August 31, 2013

Persuratan Kitab - Zaman Pasai

-->
BBB, 23 Syawal 1434 = 30 Ogos 2013 (Jumaat):

Perlu disebut di sini berkenaan penggunaan istilah `Sastera` dan `Persuratan`. Dalam penggunaan umum, istilah sastera merangkumi apa yang bersifat sastera termasuk juga karya Ilmu. Bagi penulis ada perbezaan dan melihat segala penulisan semuanya termasuk di bawah persuratan. Ada di bawahnya persuratan ilmiah dan sastera termasuk kreatif. Istilah `Surat` diambil dari al-Qur`an `Surah` bagi awal setiap surah di dalam al-Qur`an. Surat juga bermakna menyurat = menulis.  Di bawah Persuratan ada yang bersifat Ilmu seperti kitab Fiqh, usuluddin dan sebagainya dan di bawah persuratan juga terdapat tulisan yang bersifat sastera sebagaimana yang telah dibicarakan. Penggunaan peristilahan ini akan dibicarakan lebih detail apabila membicarakan tentang Gagasan Pesurat & Teori Takmilah.

Sebagaimana diperkatakan bahawa tradisi persuratan dan penulisan dalam bahasa Melayu dicetus dan dimulakan oleh Islam dengan pengenalan huruf al-Qur`an menjadi abjad Jawi. Dari segi logiknya tumpuan utama dari segi persuratan sejak menerima Islam di Alam Melayu ialah usaha-usaha menghasilkan karya-karya ilmu bagi menyibarkan Islam itu sendiri. Sememangnya sejak menerima Islam muncul pusat-pusat pengajian dan penyebaran agama Islam. Antara pusat-pusat pendidikan dan penyebaran Islam ialah:

1)       Pasai

Diakui antara tempat terawal menerima Islam dan menjadi antara tempat terawal bagi kebudayaan Melayu Islam (1280-1400) ialah Pasai bergelar Darul Salam. Pemerintah terkenal ialah Merah Silu yang sesudah Islam (1292M.) bergelar Sultan Malikul Sallih. Pada zaman pemerintahannya dan anaknya Malikul Mansur Pasai berkembang sebagai pusat perdagangan penting. Pasai dikunjungi tokoh-tokoh Islam penting. Antaranya Ibn Battutah pernah berkunjung ke Pasai pada 1336 M. Dia melaporkan semasa di Pasai beliau menemui Amir Dawlasa dari Delhi, Kadi Amir Said dari Shiraz dan Tajuddin seorang ahli hukum dari Isfahan. Menurut Ibn Battutah Sultan Pasai adalah seorang yang amat berminat soal-soal agama dan istananya menjadi tempat perbahasan mengenai soal-soal agama.

(Mohd. Nor Ngah (UM) dan Ismail Hamid (UKM), dlm. Hamdan Hassan (Penyunting), Islam & Kebudayaan Melayu, Utusan Publications And Distributors, Kuala Lumpur, 1979: 126).

Pasai lebih awal muncul sebagai pusat dagangan dari Melaka dan kemajuan pelabuhan dan tamadun dan peradaban keilmuan juga mendahuli Melaka. Di dalam Sejarah Melayu ada menyebutkan bahawa seorang guru di Makkah, iaitu Maulana Abu Ishak telah mengarang kitab berjudul al-Durrul Manzum. Beliau meminta muridnya yang mempelajari kitab tersebut turun ke Melaka. Dalam Sejarah Melayu ada mencatat:

``Telah berapa lamanya di laut sampailah ke Melaka. Maka sangat dipermulia oleh Sultan Mansur Shah; dan Kitab Durrul Manzum disuruh baginda arak lalu ke balairong. Maka Sultan Mansur Shah pun berguru pada Maulana Abu Bakar. Maka Sultan Mansur Shah sangat dipuji oleh Maulana Abu Bakar, terlalu amat terang hati baginda, maka banyaklah ilmu diperoleh baginda. Maka oleh Sultan masalah itu disuruh ertikan ke Pasai pada Makhdum Patakan. Maka oleh Makhdum Patakan Durrul Manzum itu diertikannya. Telah sudah maka dihantarkannya kembali ke Melaka. Maka terlalu sukacita Sultan Mansur Shah melihat Durrul Manzum itu sudah bermakna, maka makna Durrul Manzum itu ditunjukkan baginda pada maulana Abu Bakar, serta dipujinya Tuan Patakan itu. Maka segala orang besar-besar Melaka sekaliannya berguru pada Maulana Abu Bakar.``

(Shellabear, W.G., Sejarah Melayu, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 149).

Apa yang hendak ditekankan di sini, bahawa Pasai pada zaman Sultan Mansur Shah dianggap lebih menguasai keilmuan, sebab itu kitab berbahasa Arab berjudul al-Durr al-Manzum (Bukan al-Dar al-Mazlum – Penulis telah menulis mengenai tajuk ini. Al-Dar al-Mazlum bererti `Negeri Kena Zalim, tetapi kandungan kitab yang dikatakan  al-Dar al-Mazlum membicarakan soal zat, sifat dan af`al – Ianya merupakan Untaian Mutiara yang dimaksudkan dengan al-Durr al-Manzum. Judul Kitab ini (al-Durr al-Manzum) terdapat di dalam kepustakaan kitab-kitab Islam). Makhdum Patakan adalah salah seorang guru terkenal di Pasai, di samping guru-guru yang lain.

Kealiman Pasai dapat dibuktikan lagi, bahawa pergantungan Melaka dengan Pasai bukan setakat permintaan menterjemahkan Kitab al-Durr al-Manzum, tetapi banyak lagi persoalan-persoalan yang rumit terpaksa dibawa ke Pasai untuk mendapat jawapan. Sejarah Melayu mencatat:

``Arakian, maka Sultan Mansur Shah menitahkan Tun Bija Wangsa ke Pasai bertanyakan suatu masalah; Segala isi syurga itu kekalkah ia di dalam syurga dan segala isi neraka itu kekalkah ia di dalam neraka ?` dengan membawa emas urai tujuh tahil dan membawa perempuan dua orang peranakan Mengkasar, Dang Bunga namanya seorang, anak biduanda Muar, Dang Bibah namanya seorang. Adapun bingkis Sultan Mansur Shah akan Raja Pasai kamkha kuning berbunga sepucuk, kamkha ungu sepucuk, nuri merah seekor, kakatua ungu seekor. Maka titah Sultan Mansur Shah pada Tun Bija Wangsa, ``Tanyakanlah oleh Tun Bija Wangsa pada segala pendeta di Pasai, segala isi syurga itu kekalkah ia dalam syurga dan segala isi neraka itu pun kekalkah ia di dalam neraka ? Tanyakan , barang siapa dapat mengatakan dia, berikan oleh Tun Bija Wangsa emas tujuh tahil dengan perempuan dua orang ini padanya. Dan kata itu hendaklah tabalkan  oleh Tun Bija Wangsa bawa ke mari.``

(Sejarah Melayu, 1967:150).

Daripada petikan di atas menunjukkan ada beberapa orang lagi ulama terkenal di Pasai selain dari Makhdum Patakan iaitu Makhdum Muda dan Tun Hassan murid Makhdum Patakan.

Apa yang hendak ditarik perhatian juga bahawa pengajian di Pasai bukan setakat tahap biasa, sebaliknya dari persoalan yang dibangkitkan ke Pasai, bahawa terdapat mereka yang belajar dan membicarakan persoalan-persoalan yang bersifat falsafah. Ternyata apa yang ditanya dan dibahaskan ialah apa yang menjadi perbincangan oleh tokoh falsafah Islam seperti oleh Ibn `Arabi di dalam kitabnya yang berjudul Futuhat Makkiyyah dan juga dibicarakan oleh Abdul Karim al-Jili di dalam kitabnya yang berjudul al-Insan al-Kamil. Sebenarnya pengajian yang bersifat falsafah seperti itu akan berlanjutan dan menjadi perbahasan di Aceh, terutama pada satu pihak oleh Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumatrani, manakala pihak yang lain ialah oleh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Dengan ini menunjukkan persoalan-persoalan keagamaan telah dibahaskan di Pasai pada tingkat tinggi.

