August 10, 2020

 

KURANG PERHATIAN

(Fikrah Bangi:  629),

BBB:  20 Zulhijjah 1441H. =  10 Ogos 2020M. (Isnin).

 

Dalam kehidupan kita dibiasakan oleh kebiasaan. Oleh kebiasaan ini kita tidak  terfikir dan tidak nampak banyak kemungkinan yang lebih baik dapat dilakukan, lantaran itu kita berterusan dengan norma biasa yang kita amalkan. Misalnya seorang petani yang bekerja di sawah berterusan bekerja di sawahnya secara  membajak dengan menggunakan tenaga kerbau. Hasil yang dituai adalah sekali setahun.. Pada hal jika kesedaran ada dengan menggunakan   trektor pembajak, kerja dapat dilakukan dengan segera dan tanaman dapat dilakukan tiga kali setahun dengan menggunakan beniih yang baik dan hasil berganda, tanpa menggunakan tenaga empat kerat dan kerbau.

Pada permulaan kemerdekaan, budaya hidup masyarakat sebahagiannya berterusan dan tidak mengalami perubahan..

Masyarakat sebeluim merdeka dan kehidupan terbahagi kepada tiga  komponan penting, iaitu orang Melayu tinggal di luar bandar dan hdup secara bersawah dan hasil  tanam-tanaman di kampung, orang India hidup di ladang dan bekerja sebagai penoreh getah bagi syarikat-syarikat yang mempunyai estet-estet yang besar, manakala orang Cina berada di bandar sebagai peniaga, antaranya bekerja di lombong dengan pendapatan yang lebih baik.

Budaya kehidupan masyarakat pada masa sebelum merdeka berterusan dan pola kelainan  dan identiti berkenaan berterusan.. Keadaan sedemikian tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kepada pemerintah, kerana mereka juga diorientasi dengan pandangan dan nilai yang sama, sehingga tidak timbul usaha bagi memperbetul dan menyusun struktur masyarakat hingga dapat menghilang atau mengurangkan pola-pola  yang membedakan masyarakat.. Atau lebih khusus mengurangkan perbezaan antara yang kaya yang biasanya di bandar dengan yang miskin yang tinggal di luar bandar dan estet-estet.

Lantaran diulik budaya tradisi ini, Tunku Abdul Rahman dilihat kurang perhatian terhadap aspek ekonomi dan perbezaan kehidupan antara kaum. Ada kesedaran timbul dari kalangan pemimpin semasa bahkan dalam kabinet Tunku Abdul Rahman. Misalnya  Aziz Ishak yang menjadi Menteri Pertanian pernah mencadangkan agar dirubah kaedah pertanian kepada yang lebih moden, tetapi Aziz Ishak terkeuar dari kabinet dengan idea radikalnya.

Keadaan yang berterusan menimbulkan keresahan di kalangan setengah masyarakat, terutama dari pimpinan yang agak celik seperti Dato` Harun Idris yang memimpin Pemuda Umno. Akibatnya beliau juga menghadapi masalah di dalam kareer politiknya. Pada masa yang sama ada timbul parti=parti kiri yang lantang seperti Parti Rakyat dan Sosia;is, tetapi tidak mampu menganjurkan perubahan, bahkan dipandang serong.

 

Dapatlah dikatakan  era selepas merdeka dan hingga akhir  1960an, Parti Perikatan yang terdiri dari Umno, MCA dan MIC adalah parti yang dominan menguasai politik tanahair, manakala Pas lebih berorientasikan agama dan kelihatan amat sukar digugat.

Kesedaran dan perubahan yang dapat dilakukan banyak bergantung kepada kesedaran pelajaran.

Sebagaimana pola ekonomi, demikian juga berlaku di dalam bidang pelajaran. Masalah yang berlaku di dalam bidang ekonomi juga berlaku di dalam bidang pelajaran.

Akan dibicarakan selanjutnya – Insya Allah.

 

Sekian.

No comments:

Post a Comment