August 11, 2013

Mengikuti Kursus/Bengkel Penulisan Kreatif Anjuran DBP Di Port Dickson

-->

BBB, 03 Syawal 1434 =  10 Ogos 2013 (Sabtu):

Pihak DBP mengambil langkah positif sesuai sebagai institusi memperkembangkan bahasa dan kesusasteraan dengan menganjurkan Kursus/Bengkel Penulisan Kreatif bertujuan untuk memajukan bakat-bakat dan mempertinggikan lagi mutu karya sastera tanahair. Kursus dirancangkan oleh Bahagian Perkembangan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka. Kursus yang dikategorikan `Peringkat Advanced` dan intensif ini adalah julung-julung kali dianjurkan oleh DBP seumpamanya. Kursus ini bertempat di Port Dickson bermula dari 10 – 23 November 1974. Menandakan kesungguhan, pihak DBP berusaha mendapat kerjasama bagi menjayakan Kursus/Bengkel dari pihak Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.


Bidang-bidang kreatif yang diberi tumpuan Kursus/Bengkel ialah cerpen, novel, puisi, drama dan kritikan. Tenaga pensyarah yang dihantar oleh Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya ialah A. Bakar Hamid, Krishen Jit, Lloyd Fernando, Profesor Taib Osman & A. Wahab Ali.
Dari UKM & IBKKM ialah Dr. Muhammad Haji Salleh, Ali Ahmad (Alis Murni), Dr. Awang Had Salleh
Dari Pusat Pengajian Kemanusiaan USM ialah Shahnon Ahmad,
Dari NST ialah A. Samad Ismail
Manakala dari DBP sendiri ialah Baharuddin Zainal, Osman Awang, Ajikik
Dan penceramah Bebas saudara Kassim Ahmad.

Oleh kerana Kursus/Bengkel ini adalah peringkat advanced, maka peserta-peserta yang ditawarkan oleh DBP – tanggungan sepenuhnya oleh DBP, ialah penulis-penulis kreatif yang telah bergiat menulis dan berpotensi berkembang maju pada masa hadapan. Seramai 15 peserta penulis kreatif dipilih. Mereka yang dalam bidang puisi ialah Tengku Alias Taib, Ahmad Sarju, Omar Mohd Nor, Shafie Abu Bakar, Nahmar Jamil, Norhisham Mustafa
Cerpen & Novel,  Mansor Abdullah, Noorjaya, Azizi Haji Abdullah
Drama Hashim Yasin, Abdul Aziz H.M.
Dan beberapa yang lain.

Bagi setiap peserta Kursus/Bengkel dikehendaki menghantar karya-karya mereka, jika bidang puisi dikehendaki menghantar sebanyak 10 buah puisi dan bagi cerpen, drama dan kritikan sebanyak 3 buah, manakala novel jika tidak dapat penuh sebahagian daripadanya. Karya-karya yang dihantar ini dipilih untuk dibengkelkan, Selain daripada itu peserta-peserta digalakkan menghasilkan karya semasa mengikuti Kursus/Bengkel berkenaan.

Sementara itu peserta juga digalakkan untuk membawa buku-buku bacaan yang sesuai dengan maksud Kursus/Bengkel. Bahan bacaan tersebut akan ditempatkan dalam `Perpustakaan` sementara di Perkampungan Kursus/Bengkel yang dapat dipergunakan bersama. Peserta yang selalunya menggunakan type writer (belum ada computer lagi masa itu) dinasihatkan untuk membawanya. Kertas tulis bagi keperluan Kursus/ Bengkel disediakan oleh Dewan Bahasa. Oleh kerana perkampungan Kursus/Bengkel sedikit jauh dari pekan, maka peserta dinasihatkan membawa keperluan sehari-hari mereka, seperti sabun, berus, ubat gigi, ubatan dan lain-lain. Penulis telah menghantar sebanyak 10 buah puisi yang dikehendaki, iaitu:

  1. Lebih dari Ketetapan
  2. Di Suatu Persimpangan
  3. Hutan-Hutan Batu
  4. Kemanusiaan yang tak Terselesai
  5. Ada Dan Tiada
  6. Ketuhanan
  7. Roda hidup
  8. Misi Hidup
  9. Pertanyaan
  10. Dia

Sebahagian daripada puisi di atas pernah diterbitkan di dalam penerbitan-penerbitan. Tidak semua daripada puisi ini dibengkelkan. Separuh daripadanya saja dipilih bersama-sama dengan puisi-puisi peserta lain yang akan dibincangkan.

Turut disertakan puisi-puisi Pembimbing sebagai contoh dalam perbincangan
Puisi Baha Zain:

  1. Semua Bakal Diketawakan
  2. Semula Kita Hanya Dua Figura
  3. Kebimbangan
  4. Kota Kertas Tandas
  5. Nama Yang Kutemu Di Pasir
  6. Peribadi.

Puisi A. Wahab Ali ialah:

  1. Ranting Kelabu
  2. Di Ranjang
  3. Tanah Tidak Bertuan
  4. Detik-Detik Yang Enggan Berbagi
  5. Dan Air Yang Kuminum Ini
  6. Sarjana Kehidupan
  7. Sepanjang Jalan Lewat Senja
  8. Haloo Maut
  9. Paya Sepi
  10. Bila Kau Datang

Manakala Puisi Muhammad Haji Salleh pula ialah:

  1. Pulang Si Tenggang
  2. Sejarah
  3. Berapa banyak
  4. Bandingan
  5.  Helsingor
  6. Apakah Yang Kau Katakan Padaku, Lautan ?

Puisi-puisi contoh dari pensyarah-pensyarah di atas adsalah dipetik dari kumpulan puisi mereka yang telah diterbitkan
Penulis tidak dibekalkan dan tidak berkesempatan mendapat salinan puisi-puisi peserta lain yang dibengkelkan, juga tidak berkesempatan mendapat salinan cerpen, drama, fragmen novel dan kritikan.

(Bersambung)

Sekian.

No comments:

Post a Comment