Dengan kedudukan pengajian sedemikian dijangka sudah ada kitab-kitab penulisan dihasilkan yang bukan setakat terjemahan. Walau bagaimana setakat yang diwarisi ialah Hikayat Raja-Raja Pasai. Kata Mohd. Nor Ngah dan Ismail Hamid;

``Dengan berkumpulnya para cerdik pandai di Pasai tidak syak lagi bidang pengajian dan penulisan telah dilakukan maupun tulisan-tulisan yang bercorak keagamaan atau kesusasteraan. Sebuah karya kesusasteraan sejarah yang mengesahkan tentang Pasai yang berjudul `Hikayat Raja-Raja Pasai` telah dituliskan. Walaupun nama pengarang dan tarikh penulisan hikayat ini sukar ditentukan, tetapi dipercayai penulisnya adalah terdiri dari seorang yang melalui disiplin keislaman kerana hikayat ini memperlihat ciri-ciri keislaman dalam gaya tulisannya.``
(Hamdan Hassan, 1979: 126).

Hikayat Raja Pasai Bertolak dari cerita dua beradik, iaitu raja Ahmad dan Muhammad di negeri Pasai hendak membuka negeri Semerlanga. Raja Ahmad mendapat anak lelaki dan Raja Muhammad mendapat anak perempuan yang dikahwinkan yang akhirnya melahirkan turunan Merah Silu. Raja Merah Silu ini adalah Raja Pertama menerima Islam di  Samudera Pasai bergelar Malikul Salleh (1292).

Dua watak utama dari kalangan ulama yang mengislamkan Malikul Salleh ialah Faqir Muhammad dan Syeikh Ismail: Catatan tentang pengislamannya:

``Apabila datang ke hadapan Merah Silu atau Sultan Malikus Salleh itu, maka Syeikh Ismail pun lalu berkata pada Merah Silu, katanya, ``Hai Merah Silu, ucap dan sebutlah olehmu akan kalimah shahadah.`` Maka Sultan Malikus Salleh pun mengucap kalimah suci itu dengan sebutan yang petah, tiada sedikit pun yang bersalahan.`` Seterusnya,
Dicatatkan yang Sultan Malikus Salleh berguru dengan Syeikh Ismail dan Faqir Muhammad:

``Telah keesokan harinya, lalu Syeikh Ismail dengan Faqir Muhammad pun naik pula ke darat dengan membawa Kitab Suci al-Qur`an ke hadapan Sultan Malikus Salleh. Maka baginda pun menyambut Kitab Suci itu dengan hormat, seraya dijunjung dan dikucupnya. Selepas itu Merah Silu pun membuka dan membaca akan kitab yang tersebut itu di hadapan Syeikh Ismail dan Faqir Muhammad. Maka tiadalah payah diajar lagi akan Merah Silu membaca Qur`an yang tersebut itu.``
Berikut dari itu rakyat jelata dihimpun dan semuanya memeluk agama Islam menurut Raja mereka Sultan Malikus Salleh.

(Abdullah Haji Musa Lubis, Kesah Raja-Raja Pasai, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 29-30).

Cerita tentang Pasai, tidak terlepas dari unsur metos dan legenda yang menjadi elemen di dalam karya-karya sastera tradisional, tetapi dari cerita, terutama dari Sejarah Melayu dan Hikayat Raja-Raja Pasai membuktikan tentang keislaman negeri Pasai lebih awal dari Melaka. Hasil dari keislaman ini mencetuskan tradisi pengajian keilmuan Islam. Pasai lebih terkehadapan dari Melaka di dalam soal-soal keilmuan Islam. Banyak persoalan keislaman yang tidak dapat diselesaikan di Melaka diangkat ke Pasai. Sebuah karya yang penting dihasilkan di Pasai dicetuskan oleh Islam ialah Hikayat Raja-Raja Pasai.

Sekian.

August 30, 2013

Sastera Penulisan - Tradisi Persuratan Melayu - Islam

-->
BBB, 22 Syawal 1434 = 29 Ogos 2013 (Khamis):

Antara yang membatas dan mensempadankan bidang sastera Melayu tradisional ialah sastera lisan yang tidak bertulis dan sastera bertulis. Sastera lisan lahir sejak kemampuan masyarakat tradisi bercakap dan mengungkapkan ungkapan-ungkapan yang bersifat sastera. Bilakah bermulanya sastera penulisan ? Sudah tentulah sejak masyarakat Melayu mengamalkan tradisi penulisan. Alam Melayu pernah menerima pengaruh Hindu-Budha, seperti pada zaman Kerajaan Sriwijaya (650-1200M.) tetapi tidak mewariskan tradisi penulisan disamping banyak mewariskan istilah-istilah Sanskrit di dalam bahasa Melayu, juga patung-patung batu yang banyak kedapatan di Bukit Seguntang dan sekitaran.

Adalah dikatakan huruf terawal digunakan ialah huruf Rencong atau Rencong Kawi dari Lampong yang ada kaitan penggunaannya oleh orang-orang di Kamboja, tetapi lenyap penggunaannya kira-kira 1000  Masihi.
(A. Samad Ahmad, Sejarah Kesusasteraan Melayu I, Pejabat Karang Mengarang, Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu, Kuala Lumpur, 1957: 30).

Tidak berkembangnya penggunaan huruf ini, kerana ianya tidak digunakan di tengah masyarakat. Bermulanya Tradisi Persuratan dalam bahasa Melayu ialah dengan pengenalan tulisan jawi kepada masyarakat sebagaimana terbukti pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh Jumaat 4 Rajab 702H. bersamaan 22 Februari 1303M.
(Syed Muhammad Naguib al-Attas, The Correct Date of The Trengganu Inscription, Muzium Negara, Kuala Lumpur: 1).

Huruf jawi ini bukan sekadar makluman, tetapi digunakan bagi perkembangan agama Islam di rantau Alam Melayu. Sejak pengenalan tulisan Jawi, ianya digunakan bagi penyebaran agama Islam di Terengganu, Pasai, Melaka, Acheh, Patani dan seterusnya merebak ke seluruh Alam Melayu.  Batu Bersurat kedua (Batu Acheh pada nisan) yang mencerminkan unsur-unsur Islam ialah yang diketemui di Minye Tujuh (Pasai) bertarikh 1380 yang menyatakan bahawa Raja pada masa itu memerintah Aceh dan Kedah. Bukti yang mencerminkan pengaruh keislaman pada batu Aceh itu lebih kemudian dari Batu Bersurat Terengganu (Winstedt, Richard, A History of Classical Literature, Oxford University Press, Kuala Lumpur – Singapore, 1972: 84).

Penggunaan utama tulisan Jawi ialah bagi mengenali dan mempelajari bacaan al-Qur`an yang sebahagian dari huruf-huruf Jawi adalah diambil dari huruf-huruf al-Qur`an. Membaca dan menulis adalah merupakan tuntutan di dalam Islam. Wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. adalah arahan mengenai membaca `Iqra` (al-`Alaq: 1), juga menyuruh menulis (al-`Alaq: 4), agar apabila dapat membaca dan menulis dapat mempelajari ilmu pengetahuan (al-`Alaq: 5). Jadi membaca dan menulis adalah arahan dan suruhan di dalam Islam. Bahkan menuntut ilmu, terutama yang fardu dan kifayah adalah wajib di dalam Islam. Atas semangat ini tradisi membaca dan menulis adalah menjadi budaya orang Islam. Para ulama pula merasa bertanggungjawab menulis dan menghasilkan persuratan yang berhubung dengan hukum hakam Islam seperti Fiqh, tauhid, tasawuf dengan menggunakan tulisan jawi.

Sememangnya priority dari segi penghasilan persuratan ialah bagi dakwah dan perkembangan agama Islam, tetapi serentak dengan itu bidang-bidang lain turut dituliskan, bahkan Sastera Rakyat yang sebelumnya diucap dan dituturkan melalui lisan juga diabadikan di dalam tulisan jawi selepas kedatangan Islam

Kemudian penulisan juga melibatkan bidang sastera dan segala bidang yang lain.

