December 12, 2010

Kem Motivasi Aura Kecemerlangan Di Surau Dahlia, Seri Putera

Surau Dahlia, 2 Muharram = 08 Disember ( Rabu):


Dalam musim cuti persekolahan ini berbagai kegiatan dilakukan sama ada oleh pihak masjid, surau, persatuan penduduk atau NGO bagi mengisi masa pelajar-pelajar yang sedang bercuti, agar masa mereka tidak berlalu begitu saja, tetapi dapat diisi dengan kegiatan yang berfaedah. Dalam hal ini pihak JAIS juga memberi perhatian berhubung dengan bimbingan pelajar dalam masa cuti, iaitu menurunkan peruntukan melalui Pejabat Agama Daerah dengan menawarkan kepada masjid atau surau pilihan bagi mengadakan kem motivasi. Pihak yang berminat menganjur kem berkenaan juga boleh memohon peruntukan sedemikian dari pihak Jabatan Agama Daerah.

Adun Bangi sendiri menerima jemputan merasmikan Kem Motivasi Aura Kecemerlangan di atas yang memberi peluang bagi Adun memahami penganjuran seperti berkenaan.
Kem Motivasi di atas dianjur oleh Surau Dahlia dan mejemput kumpulan motivasi seramai 6 orang yang menamakan kumpulan mereka `Aura Kecemerlangan` menjalankan program motivasi Kem ini di bawah Pengarahnya, Tuan Haji Halim bin Saidin yang merupakan Pengerusi Surau dan Ketua Cawangan di sini. Ahli Jawatankuasa termasuklah Tuan Haji Ahmad Yusof yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Induk, Encik Shahrum Pengerusi Persatuan Penduduk Prumahan Dahlia. Turut hadir bersama Adun ialah Encik Khairul Nizam bin Mohd Idris dari Pejabat Agama Daerah Hulu Langat (PAID) dan ibu bapa pelajar.

Pengisian bagi Kem ini ialah Latihan Ibadat, Kepimpinan, Ukhuwwah dan pertandingan-pertandingan yang semuanya berlangsung di dalam dan di pekarangan surau. Adun ketika berucap untuk perasmian mengucapkan terima kasih dan syabas terhadap AJK Surau yang berjaya mengadakan Kem Motivasi pada hari itu. Ini menandakan pihak Surau dan Ibu bapa prihatin terhadap anak-anak dan turut sama hadir di dalam majlis.Adun berharap melalui Kem Motivasi ini dapat memperbaiki amalan ibadart, kaedah belajar, berukhuwwah dan mentaati ibu bapa. Beliau juga mengucapkan terima kasih di atas peruntukan yang diberi oleh PAID bagi Kem Motivasi ini. Ini mencerminkan pihak PAID-JAIS memberi perhatian bukan saja masa persekolahan, tetapi juga pengisian di luar masa persekolahan. Adun menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak belajar agama bagi keselamatan mereka dunia-akhirat.

Tuan Haji Halim memaklumkan seramai 75 orang pelajar mengikuti Kem Motivasi, mereka berumur antara 10 – 17 tahun. Menurutnya pihak PAID memperuntukkan sebanyak RM2,500 bagi Kem ini, tetapi jumlah ini tidak dapat menampung keseluruhan belanja Kem selama sehari, sebab itu sedikit bayaran dikenakan terhadap peserta, iaitu RM15/= seorang.

Pada akhir Majlis penyampaian sijil dan hadiah dilakukan oleh Adun, Sdr. Khairul Nizam, Tuan Haji Halim, Tuan Haji Ahmad dan saudara Shahrum.

Sekian.

No comments:

Post a Comment