February 28, 2015

Kreativiti & Inovasi Penting, Perlu Dijana Dalam Pendidikan Dan Kehidupan

 

BBB,  06 Rabiul Akhir 1436 = 27 Februari 2015 (Jumaat):


Perubahan dari Alamiah Tabi`i dan Asli ialah bermula dan dengan adanya sentuhan dari tangan (diri) manusia. Sentuhan di sini bukan sekadar sentuhan fizikal, tetapi adalah melibatkan elemen Akliah, bahkan ada bersamanya kehendak yang berelemen ikhtiariah, bebas yang dalam istilah terkenalnya ialah:
`Kreativiti dan Inovasi`
Kreativiti dan inovasi adalah penting dan merupakan elemen di dalam skema Takmilah. Kreativiti ialah sesuatu penghasilan oleh pengkarya hasil dari idea segar dan sentuhan seni  berinovasi – meneroka, dalam penghasilan dan mempunyai kelainan dari yang lain secara kreatif. Penghasilan seperti penggubahan sebuah puisi, sebuah rekabentuk bangunan, rekacipta kenderaan, sebuah lagu nasyid dan sebagainya yang masing-masing mempunyai kelainan berciri dan beridentiti sendiri.
Elemen yang penting, ialah pengkarya, mempunyai idea yang segar dan penghasilan yang kreatif.
Apakah hasil kreatif dapat dikatakan sebagai asli, tiruan atau baru ?
Pada hakikatnya manusia tidak dapat mengadakan sesuatu lain dari yang telah ada.  Apa yang dilakukan bukan tiruan per se. tapi ialah perubahan, penyimpangan, pembentukan dan penglahiran kembali melalui daya kreatif dan inovasi sehingga ia merupakan sesuatu yang baharu dan lebih baik.
Dari dahulu hingga kini perubahan dari yang bersifat tabi`i ialah hasil dari sentuhan manusia terhadap alamiah tabi`i ini melalui jasmani, akli, qalbi dan rohani. Sentuhan (penggunaan) adalah akibat dari keperluan dan desakan yang mengubah tabi`i dan asli seperti mengubah batang kayu kepada tiang dan lantai, kulit kayu kepada dinding dan daun kepada atap yang menjadikannya apa yang dipanggil `pondok` bagi kediaman. Menyebut tentang sentuhan jasmani di atas, sebenarnya turut melibatkan akli dan qalbi yang ramuannya menghasilkan sesuatu yang kreatif `pondok`. Penghasilan pondok bukan diambil dari bahan yang luar dari yang sedia ada, iaitu sesuatu yang sedia ada – pokok dari hutan. Desakan alami ialah keperluan dan timbulnya ikhtiar untuk mendapat lindungan dan keselamatan dengan menggunakan elemen yang ada yang paling dekat ialah pokok. Elemen akli sebenarnya bergerak bersama desakan keperluan dan ikhtiar dan dalam masa pembinaan bergerak sama elemen sentuhan akli dan qalbi yang menghasilkan sebuah hasil seni. Contoh dapat dilihat juga idea yang lebih maju misalnya apabila dapat mengira batang-batang kayu dengan angka yang lebih memudahkan pengurusan. Pola yang sama berlaku di dalam kehidupan moden berhubung dengan penghasilan barang-barang, rekacipta, gubahan-gubahan dan sebagainya.
Pergerakan kemajuan manusia sebenarnya amat lambat, walaupun ada banyak keperluan-keperluan. Masalahnya sukar mendapat mereka yang berakli dan kreatif untuk mendepani yang lain bagi menghasilkan sesuatu yang baru. Apa yang biasa ialah meniru dan meneruskan apa yang ada. Misalnya di dalam satu masyarakat komuniti kampung yang mempunyai budaya dan pola kehidupan sudah diwarisi dan menjadi budaya turun menurun, mereka meneruskan kehidupan dengan mengikut dan meniru pola kehidupan dan budaya yang sedia ada. Misalnya bila membina rumah mereka mengikut binaan rumah yang sedia ada di dalam masyarakat – rumah kayu berumah ibu ada kelek, rumah dapur, anjung atau selasar dan sedikit halaman di hadapan rumah. Mereka bertani mengikut kaedah pertanian yang diwarisi atau menjadi nelayan yang diwarisi. Jadi kehidupan adalah berterusan streotaip.
Perubahan kehidupan kepada yang lebih baik bila ada agen-agen perubahan. Misalnya ada anak kariah keluar dan mendapat pendedahan baru melalui pendidikan, perusahaan dan cara hidup baru yang dibawa balik ke kampung dan dia menjadi salah satu agen perubahan. Atau dia berada di luar dan menerima perubahan yang lebih positif. Sifat statik dan maju dapat dibanding antara kampung yang tidak banyak berubah dengan bandar yang banyak mempunyai agen perubahan - kemajuan.
Point yang hendak ditekankan tidak banyak yang muncul dalam masyarakat yang membawa idea bernas dan bersifat kreatif yang boleh membawa kepada kemajuan. Ini sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan budaya pendidikan yang diamalkan. Pendidikan ialah perulangan penyampaian persis apa yang telah diajar dan disampaikan sebelumnya dan mengeluarkan lulusan yang sama polanya dengan apa yang telah dikeluarkan sebelumnya dan kelulusan sama ada pada peringkat universiti atau lebih rendah dari itu akan keluar melamar pekerjaan yang layak baginya dan mereruskan cara dan gaya kerja yang telah dilalui oleh mereka yang sebelumnya.  Tidak ada penampilan idea dan kreativiti yang membawa perubahan kepada yang lebih positif. Idea dan jiwa kreatif adalah pasangan yang penting bagi mencetuskan sesuatu pendapat yang bernas dan kreatif dan berinovatif dengan pengiktirafan diberi kepada yang berkenaan.
Apa yang merugikan ialah pengasingan yang mempunyai kemampuan idea tinggi kepada aliran sains, sedang yang lain kepada aliran sastera dan yang lain termasuk agama dan teknikal. Pelajar yang tinggi fikiran (sains) berkembang tanpa disertai kemampuan kreatif, sebab itu mereka walaupun lulus dengan baik, tetapi tidak mempunyai daya kreatif. Mereka sebenarnya meneruskan pola pekerjaan sebagaimana mereka yang terdahulu dan kering dari daya kreativiti. Begitu juga dialirkan kepada bidang yang lain dari sains, ada pengajaran yang berdaya kreatif, tetapi tidak berdaya mencetuskan kebernasan idea, maka kelompok ini juga meneruskan pola pekerjaan dan kehidupan sebagai penerusan budaya semasa yang didukung.
Kreativiti adalah penting bagi pengkarya sebagaimana dilihat di dalam skema Takmilah, bahkan ianya dilihat sebagai `Tiang Seri` di dalam skema Takmilah yang sama bergerak dengan dokongan elemen akliah secara bertahap dan berperingkat kepada piawayan tertinggi dan bersatu pada puncaknya. Elemen ini penting dan perlu diaplikasikan di dalam bidang pendidikan, pentadbiran, industri, bahkan di dalam semua bidang.
Adalah sesuatu yang ideal mengharapkan semua pihak beridea bernas dan berdaya kreatif, tetapi jika pendidikan dapat melahirkan 10% keluaran pengajian beridea bernas dan berkreatif sudah cukup untuk membawa perubahan. Mereka sering mencetuskan idea segar berdaya kreatif dan inovatif sejajar dengan negara-negara yang rakyatnya terkenal beridea bernas, berdaya kreatif dan inovatif.

Sekian.

February 27, 2015

Takmilah Alamiah Lumrah: Istimewa Nadir & Purba Memupuk Kecintaan


BBB, 07 Rabiul Akhir 1436 = 26 Februari 2015 (Khamis):


