December 2, 2010

Syabas Membebankan Penduduk: Mereka Membayar Air Secara Bermeter, Tetapi Dikenakan Juga Bayaran Pukal



Bandar Seri Putera, 24 Zulhijah = 01 Disember (Rabu):



Adun Bangi hari ini menerima aduan dari penghuni Pangsapuri Seri Mawar, Seri Putera bahawa bekalan air ke kediaman mereka telah dikunci oleh Syabas. Jam 5.00 petang Adun berada di rumah pangsa berkenaan dan diberi maklum oleh Pengerusi JMB Mawar En. Abd. Rahim Mat Top dan beberapa kakitangan bahawa pertukaran bayaran air melalui meter pensendirian sejak 10 Julai 2009 sepatutnya meringankan bayaran bulanan, bahkan sepatutnya tidak perlu dibayar sekiranya penggunaan tidak melebihi 20 cubic meter. Tetapi apa yang dialami, bahawa penghuni yang membayar meter air individu dikehendaki juga membayar meter pukal yang jumlahnya hampir sama dengan jumlah sebelum penggunaan meter persendirian. Ini bermakna penghuni dikehendaki bayar 2 kali ganda lebih mahal dari jumlah sebelum adanya meter persendirian. Contoh bil air pukal sebelum adanya meter individu yang dibayar pada 10.6.2009 sebanyak RM6,730.26 bagi satu blok (Blok B), manakala bil bayaran pukal diminta dari penghuni selepas menggunakan meter individu bagi bulan Oktober 2010 sebanyak RM6,282.44. Begitulah contoh bagi bulan-bulan lain selepas meter individu digunakan. Ini bererti penghuni dikehendaki bayar double bagi setiap bulan.



Oleh kerana penghuni pangsapuri telah membayar bil air berdasarkan bayaran meter individu, mereka berpendapat mereka tidak perlu membayar bayaran pukal ` alasan mereka memang wajar dan mereka tidak membayar tuntutan bayaran pukal. Kini jumlah tuntutan bayaran secara pukal hingga bulan November yang menurut Syabas perlu dibayar sebanyak RM84,105.47. Setelah notis 7 hari diberi, maka pada 29 November 2010 disekat saluran paip air. Kedatangan Adun bersama pembantu saudara Shahrum dan Pembantu Saudara Mazwan Johar Ahli MPKj saudara Rusli juga menyaksikan penghuni-penghuni, khususnya blok B Seri Mawar telah ketiadaan air. Adun berpendapat adalah tidak wajar pihak Syabas memotong bekalan air, khususnya Blok B, kerana penghuni-penghuni membayar bil individu, tetapi dalam masa yang sama kena membayar bil secara pukal. Adun sendiri melawat ke tingkat 2 Pangsapuri B dan didapati tiada bekalan air ke rumah berkenaan




Adun berpendapat cara yang dilakukan oleh Syabas adalah tidak kena dan menganiayai penduduk. Pihak Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Y.B.Iskandar Bin A.Samad perlu mengambil perhatian dan bertindak mengatasi masalah dua bayaran, sepatutnya bayaran hanya secara individu satu bayaran bulanan sahaja. Adun Bangi menghubungi Syabas pada petang ini juga menerusi hotline dan berharap dapat dibuka kunci air pada petang atau malam ini, tetapi pihak kerani yang menjawab di sana perkara berkenaan terpaksa dirujuk kepada bos, tetapi menurut bos itu rujukan dan tindakan tidak dapat dilakukan, kecuali waktu pejabat. Walau macam mana Adun memohon juga atas dasar kemanusiaan air dapat disambung kembali. Kita akan mengikuti perkembangan dan akan bertindak menurut kesesuaian.

Sekian.


* Pada tengahari 02 Disember (Khamis) air yang disekat, disambung semula bagi rundingan bermula

1 comment: