January 28, 2010

Kerjaya Kewartawanan Ada Glamour ?

KUIS, 09 Safar = 25 Januari (Isnin):

Menjadi pembaca atau penyampai berita di saluran tv yang wajah terpampang dan ditontoni khalayak seluruh dunia, demikian mengendalikan program-program siaran yang menampilkan wajah pengendali atau membaca berita dicorong-corong radio sehingga melalui suara dikenali dan terkenal tentulah menjadi idaman bagi mereka yang meminati bidang penyiaran. Mereka yang ditampilkan di media dari segi lelakinya kelihatan segak tampan bergaya dan yang perempuannya pula cantik dan menarik pula. Lantaran itu bidang penyiaran menjadi buruan bagi yang bercita-cita berkerjaya sedemikian yang statusnya mendekati bintang-bintang. Benarkah kerja kewartawanan penyiaran itu glamour atau adalah fatamorgana ?


Ada benarnya bidang Kewartawanan Penyiaran atau sekurang-kurangnya bekerja di dalam lapangan yang berkait dengan media menjadi rebutan. Sebagai bukti di pusat-pusat pengajian tinggi fakulti atau jabatan komunikasi yang menawarkan kursus berhubung dengan media dan kewartawanan adalah antara fakulti dan jabatan yang tinggi dengan permohonan. Kebiasaan permohonan melebihi jumlah pelajar yang diperlukan dan terpaksa ditolak. Sebagai contoh Kolej Universiti Islam Antarabangsa yang terletak di DUN Bangi, merupakan salah sebuah pengajian tinggi yang banyak terdapat di Bangi ini yang juga menawarkan Kursus Komunikasi dan Kewartawanan. Jabatan berkenaan juga merupakan jabatan yang popular di KUIS. Selain dari menghadiri kelas, tutorial dan praktikal, pelajar didedahkan dengan pengalaman mereka yang berada di dalam lapangan kerjaya bagi mendekatkan pelajar-pelajar kepada realiti kerjaya berkenaan.


Bagi tujuan berkenaan, maka pihak Jabatan Komunikasi KUIS dengan tenaga penggerak dan pelajar-pelajar menganjurkan forum Kewartawanan Siaran dengan ahli panel yang dijemput ialah En. Nazam Yusuf selaku Penolong Pengurus Editor Berita Bernama TV yang merupakan lulusan UITM dari School of Mass Communication –Majoring in Advertising dan panel kedua ialah Encik Ashwad Ismail, selaku Penyampai Berita dan Wartawan Penyiaran Astro Awani, berkelulusan Malaysia Institute of Integrative Media (MIM/Akademi TV3). Moderator forum ialah Puan Rahmatunnisa' Pensyarah Jabatan Komunikasi KUIS.

~En. Nazam Yusuf ketika membentangkan pengalamannya~

Pengalaman mereka berdua cukup membantu kepada pelajar yang hadir memenuhi dewan mengenai realiti kerjaya kewartawanan media. Menurut Sdr. Nazam apa yang dianggap glamour bila wajah keluar dikaca tv, bukan glamour, tetapi metos, realitinya merupakan satu exposure bersifat lime light. Kalau seorang itu menarik atau cantik, tetapi tidak mempunyai daya fikiran dan tidak fit, dia ibarat kembang bunga yang punya daya tarikan sementara dan kuncup. Pembaca berita lain dari wartawan penyiaran. Pembaca sebagai alat bagi menyampaikan maklumat. Manakala wartawan penyiaran adalah orang yang bergelumang dengan peristiwa dan maklumat. Tentulah wartawan penyiaran lebih intim dan menghayati akar umbi persoalan dan penyampaiannya penuh penghayatan dan hidup beserta dengan wajah dan body languagenya. Wartawan penyiaran kadang kala dituntut menghadapi kecekalan seperti berdepan dan melaporkan peristiwa banjir, tanah runtuh, gempa dan peperangan. Dalam keadaan cemas dan terdesak hidupnya turut sama dalam keadaan cemas, pakaian mungkin tak terurus, makan minum dan tidur tak tentu. Dia berada dan menurut rentak suasana. Ini antara tuntutan wartawan penyiaran yang pada hakikatnya kemanisan. Suasana sedemikian memberi impak dan sanjungan oleh khalayak yang menilai apakah dia wartawan penyiaran sebenar atau sebaliknya. Wartawan penyiaran juga menuntut keberanian bila berdepan dengan tokoh-tokoh besar diminta diinterview dan sebagainya dengan demikian memperlihatkan kewibawaan seorang wartawan atau sebaliknya.