Sastera Berhubung Dengan Islam

Sebagaimana tulisan jawi digunakan di dalam menyebarkan agama Islam di Alam Melayu, sudah tentulah priority digunakan untuk menyebarkan sastera yang berhubung dengan Islam. Perlu disebutkan sungguhpun mempelajari sastera bukan diwajibkan sebagai mempelajari keilmuan Islam seperti aqidah, tauhid, akhlak dan tasawuf, tetapi keilmuan sastera juga menjadi sebahagian dari keilmuan Islam. Sebagai contoh konsep cerita menjadi sebahagian dari kandungan al-Qur`an, bahkan satu pertiga daripada kandungan al-Qur`an adalah bersifat cerita. Berbagai gaya dan pendekatan cerita dapat dipelajari dari al-Qur`an. Contoh cerita yang menarik baik dari segi bahasa dan teknik ialah cerita mengenai Nabi Yusuf a.s, Ashab al-Kahfi dan Luqman yang ketiga-tiga cerita ini menjadi judul cerita di dalam al-Qur`an. Al-Qur`an bukan saja menampilkan bentuk cerita dengan teknik dan bahasa yang menarik, tetapi juga menampilkan berbagai-bagai unsur puisi, khususnya aspek-aspek estetik. Daripada al-Qur`an menghasilkan  ilmu bahasa (Nahu, Saraf) dan Balaghah bagi mengkaji keilmuan di dalam al-Qur`an termasuklah dari aspek keindahannya (Badi`). Perlu diingat diturunkan al-Qur`an bagi mencabar para sasterawan Arab Jahiliyyah yang amat bermegah dengan kemampuan mereka berbahasa dan bersastera. Ternyata mereka mengagumi al-Qur`an dan tidak dapat menandingi. Labid seorang penyair menyatakan tentang al-Qur`an:

``Ianya merdu dan bermutu, Ianya tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.``

Oleh kerana al-Qur`an sebagai kitab panduan bagi orang-orang Islam, maka sudah tentulah cerita-cerita yang terdapat di dalam al-Qur`an menjadi keutamaan disampaikan kepada orang-orang yang menerima Islam terutama cerita-cerita mengenai nabi seperti Adam, Idris, Nuh, Hud, Saleh, Daud, Sulaiman, Ya`kob, Yusof, Ibrahim, Ismail, Ishak, Shuaib, Ayyub,Ilyas, al-Yasa`, Zulkifli, Isa, Musa dan Nabi Muhammad s.a.w. Apa lagi mengenali nabi-nabi adalah menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara himpunan cerita mengenai nabi-nabi ialah Hikayat Qisasul anbiya`.

Cerita-cerita mengenai nabi agak banyak, tetapi perlu diingat sifat cerita yang dipengaruhi elemen kreatif dan imaginatif, maka setengahnya tidak menurut fakta yang benar dan berlaku tokok tambah. Cerita-cerita mengenai Nabi seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah, Cerita nabi Lahir, Hikayat Khatim al-Nabi. Di samping itu terdapat cerita tentang mukjizat Nabi Muhammad antaranya Hikayat Tatkala Bulan Belah Dua, Hikayat Mukjizat Rasulullah, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mi`raj, Hikayat Iblis Dan Nabi, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Raja Lahad dan Hikayat Nabi Wafat.

(Ismail Hamid, Kesusasteraan Melayu Lama Dari Warisan Peradaban Islam, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1983: 24 – 43).

Antara cerita mengenai sahabat ialah mengenai Umar ibn al-Khattab, Hikayat Abu Syahmah, Hikayat Abu Bakar, Cerita Tentang Ali bin Abi Talib, Hikayat Ali Kahwain atau Hikayat Fatimah, Hikayat Nabi Mengajar Ali, Cerita Tentang Hasan da Husain, Cerita Tamim al-Dari (Ismail Hamid, 1983: 57 – 68).

Cerita-cerita mengenai kepahlawanan Islam adalah cerita yang popular dan menjadi perhatian pendengar kerana peranan mereka menyebarkan Islam dan sememangnya dalam menyibarkan Islam banyak pahlawan-pahlawan yang berjasa dalam menyibarkan Islam. Antara crita-cerita kepahlawanan ialah seperti cerita Zul-Qarnain, Sayf bin Dhi Yazan, Cerita Amir Hamzah, Cerita Muhammad Hanafiah dan Hikayat Sam`un. (Ismail Hamid, 1983: 67 – 83).

Turut menjadi tema cerita-cerita tokoh-tokoh Islam, ialah mengenai watak-watak orang salih, iaitu seperti certa Luqman al-Hakim, Cerita Jumjumah, Cerita Ibrahim bin Adham, Cerita Abu Yazid al-Bistami,  Rabi`ah al-Adawiyah, Syeikh Abdul Kadir Jaylani, Syeikh Muhammad Samman, Cerita Darma Tasiah (Ismail Hamid,1983: 84 – 96).

Peranan cerita-cerita mengenai Nabi-nabi, khususnya Nabi Muhammad s.a.w. bukan sekadar cerita sebagaimana cerita di dalam cerita rakyat, tetapi bertujuan sama menyampaikan dakwah keislaman. Dengan cara bercerita bagi mereka yang mempelajari keilmuan Islam memahami lebih mendalam bila mempelajari dan memahami tentang  kerasulan dan perutusan yang dibawanya dengan ditambah cerita tentang Nabi yang membawa perutusan keislaman. Pendidikan melalui sastera lebih mengukuhkan kefahaman dan keyakinan dengan apa yang dipelajari di surau atau tempat-tempat pengajian Ilmu.

Menerima Islam, menerima tulisan dan menerima al-Qur`an adalah satu revolusi yang mentransformkan masyarakat Melayu dari keadaan buta huruf kepada celik huruf. Pandangan wujud menjadi luas berbanding dengan pandangan sempit dan terhad sebelumnya. Tradisi pengajian dan pembelajaran bermula sama ada di rumah dibimbing oleh keluarga bersama mempelajari al-Qur`an, di masjid atau surau dan balai-balai pengajian. Pendidikan sastera Islam juga berjalan mulai melalui nyanyian tentang Nabi dan Siti Fatimah ketika ibu mendodui anak, dididik mencintai Rasulullah melalui salawat, marhaban dan barzanji seperti sambutan maulid al-Rasul dan majlis aqiqah, sedangkan pendidikan bagi orang-orang dewasa melalui surau dan masjid atau di rumah-rumah tok guru menurut jadual tertentu.

Sesungguhnya Sastera Islam menjadi sebahagian dari mekanisme pendidikan Islam.

Sekian.

August 29, 2013

Sastera Prosa: Mengkreatifkan Cara Penyampaian - Sastera Rakyat

-->
BBB, 21 Syawal 1434 = 28 Ogos 2013 (Rabu):

Sastera prosa adalah perkembangan dari percakapan bagi menyampaikan maklumat secara kreatif yang berkembang menjadi cetera, cerita, kisah, hikayat, kaba dan sekarang berkembang kepada bentuk moden yang dikenali sebagai cerpen dan novel. Semua jenis sastera di atas boleh dirangkumkan di bawah cerita. Sebagaimana masyarakat moden kita mempunyai alat komunikasi moden seperti akhbar, radio, tv, internate, maka pada zaman tradisi antara alat komunikasi, hiburan dan menyampaikan pendidikan ialah melalui cerita lisan yang dikenali juga sebagai Cerita Rakyat. Menurut Liaw Yock Fang,

``Sastera Rakyat ialah sastera yang hidup di tengah-tengah rakyat. Dituturkan oleh ibu kepada anaknya yang dalam buaian. Atau tukang cerita kepada penduduk-penduduk kampung yang tidak tahu membaca dan menulis … Cerita yang semacam ini diturunkan secara lisan dari satu generasi kepada generasi yang lebih muda.``
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klassik, Pustaka Nasional, Singapura, 1978: 1).

