December 30, 2010

Majlis Perwakilan Penduduk Bangi Anjur Pertandingan Futsal & Bola Jaring

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 19 Muharram = 25 Disember (Sabtu):


MPP Zon 22, saudara Mohd. Adram bin Musa, MPP Zon 23, Tuan Haji Shafie bin Ngah dan MPP Zon 24 Tuan Haji Mazwan bin Johar pada pagi ini secara bersama menganjurkan Pertandingan Futsal Belia 2010 bertempat di Bangunan Futsal, Kompleks Sukan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Adun Bangi dijemput merasmikannya pada sebelah pagi dan YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi menyampaikan hadiah dan merasmikan penutup pada sebelah petangnya.


Difahamkan sebanyak 38 team futsal mengambil bahagian dan 4 pasukan bola jaring wanita mendapat penyertaan. Mereka mewakili berbagai-bagai tempat di Dun Bangi. Kita dimaklumkan bawah umur 12 tahun 10 pasukan, di bawah umur 15 adalah 10 pasukan dan di bawah umur 18 adalah 18 pasukan. Manakala peserta wanita bagi bola jaring hanya 4 pasukan.


Adun Bangi ketika berucap merasmikan pertandingan mengucap tahiah kepada MPP zon-zon yang menganjur pertandingan dan terima kasih kepada pasukan-pasukan peserta. Menurut Adun, anjuran seperti ini dapat mengisi masa lapang pelajar dalam masa tutup sekolah ini dengan cara yang betul. Ini dapat mengelak mereka dari kegiatan-kegiatan yang tidak memberi faedah. Melalui sukan ini diharap dapat mengeratkan dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara generasi muda dan pimpinan.


Dengan bersukan sebagaimana diadakan sekarang, lebih memberi kesihatan dan kecergasan bagi peserta dari segi fizikal dan minda. Diharapkan aktiviti sedemikian akan diadakan lagi pada masa akan datang. Adalah difahamkan hadiah-hadiah bagi kategori pertandingan amat menarik, iaitu RM400 bagi hadiah pertama , kedua RM300/=, Ketiga RM 200 dan keempat RM100. Begitulah hadiah-hadiah kepada muslimat.


Selepas perasmian Adun membuat tendangan permulaan menandakan rasminya majlis. Selepas bergambar Adun diiringi melihat pertandingan dan melawat gerai ke gerai peniaga yang mereka diberi kursus perniagaan dan keusahawanan oleh Lajnah Perniagaan dan Keusahawanan Adun Bangi tempoh hari.

Pada sebelah petang YDP dan pasukannya datang untuk menyampaikan hadiah-hadiah dan melakukan Majlis Penutup`. Sebelumnya YDP MPKj bertanding antara pasukan YDP dan pasukan campuran MPP.

Sekian.

No comments:

Post a Comment