December 31, 2010

Karnival Rakyat Di Surau Al-Kauthar Dan Taman Impian Putera

Seksyen 4, BBB, 19 Muharram = 26 Disember (Ahad):


Kepelbagaian fungsi masjid dan surau amat ketara dimanfaatkan oleh masyarakat kini, khususnya selepas pemerintahan Kerajaan PR. Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat di dalam maknanya yang khusus, tetapi menjadi pusat kegiatan pendidikan, Kemasyarakatan dan ekonomi. Sebagai contoh Surau Al-Kauthar, iaitu salah sebuah surau terbesar (sebenarnya bertaraf masjid) di Bandar Baru Bangi mengadakan, Karnival Rakyat: Program Surau Sejahtera.


Program mendapat kerjasama dari Surau Al-Kauthar, Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat, Jabatan Menderma Darah, Persatuan Penduduk Jalan 4. Turut dibuka gerai-gerai perniagaan bagi yang berminat berniaga. Program-program yang diadakan seperti pemeriksaan kesihatan – pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, derma darah, pameran dan jualan.


Hadir ke majlis pada sebelah pagi ini selain dari Adun Bangi, ialah Tuan Haji Nazri Daud Pengerusi Surau Al-Kauthar, Tuan Haji Mazwan Johar, Ahli MPKj, Dr. Norzawani dari Jabatan Kesihatan, Dato` Haji Abdul Karim Ketua Persatuan Penduduk Jalan 4/5, Yang Berbahagia Ustaz Shukri dan ramai lagi.

Majlis yang berlangsung sejak pagi hingga ke malam itu bermula dengan Majlis Perasmian Program yang dilakukan oleh Adun Bangi yang berterima kasih di atas jemputan dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama bagi menjayakan karnival, terutama dari Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat, Jabatan Menderma Darah dan Persatuan Penduduk. Kempen membasmi denggi masih berterusan, kerana kes denggi masih berterusan berlaku. Beliau berharap masyarakat dapat memberi kerjasama bagi membasmikan denggi yang boleh mengancam nyawa. Adun Bangi juga menyeru kepada masyarakat setempat mengambil peluang membuat pemeriksaan kesihatan percuma bagi mengetahui status kesihatan masing-masing seperti tekanan darah, kadar gula dalam darah dan sebagainya, di samping berpeluang melihat pameran dan membeli produk-produk yang diperkenal dan dijual pada karnival berkenaan. Menurut Adun sesungguhnya karnival hari ini melatih mereka yang terlibat mengadakan penganjuran karnival dan berkerjasama dengan berbagai pihak.


Sebelum dari itu Tuan Haji Nazri Daud berucap dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan karnival pada hari ini. Menurutnya Surau Al-Kauthar senentiasa terbuka dan memberi kerjasama kepada semua pihak bagi mengadakan kegiatan di surau, selagi kegiatan memberi manfaat dan kebajikan bagi semua pihak.

Selepas pembukaan Adun Bangi turut melawat gerai-gerai pemeriksaan kesihatan dan turut memeriksa tekanan darah, melihat pameran dan gerai-gerai perniagaan.


Pada malamnya karnival mengadakan forum `Keselamatan Dunia-Akhirat yang panelnya terdiri dari tokoh-tokoh terkenal.


Sementara itu pada malam tadi (25 Disember) Adun Bangi juga turut hadir ke Karnival Penduduk Taman Impian Putera jam 10.00 malam. Majlis diisi dengan persembahan-persembahan yang lebih berfokus kepada golongan belia setempat. Menurut Saudara Azmi dari Persatuan Penduduk dan Surau, majlis bertujuan untuk menyatukan kalangan anak muda setempat bekerjasama. Di samping persembahan diadakan cabutan bertuah untuk mengekalkan kehadiran ke majlis. Selepas berucap ringkas Adun mencabut nombor-nombor bertuah dan menyampaikan hadiah-hadiah.


Sekian.