Pendekatan bercerita Cerita Rakyat itu pula sangat terpengaruh dengan pandangan wujud dan pandangan alam masyarakat yang melahirkannya dan juga berkait dengan tahap pemikiran dan umur bagi peringkat yang menerima cerita. Pada dasarnya cerita disampaikan bertujuan untuk pendidikan. Umpamanya untuk menyampaikan maklumat, pendidikan akhlak, menaikkan semangat, bahkan bertujuan berhiburan.

Sebagaimana bidang puisi pada peringkat permulaan tumbuh dan berkembang secara lisan, maka demikian dengan cerita. Tema-tema cerita pada pada peringkat permulaan agak mudah agar mudah difahami masyarakat yang tidak tau menulis dan membaca. Cerita-cerita permulaan yang diklasifikasikan sebagai Cerita Rakyat ialah seperti cerita asal usul sesuatu tempat. Misalnya nama Bangi antaranya dikaitkan dengan kawasan perbukitan yang pokok-pokoknya berbunga dan  harum baunya `Wangi`, sebutan Wangi bertukar kepada `Bangi`.  (Shafie Abu Bakar, Bangi Bandar Ilmu, Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, Bangi, 2011: 2).
Termasuk di bawah Cerita Rakyat juga ialah Cerita Binatang, iaitu seperti cerita Arnab Dengan Kura-Kura yang berlumba yang kerana kesombongan arnab kalah dalam perlumbaan. Watak-watak binatang di dalam cerita mampu bercakap dan berwatak semacam watak manusia. Cerita bertujuan untuk mendidik anak-anak agar tidak sombong dan takabur. Terdapat pula Sastera Rakyat bersifat Jenaka. Antara yang popular ialah seperti Cerita Pak Pandir yang berwatak bodoh yang tidak tanduknya melucukan dan merugikan, manakala cerita Lebai Malang yang menggambarkan orang tamak yang terlepas semua jemputan kenduri kerana tamak menyebabkan ia rugi. Cerita-cerita jenaka yang lain ialah Pak Kaduk, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin dan Musang Berjanggut.
 Cerita-cerita di atas setengahnya agak ringan, mudah dicerita oleh sesiapa dan mudah difahami dan diterima oleh khalayak pendengar. Walaupun cerita-cerita di atas banyak berunsur lucu dan hiburan, tetapi sarat dengan pendidikan dan pengajaran.

Cerita Penglipur Lara.

Kisahnya biasa terjadi diistana. Mengagungkan raja yang memerintah. Berbagai peristiwa menghalang raja, misalnya tiada berputra, terpaksa mengembara, menghadapi berbagai-bagai ujian yang akhirnya mendapat kejayaan. Rakyat turut sama bergembira. Contoh cerita ialah Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Raja Donan, Raja Ambung,
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klassik, Pustaka Nasional, Singapura, 1978: 13 – 18).

Satu jenis cerita rakyat ialah Metos

Terdapat cerita-cerita rakyat (lisan) yang lebih berat yang biasanya dicerita oleh tukang-tukang cerita yang lebih mahir iaitu Metos menurut Zalila Sharif dan Jamilah Ahmad:

``Metos biasanya merupakan cerita-cerita sederhana yang terdiri dari beberapa motif. Dalam masyarakat yang sudah menganggapnya sebagai dongeng …Dalam masyarakat Iban  umpamanya, mitos mereka adalah berkisar di sekitar asal usul adat, upacara yang berkaitan padi, ramalan beburung dan organisasi sosial mereka.`` (Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad, Kesusasteraan Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 107).

Metos antaranya rapat dengan kepercayaan agama Hindu-Budha, misalnya banyak  cerita-cerita dipengaruhi Hindu-Budha mengaitkan kelahiran anak raja dari buluh betung,  jelmaan dari buih dan menunggang gajah. Cerita metos ini bertujuan mengagungkan watak, misalnya turunan raja dengan mengaitkan dengan sifat-sifat ajaib dan super- natural, agar masyarakat memandang suci dan agung, menghormati dan mematuhinya.

Terdapat sastera rakyat yang kandungannya lebih berat dan jalan ceritanya lebih panjang dan disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang lebih professional, tidak jarang dalam penyampaian cerita digunakan alat bunyian seperti cerita Hikayat Anggun Cik Tunggal yang dituturkan oleh Pawang Ana seorang Penglipurlara terkenal, Cerita Si Gembang atau Teluk Bidung Kota Lama yang dituturkan oleh Pak Nik Abdul Rahman bin Nik Dir yang terkenal di Kelantan sebagai Tok Dalang Wayang Kulit, Cerita Awang Lutung dituturkan oleh seorang Tukang Cerita di Kampung Mentuan, Daerah Bachok, Kelantan dan Hikayat Terung Pipit sebuah cerita rakyat penglipur lara dari daerah Kedah-Perlis (Mohd Taib Osman & Abu Hassan Sham, Warisan Prosa Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1983: 1 – 85).

Termasuk di bawah Sastera Rakyat ialah cerita yang bersifat legenda. Menurut Zalila & Jamilah, leginda:

``Adalah cerita prosa rakyat yang ditokohi manusia yang ada kalanya memiliki sifat-sifat luar biasa dan dibantu oleh kuasa atau makhluk ajaib. Cerita-cerita legenda juga dipercayai oleh penuturnya pernah benar-benar terjadi dan juga oleh masyarakatnya.
Antara tokoh-tokoh legenda ialah seperti Panglima Salleh di Johor dengan kisah parang terbangnya di dalam menghadapi musuhnya. Cerita Si Tenggang yang menderhakai ibunya, Puteri Saadong seorang Raja yang pernah memerintah Kelantan, Leginda Mahsuri di Pulau Langkawi.
(Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad, 1993: 108 -110).

Jadi cerita legenda umumnya wataknya wujud, tetapi ditokok tambah bagi menunjukkan kehebatannya. Watak ditokok tambah terjadi juga kepada alim ulama. Misalnya Tok Pulau Manis, di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu Pengarang Sharah Hikam Melayu abad 18M., diceritakan semasa di Makkah dia boleh ghaib pulang ke Terengganu mengambil buah durian di hadapan rumahnya untuk ditunjukkan kepada sahabat-sahabatnyanya di Makkah bagaimana bentuk buah durian. Tuk Pulau Manis adalah seorang alim di Terengganu. Pengagungan terhadapnya menyebabkan cerita mengenainya ditokok tambah di luar dari rasional.

Kreatif

Cerita Rakyat mempunyai keindahan dan daya kreativiti tersendiri yang mencerminkan kemampuan Pencerita/Penutur menggunakan bahasa secara kreatif. Sebagai contoh gambaran Kuala Bandar Muar dalam cerita Malim Dewa:

``Terlalu amat besar takhta kerajaan baginda itu, cukup dengan sekalian orang besar-besar menteri hulubalang sida-sida bentara sekaliannya serta pula rakyat tenteranya. Maka terlalu indah negerinya itu:

Kota melintang empat persegi
Lompong meriam memutih kelihatan
Kedai beratur berbaris-baris
Pohon nyiur berbanjar-banjar
Pohon pinang seperti pagar
Istana besar sembilan ruang
Balai penghadapan pesiban agung
Tujuh ruang tujuh pemanah
Selejang kuda berlari-lari
Selelah burung terbang
Tiang sudut menteri delapan
Tiang panjang Maharaja Lela
Tiang tengah syukur menanti
Tiang dapur tanggung olek
Galang-galang ular berang
Kasau kecil puteri menyembah
Kasau lentik helang berbega
Penuh sesak hamba sahaya
Ada yang empat senama
Ada yang lima senama
Dilaung di rumah ditanah menyahut
Dilaung di tanah dirumah menyahut.

(Hikayat Malim Dewa, Malaya Publishing House Ltd., Singapura, 1960: 1).

Untuk menabalkan Tuanku Gombang Malim Dewa, setelah ayahanda baginda ghaib ke Makkah, maka dibuat pengumuman dan panggilan:

Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Pasang bedil di atas kota
Meriam bergelar tong balam.

Mendengar pengumuman semua rakyat datang:

Yang capek datang bertongkat
Yang buta datang berpimpin
Yang pekak leka bertanya
Yang kurap mengekor angin.

(Hikayat Malim Dewa, 1960: 5).