Berbanding dengan Takmilah Akliah. Qalbiah dan Rohaniah, maka Takmilah Alamiah yang tabi`i adalah lumrah (bermaksud belum disentuh manusia), lantaran itu oleh kerana banyaknya, maka ianya tidak diberi perhatian. Tiada perhatian oleh kerana tiada kesedaran pada diri manusia yang berada pada `haluan zaman`. Khazanah alamiah yang bernilai dari segi estetika dan ilmu pada hakikatnya berterusan. `Kesedaran` misalnya tentang wujudnya permukaan bumi dan lapisan-lapisan yang menyimpan berbagai-bagai bahan khazanah yang tak ternilai – termasuk khazanah laut adalah satu yang`berharga`. Begitu juda dengan berbagai-bagai hidupan yang pernah hidup sejak zaman pra-sejarah  adalah juga `berharga`. Dari bumi berpindah kepada planet-planet, cakerawala dan bintang-bintang yang tak terpermenai banyaknya. Semuanya adalah indah, teratur, mengkagumkan dan `tak terharga` yang mencerminkan kesempurnaan, keindahan dan keagungan Allah Subhanahu wa ta`la (Maududi. Abul A`la, Towards Understanding Islam, Islamic Publications Ltd., Lahore, 1972: 180 hlm.).
Bila sebenarnya khazanah kesempurnaan dan keindahan ciptaan Allah ini disedari ?
Kesedaran sebenarnya berlaku dengan kesedaran bermula dari diri manusia itu. Kesedaran bermula dengan kesedaran akliah terhadap fonomena alamiah yang digerak oleh desakan dan pengalaman yang dilalui, sedangkan faktor alamiah adalah berlalu dengan sifat tabiinya secara berterusan. Kesedaran biasanya lebih lewat dari sesuatu yang semasa ditempuhi. Misalnya kesedaran tentang wujudnya hidupan awal pada zaman pra-sejarah menimbulkan ghirah untuk diketahui melalui usaha cari gali. Penemuan tentang wujudnya tumbuh-tumbuhan pada masa lampau di lapisan perut bumi di Padang Pasir yang menghasilkan minyak bererti sebelumnya ia adalah merupakan kawasan yang subur. Begitulah misalnya dengan penemuan fosil-fosil haiwan zaman lampau di berbagai-bagai kawasan di dunia. Ianya merupakan suatu yang significant, indah, sempurna dan menarik dalam konteks zamannya dan amat memberi faedah kepada masyarakat kemudiannya – Sekurang-kurangnya dari segi maklumat dan ilmu pengetahuan.
Adalah menjadi falsafah seni, bahawa walaupun sesuatu `barang` itu lumrah wujud pada zaman lampau, tetapi kini hanya beberapa atau satu-satu yang ada yang dapat diwarisi, maka ianya menarik, indah dan ditanggapi sebagai sempurna, walaupun tidak sempurna. Contoh penemuan fosil dinasaur di satu-satu tempat, ianya menarik perhatian dan timbul berbagai andaian, jangkaan dan imaginasi tentang realiti, kesempurnaan dan keindahan situasi silam berkenaan. Elemen nadir, purba, unik dan kelainan memainkan peranan di dalam meningkatkan persepsi, apresiasi dan penghargaan. Sesuatu yang bersifat demikian menjadikan bahan-bahan berkenaan diletak tempat berharga atau muzium yang memberi peluang kepada orang ramai turut sama menghayati dan mengimaginasi.
Kelainan, purba, unik dan bersejarah misalnya menjadikan sesuatu yang berharga dianggap warisan dunia dan dipreserve untuk kepentingan generasi yang akan datang dan seterusnya. Apakah yang menjadikan sesuatu misalnya yang purba itu menarik perhatian, disanjung dan dihargai ?  Sedangkan sesuatu objek tertentu pada hakikatnya tiada lain dari realiti yang ada.  Perhatian, peningkatan tanggapan, penghargaan dan pengunggulan pada hakikatnya adalah dari kesedran diri manusia yang meletakkan sesuatu pada kedudukan tertentu sebagai warisan.
Apa yang dibicarakan di atas adalah elemen-elemen alamiah yang bersifat tabi`i yang bernilai seni dan benar, walaupun dari segi objeknya tidak menarik – contoh penemuan fosil, tetapi kenadiran, kepurbaan dan ianya satu-satu ditemui di satu negeri menjadikannya significant, menarik, dibangga dan dihayati. Penyanjungan, penghayatan dan pengunggulan sebenarnya kembali kepada kesedaran, nilai dan peningkatan kesedaran yang ada pada manusia dan masyarakat terhadap sesuatu.
Di sebalik dari elemen estetika & Takmilah yang bersifat alamiah tabi`ah, ianya tidak bererti tanpa aspek alamiah-insaniah, iaitu sesuatu objek atau hasil yang sudah melibatkan campur tangan manusia. Ianya bersifat purba, nadir, unik dan mengkagumkan. Contohnya penemuan peralatan batu di dalam gua yang digunakan oleh manusia purba, alat-alat pertanian atau menangkap ikan yang mencerminkan cara hidup mereka pada zaman purba. Pakaian dan alat memburu dan sebagainya. Penemuan-penemuan alat-alat berkenaan, walaupun tidak menarik dari segi material, tetapi indah, berharga dari segi seni dan budaya. Kesedaran tidak lain dari pancaran kesedaran dari dalam diri manusia itu sendiri.
Sebenarnya peningkatan yang diberi tidak lain dari kesedaran tentang kesedaran diri – khususnya  manusia – saudara-saudara kita di dalam pergulatan hidup. Bukti-bukti adalah cebisan dari pertalian dan kesinambungan hidup manusia itu sendiri.
Pada dasarnya, hasil dari kesedaran, menyerlahkan hakikat manusia, bahawa manusia adalah berterusan dalam pencarian lantaran didesak naluri ingin tahu, walaupun mereka paling utama berdepan dengan masa depan yang penuh cabaran bagi meneruskan kehidupan yang diharap lebih sempurna, manusia juga merasa kehilangan-kehilangan bagi penyempurnaan, termasuklah masa silam dan purba yang ingin diketahui bagi melengkapkan diri. Sememangnya manusia rindu pada akar dan asal diri. Mereka rindu pada kampung laman bagi yang telah meninggalkannya, rindu pada akar turunan, bahkan mau kembali dan menenggelamkan diri buat seketika pada kesilaman dan kepurbaan yang dianggap sebagai keindahan dan kesempurnaan yang tidak berkesempatan dan ditinggalkan. Ini juga mencerminkan kecintaan jiwa kembali kepada Pencipta yang Dia Pencipta segala. Kesedaran kealaman yang sebenarnya merupakan kesedaran dari diri manusia menimbulkan nilai positif terhadap lingkungan kehidupan bahkan dunia dan alam sebagai rumah bersama diamanah yang kita bergiat dan meneruskan kehidupan termasuk generasi-generasi mendatang perlu dipelihara kewujudan, kesempurnaan dan keindahan yang diwarisi agar ianya terus indah dan sempurna untuk diwarisi generasi mendatang.

Sekian.

February 26, 2015

Elemen Estetika - Alamiah, Akliah, Qalbiah & Rohaniah


BBB,  06 Rabiul Akhir 1436 = 25 Februari 2015 (Rabu):


Telah dibicarakan bahawa kesedaran yang bersifat mental (akliah) di dalam masyarakat pada peringkat permulaan begitu lambat dan memakan masa yang panjang. Kesedaran pada peringkat permulaan lebih merupakan desakan keperluan alamiah kehidupan individu dan masyarakat itu sendiri. Keperluan berbahasa bersifat akliah untuk tujuan komunikasi dan keperluan mengenal huruf bagi keperluan catatan, ingatan dan pengekalan juga mengambil masa yang begitu panjang sebagai berlaku pada masyarakat yang awal mengenal huruf seperti di Iraq, Mesir dan Pheonix sejak 5,000 tahun s.m. dan selepasnya. Proses ini – termasuk perkembangan pada peringkat konsepsi adalah dikenali dengan Takmilah Akliah.
Telah pernah disebutkan bahawa `Tiang Seri` bagi Takmilah ialah aspek estetika yang ditegak bersama oleh pengkarya dengan keilmuan (Takmilah Akliah) yang memuncak kepada piawaian tertinggi Takmilah. Persoalan yang boleh ditimbulkan:
1)      Apa yang dikatakan elemen estetika
2)      Di manakah keberadaannya
3)      Bilakah elemen estetika hadir di dalam sesuatu, khususnya bagi sesuatu yang dilihat dari segi Takmilah.
4)      Perlukah kepada keterlibatan penanganinya
5)      Pengkategorian estetika
Berhubung dengan persoalan apakah yang dikatakan estetika itu, banyak pendapat berhubung dengan istilah yang bersifat falsafah ini, tetapi antaranya ada yang mengatakan bahawa:
`Aesthetics` yang dengan istilah biasa dikenali dengan indah ialah, ``Sesuatu yang mengandungi banyak pecahan dan anasir. Estetik adalah kesatuan yang terhimpun di dalamnya kepelbagaian, kelainan yang kesemuanya sebagai satu tenunan yang menghasilkan Estetik berkenaan.``
Dalam ungkapan yang lain dikatakan:
``Keindahan tiada lain melainkan pada sesuatu yang indah, iaitu keserasian unsur dan ketidak serasian yang menyatukan.`` – Pendapat Aristotle.
(Dr. Abdul Mun`im al-Hafani, Al-Mausu`ah al-Falsafiyyah, Dar Ibn Zaidun, Beirut – Maktabah Madbuli, Al-Qahirah, tt: 157).
Bagi menjawab pecahan dua, bahawa elemen estetika adalah berada di mana-mana. Sebagaimana pernah disebut bahawa segala kewujudan adalah ciptaan Allah yang bersifat Kamal dan Jamal. Sifat-sifat ini termanifestasi di dalam kejadian ciptaan-Nya yang pada hakikatnya indah dan sempurna.
Walau bagaimana sebagai jawaban kepada pecahan ketiga, meskipun elemen ini berada di mana-mana sebagaimana tercermin di dalam makna estetika yang dipetik di atas, maka tidak semua dapat menanggapi elemen estetika yang berada di mana-mana ini. Ia memerlukan keilmuan yang dapat memahami hakikat dan falsafah estetika. Selain daripada itu individu sama ada pengkarya atau sesiapa yang mau menghayati elemen estetika ini perlu persediaan, selain dari keilmuan, dia seharusnya mempunyai persepsi seni yang dapat menangkap dan menanggap aspek-aspek dan elemen seni berkenaan.
Bagi memahami maksud estetika yang dipetik bahawa estetika ialah himpunan elemen yang serasi dan kontradik yang kesegalaan menimbulkan estetik. Sebagai contoh andaikan anda berada di tepi laut pada satu petang yang agak damai. Anda melihat unsur bersamaan air laut bergelombang, ada sebuah pulau di kejauhan tengah laut berbalam antara gerakan awan, Di tengah laut ada beberapa perahu nelayan yang turun dan naik di puncak ombak dipukul gelombang, sedang di tepi pantai ada pokok-pokok ru tinggi rendah dan kecil besar sedang ditiup angin bersama pokok kelapa tinggi berlambaian. Di tepian adalah pasir putih memanjang pantai. Berbagai elemen persamaan seperti air dan pasir , tidak bersamaan seperti pokok yang tinggi rendah adalah bersatu dari berbagai unsur sebagai kesatuan yang menimbulkan rasa estetika - indah dan damai.
Setengahnya himpunan dari berbagai elemen kontradik. Contoh sebuah taman yang landscaping tanahnya tinggi rendah dengan pokok bunga berbagai warna, pokok besar dan kecil dan sebagainya adalah menimbulkan elemen estetik. Elemen estetik ini tidak semata-mata bersifat pandangan nyata yang kita istlahkan sebagai `Estetika Alamiah`, tetapi, sifat-sifat yang lain - `Akliah, Qalbiah dan Rohaniah.
Namun kesedaran terhadap elemen ini sebagai menjawab pecahan empat, bahawa elemen estetika ini tidak disedari oleh orang awam. Ia memerlukan kepada mereka yang mempunyai ilmu dan kefahaman tentang seni dan tajam dengan mata seni. Aspek berkenaan penting di dalam memupuk keharmonian jiwa individu dan masyarakat, timbul kesedaran menghargai nilai-nilai estetik dan keindahan, bahkan menyedari kekuasaan dan kebesaran Allah yang membuat hamba tenang, berada di dalam harmoni, tama`ninah, bertasbih, bersyukur dan memuji Allah. Mengenengah dan menyedarkan masyarakat dengan elemen-elemen ini turut sama berperanan di dalam menentang sifat liar dan bercanggah dengan nilai-nilai murni masyarakat.
Menjawab kepada pecahan di atas, bahawa telah disentuh pecahan yang bersifat `Takmilah Akliah` pada tahap rendah dan permulaan (mengenai pertumbuhan bahasa) yang dapat diperluas dan diperdalam kepada bidang yang dalam dari segi  Takmilah Akliah dan apa yang dibicarakan di atas ialah estetika yang bersifak Takmilah Alamiah yang juga dapat diperluaskan lagi dari segi skop dan ruanglingkup.
Manakala dua bidang lagi adalah bidang yang lebih luas, iaitu Estetika Takmilah Qalbiah yang berhubung dengan sentuhan hati yang darinya mengalir elemen  rasa estetik - kemanusiaan. Misalnya dari hati lahirnya sifat kasih, rindu, sayang, cinta, marah, benci, cemburu dan sebagainya yang elemen-elemen ini banyak mewarnai perasaan dan gelombang kehidupan yang menceria dan mebahagiakan hidup. Sudah tentulah bidang ini begitu luas dapat diterokai dan dihurai.
Bidang rohani adalah bidang yang berkait dengan aspek dalaman jiwa yang menyentuh persoalan akhlak dan tasawuf yang menimbulkan keihsanan. Penerokaan bidang ini memerlukan seseorang memahami, bahkan mendalami, menghayati dan mengamal bidang ini. Sesungguhnya kedalaman di dalam bidang rohani dan hidupnya dengan intuisi rohani memungkinkan seseorang mengungkapkan aspek rohani secara mendalam. Penyair-penyair kerohanian (tasawuf)  mencapai tahap tinggi dari segi kepuisian, kerana kemampuan mereka mengungkapkan kehalusan rasa yang kaya dengan nilai-nilai rohani yang tinggi. Contoh Rumi. Hafiz, Jami, Iqbal dan sebagainya.
 Di bawah pecahan ini boleh dibicarakan satu lagi aspek iaitu aspek Nafsu Rendah (Ammarah), tapi aspek ini, walaupun wujud, tetapi terletak di bahagian luar dari segi Takmilah.