December 30, 2010

Usul Tergempar Mesyuarat Penuh MPKj: Perlantikan Khusrin Munawi Dipertikai & Logo 1 Malaysia Dilarang

MPKj, Kajang, 23 Muharram = 29 Disember (Rabu):

Selepas YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi membuka Mesyuarat Penuh MPKj Bil. 12/2010 jam 10.00 pagi ini, seorang ahli majlis En. Mohamad Yusoff bin Bachek Ahli MPKj Zon 21 mohon mencadang bagi menangguhkan mesyuarat dan mengusulkan kepada majlis:

Bahawasanya Mesyuarat MPKj pada hari ini mendesak Setiausaha Negara Kerajaan Malaysia hendaklah mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak Negeri – Menteri Besar Selangor bagi perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.``

Perlantikan Dato` Khusrin Munawi dianggap membelakangi dan tidak menghormati Menteri Besar yang sepatutnya dirundingi terlebih dahulu.

Usul ini mendapat sokongan ahli majlis iaitu Encik Chandra Mohan A/L S. Thambirajah.
Zon 14 MPKj. Selepas perbincangan ringkas dari segi peraturan dan disetujui, YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi membentangkan usul tersebut kepada Ahli MPKj dan mendapat sokongan 100% ahli yang hadir.

Sementara itu semasa sidang menyentuh tentang kerajaan Selangor melarang menggunakan logo 1 Malaysia yang dianggap bermotif politik Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar yang juga hadir di dalam mesyuarat membuat pertanyaan,

``Apakah sikap MPKj berhubung dengan larangan Kerajaan Negeri Selangor yang tidak membenarkan penggunaan logo 1 Malaysia ?``

YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi yang menganggap soalan itu sebagai `Soalan Cepu Mas` menegaskan:

``MPKj sebagai sebuah PBT yang berada di bawah Kerajaan Negeri Selangor adalah mematuhi keputusan yang diambil oleh pihak Negeri Selangor dan turut sama melarang penggunaan logo tersebut.``

Jawapan tersebut mendapat sokongan penuh dari ahli MPKj. Justeru itu ahli mencadangkan logo-logo 1 Malaysia yang dipasang di dalam kawasan PBT – MPKj yang sebenarnya tidak mendapat keizinan pihak berkuasa PBT – MPKj didesak supaya ditiadakan.

Sekian.

Majlis Perwakilan Penduduk Bangi Anjur Pertandingan Futsal & Bola Jaring

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 19 Muharram = 25 Disember (Sabtu):


MPP Zon 22, saudara Mohd. Adram bin Musa, MPP Zon 23, Tuan Haji Shafie bin Ngah dan MPP Zon 24 Tuan Haji Mazwan bin Johar pada pagi ini secara bersama menganjurkan Pertandingan Futsal Belia 2010 bertempat di Bangunan Futsal, Kompleks Sukan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Adun Bangi dijemput merasmikannya pada sebelah pagi dan YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi menyampaikan hadiah dan merasmikan penutup pada sebelah petangnya.


Difahamkan sebanyak 38 team futsal mengambil bahagian dan 4 pasukan bola jaring wanita mendapat penyertaan. Mereka mewakili berbagai-bagai tempat di Dun Bangi. Kita dimaklumkan bawah umur 12 tahun 10 pasukan, di bawah umur 15 adalah 10 pasukan dan di bawah umur 18 adalah 18 pasukan. Manakala peserta wanita bagi bola jaring hanya 4 pasukan.


Adun Bangi ketika berucap merasmikan pertandingan mengucap tahiah kepada MPP zon-zon yang menganjur pertandingan dan terima kasih kepada pasukan-pasukan peserta. Menurut Adun, anjuran seperti ini dapat mengisi masa lapang pelajar dalam masa tutup sekolah ini dengan cara yang betul. Ini dapat mengelak mereka dari kegiatan-kegiatan yang tidak memberi faedah. Melalui sukan ini diharap dapat mengeratkan dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara generasi muda dan pimpinan.