Demikian indahnya ungkapan digubah Penutur yang pasti menjadi khazanah bahasa yang amat berharga. Gaya cerita dan gambaran estetik sedemikian terdapat juga di dalam cerita-cerita rakyat yang lain. Di dalam Hikayat Terung Pipit digambarkan oleh Penutur tentang panau seorang watak bernama Bongsu Emas bahawa:

Panau di kening bintang bertabur
Panau di pipi pauh dilayang
Panau di leher berintik kuang
Panau di lengan bergelang puyuh
Panau di rusuk bersiku keluang
Panau di belakang bertapak catur
Panau di dada boleh dibuat ganti hikayat Jawa.

(Panglima Ali Mudin Bin Panglima Hassan, Hikayat Terung Pipit, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1985: 26).

Kehebatan Meriam Siam Bayu Sang Gangga digambarkan di dalam Hikayat Terung Pipit:

Gentar bumi gunung berlaga
Jika orang mengandung putera sembilan bulan
Nescaya gugur belaka
Dan lagi kera di julai
Habis jatuh ke tanah yang rata
Dan kerang di arus pun
Habis naik ke daratan belaka
Dan kayu bakau dan tengar di pantai
Habis tinggal lurus sahaja
Dan dipusingnya tiga belit Pulau Perca
Daripada Mengkaleh dilangsungnya ke tanah Jawa
Dan penyudahannya dilangsung mati di tanah yang mulia
Di Hulu kepala kubur Tuk Hawa.

Demikian kreatif Penutur dan mengasyikkan pendengar. Cerita rakyat bersifat prosa disulam dengan gambaran-gambaran kreatif berestetik menjadikannya amat menarik.

Sekian.

August 28, 2013

Sastera Sebagai Penyimpan Maklumat Memikat - Puisi

-->
BBB, 20 Syawal 1434 = 27 Ogos 2013 (Selasa):

Mengungkapkan bahasa adalah meluahkan pendapat atau pertanyaan secara teratur yang datangnya dari yang berfikir (manusia rasional di dalam ilmu mantiq dipanggil sebagai haiwan natiq - bercakap), kerana ada pada manusia akal (minda). Tetapi apa yang lahir di dalam pengungkapan bukan sahaja bersifat minda, tetapi juga elemen rasa, hati dan jiwa. Lantaran aspek-aspek ini menjadi sebahagian dari diri manusia. Manusia memang berfikir, selain dari bercakap mereka berfikir bagi menyelesaikan masalah, manjalankan urusan dan berbagai perancangan yang antaranya diluahkan melalui percakapan, penulisan atau rakaman. Selain dari itu manusia juga mengalamai berbagai-bagai situasi di dalam kehidupannya. Pada ketika-ketika dia serius, pada waktu yang lain dia riang, ada ketika dia duka, marah, santai, tenang dan tawaduk. Elemen-elemen dan mood seperti ini boleh mempengaruhi percakapan, penulisan dan rakaman seseorang di dalam bahasa biasa. Tetapi di dalam diri manusia ada aspek kemampuan seni dan kreativiti yang dipengaruhi perasaan dan hati nurani, di samping akli. Bagi yang berjiwa kreatif, dia melahirkan ungkapan-ungkapan yang mempunyai elemen-elemen seni yang pada peringkat permulaan bersifat asas dan bersahaja, tetapi ianya boleh berkembang kepada bidang yang khusus, menarik dan memikat baik di dalam ungkapan yang bersifat puisi, maupun yang bersifat prosa. Menggambarkan ungkapan-ungkapan sedemikian S. Takdir Alisjahbana mengatakan pada peringkat permulaan:

``Kita berhadapan dengan puisi dan prosa rakyat yang tidak tertulis dan tidak pula diketahui siapa yang menciptakannya. Sebahagian yang besar daripadanya mempunyai peranan dalam kehidupan masyarakat dan diucapkan pada kejadian-kejadian yang penting dalam kehidupan rakyat seperti waktu upacara perkahwinan, waktu mendirikan rumah, waktu menuai padi. Sebahagian berupa ratap tangis waktu orang meninggal, mantera-mantera untuk bermacam kejadian seperti berjalan di hutan, menyeberangi sungai, untuk menangkap buaya dan sebagainya.
(S.Takdir Alisjahbana, Kesusasteraan Indonesia Sebagai Cermin Pembebasan, Dewan Bahasa, Disember 1962: 534).

Apa yang terlahir pada masyarakat tradisi di atas adalah mencerminkan tahap budaya masyarakat tersebut yang sekaligus menyimpan khazanah budaya berkenaan. Kata Asmah Haji Omar:

``Bahawa bahasa mencerminkan kebudayaan penuturnya, yakni cara hidup mereka dan juga sekitaran fizikal dan sosial mereka. Fungsi bahasa yang seperti itu dipikul oleh perbendaharaan katanya.`` Tambah Asmah,

``Kemampuan manusia melakukan persepsi terhadap alam nyata di samping itu menimbulkan apa yang dipersepsikan dalam konsep-konsep yang diwujudkan oleh bahasa merupakan pandangan atau penglihatannya terhadap dunianya (worldview, weltanschauung).``
(Asmah Haji Omar, Prof. Dr., Bahasa Dan Alam Pemikiran Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1986: 2-4).

Bahasa puisi mempunyai perbezaan dari bahasa prosa. Ianya diungkapkan bukan secara langsung, tetapi berlapik, berimej, berlambang dan berhias dengan bunga-bunga bahasa. Perutusan bersifat berselindung yang perlu diperhati, diamati dan digali maksudnya. Kadang-kadang maksud berlapis dan memerlukan huraian dan tafsiran. Ini mencerminkan kehalusan rasa, seni bahasa, sastera dan budaya masyarakatnya. Ada berbagai-bagai bentuk puisi yang yang berkembang di dalam taman budaya bangsa. Ini mencerminkan kreativiti dan inovasi masyarakat yang melahirkannya.

a)      Puisi Bebas

Dilihat kepada pengungkapan puisi, dia berkembang dari puisi bebas yang dikategorikan sebagai sastera rakyat. Umpamanya dapat dilihat dari jampi pelindung bagi ibu yang melahirkan anak yang mencerminkan kepercayaan masyarakat tradisional dan pandangan alam – di sini bidan mengungkapkan:

Janganlah engkau mungkir setia padaku
Janganlah kau bawa bencana pada anak cucuku
Matilah engkau ditimpa daulat empat penjuru alam
Mati ditimpa malaikat empat puluh empat
Mati disula besi kawi
Mati dipanah halilintar
Mati disambar kilat senja
Mati ditimpa al-Qur`an tiga puluh juzuk
Mati ditimpa kalimah Allah.
(Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad, Kesusasteraan Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993: 132).

b)      Teromba

Dalam teromba yang merupakan puisi bebas dapat dilihat tentang sistem masyarakat Beradat Perpatih di negeri Sembilan. Adat bagi mereka adalah aturan yang dingat yang merupakan budaya lisan diwarisi dari mulut ke mulut dan dipatuhi;

Sepanjang tutur nan yang didengar
Waris nan dijawat
Pusaka nan ditolong
Sepatah berpantang hilang
Sebaris berpantang lupa
Adat itu tersirat
Bukan tersurat.

Bagi pendukung Adat Perpatih, mereka menganggap adat yang diwarisi adalah aset yang amat berharga. Bagi mereka ajaran Adat Perpatih itu diamalkan dahulu, kini, esok dan sampai bila-bila sebagaimana ungkapan adat berikut:

Elok-elok jalan ke gua
Naik batang turun batang
Berjalan mari di hari petang
Adat Perpatih jadi petua
Ibarat bulan di pagar bintang
Kok tidak, bak aur dielak songsang.

(Mohd Rosli Saludin, Teromba Sebagai Wahana Komunikasi Adat Melayu Tradisional, Karisma Publications Sdn. Bhd., Shah Alam, 2010: 169).

