angka

Bandar Kajang, 18 Muharram = 03 Januari (Ahad):

8.30 malam saya sudah tiba di Stadium Kajang atas jemputan YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat bagi pihak YDP Pas Hulu Langat Tuan Haji Razali Hassan dan menyertai pemimpin Pas Hulu Langat menyambut ketibaan YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor jam 9.00 malam bagi merasmikan Majlis Penutup Karnival Rakyat di Stadium Kajang. Pas Hulu Langat menyambut Jubli Perak penubuhan Pas Hulu Langat (dikira dari tarikh pendaftaran 1985. Penubuhan sejak 1972). Antara program sambutan ialah mengadakan Karnival Rakyat yang diadakan sejak 25 Disember 2009 dan berterusan ke hari ini. Menyertai majlis-majlis yang dianjurkan oleh pihak Pas Hulu Langat bagi diri saya, tidaklah asing, bahkan saya masih merasakan sebagai keluarga sekawasan, kerana sebelum berpindah ke Dun Bangi dan Kawasan Serdang, saya pernah menjadi ADUN Kajang (1999-2004) di bawah Hulu Langat dan pernah memimpin PAS Hulu Langat. Al-hamdulillah pada malam ini hujan tidak turun sebagaimana pada malam-malam sebelumnya dan cuaca baik.


Ketibaan YAB Menteri Besar dapat disambut dengan selesa dan saya dijemput bersama menyambut dan mengiringi YAB yang terus dibawa melawat ke Ekspo perusahaan yang dipamerkan di gerai-gerai di bawah khemah-khemah mengelilingi padang yang terdiiri dari lebih kurang 30 khemah. YAB Menteri Besar sebagai Bekas Peneraju Syarikat Koporat Antarabangsa, iaiitu Guthrie dan juga Pemaju Hartanah tidaklah asing mendepani pengusaha-pengusaha dan peniaga-peniaga, kerana bidang berkenaan menjadi darah daging baginya dan orientasi membuat perkiraan dan calculate secara cepat, tetapi tepat tentang sesuatu bidang biasa dilakukan secara congak dan spontan. Ini terbukti semasa berdepan dengan peniaga air skrim potong (cara tradisi) beliau tidak bertanya tentang sedap atau tidak, sebaliknya bertanya tentang berapa potong bagi sebatang dan harga sepotong dan berapa batang dihasilkan sehari dan bertanya modal, lantas beliau membuat perkiraan cara congak dan dapat memberi jumlah pendapatan dari jualan dan keuntungan. Perkiraan beliau diakui tepat oleh peniaga.


Pertanyaan tentang modal bagi bahan dibeli juga ditanya bagi menghasilkan kuih yang dijual oleh penjual kuih di gerai di bawah khemah yang lain. Beliau juga membuat perkiraan dari segi modal dan keuntungan yang didapat jika jualan dapat dihabiskan. Saya juga mengiringinya YAB ke gerai khemah penghasilan air mineral. Beliau juga mengira dari segi proses penghasilan hingga meningkat kepada tahap yang bermutu dan cost penghasilan. Menurutnya air mineral tidak boleh dijual melebihi dari RM2.00 sebotol jika harga sampai RM5.00 tidak ada pengguna mau membelinya. Kita kena lihat dari segi praktikal, antara penawaran dan kewajaran di samping kos pengeluaran..

Semasa berucap bagi merasmikan upacara penutup Karnival beliau juga menampil perkiraan angka-angka dan pasaran. Jika satu keluaran yang kita pasarkan berharga RM3.00 dan dapat dipasarkan kepada 1 juta pengguna maka pendapatan jualan adalah RM3 juta, iaitu satu jumlah yang besar.Berniaga selain dari pengeluaran mesti mengambil kira tentang pasaran dan kaedah pemasaran. Beliau juga menerangkan tentang modal, keuntungan kasar dan keuntungan bersih. Menurutnya di dalam perusahaan dan perniagaan mesti ada disiplin dan perlu ada akaun. Bagi strategi pemasaran beliau mengingatkan supaya diberi perhatian kepada empat (4P), iaitu Produk mesti bermutu, Promosi mesti dilakukan, Packaging mesti cantik dan Presenting mesti menarik. Perusahaan juga memerlukan masa, ketekunan dan komunikasi yang baik. Berniaga tidak boleh hanya bila ada karnival sahaja berniaga, kemudian berhenti. Pengusaha atau peniaga sungguhpun bertujuan mencari wang, tetapi dari satu aspek dia tidak boleh terlampau lokek. Mereka perlu membuat kebajikan. Membuat kebajikan tidak merugikan, sebaliknya ianya juga berperanan bagi promosi, membanyak pelanggan dan meningkatkan jualan. Apabila promosi bertambah, jenama terkenal, maka jualan akan bertambah dan pendapatan juga akan meningkat.


YAB memberi contoh jenama Sate Kajang yang sudah terkenal, ianya menjadi tarikan pengguna membelinya ditambah dengan mutunya yang baik, maka jualannya bertambah dan keuntungan bertambah. Tetapi menurut Tan Sri Khalid, kita tidak mau hanya satu jenama, iaitu sate saja terkenal dan maju, tetapi penghasilan dari perusahaan yang lain juga, kita mau perkenal dan terkenal bukan saja pada peringkat tempatan, tetapi peringkat nasional dan antarabangsa contoh pengeluaran kereta proton.

Sifat YAB yang sering bercakap dan berfikir dengan angka tidaklah terhad kepada majlis-majlis yang ada hubungan dengan perniagaan semata-mata, tetapi di mana saja tempat yang bersesuaian. Misalnya di dalam ucapan-ucapan dan jawapan-jawapan di dalam Dewan Undangan Negeri juga beliau suka menampilkan ucapan, perbahasan dan jawapan-jawapan yang berasaskan angka-angka. Misalnya perbahasan mengenai penswastaan dan pengambilan alih syarikat air. Beliau menerangkan secara perangkaan dari segi kebaikan dan keuntungan jika diambilalih oleh pihak kerajaan negeri. Beliau mengira dari segi beban jika ditawarkan untuk membayar dengan harga 9 bilion, kewajaran jika 7 billion. Beliau juga membuat perkiraan secara congat kemungkinan pendapatan bagi Kerajaan Negeri dari segi penjualan pasir jika perjalanannya dikendalikan dengan betul. Begitulah dengan perkiraan yang lain yang melibatkan perangkaan dapat diterangkan oleh beliau dengan detail dan jelas. Sesungguhnya sifat YAB yang berfikir dengan angka dan prehatin dengan bidang ekonomi, memberi keuntungan kepada negeri Selangor maju dalam bidang ekonomi dan perindustrian sebagaimana sedang terlaksana sekarang.

Sesungguhnya hujah dan bukti secara angka adalah fakta yang tepat. Membahaskan sesuatu dengan pembuktian secara angka adalah mencerminkan tingkat rasional yang tinggi, tidak ragu dan meyakinkan. Sebab itu orang yang berhujah dengan angka adalah orang yang rasional dan betul. Dari segi falsafah, kemampuan menggunakan angka adalah kemampuan manusia berakal membuktikan sesuatu yang bersifat konsepsi dan bukan benda dapat dibuktikan kebenaran. Ini bererti kebenaran bukan semata-mata pada perkara yang nampak dengan panca indera mata, tetapi kebenaran juga pada sesuatu konsepi dan juga yang ghaib dan dapat dibuktikan secara rasional.


Sebelum daripada YAB Menteri Besar menutup Karnival Rakyat, YB Dr, Che Rusli berucap menerangkan tujuan diadakan karnival, iaitu bagi menggalakkan pengusaha-pengusaha kecil berniaga, mempromosikan barang halal dan menggalakkan pengedaran melalui konsortium, contoh melalui Pasar Raya Pak Aji (Haji Hishamuddin) yang dipromosikan di dalam karnival perniagaan dan perusahaan di sini.yang mana, barang-barang berpotensi dapat diexportkan melalui consortium ini. Beliau juga bercakap tentang perniagaan secara koperasi berdasarkan pengalamannya memimpin koperasi Unikeb (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang kini mempunyai empat pasar mini.


Selepas perasmian dilakukan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Menteri Besar dan beliau beredar pulang, Pidato Perdana bermula. Penonton yang memenuhi padang masih menunggu. Ceramah bagai kempen pilihanraya. Penceramah-penceramah yang mengambil bahagian (menurut seturut dijemput ke pentas) ialah Cikgu Badrul Hisham Baharuddin dari bahagian penerangan Pakatan Rakyat, ADUN Bangi, YB Gobala Krishnan Ahli Parliman Bagan Serai juga dari Keadilan Rakyat dan dipuncaki ucapan oleh Ustaz Idris Ahmad, Ahli Majlis Tertinggi Pas yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat. Mereka bercakap mengenai isu-isu semasa termasuklah mengenai kenaikan gula, kehilangan engine jet, merakyatkan ekonomi di negeri Selangor, masalah rasuah dan sebagainya. Penonton nampaknya terhibur setelah lama tidak mendengar ucapan-ucapan yang bersifat ala pilihanraya.

1 comment:

  1. patutu lah selangor hanyut kira main congak-congak je. banyak guna angka sebab senang kelentong, sebab orang malas nak kira.cakap guna fakta lagi tepat. shafie lu sudah tak le fikirke

    ReplyDelete