Dengan bersukan sebagaimana diadakan sekarang, lebih memberi kesihatan dan kecergasan bagi peserta dari segi fizikal dan minda. Diharapkan aktiviti sedemikian akan diadakan lagi pada masa akan datang. Adalah difahamkan hadiah-hadiah bagi kategori pertandingan amat menarik, iaitu RM400 bagi hadiah pertama , kedua RM300/=, Ketiga RM 200 dan keempat RM100. Begitulah hadiah-hadiah kepada muslimat.


Selepas perasmian Adun membuat tendangan permulaan menandakan rasminya majlis. Selepas bergambar Adun diiringi melihat pertandingan dan melawat gerai ke gerai peniaga yang mereka diberi kursus perniagaan dan keusahawanan oleh Lajnah Perniagaan dan Keusahawanan Adun Bangi tempoh hari.

Pada sebelah petang YDP dan pasukannya datang untuk menyampaikan hadiah-hadiah dan melakukan Majlis Penutup`. Sebelumnya YDP MPKj bertanding antara pasukan YDP dan pasukan campuran MPP.

Sekian.

December 29, 2010

Tokoh Ilmuan Selangor Pertama Dari DUN Bangi: Dr. Muhaya Bt. Muhammad Pakar Mata Terkenal

Shah Alam, 22 Muharram = 28 Disember (Selasa):


Majlis Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor 2010 bagi pertama kali diumumkan di Dewan Jubli Perak pagi ini. Tokoh yang diberi penghormatan ialah Profesor Dr. Muhaya bt. Muhammad seorang Pakar Mata Terkenal tanahair dari kawasan Dun Bangi. YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor menyampaikan Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor kepada Prof. Dr. Mahaya di hadapan para hadirin yang antaranya YB. Adun Bangi, Prof. Dato` Dr. Rosdi Sorwono Presiden dan Rektor Unisal, Prof. Madya Dr. Zainal Kidam, Timbalan Rektor, Puan Mastura Pengarah Perpustakaan Negeri Selangor, Siti Sazwani Mohd Mohsin Setiausaha Sumber Tenaga Manusia, Dr. Supyan Husin, lulusan dan pelajar-pelajar dari Unisal dan Inpen dan para jemputan.


Menurut Dr. Halimah pemilihan adalah berdasarkan kriteria khusus yang tidak saja cemerlang dari segi akademik, tetapi mempunyai ketinggian dari segi integriti peribadi dan personaliti. Tokoh menjadi model dari segi akademik, kepimpinan, keagamaan dan kemasyarakatan. Juga menepati kriteria SPIES yang mengidamkan generasi Idaman bagi negeri Selangor.


Dr. Muhaya yang berkelahiran di Kuala Terengganu itu bersekolah rendah di Sekolah Tengku Ampuan, Paya Bunga, Kuala Terengganu dan terpilih menyambung pengajian menengah di Sekolah Tun Fatimah di Johor Bharu. Beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Perubatan UKM dan lulus dengan cemerlang (1986) dan ditawarkan oleh pihak Dekan Fakulti Perubatan pada masa itu, iaitu Dato` Dr. Mohd Nor Hakim menyambung pengajian pengkhususan bidang Mata. Beliau telah ditawarkan sebagai Pensyarah Pakar Mata di UKM sejak 1991dan berkhidmat selama lebih kurang 20 tahun di HUKM. Beliau menjadi pakar dan perunding pakar mata, pakar bedah dan banyak menerima anugerah kecemerlangan. Beliau juga menjadi Profesor Adjung bagi UKM, UIAM dan USIM. Beliau telah menerbitkan buku, How To Become A Good Medical Student dan menghasilkan banyak kertas-kertas kerja yang berhubung dengan kerjayanya yang dibentang di dalam seminar bersifat tempatan dan antarabangsa. Beliau mempunyai slot di TV 1, 2, 3, dan Astro. Dr. Muhaya bersuami dengan seorang yang juga Pakar Perubatan, iaitu Dr. Azmi Jamion yang juga pernah menjadi Pensyarah di HUKM, UKM dan kini membuka klinik perubatannya di Bandar Baru Bangi.


