December 28, 2010

Rasmi Gelanggang Silat Kuntau Tekpi Malaysia, Cawangan Bangi-Kajang

West Country, Seksyen 5, BBB, 19 Muharram = 25 Disember (Sabtu):


Selepas sembahyang Isyak kami bertolak ke West Country dan disambut ke Majlis di Gelanggang berhampiran dengan Surau Al-Hidayah, West Country. Di sini sedia hadir Guru Utama dan Guru-Guru Silat dan murid-murid yang memakai pakaian silat bertanjak menurut kedudukan masing-masing dalam hiraki silat. Mereka ialah:

1) Paduka Ayahanda Haji Sani bin Haji Zainal Abidin, Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia.

2) Saudara Hisham bin Subari Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Cawangan Bangi-Kajang.

3) Encik Faiz Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Gombak & Wilayah Persekutuan.

4) Encik Sattar Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Port Dickson-Rembau

5) Murid-murid Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Cawangan Bangi-Kajang.


Tamu-tamu yang hadir pada malam itu selain dari Adun Bangi ialah Datuk Dr. Ujang bin Bagong, Orang Kenamaan dan Dermawan dari Kajang. Tuan Haji Abdul Safir Pengerusi Rukun Tetangga, Seksyen 5, West Country, Saudara Rahim Shujak, Pengerusi Surau Al-Hidayah, Imam Hambali dan ahli jamaah surau dan penduduk setempat.


Majlis pada malam ini bertujuan merasmikan Gelanggang Seni Silat Kuntau Tekpi Cawangan Bangi-Kajang di sini yang sudah setahun digunakan. Terdapat 40 pelajar di sini yang kebanyakannya lelaki, di samping terdapat beberapa orang pelajar perempuan.


Dari segi sejarahnya Seni Silat Kuntau Tekpi berasal dari negeri Kedah diasaskan pada tahun 1960an oleh Panglima Taib, kemudian dilanjutkan oleh anaknya Siti Aminah, seterusnya oleh anaknya Haji Zainal Abidin dan kini diteruskan oleh anaknya Haji Sani sebagai generasi ketiga. Menurut Saudara Hisham bin Subari keahlian Seni Silat Kuntau Tekpi berkembang pesat dan kini mempunyai keahlian 10,000 di Malaysia. Mereka terdapat di Bangi-Kajang, Lukut-Port Dickson, Rembau, Pulau Pinang dan Singapura. Keahlian yang diterima serendah-rendahnya berumur 6 tahun. Pakaian pelajar-pelajar silat ialah berbaju Melayu bersamping, berbekong, bertengkolok dan bercapal.


Syarat-syarat untuk diterima hendaklah Melayu beragama Islam dan sihat tubuh badan. Latihan secara intensif antaranya menggunakan alat-alat seperti tekpi (alat pakaian seperti kepala ikat pinggang yang bercabang tiga), rantai, kerambit, parang dan keris yang alat-alat ini boleh membahaya dan mendatangkan kecederaan yang teruk. Bermacam-macam buah silat seperti ular sawa, sembelih kambing, sembelih kerbau dan sebagainya.


Acara Pembukaan Gelanggang pada malam ini bermula dengan menyanyikan Lagu Negaraku, doa dan kemudian diikuti dengan Ikrar dari pelajar-pelajar yang diketuai oleh Adik Azim. Kemudian acara Pembukaan disampaikan oleh Cikgu Amin. Majlis Penganugerahan Persalinan dilakukan oleh Paduka Ayahanda Tuan Haji Sani.


Pertama kepada Datuk Dr. Ujang Bagung yang menyampaikan derma kepada Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekfi pada malam itu sebanyak RM1,500. Persalinan yang dipakaikan ialah tengkolok dan selindang panjang yang dipakaikan dari bahu kiri dan disimpulkan ke pinggang sebelah kanan. Kedua persalinan pakaian yang seumpama di atas kepada Adun Bangi yang juga dipohon derma bagi majlis berkenaan, dan Ketiga kepada saudara Abdul Rahim Shujak selaku Pengerusi Surau Al-Hidayah yang gelanggang silat berdekatan dengan surau tersebut. Beliau diminta berucap mengalu-ngalukan majlis dan kehadiran jemputan serta bersukacita di atas kerjasama pihak Pertubuhan silat dengan pihak surau dan masyarakat setempat.


Untuk ucapan Perasmian Adun Bangi bertolak dari premis bahawa hidup kita memerlukan tiga perkara asas, iaitu makanan, pakaian dan keselamatan. Bagi menjamin keselamatan timbul keperluan mempertahankan diri atau kelompok bahkan bangsa. Silat adalah salah satu alat bagi melindung dan mempertahankan diri, lebih besar bagi pertahanan memerlukan lebih peralatan mempertahankan diri, kelompok dan Negara. Contoh ialah angkatan tentera yang dapat mempertahankan Negara dari musuh. Dalam perkembangan zaman moden, walaupun silat masih berfungsi bagi mempertahankan diri, tapi keperluan sedemikian telah diambil alih oleh pihak tentera, polis dan pasukan keselamatan yang lain. Namun silat seharusnya dihidup dan dikembangkan dan masih releven bagi mempertahankan diri, tapi kini lebih bersifat budaya yang memperlihatkan keindahan gerak badan dan ketangkasan yang indah, mengasyik dan mengkagumkan.


Dari aspek ini kita berpendapat seni silat mempunyai tempat dan ruang untuk diperkembangkan dan kita memberi sokongan. Seni silat juga hendaklah menerima value added seperti sebagai satu cara melatih diri dan pasukan mendisiplinkan diri dan sebagai alat mempertingkatkan kesihatan dan ketangkasan diri dan pasukan. Seni silat yang baik dan terpilih sewajarnya dimasukkan dalam latihan dan disiplin pasukan keselamatan dan pertahanan Negara. Selain dari lebih bersifat latihan dan pembinaan fizikal hendaklah dimasukkan juga di dalam kurikulum latihan ialah penanaman semangat taat setia kepada Tuhan, Negara, bangsa dan agama, juga turut dimasukkan nilai-nilai murni dan keagamaan. Ini lebih melengkapkan Seni Silat itu sendiri.


Bagi seni silat itu sendiri, tak kira apa jenisnya hendaklah terbuka dari segi penambahan yang memperbaiki seni silat itu sendiri. Misalnya dari segi gerak dan bunga-bunga tarian, rentak pahlawan, penggunaan peralatan senjata, ungkapan pemberangsangan, elemen semangat dan kerohanian. Seni silat adalah bidang yang wajar diperkembangkan. Bagi memperkembangkannya wajar ada konvensyen, demontrasi dan pertandingan silat bagi memperkembangkan silat itu sendiri.


Selepas perasmian Adun tidak dapat mengikuti latihan dan pertunjukan oleh pelajar dan memohon diri dari Paduka Ayahanda Guru Utama dan pihak penganjur kerana perlu menghadiri program yang lain selepas itu.


Sekian.

No comments:

Post a Comment