Sekian.

February 25, 2015

Dari Lambang Kepada Konsepsi - Takmilah Akliah


BBB, 05 Rabiul Akhir 1436 = 24 Februari 21015 (Selasa):


Kita telah membicarakan bahawa pergerakan kualiti Takmilah antaranya dari desakan keperluan yang dialami individu dan kelompok sebagai contoh dari keperluan komunikasi yang pada asasnya boleh dilakukan secara isyarat dan meningkat kepada penggunaan suara yang dari intonasi suara boleh menggambarkan kepada sesuatu yang bersifat suruh tegah, mesra marah, gembira duka dan sebagainya.Dari penggunaan suara ini menghasilkan bahasa yang memberi nama kepada benda-benda dan perbuatan yang dapat difahami di dalam kelompok masyarakat. Kemudian terhasilnya bahasa di dalam keluarga dan kelompok masyarakat berkenaan. Bahasa yang terhasil adalah berkembang dari peringkat yang paling dekat dan mudah. Misalnya di dalam keluarga adalah bermula dari ma (ibu). Pa (bapa), kak (kakak), bang (abang dan sebagainya. Bagi keluarga petani kata-kata yang mula dan lumrah digunakan ialah kata-kata yang dekat dengan alam kehidupan pertanian mereka. Misalnya rumah, padi, ubi, ikan, kucing, ayam dan sebagainya. Demikianlah dengan masyarakat nelayan, pemburu dan sebagainya.
Sudah dibicarakan bahawa kualiti Takmilah yang lebih tinggi yang sukar dicapai dan melibatkan perjalanan masa yang lama, sukar berlaku di dalam kelompok yang kurang kesedaran minda dan sosial. Adalah dijangka kesedaran tinggi bagi mengekalkan sesuatu maklumat, peringatan, perjanjian dan sebagainya mendesak ke arah menggunakan lambang-lambang. Kepentingan berlaku dalam hubungan antara kelompok, pihak berkuasa dengan rakyat dan sebagainya. Lambang berkenaan mungkin telah berlaku di dalam kelompok yang sedikit tinggi kesedaran budaya dan dikembangkan dan diluaskan kepada peringkat penggunaan formal.
Penggunaan lambang yang paling awal ialah dengan menggambarkan sesuatu yang hendak dingatkan yang diwakili oleh lambang iaitu dengan menyalin bentuk atau menggambarkan gambaran bagi sesuatu benda yang disalinkan. Misalnya rumah dengan gambaran kotak beratap. Orang dengan garis tegak berkepala dengan palang atas dan bawah menggambarkan tangan dan kaki. Kemudian gambaran ini makin kompleks dan ciri perbezaan makin halus bagi membezakan antara satu sama lain. Kita dapati tulisan bagi masyarakat yang mencapai tamadun lebih awal seperti Mesir dan Cina menggunakan tulisan yang berasaskan gambar. Walau bagaimana penandaan nama ialah bagi sesuatu yang bersifat benda. Lambang bagi perbuatan perlu dibuat bagi keterangan bahasa secara lebih lengkap. Begitu juga bagi kata-kata yang lain dari nama dan perbuatan.
Peningkatan bagi Takmilah dari segi lambang bagi kata atau lebih luas ialah bahasa ialah mengenali tempat keluar sebutan (makhraj) kata-kata. Misalnya `Padi`, maka istilah padi ini ialah kombinasi dua suku kata `pa` dan `di`. Maka diberi nama lambang (huruf) bagi tempat suku kata ini dengan nama huruf (p atau fa` pada bibir) dan (`d` atau dal pada hujung lidah). Demikianlah dikenalpasti tempat-tempat huruf bagi sebutan perkataan sehingga lengkap. Tempat keluar sebutan sebenarnya tidak banyak, iaitu antara 26 (Rumi) dan 30 (jawi). Maka diberi tempat keluar dengan huruf. Contoh lain seperti `h` pada halkum, sy` pada tengah lidah, `ba`` pada bibir dan sebagainya. Maka pengenalan dan kenalpasti tempat sebutan yang diberi nama huruf-huruf yang keluar dari tempat berkenaan dapat dikatakan hasil dapatan oleh `orang bijaksana` pada zamannya. Ini dapat diandaikan kawasan yang mengenali huruf seperti babylion. Mesir dan Fenik mencerminkan tahap kebijaksanaan tokoh-tokoh yang mampu mengenal pasti huruf yang dengannya dapat dieja dan dibaca secara terbuka dan bebas dan tidak perlu ingat kepada lambang-lambang secara gambar yang mungkin terhad ingatan. Sebaliknya dengan ejaan boleh dieja, disalin dan dingat. Walau bagaimana perkembngan tulisan secara huruf pada peringkat awal ini tidaklah sesumpurna yang kita gunakan kini.
Misalnya tulisan Aram dan Musnad yang melahirkan tulisan nasakh dan kufi berkembang dari peringkat asas yang masih belum sempurna – terhad - membawa kepada kelengkapan huruf yang lebih sempurna. Sebaliknya ianya menjadi lebih sempurna secara bertahap sehingga perkembangan tulisan jawi juga rumi ke tahap yang kita gunakan pada hari ini. Pembacaan antaranya dengan mempelajari kaedah-kaedah tajwid di dalam pengajian. Perkembangan budaya minda manusia dari tahap tak tau membaca kepada tahu membaca adalah merupakan satu takmilah perubahan besar bagi masyarakat dan budaya manusia, dari zaman permulaan sehingga tahap kemajuan.
Bagi tahap kemajuan mengenal huruf dan membaca ada lagi tahap perjalanan kualiti Takmilah bersifat minda, bahawa di dalam kehidupan masyarakat dari peringkat permulaan telah mengenali misalnya, jarak jauh atau dekat, tinggi atau rendah, banyak atau sedikit, panjang atau  pendek, tinggi atau rendah yang melibatkan jumlah dan ukuran secara tepat. Penerokaan ke arah mengenal pasti tentang nomber dan berbagai jenis hasil kiraan dan ukuran, ialah merupakan tahap kualiti takmilah akliah yang lebih tinggi sehingga ukuran-ukuran sama ada campur, tolak, kali dan bagi digunakan di dalam ukuran dan kiraan. Penggunaan angka dan pengukuran termasuk kiraan bersifat matemetik, geometri dan al-gebra dan sebagainya secara konsepsi menandakan Takmilah kualiti minda makin meningkat. Namun ianya bukan sesuatu yang baharu. Kita mengkagumi kemampuan manusia purba seperti zaman Firaun arkitek dan pekerja dapat melaksanakan tugas dengan menggunakan kaedah matematik, geometri, algebra dan peralatan-peralatan yang lain sehingga  ketinggian piramid dapat diukur dengan tepat. Ini bermakna sudah ada kemahiran tinggi dari segi metamatik, al-gibra dan geometri. Ukuran dan metematik adalah lebih tinggi dari gambaran alamiah yang boleh dilihat dengan mata, tetapi konsep metamatik, geometrik,al-gebra dan sebagainya Takmilahnya meningkat dari yang dapat dilihat secara nyata kepada penglihatan bersifat minda dan konsepsi. Ini merupakan peningkatan kualiti Takmilah Akliah dari yang dapat dilihat secara nyata, kepada  yang dilihat secara minda dan konsepsi.
Peningkatan dari menggunakan huruf kepada gambaran yang bersifat konsepsi mencerminkan peningkatan kualiti Takmilah Akliah yang menjadi dimensi utama dalam Takmilah.

Sekian.

February 24, 2015

Mengenal Huruf Kunci Keilmuan - Tamadun Awal


BBB, 04 Rabiul Akhir 1436 = 23 Februari 2015 (Isnin):
Dalam pembicaraan mengenai Teori Takmilah amat bergantung pada tiga paksi utama, iaitu pengkarya, karya dan khalayak. Dalam perjalanan menuju kepada puncak yang piawayannya ada yang nyata berhujung, tapi tidak mungkin sampai – tahap Takmilah (Contoh Keilmuan dan Estetika Al-Qur`an) dan ada yang peningkatan perjalanan menuju kepada penghujungnya bersifat terbuka. Ianya memakan masa yang lama, terbuka dan tiada akhirnya. Sifat ini menjadi sifat umum bagi kebanyakan bidang yang dilihat secara teori Takmilah. Perjalanan adalah melalui `rail` akal dan nilai. Pergerakan juga diakibatkan oleh keperluan yang pada awalnya bersifat asas, kemudian berkembang kepada peringkat lebih luas dan kesempurnaannya turut sama yang bersifat nilai yang antaranya dari aspek seni. Pergerakan peningkatan adalah melibatkan peningkatan pengkarya, peningkatan bahan, peningkatan estetika dan peningkatan keilmuan yang tercermin pada karya yang dihasilkan.


Satu bidang yang diberi keutamaan di dalam Islam dan fokus utama bila Rasulullah s.a.w.  dilantik menjadi Rasul ialah berkait dengan falsafah `Iqra`` yang merupakan wahyu pertama diterima oleh Rasulullah s.a.w. Falsafah `Iqra` ini bukan, semata-mata Iqra`, tetapi melibatkan, antaranya:
·         Peringkat mengenali huruf-huruf yang mau dibaca yang membuka pintu ilmu
·         Peringkat keilmuan dan perkembangannya
·         Wilayah seni yang melengkapkan keilmuan
·         Peringkat kreativiti dan inovasi yang meluaskan minda dan keilmuan yang termnifestasi dalam ketamadunan
·         Peringkat Perluasan rohani yang tiada batas sempadan yang termanifestasi sebagai wajah peradaban.
Perjalanan menyedari tanda-tanda yang patut menjadi lambang maklumat bagi kepentingan manusia mengambil masa begitu lama. Sudah pasti dalam tempoh kesedaran manusia sebagai manusia sejak sepuluh milinium yang lepas, manusia awal ini sudah tentu berdepan dengan pokok yang menjadi sumber makanan dan survival mereka, mereka bertembung dengan yang antaranya menjadi sahabat  dan pemeliharaan. Mereka lihat fenomena alam dari langit yang luas, matahari dan bulan, panas dan hujan, bukit bukau, gunung ganang, sungai dan lautan dan berbagai kejadian lagi. Bagi kepentingan  evolusi kehidupan mereka mampu menamakan haiwan dan pokok, makanan dan minuman dan keperluan terdekat mereka bagi kepentingan kehidupan, lantas membuka ruang bagi mereka berbahasa dan berkomunikasi. Ini merupakan tahap kemajuan penting yang dicapai oleh manusia di dalam kehidupan mereka.
Tetapi bilakah tercetus di kalangan manusia `lambang-lambang tulisan` hasil dari pemerhatian dan `kebijaksanaan` pada peringkat permulaan ? Dijangka mereka mampu pada peringkat permulaan membuat tanda-tanda bagi barang atau maklumat yang dapat dihasilkan agar dapat ditanda dan dapat mengelak dari kehilangan dan kepupusan ?    
Sejarah terawal mengenai kesedaran tentang huruf-huruf tulisan berlaku di Sumaria di kawasan Sungai Dajlah dan Furat (Iraq) sejak 5,000 S.M., di Mesir sejak 3,200 S.M., Babylonia (Iraq) 3,800 S.M. dan Pheonix (Palestin) sejak 2.000 S.M. Dari tempat-tempat ini terhasil tulisan terawal seperti di atas permukaan batu dipejalkan di Babylion, di Mesir tulisan yang berasaskan gambar-gambar dan tulisan Pheonix sejak 2,000 S.M. Penghasilan tulisan di sini, lantaran berlaku ketamadunan di sini lebih awal.
(Children Brittanicca, Vol. 5, Encyclopaedia Britannica International, Ltd. London, 1978: 20).
Adapun tulisan yang diwarisi di tanah Arab yang membawa kita turut menerima tulisan di atas kemudian melalui Islam ada beberapa pendapat.
1)      Tulisan `Arab dicipta berasaskan pengaruh huruf-huruf Siryan
2)      Ada yang mengaitkannya dengan tulisan Feniki (Pheonix) yang menjadi asal usul tulisan Mesir Purba
3)      Ada yang mengatakan ianya berasal dari Anbar ke Hirah. Darinya tiba ke Hijaz melalui Daumatul Jandal
4)      Ibn Khaldun mengatakan Khat Arab berasal dari Khat Musnad orang-orang Humair yang mendiami negeri Yaman yang dikenali dengan nama Khat Jazam.
(Shafie Abu Bakar, Sejarah Perkembangan Seni Khat, Pameran Dan Bengkel Seni Khat, UKM, Bangi, 1402/1982: 15).
Dibandingkan dengan pendapat Muhammad Hassan al-Zayyat, maka pendapat di atas semuanya ada kebenaran. Pendapat Muhammad Hassan:


``Adalah seawal-awal umat yang menggunakan tulisan ialah orang Mesir dan orang Pheonix ... Yang lebih awal mencapai tamadun kalangan Arab ialah Yaman. Orang-orang Yaman menggunakan tulisan yang dikenali dengan `musnad` dengan nama bahasa Mereka. Mereka menulis huruf-huruf secara terpisah dan Khat Pheonix adalah asal bagi Khat Musnad. Tulisn Arami dan Musnad dengan berbagai jenis seperti al-Safwa, al-Thamudi, al-Lihyani di utara dan al-Humairi di Selatan adalah berasal dari Aram dan Musnad. Daripada Aram berkembang kepada Khat Nabti di Huran dan al-Siryani di Iraq. Sesungguhnya Khat Aram dan Musnad merupakan asal usul bagi Khat Arab. Daripada Aram menghasilkan Khat Nasakh dan daripada Musnad menghasilkan Khat Kufi. Mereka mengetahui huruf sebelum Islam dikenali dengan Hiri, yakni berasal dari Herah. Mereka belajar  tulisan dari Arab Utara semasa ke Sham kerana berniaga. Yang lain mempelajari (Musnad) dari Anbar. Mula dipelajari oleh Bashar bin Abdul Malik al-Kindi saudara bagi Ukaidir bin Abdul Malik bin al-Kindi pembesar di Daumah al-Jandal. Dia ke Makkah dan berbesan dengan Harb bin Umayyah, datuk bagi Muawiyah. Dia mengajarnya kepada kalangan orang Quraisy, maka ramailah yang tahu menulis. Adapun gaya Kufah, hasil dari ramai yang menulis di masjid-masjid, di istana-istana, maka kelihatan teratur dan Indah, maka dengan identitinya, dikenali sebagai Khat Kufi.
(Ahmad Hassan Al-Zayyat, Tarikh Al-Adab al-Arabiyy, Wizarah al-Thaqafah, Arab Saudi, tt: 78).
Jelas memperlihatkan perjalanan mencari denai tamadun dan peradaban peringkat awal mengambil masa yang panjang. Kesedaran awal bagi penguasaan huruf berlaku di kawasan Asia Barat yang merentasi kawasan Iraq ke Mesir, Yaman ke Sham. Iaitu kawasan tamadun dan peradaban awal yang dari kawasan ini juga merupakan negara Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi. Dengan penguasaan tulisan maka ianya merupakan kunci Ilmu pengetahuan sebagai tamadun awal bagi manusia.

Sekian.

February 23, 2015

Barzanji: Indahnya Ungkapan Mengenai Nabi


BBB, 03 Rabiul Akhir 1436 = 22 Februari 2015 (Ahad):
Barzanji (disebut berzanji) amat popular di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan masyarakat Islam di tanahair kita. Barzanji merujuk kepada pembacaan Surat Barzanji dengan gaya bacaan dan lagu tersendiri yang berhubung dengan latar sejarah dan kehidupan Rasulullah s.a.w. Barzanji sebenarnya adalah merujuk kepada nama tempat `Barzanj`, iaitu tempat asal bagi Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji al-Madani (1690-1766M.) Imam bagi Masjid Rasulullah di Madinah – Masjid Madinah al-Munawwarah. Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji mengarang `Qissah al-Maulid al-Nabawi` yang lama kemudian baru dicetak di Mesir pada tahun 1889M. Beberapa syarah telah dihasilkan bagi karangan ini.


(Al-Munjid, Al-Matba`at al-Kathulikiyyat, Beirut, 1927: Part II: 71).
Karangan beliau ini telah diterbitkan pula bersama dengan karangan Al-Busiri yang berjudul Al-Burdah, Maulud al-Barzanji Nazam, Doa-Doa Khatam Maulud, Nazam `Aqidat al-`Awwam, Ratib Sayyidina al-Haddad, Talqin Mayyat, Doa Nisfi Sha`ban dan Maulud Diba`.
(Majmu` Maulud Sharaf al-Anam, Ali Bahai Sharaf Ali & Co. Ltd, Tajir & Kutub, 75 `Arab Street, Singapore, tt: 197hlm.
Walaupun terdapat beberapa himpunan karangan yang antaranya disebut pengarang dan antaranya tidak disebut pengarang, maka bagi keseluruhannya dikenali sebagai `Kitab Barzanji` yakni dinisbahkan kepada Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji. Tulisan ini adalah membicarakan tentang Maulud al-Barzanji Nathar yang digubah oleh Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji. Karangan ini walaupun disebut sebagai karangan `nathar` (Prosa dan Bukan Puisi), sebenarnya bahasanya tidak bersifat prosa, tetapi adalah membawa gaya bahasa berirama yang setiap ayat mempunyai sukatan sederhana panjang, sesuai dengan panjang nafas normal bila dilagukan dan pada akhir tiap-tiap ayat kebanyakannya diakhiri dengan `rima` bersamaan bunyi. Dalam kata yang lain ia adalah digubah secara bahasa sastera (adabiyyah) bersukat dan berirama dan bukan bahasa prosa sepenuhnya.
Karangan Maulud Barzanji adalah menceritakan secara seni sastera tentang sejarah hidup Rasulullah s.a.w. dari awal kelahiran dan keturunannya, dakwah keislamannya sehinggalah Hijrah Baginda ke Madinah dan mendirikan Masjid Al-Nabawi di Madinah al-Munawwarah.
Karangan dipecahkan kepada 19 pecahan. Setiap pecahan membawa kandungan tersendiri. Misalnya pada pecahan pertama merupakan intro dan tujuan Pengarang menyusun karangan  Maulud Barzanji, katanya:
Ku pohon hidayah ke jalan nyata lagi terang
Menjaganya dari selewengan dan kesilapan
Kuhamburkan kisah Maulid Nabi indah sebagai dikhabar
Dinazam tentang rantaian nasab mulia mesra didengar
Aku mohon pertolongan Allah Ta`ala Yang Perkasa
Sesungguhnya tiada daya dan kekuatan melainkan Dia.
Selepas tamat dibaca satu pecahan secara lagu barzanji, maka diungkap selawat dan pujian secara beramai-ramai secara ungkapan indah:
Semerbak wangilah ya Allah kurburan Baginda Yang Mulia
Dengan ungkapan istimewa salawat dan Salam ke atas Baginda
Apa yang dikarang oleh Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji adalah berasaskan fakta-fakta sejarah. Tulisan sejarah terkenal diwarisi, selain dari bersumberkan Al-Qur`an dan Al-Hadith antaranya dihasilkan seperti oleh Ibn Ishaq (85-151H.) yang dikatakan induk bagi maklumat bagi Sejarah Nabi (Ibn Ishaq, Sirah Ibn Ishaq, 1401/1981: 395hlm.) dan juga Sirah Ibn Hisham (m. 213H.) (Ibn Hisham, Mukhtasar Sirah Ibn Hisham, Dar al-Nafa`is, Beirut, 1987: 328hlm.).


Walau bagaimana perlu diingat bahawa baik Al-Busiri dan juga Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji bahawa mereka bukan menulis kitab sejarah, tetapi adalah bahan sastera dan persuratan mengenai Nabi Muhmmad s.a.w., sebagai bahan sastera, maka tidak dapat tidak ada di dalamnya elemen imaginasi dan intuisi-kreatif yang mungkin tidak menepati dengan kehendak sejarah yang semestinya bersifat benar dari segi fakta dan tarikh. Aspek-aspek ini perlu difahami, terutama oleh pengkritik-pengkritik yang memandang dan menilai Kitab Barzanji dari segi sejarah. Di dalam hal ini memang terdapat di dalam Maulud Barzanji Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji elemen falsafah tertentu, ciri sastera yang bersifat  imaginatif dan intuitif-kreatif. Antara contohnya penyebutan elemen falsafah `Haqiqat al-Muhammadiyyah` yang ada hubungan dengan satu faham falsafah kewujudan, langit dan bumi yang menjunjung cahaya-cahayanya yang Dhatiyyah, gambaran-gambaran alam selepas Aminah mulai mengandung Muhammad seperti bumi yang kontang mulai tumbuh tumbuhan, tunggangan bercakap kepada orang Quraisy dengan bahasa Arab yang fasih, dengan kelahiran Muhammad keluar cahaya menyala di istana Qaisar di Sham, bergoncang Iwan Kisra Anu Sharwan di Mada`in, Parsi dan sebagainya. Mungkin ada yang mempersoalkan fakta-fakta dan elemen-elemen di atas, tetapi sebagaimana disebutkan, karangan yang dipersembahkan oleh Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji adalah bersifat seni sastera yang ada elemen imaginatif dan intuitif-kreatif yang elemen-elemen di atas tidaklah merosakkan kebenaran dan tidak merosakkan dari segi pegangan.
Di sebalik dari apa yang dapat dikritik di atas, kita dapati Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji amat teliti dalam mengemukakan fakta-fakta sejarah yang sebenarnya tidak menyalahi dari segi sejarah. Apa yang hendak ditekankan, bahawa Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji dapat menampilkan sebuah karya seni adabiyyah (sastera) yang amat tinggi mutunya dengan pemilihan kata yang indah, tinggi dari segi imaginasi dan sedap didengar, apalagi jika ianya dibaca dan dialun secara bacaan yang bersifat seni dan kreatif. Contoh gambaran tentang Rasulullah s.a.w dalam satu pecahan:
Dan adalah Rasulullah s.a.w. sangat pemalu dan tawaduk. Dia mengikat kasutnya yang rabak, menjahit bajunya yang koyak, Baginda memerah sendiri susu biri-biri, Baginda berkhidmat kepada keluarganya dengan mudah dan selesa. Baginda menyukai orang fakir dan miskin dan duduk bersama mereka itu. Baginda menziarah kalangan mereka yang sakit, mengiringi jenazah kalangan mereka yang meninggal ke kuburan dan tidak merendahkan orang faqir sebaliknya membela mereka dan menolong mereka.
Demikian sebahagian keindahan bahasa tentang gambaran dan sifat Rasulullah yang sifat-sifat indah Baginda makin mengindahkan ungkapan dan bacaan yang dilagukan.
Kitab Barzanji menjadi bacaaan popular di dalam sambutan-sambutan Maulid al-Rasul, majlis-majlis aqiqah dan keramaian-keramaian yang bersifat keagamaan. Bacaan Barzanji secara beramai-ramai ini biasanya disertai dengan marhaban dan salawat ke atas Rasul yang majlis biasanya bersifat kesyukuran dan meriah. Maulid al-Rasul, Pembacaan Barzanji, Marhaban dan Salawat ke atas Rasul s.a.w. menjadi budaya murni Islam, khususnya di dalam masyarakat Melayu.
Kita berpendapat Majlis Maulid dan penghasilkan penulisan kreatif yang bersifat seni sstera Islam sedemikian patut digalakkan perkembangannya sebagai tentangan terhadap seni profen dan duniawi yang banyak membawa kerosakan kepada nilai dan akhlak. Perkembangan semasa seperti Majlis Salawat Ke Atas Rasul yang mendapat sambutan masyarakat patut digalakkan bagi menanamkan cinta kasih terhadap Rasulullah s.a.w. dan menyatukan umat, di samping menjadi Majlis Seni Islam sebagai alternatif bagi majlis-majlis seni yang tidak Islamik.

Sekian.

February 22, 2015

Qasidah Al-Burdah Salawat Dan Puji Terhadap Rasulullah


BBB, 02 Rabiul Akhir 1436 = 21 Februari 2015 (Sabtu):


Antara tanda kasih dan cinta terhadap Rasulullah s.a.w. ialah ungkapan digubah tentang Baginda di dalam bentuk Qasidah. Qasidah adalah bentuk puisi yang juga sebagai syair yang terikat menurut timbangan wazan, tetapi lebih longgar dari syair. Ungkapan pembukaan biasanya berkait dengan kenangan yang mengharukan, gambaran-gambaran termasuk yang bersifat alamiah, pujian dan kekaguman terhadap tokoh dan sebagainya. Qasidah dilagukan dengan berbagai lagu yang menarik, tetapi gaya baca dan lagunya berbeza dari membaca dan melagukan Al-Qur`an.
Antara qasidah terkenal digubah ialah Qasidah al-Burdah yang dihasilkan oleh Al-Shaykh Muhammad al-Busiri (1213-1295M.) yang disifatkan sebagai seorang yang alim dalam bidang bahasa Arab dan sasteranya. Nazamnya juga dikenali dengan judul `Al-Kawakib al-Durriyyah fi Madhi Khairil Bariyyah` - Planet-Planet Bercahaya Pada Memuji Yang Terbaik Dicipta, tetapi Qasidah ini lebih dikenali dengan judul `Qasidah Al-Burdah`. Ini adalah kerana dikatakan tatkala Muhammad al-Busiri sedang sakit, dia bermimpi didatangi Nabi Muhammad s.a.w. Baginda memberi kepada Al-Busiri selimut (Burdah) Baginda yang membawa kepada sembuhnya penyakit Al-Busiri. Mengenang terhadap rahmat yang diterima dari Nabi, maka Al-Busiri mengungkapkan rasa cinta dan mesranya terhadap Rasulullah s.a.w. (Al-Munjid. Al-Matbaat al-Kathulikiyyat, Beirut, 1927: part II, 70 & 90).
Dapatlah dikatakan bahawa Al-Burdah adalah puisi kedua terkenal tentang pujian terhadap Rasulullah s.a.w. selepas puisi syair `Banat Su`ad` oleh Ka`ab bin Zuhayr.
Qasidah Al-Burdah mengandungi 160 bayt. Qasidah ini bermula dengan ingatan dan gambaran secara syahdu terhadap jiran di Dhi Salam. Kata Al-Busiri:
Tiba-tiba teringat kepada jiran di Dhi Salam
Mengalir airmata bercampur darah berguguran
Sepoi angin berhembus dari Tilqa` Kazimah
Kilat ke kegelapan di Idam yang memanah.