Dalam ucapan penerimaan Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor beliau bercakap tentang pembinaan insan melalui pembinaan minda dan pemupukan `wisdom` yang seharusnya menjadi jati diri. Menurut Dr. Muhaya membina kemajuan, tamadun dan peradaban hendaklah bertolak dari membina minda manusia. Dengan membina minda mampu mempengaruhi dan merubah diri dan sekeliling. Pemikiran positif memberi kesan positif kepada diri dan penghidupan dan begitulah sebaliknya. Menurutnya bercakap benar memberi keyakinan dan kekuatan yang menghasilkan natijah yang positif. Sebaliknya orang yang dusta bersikap negatif, hilang keyakinan dan menghasilkan natijah yang negatif, lemah dan merosakkan. Pendeknya, membina tamadun melalui pembinaan minda manusia. Tiada satu tamadun dan peradaban yang mampu terbina tanpa kesedaran dan peningkatan minda manusia yang mementingkan pendidikan dan pelajaran.

Selain dari pembinaan minda beliau menekankan kehidupan secrara wisdom. Iaitu menyedari hakikat kehidupan dan membina kasih sayang sesama manusia. Menerima manusia seadanya dan tidak merendahkan mereka. Bagi mendekati manusia jangan ego, tidak cepat marah, tidak mementingkan pangkat dan kedudukan diri, selalu bekerjasama, tidak selalu menyalahkan orang lain dan menganggap hanya diri sendiri sahaja yang betul. Dengan berkasih sayang dan bertolong-tolongan sesama manusia, kita dapat menikmati erti kebahagian sebenarnya. Keikhlasan yang datang dari lubuk hati melimpahkan kesejukan dan ketenangan bagi diri dan kelilingan. Kehidupan yang baik adalah kehidupan secara redha dan mendapat keberkatan dari Allah.


Menurut Dr. Muhaya, seorang Islam sewajarnya adalah seorang yang baik dan disukai orang. Bila memandangnya ada kemesraan terpancar dari dirinya yang menyenangkan bagi yang mendekatinya dan orang lain. Beliau mau diri kita mencontohi `Lebah` yang menjadi Maskot orang-orang Islam (keistimewaan lebih terakam di dalam al-Qur`an yang mempunyai surah khusus mengenai `Lebah` - An-Nahl). Lebah mengambil inti sari kebaikan dari bunga-bunga dan mengeluarkannya sebagai madu yang memberi khasiat kebaikan dan penawar kepada penggunannya.


Demikianlah antara intisari madukata Dr. Muhaya yang mirip kepada motivasi. Tahniah di atas penerimaan Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor 2010.

Sekian.

December 28, 2010

Rasmi Gelanggang Silat Kuntau Tekpi Malaysia, Cawangan Bangi-Kajang

West Country, Seksyen 5, BBB, 19 Muharram = 25 Disember (Sabtu):


Selepas sembahyang Isyak kami bertolak ke West Country dan disambut ke Majlis di Gelanggang berhampiran dengan Surau Al-Hidayah, West Country. Di sini sedia hadir Guru Utama dan Guru-Guru Silat dan murid-murid yang memakai pakaian silat bertanjak menurut kedudukan masing-masing dalam hiraki silat. Mereka ialah:

1) Paduka Ayahanda Haji Sani bin Haji Zainal Abidin, Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia.

2) Saudara Hisham bin Subari Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Cawangan Bangi-Kajang.

3) Encik Faiz Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Gombak & Wilayah Persekutuan.

4) Encik Sattar Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Port Dickson-Rembau

5) Murid-murid Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Cawangan Bangi-Kajang.