Jadi Teromba sebagai Kitab Hidup di dalam ingatan dan diulang-ulang sebagai ingatan sebelum ianya diperturunkan pada zaman tulisan.

c) Pantun

Genre puisi tradisional yang paling penting dan paling asli sebagai puisi Melayu ialah pantun. Pantun boleh membawa berbagai tema dan bentuk seperti pantun sekerat, dua kerat dan lebih dan pantun berkait. Ciri pantun mempunyai pembayang dan maksud, tiap baris mempunyai antara 09 -12 suku kata, contoh:

Puas sudah kutanam padi
Nenas juga ditanam orang
Puas sudah kutanam budi
Emas juga dipandang orang

(Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989; 133)

Bagi puisi serangkap (dua baris), lebih pendek dan kurang suku kata. Contoh:

Ada hujan ada panas
Ada hari boleh balas.

Habis fakir jangan bohong
Salah jawab kena rempong

(Harun Mat Piah, 1989: 147).

Masyarakat Melayu melihat ciri keindahan antaranya bersifat berpasang-pasang hasil pemerhataian mereka terhadap fenomena alam. Misalnya manusia berpasang-pasang, lelaki perempuan. Anggota tubuh seperti kaki tangan berpasang-pasang. Keindahan bertambah indah jika ianya bersifat terselindung, jika ianya didedah secara terbuka, maka hilanglah daya tarikan dan rasa ingin tahu. Demikian maksud panting yang halus dan berlapis berselindung di sebalik pembayang dan maksud. Ianya perlu dicari, diteliti dan digali bagi memahaminya.

d) Syair

Syair dan juga nazam yang hampir sama cirinya adalah bentuk puisi yang berasal dari negeri Arab dan dipinjam menjadi puisi Melayu. Bentuknya a, a, a, a,. Biasanya membawa tema keagamaan dan nasihat. Contoh:

Sepatah pengajaran menambahi akal,
Baik daripada emas sebungkal,
Adanya lama disimpan kekal,
Terimalah dengan hati yang pukal.

Banyakkan jasa wahai teruna,
Hidupmu biar memberi guna,
Kamu yang mati jasa tak fana,
Lamun buahnya elok sempurna.

(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965: 229).

e) Gurindam

Gurindam ialah puisi dua-dua baris. Temanya membawa suasana riang, senda gurau dan tekateki. Tetapi puisi ini identik dengan Raja Ali Haji dengan Gurindam Dua Belas yang membawa tema keagamaan dan juga nasihat. Contoh:

Ini Gurindam Fasal yang Pertama

Barang siapa tiada memegang agama
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barangsiapa mengenal yang empat
Maka itulah orang yang makrifat.

Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barang siapa mengenal diri
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.

Barang siapa mengenal dunia
Tahulah ia barang yang terpedaya

Barang siapa mengenal Akhirat
Tahulah ia dunia mudarat.

(Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 278).

f) Berbagai Puisi Yang Lain

Selain daripada lima jenis puisi di atas terdapat berbagai-bagai jenis puisi yang membawa berbagai persoalan dan maklumat yang juga sebagai arkif budaya baik dari segi bentuk, isi dan perutusan. Puisi-puisi yang lain ialah seloka, talibun, mantera, dikir, bahkan puisi moden iaitu Sajak yang sengaja tidak dibicarakan kerana lumrah diketahui adalah merupakan khazanah-khazanah maklumat yang menyimpan aspek-aspek budaya di dalam bentuk kreatif yang menjadi bahan perpustakaan dan arkif, bahkan permuziuman sebagai warisan generasi sekarang dan akan datang.

Sekian.

August 27, 2013

Adat Budaya Penyimpan Khazanah Utama

-->
BBB, 19 Syawal 1434 = 26 Ogos 2013 (Isnin):

Dalam kehidupan, kita berterusan mengalami perulangan, cakerawala beredar melalui orbitnya berulang, bumi bergerak berulang 24 jam sekali sehari semalam, dan hari berulang siang dan malam. Rutin kehidupan kita juga berulang siang bekerja, malam berihat, berulang makan dan minum menurut waktu. Demikian amalan dan perlakuan kita turut berulang. Petani menurut musim bertanam padi dan menuai. Pohon-pohon juga berulang berbuah menurut musim. Seorang juga berterusan bersama dengan ibu bapa dan keluarga dan perlu berkelakuan sesuai dengan nilai dan adab terhadap mereka. Di dalam pergaulan masyarakat ada pula nilai-nilai bagi setiap individu berkelakaun terhadap masyarakatnya dan beradab bila bercakap dan berhubungan. Bahkan menurut Nordin Selat:


``Yang menjadi penggerak kelakuan ialah nilai. Nilai ialah tanggapan, fikiran dan konsep tentang sesuatu yang dikatakan ``level of the mind``. Tiap-tiap masyarakat ada sistem nilainya (Nordin Selat, Dr., Sistem Sosial Adat Perpatih, Utusan Melayu (M) berhad, Kuala Lumpur, 1976: 1).

Bagi individu dan keluarga perlu ada kediaman yang sebahagian besar dari masa sekeluarga berada di rumah mereka. Mereka perlu berpakaian yang sesuai dengan klimet dan persekitaran. Bila bekerja perlu mematuhi peraturan. Dalam masa tertentu ada acara-acara adat dan keagamaan seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata, menyambut hariraya, menziarah jiran tetangga dan berbudi bahasa dengan mereka. Bagi si anak perlu belajar dari peringkat rendah ke peringkat tertinggi. Apa yang diamalkan yang berulang-ulang memberi pengalaman, mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang yang dipilih, mana yang ditolak. Segala nilai yang baik yang antaranya ditentu oleh nilai agama, aturan sosial  dan budaya maka ianya diterima sebagai nilai `Adat` yang baik yang menjadi norma masyarakat. Istilah `Adat` sendiri yang berasal dari perkataan Arab (Islam) bererti perulangan yang menjadi adat sebagai nilai yang baik. Nilai yang baik dihormati, dijaga dan diamalkan. Ianya secara tidak langsung menjadi aturan bagi masyarakat dan khazanah budaya yang berharga. Antara khazanah adat budaya seperti kaedah kepimpinan, aturan pemilikan hartanah, bentuk rumah yang didirikan, adab sopan dengan keluarga dan masyarakat, jenis-jenis makanan dan masakan, berbagai peralatan dapur, berbagai jenis pakaian digunakan, kaedah-kaedah pekerjaan seperti petani, nelayan, boroh,  kenderaan dan alat-alat perhubungan, bagaimana upacara bagi perkahwinan, perayaan dan sambutan-sambutan, konsep gotong royong, kaedah pembelajaran, juga acara-acara kematian. Segala perkara yang diperkatakan, bahkan segala perkara berhubung dengan tindaklaku adalah termasuk di bawah  budaya. Kebudayaan menurut E.B. Taylor sebagaimana dipetik oleh Slamet Sutrisno ialah:

``Culture or civilization is the complex whole which includes knowledge, belief, art, morals, law, custom, and any other capabilities and habits acquired by men as members of society.``

(Slamet Sutrisno, Refleksi Pra-Strategi Kebudayaan, dlm. Tugas Filsafat Dalam Perkembangan Budaya, Penerbit Liberty, Yokyakarta, 1986: 4).

Difahami dari definisi di atas dan huraian berikut:

``Kebudayaan menunjukkan suatu pengertian yang luas dan kompleks. Di dalamnya tercakup baik segala sesuatu yang terjadi dalam dan dialami oleh manusia secara personal dan secara kolektif, maupun bentuk-bentuk yang dimanifestasikan sebagai ungkapan peribadi seperti yang dapat kita saksikan dalam sejarah kehidupannya, baik hasil-hasil pencapaian yang pernah diketemukan oleh umat manusia dan diwariskan secara turun temurun, maupun proses perubahan serta perkembangan yang sedang dilalui dari masa ke semasa.``
(Soerjanto Poespowardojo, Alam Fikiran Dan Kebudayaan, dlm. Tugas Filsafat Dalam Perkembangan Budaya, Penerbit Liberty, Yokyakarta, 1986: 28).