Selepas membicarakan tentang kenangan (5 bayt), maka Al-Busiri membawa ingatannya dengan Nabi dan dia mengungkapkan:
Bagaimana engkau mampu memungkiri cinta
Selepas engkau menyaksikannya dengan mata kepala !
Selepas daripada itu dibicarakan tentang sifat lemah manusia termasuk dirinya terutama berdepan dengan nafsu dan syaitan. Lantaran Al-Busiri beristighfar:
Aku beristighfar kepada Allah daripada bercakap tanpa amal
Ku nisbahkan kepada turunan yang mempunyai pertalian
Dia menyuruh engkau membuat baik tapi tak kulakukan
Aku tidak istiqamah, tidaklah kataku kepadamu aku beristiqamah.
Daripada situ Al-Busiri membicarakan sifat Rasulullah yang tidak terpengaruh dengan tawaran walaupun dengan bukit daripada emas menjadi pertaruhan. Dia memuji Baginda Rasulullah s.a.w.
Muhammad Tuan bagi dua alam dan kejadian
Juga Tuan bagi bangsa Arab dan juga Ajam.
Nabi kita yang menyuruh-melarang tiada seorang
Lebih baik perkataan `Tidak` dan `Ya` jawapan
Dialah Kekasih yang diharap syafaatnya
Bagi segala kesusahan yang berdepan
Dia berdoa kepada Allah dan yang berpegang
Dengan tali yang benar kukuh tidak putus
Mengatasi Nabi dari ciptaan dan akhlak
Tidak menyamainya dari segi ilmu dan kemuliaan.
Seterusnya dicerita oleh Al-Busiri dalam nazam tentang berbagai keistimewan Nabi yang baginda diibaratkan sebagai matahari, sedang yang lain-lain adalah sebagai bintang-bintang. Dibicarakan Baginda dalam hubungan dengan sahabat baik baginda Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq yang mengiakan semua yang dilakukan Baginda dan menemani Baginda di dalam gua semasa berhijrah dan disebut tentang mu`jizat Baginda. Begitu dibicarakan tentang keistimewaan baginda dengan peristiwa Isra` dn Mi`raj yang tidak dialami oleh Rasul-Rasul yang lain.
Turut dibicarakan tentang peperangan yang dialami Rasulullah s.a.w. seperti Hunain, Badar dan Uhud. Nazam Al-Burdah yang berjumlah sebanyak 160 bayt ini diakhiri dengan doa.
Perlu disebutkan bahawa puisi yang diungkap oleh Al-Busiri, bukan bertujuan untuk menggalurkan tentang sejarah Nabi secara keseluruhan. Dalam Nazam Burdah ini disentuh aspek-aspek yang memberi sentuhan rasa, minda dan jiwa. Sejarah sebenar hendaklah dibaca dalam buku sejarah. Apa yang ditekankan ialah apa yang dapat menimbulkan rasa dan jiwa di dalam berlagu. Nazam lebih hidup sebenarnya apabila dilagukan dengan berbagai bentuk dan rentak lagu oleh pelagu-pelagu nazam berwibawa hingga dapat mnenyentuh jiwa dan perasaan apabila pelagunya berjaya menyampaikan secara terbaik bagi sebuah nazam.

Sekian.

February 21, 2015

Seni Salawat Jalur Sastera Dan Budaya Islam


BBB. 01 Jamadil Awwal 1436 = 20 Februari 2015 (Jumaat):
Telah dibicarakan bahawa antara penyair Islam terawal memuji Rasulullah s.a.w. melalui puisi syair ialah Ka`ab bin Zuhayr (m. 662M.) dan Hassan bin Thabit (m. 674M.). Konsep puji ini (madah) adalah lanjutan tema yang popular sejak zaman Jahiliyyah di samping tema-tema yang lain.
Selepas Islam konsep puji terhadap Rasulullah berubah dengan penggunaan istilah yang dikemukakan oleh  Al-Qur`an, iaitu `Salawat & Salam`  ke atas Baginda Rasulullah s.a.w. berdasarkan ayat Al-Qur`an bermaksud:


``Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat ke atas Nabi, wahai orang-orang beriman salawat dan salam kesejahteraanlah ke atas Baginda.`` (Al-Ahzab: 56).
Ayat ini dibaca oleh khatib di dalam khutbah Juma`at yang diikuti dengan Hadith Nabi s.a.w. bermaksud:
``Siapa yang bersalawat ke atasku sekali nescaya dibalas ganjaran pahala bersalawat sebanyak 10 kali.``
Maksud salawat ke atas Nabi, khususnya bagi tulisan ini ialah segala yang bermaksud `Menyanjung` Nabi Muhammad s.a.w.. Ini termasuklah Marhabun oleh penduduk Madinah ketika mengalu-ngalukan ketibaan Rasulullah s.a.w. ketika tiba Baginda dalam hijrah Baginda ke Madinah dari Makkah. Bahkan dapat dikatakan bahawa Ayat Qur`an, Hadith dan Marhaban dari penghijrahan Baginda ke Madinah ini adalah sumber awal dan utama bagi `Seni Salawat` ke atas Rasulullah s.a.w.
Antara jenis-jenis seni salawat ke atas Nabi s.a.w. ialah Marhaban, Burdah, Barzanji, Qasidah Ke Atas Nabi, Naban (Nazam). Dikir Rebana (Zikir), Maulud dan segala jenis puisi diungkap memuji Nabi s.a.w.
Antara salawat terawal yang menjadi induk bagi seni salawat ialah Marhaban yang dialunkan oleh penduduk-penduduk Madinah ketika menyambut ketibaan Nabi Muhammad s.a.w. dalam Hijarh Baginda daripada Makkah ke Madinah. Kewujudan kumpulan yang mengalu-alukan kesampaian Rasulullah s.a.w. oleh kerana di dalam mengatur strategi dakwahnya, Rasulullah s.a.w. telah mengadakan pertemuan dengan penduduk Madinah sebelumnya di Makkah yang dikenali dengan Al-`Aqabah al-Ula kepada 12 orang perwakilan dari Madinah selepas 11 tahun berdakwah, diikuti dengan Bay`ah al-`Aqabah al-Thani pada musim Haji tahun berikutnya dengan 73 orang rombongan (Johari Yaman, Mengenali Rasulullah s.a.w., Nadi Minda Resources. Rawang Selangor, 2009: 188 & 197).
Mereka adalah merupakan kumpulan awal yang menerima Islam di Madinah dan menjadi aset penting bagi menyebarkan keislaman di sana. Dari perkembangan ini menyediakan antaranya kumpulan yang menyambut kehadiran Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan gembira dengan salawat dan merhaban.


Ungkapan terkenal Marhaban menyambut Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Mengambang bulan purnama ke atas kita
Dari celah-celah Bukit Thaniyyatil Wada`
Kewajipan ke atas kita sama bersyukur
Atas seruan kepada Allah telah diatur
Wahai Rasul dibangkit menyeru kami
Pastilah apa yang dibawa kami taati.
Ungkapan spontan penduduk menerima kehadiran Rasulullah s.a.w. melambangkan kegembiraan mereka di atas kehadiran. Melambangkan kehadiran Rasulullah s.a.w. ditamsilkan sebagai bulan purnama mengambang dan kelihatan berseri-seri dari celah Bukit Thaniyyatil Wada`. Mereka bersyukur menerima dakwah dari Rasulullah s.a.w. menerima Islam dan mengakui keesaan Allah. Mereka mengakui bagi menerima dan mentaati terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s..w. Ungkapan secara spontan di atas, walaupun mudah, tetapi memberi mesej yang penting, ia memulakan langkah ke arah perkembangan Islam di Madinah dan lebih luas dari itu berikutnya.
Dilihat dari seni salawat, sambutan terhadap Rasulullah dengan ungkapan salawat tersebut, menandakan permulaan seni salawat yang kelak selepas daripada itu akan berkembang dengan luas. Maksud luas ialah pengungkapan di atas akan terus digunakan di dalam majlis-majlis maulid al-Rasul dan sambutan-sambutan yang berkaitan dengannya. Ianya juga digunakan misalnya sebagai ungkapan di dalam majlis bertahniq, berkhitan, bahkan diungkap di dalam sambutan-sambutan dan perarakan-perarakan yang mempunyai kaitan dengan agama.
Maksud luas juga, bahawa berinspirasikan ungkapan di atas melahirkan berbagai-bagai ungkapan berseni yang memuji Rasulullah s.a.w. Antaranya ungkapan puisi yang mirip kepada puisi di atas yang terdapat dalam Surat Barzanji yang terdiri dari 37 bayt (Disertai sebahagian daripadanya) bermaksud (Majlis biasanya berdiri):
Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim
Ya Nabi selamat ke atas Baginda
Ya Rasul selamat ke atas Baginda
Ya Habib Selamat ke atas Baginda
Salawatullh ke atas Baginda
(Majlis bersalawat):
Salla`l-Lah `ala Muhammad *  Salla`l-Lah `alayhi wa sallam)
Ulang sekali lagi – kemudian diikuti:
Mengambang purnama ke atas kita
Setelah terlindung segala bercahaya
Begitu cantik apa yang kami lihat
Sesungguhnya wajahnya memikat
(salawat seperti di atas – diulang dua kali)
Baginda matahari Bagindalah purnama
Bagindalah cahaya di atas cahaya
Bagindalah iksir yang bernyala
Bagindalah pelita bercahaya
(Salawat dua kali diulang)
Begitulah seterusnya tiap dua bayt diulang dua kali salawat. Tapi biasanya tidak dibacakan keseluruhan 37 bayt, sebaliknya diambil bahagian awal sekadar masa sesuai dan ditutup dengan tiga bayt terakhir bermaksud:
Dia Mengetahui yang tersembunyi dan rahsia
Dialah juga yang Amat Memustajabkan do`a
Tuhan rahmatkanlah semua kami
Hapuskanlah semua kejahatan kami
Tuhan rahmatkanlah semua kami
Dengan amalan salih dari kami.
(Diakhiri dengan salawat dua kali dan berakhir).
Suasana majlis biasanya dalam keadaan ceria, tetapi kudus dan mulia. Ianya merupakan seni budaya yang menarik yang berkembang dari tradisi salawat yang mempunyai sejarah yang begitu rapat dengan Rasulullah s.a.w. Tradisi ini terus berlanjutan dan berkembang hingga kini.