~Encik Ashwad Ismail (Jambu) sedang menyampaikan slotnya~

Saudara panel kedua sebagai penyampai berita dan wartawan penyiaran mempunyai daya penarik dari segi ketampanan yang merupakan asset yang penting bagi penampilan di tengah khalayak dan di kaca TV. Menurut Saudara Ashwad, beliau sendiri semasa pergi membuat liputan tentang gempa di Padang sebulan yang lepas, beliau lebih dikenali dengan panggilan 'Jambu' dari namanya Ashwad. Reaksi pelajar dalam majlis terhadap beliau, terutamanya pelajar perempuan agak ketara dari segi respond terhadap beliau. Saudara Ashwad, dianggap mempunyai gaya penyampaian berita tersendiri dengan cara lebih relex dan beserta gerak dan body languagenya. Menurut Saudara Ashwad beliau menceburi bidang penyiaran kerana minat. Bila kita berminat kita seronok bekerja dan memberi tumpuan penuh. Beliau tak kisah tidak mendapat cuti pada hari-harikebesaran dan terpaksa bekerja dan tidak mengira masa jika diperlukan. Beliau mengingatkan bekerja sebagai Wartawan Penyiaran perlu menjaga, mengejar dan menepati masa atau dateline, terutama bila sesuatu berita hendak dikeluarkan. Di dalam hal ini kita perlu lebih kedepan dan tepat.

Apapun sebagaimana ADUN kemukakan dalam ucapan perasmian menjadi wartawan penyiaran menuntut kekuatan di dalam bidang keilmuan. Misalnya bila melaporkan persoalan budaya perlu memahami apa yang dikatakan budaya dan ciri-ciri yang diperkatakan. Bila melaporkan persoalan jenayah memerlukan kefahaman tentang undang-undang dan bila bercakap tentang agama, perlu memahami persoalan agama. Bidang penyiaran kewartawanan juga perlu mempunyai asas penyelidikan yang bersifat ilmiah agar apa yang dihasilkan di dalam penyelidikan benar dan mendalam. Laporan kewartawanan juga semestinya bersifat bertanggungjawab, tidak menyalahi fakta, tidak mengaibkan seseorang yang tidak bersalah dan tidak mengemukakan kenyataan yang salah, mengeliru dan tidak membawa kegelisahan kepada masyarakat.. Wartawan penyiaran mendapat dan melaporkan sesuatu maklumat melalui bahasa, sebab itu penguasaan bahasa yang menjadi medium penyampaian amat penting agar penyampaian dapat disampaikan dengan baik dan jelas. Penguasaan lebih dari satu bahasa amat penting bagi wartawan terutama bahasa Inggeris yang membolehkannya berkomunikasi dengan masyarakat luar dan setempat yang tidak memahami bahasa yang digunakan oleh wartawan. Bagi wartawan siaran selain dari minat dia juga sewajarnya seorang yang berbakat dan kreatif contoh dalam menggunakan bahasa dan penampilan sesuatu persoalan dan pengolahan. Sudah tentulah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan seorang wartawan penyiaran sebagaimana bidang yang lain penambahan ilmu dan maklumat dengan pembacaan hendaklah dilakukan secara berterusan, begitu juga mempertingkatkan kemahiran dengan penulisan dan mempertingkatkan kualiti diri di dalam bidang penyiaran. Penyampai berita tidak seharusnya bersifat sebagai posman berita sehingga yang menerima tidak memberi perhatian kepada peyampai, tetapi kepada berita. Penyampai berita dan wartawan penyiaran seharusnya menguasai khalayak dengan penampilan dan berita.


No comments:

Post a Comment