December 10, 2010

Menyampaikan Bantuan Persekolahan Di Sepang

Masjid Sultan Hisamuddin, Sepang, 03 Muharram = 09 Disember (Khamis):

Sepang merupakan Kawasan Angkat bagi Adun Bangi. Sebab itu Adun sering dijemput berhubung dengan urusan keagamaan, perlantikan imam-imam, ketua-ketua kampung dan pentadbiran di Pejabat Daerah yang perlu melibatkan Adun. Pada petang ini atas kapasiti sebagai Adun Angkat dan juga selaku pembantu Exco Hal Ehwal Islam, Adun dijemput ke Masjid di atas, mulai jam 2.30 petang bagi merasmikan:

Majlis Penyampaian Bantuan Agihan Pendidikan Sekolah Kepada Asnaf Fakir/Miskin
Daerah Sepang Selangor.

Hadir sama ke Majlis pada petang ini ialah Tuan Haji Abdul Halim bin Mat Isa Pentadbir Agama Islam Daerah Sepang yang juga Pengerusi Pemilihan Asnaf, Tuan Mustafa Kamal, Wakil Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Sepang, En. Saiful Riza bin Ahmad Zakaria – Ketua Operasi Daerah Sepang, En. Mahamad Lutfi bin Ibeni Hijar, Pen. Ketua Operasi Daerah Sepang, En.Kamarulzaman bin Che Husain Pegawai Zakat Agihan Daerah Sepang, Nazir-Nazir Masjid, Ketua-Ketua Kampung, Guru-Guru Besar, ibu bapa dan murid-murid.

Bagi merasmikan Majlis Adun menyebut, betapa prihatinnya Kerajaan Selangor melalui MAIS-JAIS, tidak saja mengeluarkan peruntukan tahunan zakat kepada faqir-miskin, tetapi juga mengeluarkan peruntukan zakat membantu pelajar-pelajar miskin dengan kewangan, pakaian dan peralatan Sekolah. Pada tahun ini Kerajaan mengeluarkan peruntukan bagi Daerah Sepang sahaja sebanyak RM264,700.00 bagi seramai 280 pelajar dari berbagai-bagai jenis persekolahan. Hari ini ibu bapa mewakili anak-anak mereka menerima agihan. Kata Adun, ``Saya difahamkan tiap seorang menerima sebanyak antara RM500/= hingga RM1,000/= bergantung kepada jumlah anak yang bersekolah yang memerlukan bantuan dan tahap faqir-miskin mereka. Ini adalah jumlah yang besar. Kerajaan mau mengurangkan beban ibu bapa dan anak-anak yang belajar.`` Adun meminta ibu bapa menggunakan peruntukan benar-benar kepada perkara yang berhubung dengan keperluan anak-anak bersekolah.

Menurut Adun lagi, kerajaan bukan saja menyediakan peruntukan bagi persekolahan, tetapi kerajaan juga menyediakan persekolahan, iaitu:

Kafa = 291 buah
Pra-Sekolah = 12
SRA = 203
SRAI = 11
SAM =23
Tahfiz = 02

Jumlah guru = 6,236
Jumlah murid =87307

Ini tidak termasuk Sekolah-sekolah swasta dan persendirrian yang melibatkan 233,206 dan 10,029 guru (Statistik tertakluk kepada perubahan).

Kerajaan memperuntukkan lebih dari RM70 juta setahun bagi pendidikan agama. Adun mengharapkan ibu bapa memberi perhatian dari segi didikan agama kepada anak-anak.
Dengan pendidikan agama dapat memupuk diri anak-anak sebagai hamba yang baik, patuh kepada perintah Allah dan berakhlak dengan akhlak yang baik.
Melalui pengajian agama anak-anak mempunyai peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi sama ada di dalam atau luar Negara. Ramai dari kalangan mereka telah berjaya dan sedang berkhidmat dengan cemerlang.

Sebelum dari ucapan perasmian, Tuan Pentadbir Agama Islam Selangor Tuan Haji Abdul Halim dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan pada tahun ini Daerah Sepang mencapai kedudukan pertama bagi Sekolah-sekolah KAFA di Selangor, manakala pada peringkat Sekolah Agama Menengah tahun ini mencapai tempat ketiga, berbanding pada tahun lepas peringkat pertama. Beliau menggesa ibu bapa menghantar anak-anak ke Sekolah agama dan jangan membiarkan mereka merayau di waktu petang jika bersekolah biasa sebelah pagi dan begitulah sebaliknya. Beliau mengingatkan ibu bapa jangan memohon bantuan bagi pengajian Sekolah Agama, sedang anak-anak tidak bersekolah agama. Beliau mahu anak-anak yang menerima bantuan belajar bersungguh-sungguh sebagai menyatakan kesyukuran kepada Allah.

Adun bersama Tuan Pentadir Agama menyampaikan sebahagian dari ratusan mereka yang layak menerima bantuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment