January 11, 2010

Sederhana: Antara Adanya Kemudahan dan Mudahnya Kehidupan

Shah Alam, 24 Muharram = 10 Januari (Ahad):

Barangkali itulah hikmah dan baiknya perjuangan bermulanya dengan susah dan melalui pelbagai ujian. Pas bermula, baik di Malaysia mahupun di Selangor dalam keadaan dagang. Dengan memfokuskan kepada negeri Selangor, sesuai dengan perhimpunan peringkat Pusat bagi menerima Taklimat Isu-Isu Semasa yang diadakan di MBSA, Shah Alam, Selangor, mengimbau Pas pada peringkat permulaan penubuhannya di Selangor sukar mendapat tempat dan sokongan rakyat. Sehingga 1980an bila Pas bertanding dalam pilihanraya di Selangor jangankan untuk menang, tetapi seolah-olah berjuang antara hilang deposit atau tidak. Namun pemimpin seperti Ustaz Hassan Shukri dan pendukung-pendukung bersamanya tetap gigih. Mereka berkorban tenaga dan wang ringgit mengembangkan parti di dalam keadaan daif.

Sebagai contoh Pas Hulu Langat ditubuhkan pada 1972, sebelum menikmati kemenangan (1999), selama 27 tahun pendukungnya berjuang menubuh cawangan, menambah ahli, mengadakan kegiatan usrah, menambah ilmu, mengukuhkan akidah dan mengeratkan ukhuwwah. Mereka bergerak secara berjamaah. Cekal menghadapi tekanan dari pihak pemerintah dan jabatan-jabatan. Sumber kewangan adalah dari derma ahli dan orang ramai melalui majlis-majlis pertemuan dan ceramah. Mereka menyebarkan pengaruh dan kekuatan melalui usrah, majlis ilmu, kegiatan-kegiatan ibadat dan ceramah. Mereka amat sederhana dari segi penampilan, beramai-ramai mengeluarkan peruntukan bagi menyewa pejabat, amanah di dalam pengurusan, tidak cerewet dari segi kehidupan dan menjadi kebiasaan makan nasi bungkus dalam perhimpunan.

~Hadirin yang hadir memenuhi Dewan MBSA, Shah Alam~

Demikianlah dengan berpegang teguh pada tali Allah, perkukuh dari segi jamaah dan mengerat hubungan dengan usrah, pada masa Pas di bawah pimpinan Presidennya – YB Ustaz Fadhil Nor dan Setiausaha Agung Ustaz Hassan Shukri yang juga selaku Pesuruhjaya Pas Selangor Allah kurnia kemenangan bagi Pas di Selangor sebanyak 5 kerusi pada pilihanraya 1999 dan bagi pilihanraya 2008 pada masa Pas di bawah pimpinan Presiden YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha YB Dato' Kamaruddin Jaafar dengan YB Dato' Dr. Hasan Ali sebagai Pesuruhjaya Pas memenangi 8 kerusi negeri. Satu yang membanggakan sifat sederhana dan amanah pendukung-pendukung tetap berterusan. Walaupun mereka sudah mempunyai sedikit kuasa pada peringkat negeri dan Negara serta mempunyai kemudahan-kemudahan, mereka tetap kekal bersifat sederhana dan amanah sehingga mereka mendapat kepercayaan yang tinggi dari masyarakat. Contoh Khalifah al-Rashidin Amirul Mukminin Sayyiduna Umar Ibn al-Khattab dengan sifat sederhana dan adilnya.

~Semasa bersarapan pagi~


~YB Taib Azamudin juga turut beratur untuk mengambil makanan~


~Semua hadirin duduk bersila menikmati hidangan tengahari~


~AF Ustaz Idris Ahmad juga tidak ketinggalan makan bersama-sama hadirin lain~

Pada hari ini semasa berlangsungnya Taklimat Isu-Isu Semasa di Bangunan MBSA, penulis tersentuh melihat sifat kesederhanaan yang berterusan dalam mana semua pihak, termasuk pemimpin-pemimpin berbaris menurut giliran mengambil nasi campur di dalam sebuah pinggan polistrin dan segelas air polistrin dan kemudian duduk di atas lantai beramai-ramai makan tengahari sebelum menunaikan fardu Zohor dan menyambung taklimat ke petangnya. Seseorang tidak akan hilang kewibawaannya dengan bersederhana.

No comments:

Post a Comment