Tamu-tamu yang hadir pada malam itu selain dari Adun Bangi ialah Datuk Dr. Ujang bin Bagong, Orang Kenamaan dan Dermawan dari Kajang. Tuan Haji Abdul Safir Pengerusi Rukun Tetangga, Seksyen 5, West Country, Saudara Rahim Shujak, Pengerusi Surau Al-Hidayah, Imam Hambali dan ahli jamaah surau dan penduduk setempat.


Majlis pada malam ini bertujuan merasmikan Gelanggang Seni Silat Kuntau Tekpi Cawangan Bangi-Kajang di sini yang sudah setahun digunakan. Terdapat 40 pelajar di sini yang kebanyakannya lelaki, di samping terdapat beberapa orang pelajar perempuan.


Dari segi sejarahnya Seni Silat Kuntau Tekpi berasal dari negeri Kedah diasaskan pada tahun 1960an oleh Panglima Taib, kemudian dilanjutkan oleh anaknya Siti Aminah, seterusnya oleh anaknya Haji Zainal Abidin dan kini diteruskan oleh anaknya Haji Sani sebagai generasi ketiga. Menurut Saudara Hisham bin Subari keahlian Seni Silat Kuntau Tekpi berkembang pesat dan kini mempunyai keahlian 10,000 di Malaysia. Mereka terdapat di Bangi-Kajang, Lukut-Port Dickson, Rembau, Pulau Pinang dan Singapura. Keahlian yang diterima serendah-rendahnya berumur 6 tahun. Pakaian pelajar-pelajar silat ialah berbaju Melayu bersamping, berbekong, bertengkolok dan bercapal.


Syarat-syarat untuk diterima hendaklah Melayu beragama Islam dan sihat tubuh badan. Latihan secara intensif antaranya menggunakan alat-alat seperti tekpi (alat pakaian seperti kepala ikat pinggang yang bercabang tiga), rantai, kerambit, parang dan keris yang alat-alat ini boleh membahaya dan mendatangkan kecederaan yang teruk. Bermacam-macam buah silat seperti ular sawa, sembelih kambing, sembelih kerbau dan sebagainya.


Acara Pembukaan Gelanggang pada malam ini bermula dengan menyanyikan Lagu Negaraku, doa dan kemudian diikuti dengan Ikrar dari pelajar-pelajar yang diketuai oleh Adik Azim. Kemudian acara Pembukaan disampaikan oleh Cikgu Amin. Majlis Penganugerahan Persalinan dilakukan oleh Paduka Ayahanda Tuan Haji Sani.


Pertama kepada Datuk Dr. Ujang Bagung yang menyampaikan derma kepada Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekfi pada malam itu sebanyak RM1,500. Persalinan yang dipakaikan ialah tengkolok dan selindang panjang yang dipakaikan dari bahu kiri dan disimpulkan ke pinggang sebelah kanan. Kedua persalinan pakaian yang seumpama di atas kepada Adun Bangi yang juga dipohon derma bagi majlis berkenaan, dan Ketiga kepada saudara Abdul Rahim Shujak selaku Pengerusi Surau Al-Hidayah yang gelanggang silat berdekatan dengan surau tersebut. Beliau diminta berucap mengalu-ngalukan majlis dan kehadiran jemputan serta bersukacita di atas kerjasama pihak Pertubuhan silat dengan pihak surau dan masyarakat setempat.


Untuk ucapan Perasmian Adun Bangi bertolak dari premis bahawa hidup kita memerlukan tiga perkara asas, iaitu makanan, pakaian dan keselamatan. Bagi menjamin keselamatan timbul keperluan mempertahankan diri atau kelompok bahkan bangsa. Silat adalah salah satu alat bagi melindung dan mempertahankan diri, lebih besar bagi pertahanan memerlukan lebih peralatan mempertahankan diri, kelompok dan Negara. Contoh ialah angkatan tentera yang dapat mempertahankan Negara dari musuh. Dalam perkembangan zaman moden, walaupun silat masih berfungsi bagi mempertahankan diri, tapi keperluan sedemikian telah diambil alih oleh pihak tentera, polis dan pasukan keselamatan yang lain. Namun silat seharusnya dihidup dan dikembangkan dan masih releven bagi mempertahankan diri, tapi kini lebih bersifat budaya yang memperlihatkan keindahan gerak badan dan ketangkasan yang indah, mengasyik dan mengkagumkan.