Sekian.

February 20, 2015

Pengimarahan Dan Pengisian Masjid Al-Umm


Pembinaan bangunan
Bukan mutlak kejayaan
Tapi pengimarahan dan pengisian
Adalah ukuran.

Masjid adalah tempat `Ibadat`
Dalam  membina masjid ini
Bagi mencapai hasrat ada misi & visi
Pemangkin Bandar Ilmu di Bangi
Katalis ini penggerak utama
Ketika cetusan bermula
Idealnya menjadi induk kegiatan
Surau dan institusi pendidikan kelilingan
Bernama `Wadi Ilmu` sebagai mikro
Bagi makro perluasan kawasan.

Bagi tujuan
Syura, seminar dan bengkel diadakan
Rumusan Masjid Al-Umm adalah
Pusat Ibadat
Taman ilmu
Giat masyarakat.

Selaku Pusat Ibadat
Bahawa dari azan secara nyata
Kepada ruang secara terbuka
Sentiasa menjemput kehadiran semua
Mengimarahnya dengan segala bernama ibadat
Siang dan malam mengihya`kannya
Dengan solat Jumaat dan berjamaah
 Beriktikaf dan bertilawah ayat-ayat
Tangis dan rintih yang bertaubat berkeinsafan
Istighfar, tahmid, tahlil dan tabhil berulangan
Dan tazkirah bimbingan berterusan.

Selaku Taman Ilmu
Selari tuntutan Qur`an dan Hadith
Ruang dan masanya diisi dengan pengajian
Mengiringi solat dengan panduan kitab
Dari ulama muktabar oleh guru berkalibar
Bidang, pendek dan panjang menurut kesesuaian
Adapun pada hari minggu diisi pengajian
Jangka panjang jangka pendek berpenilaian
Dihadiri pengaji-pengaji tempatan dan luaran
Disampai guru-guru jemputan dan pilihan
Dengan keilmuan lebih tinggi dan mendalam
Antaranya kerjasama dengan  institusi pilihan
Pada satu pihak ada kelas khusus muslimat
Ada kelas tahfiz bagi para huffaz
Ada kelas Al-Qur`an bagi peringkat permulaan
Ada bimbingan warga emas ala pondok moden
Ada konvensyen tahunan dengan topik pilihan.

Selaku Giat Masyarakat
Masjid menyedialan ruang
Bukan saja bagi ibadat dan keilmuan
Pada tingkat utama, atas dan bawah
Tapi pada tingkat bawah dapat diadakan
Sambutan tahunan. perayaan dan penghormatan
Mesyuarat, persidangan, akad perkahwinan
Motivasi pendidikan majlis pengiktirafan
Majlis keraian dan bantuan kebajikan
Kegiatan sukan bagi golongan muda dan dewasa
Juga perhimpunan di padang berdekatan
Atau larian kesihatan merentas kawasan
Berbagai pertandingan juga pameran.

Masjid Al-Umm
Biarlah menjadi tumpuan semua
Sama-sama mengimarah dan mengisikannya.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
29 Rabiul Akhir 1436

19 Februari 2015.

February 19, 2015

Indahnya Masjid Al-Umm Makin Menyerlah



Allah bersifat Sempurna dan Indah
Memanifestasikannya pada segala kejadian
Hakikatnya mengarah kepada Sempurna dan Indah
Menurut tahap dan kedudukan
Dan Masjid Al-Umm itu
Meskipun baru 60 peratus siap
Tapi rangka keseluruhan telah lengkap
Walaupun dengan segala kekurangan  
Tiap  elemen bersatu membantu menuju
Ke arah sempurna dan indah
Estetikanya terserlah.

Menuju sempurna indah itu
Masjid banyak mengambil bentuk bulat
Kubah, menara, mihrab dan tiang
Lambang memberi makna kesempurnaan
Kini tapak kubah paling puncak
Di atas empat tiang seri ditegak
Menunggu kubah untuk dipasang
Menjunjung kebesaran Tuhan
Menambah indah pandangan
Sedang kelilingan adalah ruang
Atap berkasau aluminium dipasang
Manakala segala dinding sedang diplaster
Sebelum tiles dipasang semua ruang
Diikuti aspek dekorasi terutama bahagian depan
Di mana adanya mihrab dan mimbar
Mendepani ruang jemaah luas terbentang.

Memasuki ke ruang hadapan melalui gerbang
Kiri kanan menara dalam pembinaan
Memuncak mengarah ke Ketinggian Tuhan
Juga masih dalam pembinaan.

Namun keadaan berbeza pandangan depan
Dari medan parkir tepi Medan Usahawan
Terserlah seni bina masjid ini
Sebelah menyebelah mihrab tingkat atas
Empat ruang arch tunduk melengkung
Lambang kelembutan dan kekhusyukan
Dengan lapan lagi lengkungan tingkat tengah
Pada kiri kanan sayap berimbangan
Di samping bahagian bawah
Ruang serbaguna bertingkap biasa
Itu semua masih dalam penyempurnaan.

Bayangkan  jika semuanya siap
Insya Allah dalam masa terdekat
Dan luaran diberi berhias taman
Bertambah daya tarikan bagi kunjungan
Menunaikan ibadat mengikuti pengajian.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
28 Rabiul Akhir 1436

18 Februari 2015.

February 18, 2015

Dengan Kepingan Keikhlasan Kami Susunnya Mendirikan Bangunan


Sedari awal 2010 hasrat murni
Mendirikan Rumah Allah tercetus kembali
Di atas tapak tersedia seusia
Institusi pemangkin kemajuan Bangi
Kini kepentingan itu makin terasa
Kerana Itulah saja tapak yang ada.



Di atas keyakinan mendapat sokongan
Pelancaran derma 19 Mac 2011 bermula
Sejak dari itu kepingan keikhlasan dihimpun
Setelah gazet tanah dipohon
Kebenaran JAIS juga disokong
Diikuti lawatan kerja MB semasa
6 Januari 2013 berikutnya terlaksana
Menambah kekuatan keyakinan
Dan mulai pada akhir tahun itu
Hasil derma institusi juga orang perseorangan
Pembinaan diputus oleh AJK dimulakan
Di atas tapak barakah menjunjung Rumah Allah
Berikutan dari penentuan arah Kiblat
Disempurna ulama terkenal setempat
Yang juga selaku Penaung dan Penasihat.

Usaha pembinaan dari kami tidak lain
Dari tanggungjawab menunaikan amanah
Hakikatnya mulai dari menanamkan cerocok
Adalah meletakkan asas keyakinan para dermawan
Seutuh sedalam tapak bangunan
Sekukuh tiang-tiang didirikan
Kami melihat mengalir keringat para pekerja
Adalah keringat dan usaha para penderma
Dari berbagai sumber usaha berbagai cara
Yang pasti hasrat mereka mau sama beramal
Melabur kebajikan mendapat pahala ganjaran
Hakikat sebenarnya yang kami lihat
Setiap keping batu batan yang disusun
Adalah helaian ikhlas yang terhimpun.


Atas keikhlasan berterusan jamaah
Setelah melebihi setahun pembinaan
Kini ketara kelihatan bangunan
Tersergam indah di pinggiran perbukitan
Maknawinya sebalik yang kelihatan
Tidak lain dari tangan jamaah sokongan
Sama mencurah tenaga menyempurnakan.

Mengejar tempoh masa
Menyiapkan bangunan adalah kerjasama
AJK-AJK, arkitek, kontrektor dan perunding
Yang berterusan bermesyuarat merancang
Mengkritik, mencadang dan  memperbaiki
Agar pada puncaknya nanti kelihatan
Masjid Al-Umm sempurna indah tersergam.

