January 5, 2010

Hijrah dan Jihad Berkait Rapat - YB Ustaz Nasharuddin

Waqaf Seksyen 7 BBB, 17 Muharram = 2 Januari (Sabtu):

Hijrah & Jihad mempunyai kaitan yang rapat, kerana Hijrah adalah perjuangan menegakkan Islam, sebab itu Hijrah adalah Jihad. Demikian kata YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa Timbalan Presiden Pas dalam ceramahnya antara selepas sembahyang Maghrib hingga sembahyang Isyak di Waqaf (ala surau) di Seksyen 7, BBB yang dihadiri penduduk taman setempat dan sebahagian ahli-ahli Pas Serdang memenuhi Waqaf. ADUN Bangi hadir sebagai Tuan Rumah yang dimaklumkan oleh Ustaz Shafie Ngah sebagai Timbalan Pengerusi Waqaf dan juga selaku Timbalan YDP Pas Serdang.

Sebagai memperkukuhkan hujah dan perbincangan beliau merujuk kepada teks panduan, berjudul Fiqh al- Jihad, 2 jilid, iaitu karangan al-Allamah Sheikh Yusof al-Qaradhawi Tokoh Hijrah yang dikurniai pengiktirafan baru-baru ini yang juga merupakan Presiden Ulama Sedunia. Tokoh terkenal ini menghasilkan setakat ini sejumlah 150 buku.

YB Ustaz Nasharuddin memetik dari kitab Fiqh al- Jihad berbahasa Arab tersebut ungkapan Hijrah yang bersifat aplikasi, iaitu "Penghijrah ialah yang berhijrah dari apa yang dilarang Allah daripadanya". Hijrah di sini adalah merupakan jihad yang beliau juga petik ungkapan yang berhubung dengan jihad iaitu, "Mujahid (Yang berjihad) ialah orang yang berjuang menentang kebatilan bagi berhijrah kepada kebenaran".

Semasa beliau membuat penerangan, beberapa kali beliau diganggu mesej-mesej yang menuntut beliau memberi jawapan segera dari pemberita-pemberita mengenai pendapat beliau tentang menggunakan perkataan Allah yang dibenarkan oleh Mahkamah kepada The Herald sebuah Majalah Kristian Katholik. Lantaran itu beliau mengaitkan juga dalam ceramahnya berhubung dengan isu menggunakan kalimah Allah itu. Menurut beliau, beliau tidak mau melihatnya dari segi politik, bahkan menuntut yang lain juga melihatnya dari segi akidah. Penggunaan secara tidak betul membawa implikasi kepada akidah yang bercanggah yang bagi Islam melihatnya murni dari segi falsafah tauhid, sedang kalau menggunakan istilah Allah misalnya di dalam agama Kristian boleh merosak dan mengelirukan antaranya terbawa dengan pandangan Trinity dan sebagainya.

YB Ustaz Nasharuddin menampilkan Hijrah & Jihad berkaitan dengan komitmennya sebagai pendukung dan pejuang politik Islam. Beliau memetik:

"Bahawasanya Hijrah ialah menggabungkan diri dengan Jamaah orang-orang Islam (Muslimin) bagi menegakkan Islam. Tugas ini merupakan kewajipan fardu di atas setiap orang Islam menurut kemampuannya,"

Beliau mengambil contoh jihad dari segi pemudanya seperti Saidina Ali menjelang Rasulullah berhijrah dengan berperanan menggantikan Rasulullah di tempat tidurnya bagi mengelirukan kuffar Makkah yang mengepung Rasulullah. Begitu pula dari segi pemudinya dengan mengambil contoh Asma` binti Abu Bakar yang berulang tiga hari berturut-turut menghantarkan bekalan makanan kepada Rasulullah dan bapanya Abu Bakar yang berlindung di Gua Thur dalam rangka strategi berhijrah ke Yathrib (Madinah).

Contoh semasa jihad secara jamaah ialah perjuangan dan strategi Hamas menentang Zionis dan perjuangan menegakkan Islam di mana-mana jua. Di dalam perjuangan, termasuk jua gerakan yang bersifat politik, hendaklah sentiasa berpandu berdasarkan nusus (nas al-Quran dan Hadith) dan jangan cari maslahah dulu, kemudian guna nusus bagi kepentingan tertentu termasuk politik. Dalam hal ini YB Ustaz Nasharuddin menyebut sebuah karya khusus al-Qaradhawi berkenaan dengan Nusus iaitu Figh al-Nusus.

Merujuk kembali kepada jihad, bahawa perjuangan menegakkan Islam ialah jihad secara jamaah dan jangan jadi mereka yang al-mutafarrijin – bersendirian. Beliau juga merujuk kepada pendapat al-Qaradhawi yang menyatakan jihad mempunyai keperluan dan martabat ( 15 semuanya), beliau menyentuh antaranya jihad al-nafs (menentang nafsu), jihad dari segi amal setelah berilmu, jihad dari segi dakwah, jihad terhadap kezaliman, jihad dari segi harta dan jiwa dan lain-lain. Antara fungsi jihad dan hijrah ialah meletakkan umat Islam pada paksi landasan yang ditegaskan oleh Allah:
"Kamu adalah sebaik-baik umat diwujudkan bagi kalangan manusia. Kamu menyuruh manusia berbuat perkara maaruf dan menegah dari melakukan kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah (Aali Imran, 3:110)"

No comments:

Post a Comment