Dari aspek ini kita berpendapat seni silat mempunyai tempat dan ruang untuk diperkembangkan dan kita memberi sokongan. Seni silat juga hendaklah menerima value added seperti sebagai satu cara melatih diri dan pasukan mendisiplinkan diri dan sebagai alat mempertingkatkan kesihatan dan ketangkasan diri dan pasukan. Seni silat yang baik dan terpilih sewajarnya dimasukkan dalam latihan dan disiplin pasukan keselamatan dan pertahanan Negara. Selain dari lebih bersifat latihan dan pembinaan fizikal hendaklah dimasukkan juga di dalam kurikulum latihan ialah penanaman semangat taat setia kepada Tuhan, Negara, bangsa dan agama, juga turut dimasukkan nilai-nilai murni dan keagamaan. Ini lebih melengkapkan Seni Silat itu sendiri.


Bagi seni silat itu sendiri, tak kira apa jenisnya hendaklah terbuka dari segi penambahan yang memperbaiki seni silat itu sendiri. Misalnya dari segi gerak dan bunga-bunga tarian, rentak pahlawan, penggunaan peralatan senjata, ungkapan pemberangsangan, elemen semangat dan kerohanian. Seni silat adalah bidang yang wajar diperkembangkan. Bagi memperkembangkannya wajar ada konvensyen, demontrasi dan pertandingan silat bagi memperkembangkan silat itu sendiri.


Selepas perasmian Adun tidak dapat mengikuti latihan dan pertunjukan oleh pelajar dan memohon diri dari Paduka Ayahanda Guru Utama dan pihak penganjur kerana perlu menghadiri program yang lain selepas itu.


Sekian.

December 27, 2010

Sumbangan 'Kembali Ke Sekolah' 2011 DUN Bangi

Sungai Ramal Dalam, 19 Muharram = 26 Disember (Ahad):

Program `Back To School` adalah menjadi acara tahunan bagi Adun Bangi. Bagi tahun 2011 diadakan di Sekolah Agama Sungai Ramal Dalam. Majlis ini berlangsung dari jam 8.00 pagi dan berterusan hingga jam 12.00 tengahari. Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bangi ini diurus oleh Dewan Muslimat Pas Kawasan Serdang yang Pengarahnya En. Abu Bakar Alias dan Timbalannya Pn. Siti Arbaisah Misman, Setiausaha Cik Aishah, Bendahari Cik Affiza Talha dan sejumlah AJK. Tujuan diadakan Program Kembali Ke Sekolah ialah untuk membantu meringankan beban anak-anak miskin kembali ke Sekolah mulai awal Januari 2011.
Pada tahun ini seramai 142 orang murid dari berbagai Sekolah dan berbagai kaum diberi bantuan. Bantuan berupa kewangan dan barangan bagi setiap orang. Selain dari murid dan pelajar, turut hadir ibu bapa anak-anak yang memenuhi dewan Sekolah. Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj turut sama hadir.

Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya, menekankan bahawa pihak Kerajaan Pakatan Rakyat dan Adun Bangi memberi perhatian utama dari segi pelajaran. `Pelajaran Untuk Semua` adalah menjadi motto bagi kerajaan Negeri Selangor dan Adun Bangi. Kata Adun, ``Kita tak mau berlaku ada anak-anak tak bersekolah kerana tiada kewangan.`` Kita berusaha agar semua anak di negeri Selangor, khususnya di DUN Bangi mendapat pendidikan. Kita mau tiap murid/pelajar, sekolah, daerah, bahkan negeri maju di dalam pelajaran. Sebagai Negeri Maju, maka Selangor harus ke hadapan dari segi pencapaian pelajaran. Keputusan Peperiksaan PMR pada minggu ini Selangor di tempat keempat. Ini sudah tentu belum memuaskan. Kita mau Sekolah-sekolah, murid dan pelajar di Bangi mencapai keputusan pelajaran cemerlang. Kita memang berusaha bagi meningkatkan prestasi pelajaran murid dan pelajar di Bangi. Bantuan hari ini adalah sebahagian darinya, di samping bantuan dan insentif yang lain.. Kita juga memberi insentif kepada pelajar maju dan pelajar miskin, tetapi maju. Kita berbangga dengan kemajuan murid dan pelajar dan terus memberi galakan.