Jelaslah ruanglingkup kebudayaan amat luas dan semuanya bernilai dari segi kajian dan perkhazanahan termasuklah permuziuman. Apa yang berlaku dan terakam sebagai manifestasi bagi kebudayaan tidak dapat dirangkum semuanya untuk diabadikan sebagai khazanah berharga. Dalam hal ini perlu dibuat penilaian dan pemilihan:

1)      Artifek Budaya Bernilai Tinggi


Antaranya Artifek Budaya bernilai tinggi, makanya perhatian diberi keutamaan terhadap artifak budaya bertaraf sedemikian. Contoh penemuan Batu Bersurat Terengganu yang begitu istimewa. Ianya tidak saja teristimewa bagi negeri Terengganu, tetapi bagi sejarah dunia dan umat Islam. Darinya didapati maklumat tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu dan khususnya bagi negeri Terengganu. Peraturan dan perundangan Islam dilaksanakan di Terengganu sejak 702H/1303 M. Dengan Batu Bersurat Terengganu membuktikan bahawa Tulisan Jawi mulai digunakan di Terengganu yang kemudian menjadi tulisan utama bagi memperkembangkan agama Islam di Alam Melayu. Sesungguhnya Batu Bersurat Terengganu memberi imej yang baik bagi negeri Terengganu.

Contoh yang lain sejarah pemubukaan Kolej Islam di Kelang pada tahun 1956 yang bangunannya diserahkan oleh Sultan Hishamuddin Shah, Sultan bagi negeri Selangor pada masa itu amat penting kepada imej negeri Selangor dan sejarah pendidikan Negera. Kolej Islam adalah pusat Pengajian Tinggi pertama didirikan di Malaysia dan menjadi induk bagi pusat-pusat pengajian Tinggi di Negara ini, khususnya di dalam bidang keislaman. Ianya dapat dijadikan induk bagi mempromosikan Selangor sebagai Hub Pendidikan dan pelopor Pengajian Islam. Hasrat mewujudkan Muzium Pendidikan dan Keislaman di Kelang adalah tepat. Bangunan Pejabat Agama Islam Lama yang diserahkan kepada PADAT perlu segera dibangunkan sebagai Muzium Pendidikan & Islam di Selangor dan konsepnya perlu dibincangkan.

2)      Hasil Keluaran Setempat

Contoh penghasilan kain songket adalah berasal dari Terengganu. Ianya menjadi imej yang baik bagi negeri Terengganu sebagai penghasil awal pakaian budaya yang dipakai pada hari-hari kebesaran budaya, majlis perkahwinan dan sebagainya. Sebab itu negeri Terengganu patut memberi perhatian kepada industri tenunan songket dan mempromosikannya. Begitu juga Selangor yang cuba mencari identiti dari tenunan telepuk dan kelinkang yang jika berjaya dapat dijadikan imej pakaian bagi Selangor dan mempromosikannya.

3. Prioriti Kepada Bidang

Oleh kerana bidang budaya begitu luas, maka pihak tertentu, katakan muzium memberi tumpuan terhadap bidang yang rapat dengan muzium, manakala bidang yang lain, walaupun termasuk di bawah bidang budaya dan warisan seperti bidang sastera, maka keutamaan tidak diberi oleh kerana sudah ada agensi yang memberi perhatian, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Begitu juga berhubung dengan seni kraft sudah ada agensi yang berhubung dengan bidang tersebut. Begitulah dengan bidang-bidang yang lain yang diberi perhatian oleh agensi-agensi tertentu seperti senilukis yang sudah ada Balai Seni Lukis dan seni khat yang diberi perhatian oleh Yayasan Restu. Walau bagaimana adalah wajar pihak katakan permuziuman mengabadikan aspek-aspek menarik bagi bidang-bidang berkenaan.

4. Istimewa Geografi & Pengeluaran

Lokasi dan kedudukan setempat misalnya negeri Terengganu berdepan dan terbuka kepada pantai laut memanjang negeri itu dari sempadan dengan negeri Kelantan di utara dan dengan negeri Pahang di Selatan, maka sebahagian rakyat negeri Terengganu bekerja di dalam pekerjaan yang berhubung dengan laut, maka Muzium Terengganu wajar memberi tumpuan terhadap Muzium Miritim. Sememangnya Muzium Terengganu berada di tepi Sungai Terengganu dan tidak jauh dari Kuala. Tumpuan tidak saja diberi kepada kehidupan nelayan, perahu-perahu dan peralatan, tetapi juga terhadap hasil tangkapan dan produk darinya seperti kropok, nasi dagang (ikan aya – tongkol), sata dan sebagainya. Konsep maritin hendaklah juga termasuk pelantar cari gali dan pengeluaran petroleum yang berhadapan pantai negeri Terengganu.

Bagi negeri Selangor, walaupun ada pantai, tapi tidak seelok pantai negeri Terengganu. Tumpuan yang dapat diberikan oleh Negeri Selangor dari segi permuziuman, bahawa negeri Selangor adalah gerbang keluar masuk ke Negara ini, melalui Pelabuhan Kelang dan Lapangan Terbang KLIA yang berada di negeri Selangor dan boleh dikaitkan dengan perkembangan industri dan pelancongan di negeri Selangor.

5. Daya Tarikan Ramai (Popular)


Satu daya tarikan bagi semua masyarakat ialah bidang sukan, khususnya bidang bola sepak. Selangor relatifnya terkemuka dalam bidang bola sepak dan dalam sejarahnya menjuarai di dalam berbagai jenis pertandingan dan Selangor sendiri menghasilkan tokoh-tokoh sukan seperti dalam bidang bola sepak dan badminton, maka hasrat Muzium Negeri Selangor untuk mengadakan Muzium Sukan di bangunan berhampiran (Anggerik) dengan bangunan muzium induk (Cempaka)  amatlah bertepatan dan projek ini tidak seharusnya ditangguh begitu lama dan bangunan yang disediakan tidak seharusnya terbiar – tanpa pengisian. Bagi negeri Terengganu, aspek yang dapat menarik orang ramai ialah menggunakan tarikan alam semula jadi bagi mempromosikan negeri Terenganu bersama muzium. Promosi yang dimaksudkan ialah memperkenalkan pulau-pulau yang menjadi daya tarikan pelancongan seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau tinggol dan Pulau Kapas sebagai warisan alam. Penyediaan infra-struktur sebagai tempat pelancongan hendaklah disediakan dengan sebaik mungkin, termasuk juga mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan di Hulu Terengganu.


Bidang Adat dan Budaya begitu luas, permuziuman tidak mampu menumpu dan merangkumi semua bidang, tumpuan tidak sepatutnya pada aspek-aspek biasa yang menjadi lumrah di tempat lain dan tidak lagi menjadi daya tarikan pengunjung. Sebaliknya tumpuan hendaklah diberi terhadap aspek-aspek menarik yang menjadi identiti negeri. Batu Bersurat dan Bangunan Muzium merupakan imej-imej yang kukuh bagi negeri Terengganu, Selangor hendaklah memilih imej yang mencerminkan identiti pendidikan seperti aspek menarik (seni bina) bagi bangunan asal (Istana) bagi Kolej Islam Kelang dan Imej Muzium Sultan Alam Shah kini.

Sekian.

August 26, 2013

Membina Maklumat & Mengekalkannya Sebagai Panduan

-->
BBB, 18 Syawal 1434 = 25 Ogos 2013 (Ahad):

Firman Allah:

``Mahasuci Engkau (Ya Allah) ! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah Yang Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana.`` (Al-Baqarah: 32).

Sesungguhnya insan amat lemah dari ilmu pengetahuan dan untuk mendapat maklumat pada peringkat permulaan ialah berguru dengan kehidupan dan alam sekeliling itu sendiri. Sesungguhnya manusia pada peringkat permulaan tidak mengetahui apa-apa. Berdepan dengan kewujudan perlu kepada pengenalan. Peringkat permulaan ialah dengan memberi nama terhadap sesuatu, sebagaimana firman Allah:

``Dia mengajarkan kepada Adam akan segala nama-nama benda dan kegunaannya``
(Al-Baqarah: 31).

