January 25, 2010

Sambutan Ponggal Di Bangi Meriah

Kajang Utama - BBB, 08 Safar = 24 Januari (Ahad):


Lebih dari 700 orang telah menghadiri sambutan “Makkal Ponggal & Sukaneka 2010” anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bangi, MPKj dan Rukun Tetangga Kajang Utama. Mereka terdiri dari masyarakat berbilang kaum dari Bangi Lama, West Country, Bukit Mutiara dan Semenyih. Sambutan telah diadakan di padang awam bersebelahan Rukun Tetangga Kajang Utama. Berbagai acara telah diadakan seperti memasak ‘ponggal’, pecah takar, raja dan rani ponggal, mereka bentuk dan mewarna kain rentang “Tidak Kepada GST” dan menganyam ‘matei’.

ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar amat berpuas hati dengan sambutan orang ramai terutama masyarakat sekeliling.

“Keistimewaan DUN Bangi ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Dan pada hari ini kita lihat sambutan ‘ponggal’ ini bukan sahaja disambut oleh orang India, bahkan orang Melayu dan orang Cina turut sama. Perpaduan antara kaum akan wujud jika kita saling menghormati dan saling memahami budaya semua kaum. Keterlibatan kita pada hari ini membuktikan bahawa kita tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dan ini adalah satu cara kita membalas kepercayaan mereka terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Kita secara berterusan akan membantu dan menghulurkan sumbangan yang diperlukan kepada mereka,” katanya ketika ditemui.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah ADUN Kota Damansara Dr. Nasir yang juga merupakan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM). Turut dilihat bersama beliau ialah En. Aruchevlan, Setiausaha PSM yang juga ahli Majlis MPKj Zon 20.

Seorang peserta yang ditemubual En. Raj Mohan, 43 tahun berkata,”Inilah pertama kali kami merayakan sambutan ‘ponggal’ ini secara besar-besaran. Lebih bermakna lagi bila ada penyertaan kaum-kaum lain seperti orang Melayu dan Cina. Terima kasih kepada wakil rakyat sekarang yang lebih peka dan prihatin terhadap kaum lain berbanding wakil rakyat terdahulu.”

Beliau menyertai acara menganyam ‘matei’ iaitu pelepah daun kelapa berwarna hijau dibelah dua dan dianyam untuk dijadikan bidai pada sesuatu perayaan. Walaupun hanya mendapat tempat ketiga beliau amat berpuas hati kerana sebelum ini beliau hanya menyambut dikalangan ahli keluarga beliau sahaja.

En Abu Bakar, Pengarah Program yang ditemui sebaik sahaja sambutan selesai berasa amat bersyukur dengan dan berterima kasih kepada semua pihak-pihak yang terlibat.

“Saya amat-amat berterima kasih kepada pihak-pihak seperti Kelab Penyokong PAS Bangi, aktivis Parti Sosialis Malaysia, rakan-rakan dari Rukun Tetangga Kajang Utama dan yang paling utama penduduk Kajang Utama. Mereka memberikan komitmen yang begitu berharga kepada kami selaku penganjur. Saya berharap pada masa depan sambutan ini dapat diteruskan ditempat lain untuk memberi peluang pada penduduk tempatan berinteraksi antara satu sama lain. Selepas ini kita akan berbincang dengan wakil-wakil dari Kelab Penyokong PAS untuk merancang berbagai aktiviti ditempat mereka.”

No comments:

Post a Comment