Sebelum daripada itu Saudara Nushi bin Mahfuz Pensyarah UIAM menyampaikan motivasi kepada murid, pelajar dan ibu bapa yang hadir. Beliau menekankan kerjasama antara Sekolah, guru dan ibu bapa penting di dalam mendidik anak-anak. Mereka hendaklah diberi perhatian dari awal dan mengelak mereka dari terjebak dari kegiatan-kegiatan yang merugikan diri seperti berkawan dengan anak-anak nakal yang memasalahkan mereka dari segi sosial. Mereka hendaklah dididik dalam suasana keagamaan dan mencintai pelajaran.

Adun Bangi menyampaikan bantuan kepada semua pelajar atau wakil mereka dari kalangan ibu bapa. Setiap pelajar menerima bantuan dalam bentuk kewangan dan barangan yang berjumlah RM100/= setiap orang.

Pada akhir majlis jam 12.00 tengahari ibu bapa, murid dan pelajar bersama Adun menyertai jamuan rakyat di kantin Sekolah.

Sekian.

Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Penduduk Taman Seri Melor Kali Ke 4

Taman Seri Melor, 17 Muharram = 24 Disember (Jumaat):


Mesyuarat berlangsung di Pekarangan Surau Al-Muhajirin, Taman Seri Melor bermula dari Jam 9.30 malam. Tamu kehormat yang hadir ialah Adun Bangi YB. Dr. Shafie Abu Bakar, saudara Yusoff bin Bachek. Ahli-ahli Jawatakuasa 2006/2008, iaitu


En. Hashim Rahim Pengerusi
En. Abd. Aziz A. Bakar Timbalan Pengerusi
En. Jalaludin Omar Setiausaha
En. Abd. Rahman Ismail Timbalan Setiausaha
E. Azmi Zakaria Bendahari
Pn. Noor Fauziah Yaakub AJK
En. Zulkifli Mohd. AJk
Syed Abd. Rani AJK
En. Yem Pamin AJK
Pn. Jumaiyah Mohd Shariff AJK


Lebih dari 100 orang penduduk dari lebih 120 perumahan hadir di dalam mesyuarat. Adun Bangi yang diminta merasmikan mesyuarat berterima kasih kepeda AJK yang selama ini telah berkhidmat dengan baik.

Berdasarkan Buku Laporan lebih kurang 30 kegiatan penting pernah dilakukan. Kerjasama erat berlaku antara AJK Persatuan Penduduk dan AJK Surau, Banyak faedah yang dapat dimanfaat penduduk dan kewangan persatuan stabil. Harap kegiatan akan diteruskan. Sebelumnya En. Yusoff bercakap tentang projek-projek MPKj yang telah dijalankan di Taman Seri Melor. Banyak lagi projek akan dilaksanakan dan diharap kerjasama akan diteruskan.


Dari maklumat yang didapati kemudiannya, keputusan Mesyuarat Agung yang diadakan pemilihan pada malam itu adalah sebagaimana berikut:

Pengerusi: Saudara Rosmidi
Timbalan Pengerusi: Ustaz Haji Husaini
Setiausaha: Saudara Azmi Salleh
Bendahari: Haji Zainol

Ahli Jawatakuasa
Sdr. Nasir Jusoh
Sdr Syed Abd. Rani
Sdr. Khamis Haji Adnan
Sdr. Rahman Ajam
Sdr. Venu Gopal
Puan Atiqah.

Sekian.