Shafie Abu Bakar,
27 Rabiul Akhir 1436

17 Februari 2015. 


February 17, 2015

Dari Perpuisian Kepada Al-Qur`an - Rumusan


BBB, 26 Rabiul Akhir 1436 = 16 Februari 2015 (Isnin):


Tradisi perpuisian (syair) dalam masyarakat Arab dapat dikesan dan diwarisi sejak awal abad ke 6M. Contoh seperti Al-Shinfari (Awal abad ke 6M.),  Amri Ibn Kalth                                                                             um (Abad ke 6M.) Al-Harth bin Hillizah (Abad ke 6M.), Imri`ul Qays (500-540M. ?) Ta`abbata Sharran (m. 530M. ?), `Antarah bin Shaddad (525-615M. ?), Zuhayr bin Abi Salma (530-627M.), Tarfah bin Al-`Abd (543-569M. ?), Labid bin Rabi`ah (560-661M. ?) `Urwah bin Al-Ward (m. 596M. ?) dan ramai lagi penyair.
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat, Jil. I, Al-Matba`at al-Kathulikiyyat, Beirut, tt: 2 – 66).
Kita telah melihat dan mengikut pembahagian secara ringkas kepada penyair-penyair Sa`alik (Gelandangan), Penyair Al-Mu`allaqat dan penyair Rasulullah bagi menunjukkan suasana, tema, persoalan, nada dan ciri budaya antara kategori penyair-penyair berkenaan (Ada pembahagian seperti Penyair Pahlawan – Al-Fursan, Penyair Khas, Penyair Istana) yang ciri tidak begitu ketara dan antaranya termasuk di dalam tiga kategori awal di atas. Walau bagaimana ada pertindihan zaman antara beberapa kategori penyair-penyair berkenaan. Misalnya Antara penyair-penyair Al-Mu`allaqat berkesempatan pada zaman Rasulullah misalnya Labid bin Rabi`ah, Al-Khansa` (m. 24H./646M.) yang masuk Islam dan komited dari segi keislaman, tetapi tidak dikategorikan sebagai penyair Rasulullah s.a.w. dan Al-Khansa` tidak tergolong sebagai penyair Al-Mu`allaqat. Ada yang mengkategorikannya sebagai kalangan penyair wanita. Mereka yang berkesempatan dua zaman Jahiliyyah dan Islam dikategorikan sebagi penyair dua zaman (Al-Mukhadramun) sama ada menganut Islam atau tidak. Adapun yang dikira sebagai Penyair-Penyair Rasulullah s.a.w. ialah penyair-penyair yang berhadapan dan berkomunikasi dengan Rasulullah dan membela Baginda, iaitu Hassan bin Thabit (m. 674M.)  dan Ka`ab bin Zuhayr (m. 662M. ?).
Sebagaimana telah dibicarakan bahawa penyair-penyair Gelandangan adalah penyair-penyair faqir yang mempunyai budaya yang rendah sebagai badui, merempat dan jalanan. Apa yang diungkapkan dalam syair ialah mengenai alam kelilingan daripada kehidupan badui dan jalanan sebagimana diungkapkan oleh Al-Shinfanri, Ta`abbata Sharran dan `Urwah bin al-Ward. Manakala penyair-penyair Al-Mu`allaqat adalah penyair-penyair elit yang puisi-puisi mereka disanjung dan diberi penghormatan bertempat di Ka`abah. Pencapaian mereka adalah lebih dilihat dari segi mutu perpuisian mereka, tetapi bukan dari segi kedudukan sosial mereka. Tokoh yang paling utama ialah Imriul-Qays yang berketurunan dari Kabilah Al-Kindi dan berpuisi sampai ke istana Diraja Qaisar Rum dan puisi-puisinya juga bermutu. Begitulah dengan penyair-penyair Al-Mu`allaqat bertujuh yang mutu puisi mereka tidak dipersoalkan. Enam yang lain ialah Tarfah bin Al-`Abd, Al-Zuhayr, Labid,  Amru Ibn Kalthum, `Antarah dan Al-Harth bin Hillizah.   Satu kesamaan antara penyair-penyair Arab ini, bahawa tema-tema puisi mereka bersifat megah, semangat,  ratap, ejek, dendanm dan menuntut bela. Aspek-aspek ini menjadikannya sebagai pembahagian bagi tema puisi mereka yang sekaligus mencerminkan sifat Jahiliyyah.
Adapun penyair-penyair dua zaman (Al-Mukhadramun) adalah semata-mata kerana keberadaan mereka pada dua zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam, tema-tema yang dibawa pada umumnya tidak berbeza dari zaman Jahliyyah. Antara mereka, walaupun berkesempatan dengan zaman Islam, tetapi tidak menganut Islam seperti Al-A`sha (Berkesempatan zaman Islam – Tak jelas tarikh). Antara mereka berkesempatan dengan zaman Islam dan masuk  Islam, tetapi tidak berubah bertabiat buruk dan bersifat  jahiliyaah, bahkan tidak membezakan antara yang halal dengan haram seperti  Al-Hutai`ah (m. 678M.), setengah daripada mereka sekadar masuk Islam dan tidak menunujukkan komitmen  mereka terhadap Islam seperti Ma`ani bin Aus (m. 650M.) dan Abu Dhu`aib al-Hudhali (m. 648M.).
Adapun yang ketara komitmen dengan Islam ialah Al-Khansa` yang turut berjihad dalam medan perang dengan tiga puteranya yang syahid dalam peperangan Mu`tah dan Zuhair bin Abi Salma (saudara bagi Al-Khansa`). Al-Khansa` juga lebih didorong berpuisi kerana dendam terhadap pembunuhan saudaranya dan kemudian anak-anaknya yang mati di medan perang. Puisi-puisinya digolongkan sebagai Puisi Rintihan (al-Ratha`).
Adapun penyair yang dinisbahkan sebagai Penyair Rasulullah s.a.w. ialah Ka`ab bin Zuhayr (m. 662M. ) yang beliau menerima Islam langsung dari Rasulullah dan memuji Baginda dengan puisi Banat Suadnya dan Hassan bin Thabit (m. 674M.) yang berinteraksi dengan Rasulullah dan Hassan diminta oleh Rasulullah mempertahankan Islam dan banyak puisi-puisi Hassan yang memuji dan mempertahankan Rasulullah.
Walaupun penyair Dua Zaman, khususnya penyair-penyair Rasulullah, mereka tidaklah membawa satu perubahan yang ketara dari segi cara pengucapan, maksudnya tidak lari misalnya dari segi tema memuji, mencela seteru, bersemangat sebagai cara pengucapan dalam mempertahankan Islam. Sesungguhnya selain dari memuji yang dipertahankan dan mencela musuh, agak kurang menyerlah dari segi  baik yang disebut secara tidak langsung atau langsung misalnya dari segi aspek-aspek ibadat dan amalan-amalan yang disuruh oleh Islam. Sebab itu untuk digolongkan puisi-puisi mereka sebagai puisi dakwah keislaman adalah kurang tepat. Mungkin kalangan penyair yang menerima Islam ini sekadar menerima Islam dan mempunyai sentimen terhadap Islam dengan membelanya, tetapi tidak begitu mendalam tentang Islam. Lagi pula sebagaimana diperkatakan, bahawa dengan keunggulan Al-Qur`an, maka tumpuan umat Islam  terarah kepada Al-Qur`an yang tinggi dari segi mutu bahasanya dan mendalam dari segi adabiyyah. Terdapat banyak elemen-elemen kepuisian di dalam Al-Qur`an dan Al-Qur`an memberi perhatian terhadap cerita yang di dalam Al-Qur`an tiga bahagian daripadanya bersifat cerita.  Al-Qur`an  membawa persoalan kewujudan secara perspektif baru, juga membicarakan persoalan-persoalan ghaib dan kerohanian. Peranan dakwah keislaman lebih didokong oleh para sahabat nabi dan wira-wira Islam. (Khalid Muhammad Khalid, Sejarah 133 Wira Terbilang, Al-Hidayah Publications, Batu Caves, Kuala Lumpur, 2009: 964 hlm.).
Puisi syair pada zaman kemunculan Islam ini tidak begitu menarik minat, apa lagi pada masa itu timbul keilmuan-keilmuan baru tentang pembacaan dan pengajian Al-Qur`an, akidah, hukum hakam, nilai dan sosialisasi yang dibawa oleh Islam yang memang diberi tumpuan oleh Islam serentak dengan usaha memperluaskan Islam.
Walau apapun, kewujudan puisi-puisi, walau pada kategori apa pun sama ada pada tahap Gelandangan dan Jalanan adalah warisan yang amat penting. Puisi-puisi dari berbagai kategori dan zaman adalah manifestasi warisan budaya dan sejarah masyarakat Arab dan Islam yang dapat dilihat sebagai bandingan dari berbagai segi seperti bahasa, sastera, sejarah, budaya, kepercayaan dan alam keliling yang dapat dibanding dengan zaman sebelum, semasa dan selepas kedatangan Islam. Misalnya di dalam membicarakan perkembangan bahasa dan tatabahasa, maka contoh-contoh dapat diambil dari puisi-puisi yang jauh kepada zaman sebelum Islam, bahkan dapat dilihat dari segi perkembangan Islam dan budaya masyarakat dibandingkan dengan zaman sebelum Islam. Begitulah banyak lagi bidang-bidang keilmuan yang dapat dilihat dengan menggunakan bahan-bahan puisi yang diwarisi sebagai warisan yang amat bernilai. Di dalam hal ini, maka dilihat Al-Qur`an membawa keunggulan yang paling bernilai yang menjadi puncak piawaiyan bagi nilai-nilai keislaman.
Dilihat dari skema Takmilah, maka adalah dilihat bahawa puisi-puisi yang membawa tema-tema Jahiliyyah seperti penyair-penyair Gelandangan dan Jalanan adalah berada di bawah dari garis  (minus dari tapak skema Takmilah), manakala penyair-penyair Al-Mukhadramun, khususnya yang menerima Islam berada pada tapak dasar Takmilah yang menonjol tentulah pada garis tengah estetika di dalam menuju kepada piawayan tertinggi dalam mana dilihat bahawa penyairnya, masih berada pada tahap asas persediaan diri dan asas pada tahap keilmuan Islam dan penyair-penyair Rasulullah adalah berada pada tahap yang lebih tinggi, tetapi pastilah masih berada pada tahap pergerakan ke atas yang tentu jauh lagi dalam menujui kepada piawayan tertinggi. Walau bagaimana semua aspek di atas sebagai  infra-struktur bagi perluasan Islam dan perkembangan keilmuannya dalam membina tamadun dan peradaban umat.

Sekian.