August 13, 2013

Membedah Puisi Di Dalam Bengkel Penulisan Kreatif Di PD


BBB, 04 Syawal 1434 = 11 Ogos 2013 (Isnin):

Di bawah adalah 5 buah puisi penulis dipilih bersama puisi-puisi penulis lain (Ahmad Sarju, T. Alias Taib, Omar Mohd. Nor & Nahmar Jamil) dibedah dalam Bengkel Puisi di Teluk Kemang, Port Dickson pada 14 & 15 November 1974. Puisi-puisi asal belum dibedah ialah:

1)        Lebih Dari Ketepatan

Hidup ini
Bukan seperti + - x & -:-
Tiada ketepatan
Di sini kita berdiri
Detik ini segala bertukar ganti
Berhanyutan
Dan hari-hari yang lewat
Telah remak dalam getaran sendiri
Segalanya tiada tetap pada paksi.

Hidup yang kita panahkan
Kijang liar
Darjah sasarannya harus lebih ke depan
Kiranya kita mau hidup
Lebih dari kekinian.

+ - x & -:-
Logik yang mati
Hidup lebih dari ini.

Kolej I, UKM
20/12/73.

2)        Di Suatu Persimpangan

Di hujung perjalanan
Dari empat musim yang lewat
Seorang pendatang merenung diri
Di persimpangan.

``Usiamu yang mekar
Telah kaumamah dalam perjalanan
Yang tinggal hanya
Sisa-sisa harapan.``

``Aku ini pencari
Dibakar kegelisahan
Setiap detik merasa kehilangan
Kecamuk dalam diri dengan kekusutan
Dalam perjalanan yang lewat
Aku hanya pemungut
Membeban diri dengan bawaan
Bakal mencari sebuah penemuan
Dengan keghairahan ini
Aku menyambung perjalanan,``

UKM
Feb.`74.

3)        Hutan-Hutan Batu

Di Kota ini
Lembah dan pamahnya penuh terisi
Kini bukit-bukit bertukar menjadi
Batang-batang mati gelempang di bumi
Memutih tumbuh cendawan-cendawan
Hutan-hutan batu
Tegak meluru.

Di sana sini
Sungai-sungai hitam berarus songsang
Tanpa hulu tanpa muara
Pasang sepanjang dengan kenderaan
Di hutan-hutan batu
Manusia memburu dan terburu
Siang ke malam malam ke siang
Antara gerak horizontal dan tegak vertical
Terserempak mereka dengan ketegangan
Resah sepanjang.

Hutan-hutan batu
Tugu-tugu
Di sini tegaknya peradaban
Di atas kehilangan-kehilangan.

Wilayah Persekutuan,
Feb., 1974.

4)        Kemanusiaan Yang Tak Terselesai

Hidup adalah gumpalan persoalan
Terutus bersama kedatangan
Minta diselesai
Dan kita di tengah godaan
Melalui proses memanusiakan.

Di kehujungan
Sebuah kematangan
Tiba di hujung senja
Tetapi dengan kesedaran baru bermula
Detik-detik nafas mulai menipis
Bersama rambut gugur
Bersama kulit kendur.

Dan kemanusiaan yang belum mekar
Gugur dengan kematian akar
Jadilah kehidupan sebagai mainan
Tak pernah terselesai
Mereka yang sempat tiba
Direntap tangan kasar
Dan kekecewaan tiada reda-reda.

Kuala Terengganu,
Mac, 1974.

5)        Ada Dan Tiada

Antara ada dan tiada
Garis sempadan memisah
Sebuah dataran memanjang
Sebuah jurang mendalam
Ada taranya nyata
Tiada taranya tiada
Tetapi ada tiada semestinya berbenda
Seperti fahammu tentang adanya ada
Tetapi tiada kerana adanya tiada
Seperti lihatmu padamnya cahaya
Dua-dua segara rahsia
Memantul kepala ke kepala
Di sini bisa terjadi kehilangan
Orang mabuk dalam pencarian.

Ada + ada jawabnya ada
Ada + tiada jawabnya ada
Jikalau adamu dan segala
Jawabnya ada yang ada.

Kuala Terengganu,
Mei, 1974.

(Pembedahan akan menyusul).

Sekian.

No comments:

Post a Comment