Penyimpan Khazanah Maklumat: Bahasa

Mengenali sesuatu dengan menamakannya bererti merokodkan sesuatu apa yang dinamakan agar berbeda dengan yang lain, juga bererti membuka pintu keilmuan. Bercakap bererti mengatur dengan fikiran untuk menyusun kata yang ditanda dengan sebutan tertentu –  di dalam percakapan, berhubung dengan maklumat berkenaan.
Agak menarik tentang sejarah terciptanya perkataan-perkataan di dalam saesuatu bahasa. Ianya sudah tentulah bermula dengan sesuatu yang dekat dengan diri dan lebih mudah disebut seperti `ma` bagi ibu, `pa` bagi bapa, `bang` bagi abang, `dik` bagi adik. Setengah perkataan digubah berasaskan bunyi sesuatu itu seperti `gong` bagi yang berbunyi sedemikian, `pitpit` bagi burung pipit kerana bunyinya sedemikian. Begitu juga `belatuk` bagi burung belatuk kerana tabiatnya suka mengetuk-ngetuk batang kayu.
Tetapi banyak dari perkataan mistri dari segi sejarah penciptaan yang terpaksa dibuat kajian.

Setengah perkataan adalah bersifat pinjaman hasil interaksi masyarakat dengan masyarakat yang lain seperti `sembahyang` dipinjam dari Sanskrit, `budi` dipijam dari Hindu, begitu juga `jaya`. Manakala `Sabar`, `hadir`, `wahyu` `hisab` adalah dari bahasa Arab. Meja dan almari dari bahasa Portugis dan enjin, gas, teknologi dari bahasa Inggeris dan berbagai lagi.

Satu proses dalam penghasilan bahasa ialah gambaran dari suasana yang dialami diri:

``Perkembangan yang seterusnya dan yang amat penting ialah kemunculan konsep-konsep yang tidak berkait dengan mana-mana benda yang nyata. Kegembiraan dan kesedihan, konsep masa dan ruang dan hidup dan mati tidak wujud di dalam alam kenyataan, tetapi mereka wujud di dalam alam perkataan-perkataan dan alam konsep. Oleh itu dengan pertolongan perkataan-perkataan, manusia hari ini boleh menggunakan konsep-konsep yang paling abstrak.``

(Aleksey A. Leontyev, Manusia Purba Menembusi Alam Pertuturan. Kurier Unesco, Februari,1978: 15).
 Istilah juga dicipta secara lebih kompleks hasil dari pemikiran seperti nomber-nomber, lambang-lambang matematik dan konsep-konsep sains.

Menama atau mengkonsepkan sesuatu menurut sistem bunyi yang lazim digunakan bagi bahasa berkenaan yang antaranya dipengaruhi oleh alam sekelilingnya. Misalnya sistem bunyi bagi perkataan Arab melibatkan penyebutan dari bibir seperti fa, ma membawa ke hujung lidah seperti dal, dhal, ke kerongkong seperti ha`, kha` dan hingga ke dalam dada seperti `ha` - marbutah (dibicarakan secara linguistic dan tajwid). Manakala bahasa Inggeris lebih kepada dalam mulut dari bibir . Tetapi bagi bahasa Melayu sebagai beberapa bahasa Timur seperti Jepun penyebutan lebih ringan dan mudah serta mudah dipelajari, kerana kata-kata asal Melayu disebut berdasarkan suku kata – kecuali istilah moden, bukan asli Melayu yang bersifat pinjaman.

Menurut Aleksey A. Leontyev di atas. Selain dari perbezaan sebutan perkataan berbeza di kalangan berbagai bahasa, tetapi ada sebutan-sebutan bersamaan antarabangsa, menurutnya:

``Terdapat lagi satu ciri pada bahasa manusia yang diwarisi dari nenek moyang peringkat haiwan, iaitu bunyi-bunyi bukan bahasa yang digunakan untuk menyatakan perasaan-perasaan yang dasar tanpa menggunakan perkataan-perkataan. Yakni ketakutan, kehairanan, kegembiraan, kesedihan, penghormatan dsb. Kata-kata seruan biasanya mempunyai persamaan dari satu bahasa lain. Orang Russia menyatakan ``Akh !`` atau ``Okh !``untuk menyatakan perasaan terperanjat, orang Perancis ``Oh-la-la`` orang Inggeris `Oh !``, orang Jerman ``Ho Ho`` dan orang Papua dari sukubangsa Asman ``Woo``.

(Aleksey A. Leontyev, Februari, 1978: 17).

Bahasa adalah perakam maklumat, setiap bahasa berusaha memberi kata atau istilah sebanyak mungkin bagi segala perkara di dalam bahasa itu. Makin banyak bahasa sesuatu bangsa, makin kayalah bahasa berkenaan yang dengan sendiri mencerminkan luasnya pengalaman bahasa berkenaan. Tetapi perkembangan bahasa dipengaruhi kelompok yang menggunakannya dan cara hidup penggunanya. Misalnya jika pengguna adalah dari masyarakat tani, maka istilah yang berkembang dan bertambah adalah di dalam bidang pertanian, jika masyarakatnya berorientasikan sains, maka lebih banyak bertambah perkataan-perkataan yang berhubung dengan sains. Orang Melayu yang lebih merupakan masyarakat tani, kaya dengan kata-kata yang berhubung dengan kerja masyarakat berkenaan. Misalnya untuk memaksudkan perkataan angkat – ada berbagai-bagai istilah yang mencerminkan perbezaan angkat seperti; angkat, pikul, jinjing, tatang, tapu, junjung, kelek, tandu dan sebagainya.

Menurut Mohd Salleh Daud:

``Tiap-tiap bahasa itu adalah hasil dari sesuatu kebudayaan Bahasa mengandungi perkataan-perkataan, kalimah-kalimah dan lafaz-lafaz yang menggambarkan benda-benda yang nyata, buah fikiran, pendapat-pendapat serta nilai-nilai yang bersangkut paut dengan, atau pun yang dapat dikenali sebagai hasil perkembangan kebudayaan tadi.``
(Mohd. Salleh Daud, Bahasa dan Perhubungan, Dewan Bahasa, Jil I, November, 1957: 139).

Selain daripada perbezaan bahasa antara bangsa oleh perbezaan Negara, perbezaan bahasa juga berlaku di dalam bahasa yang sama oleh kerana perbezaan profesyen. Bahasa petani lain dari bahasa peniaga, juga berbeza dari bahasa nelayan. Selain daripada itu berlaku perbezaan sebutan kerana dipengaruhi dialek setempat. Misalnya penyebutan dielek bahasa orang Kelantan berbeza dari orang Pahang, orang Perak dan orang negeri Sembilan. Sebenarnya dengan perbezaan bahasa dan dialek memperkayakan bahasa dan budaya bagi bahasa berkenaan.

Apa pun perkataan, lebih-lebih lagi istilah ialah perakam dan pengabadi ilmu yang didukung oleh istilah berkenaan. Bahasa yang menggunakan istilah-istilah di dalam ayat-ayat mampu membawa penerangan tentang sesuatu istilah dan juga bidang berkenaan. Rumusan bagi berbagai istilah terhimpun dan disimpan di dalam kamus-kamus di dalam bahasa berkenaan, namun kamus adalah dalam keadaan kaku berbanding penggunaannya di dalam ayat-ayat, lebih-lebih lagi yang mendukung keilmuan. Kekayaan bahasa dari segi istilah dihidup dan dilentur penggunaan dalam bidang keilmuan, sosial dan sebagainya. Memetik pendapat saudara Rahman Shaari tentang bahasa di dalam puisinya berjudul `Bahasa` yang memenangi Hadiah Sastera 1986/87: Fragmen darinya:

Bahasa adalah pengatur
Pucuk fikiran yang bertabur
Bahasa adalah pelentur
Ranting perasaan yang bersiur

Dengan bahasa
Terlihat fakta padu
Terlihat sinar ilmu
Terlihat cinta biru.

Kata saudara Rahman Shaari lagi:

Dengan bahasa
Pemimpin memaparkan arah
Di pentas siasah
Dengan bahasa
Orang beriman menikmati ibadah
Khusyuk dan pasrah.
(Rahman Shaari, Bahasa, dlm. Sayang Ottawa Sungainya Sejuk, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1989: 10).

Sekian.