December 3, 2010

Maqasid Syariah - Rahmat Sekalian Alam: Memahaminya Melalui Seminar

Masjid Negeri, Shah Alam, 25 Zulhijjah = 02 Disember (Khamis):



Maqasid Syariah – ungkapan ini mungkin asing bagi sebahagian dari kalangan umat Islam, tetapi sebenarnya ianya melibatkan kebiasaan amalan umat. Kefahaman mengenainya memperluaskan perspektif dan horizon kita tentang Islam yang meningkatkan kualiti amalan.

Bagi tujuan di atas pihak JAIS memberi kerjasama yang erat kepada usaha Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling menganjurkan Seminar Maqasid Syariah: Rahmat Sekalian Alam pada hari ini bertempat di Dewan Seminar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Peserta-peserta adalah terdiri dari nazir-nazir, pegawai-pegawai masjid, guru-guru besar Sekolah agama dan pentadbir-pentadbir Jabatan Agama yang jumlahnya lebih kurang 300 orang. Bagi menyempurnakan Seminar ini, Y.B. Dato` Dr. Hasan bin Mohamed Ali Exco Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infra-Struktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor dijemput merasmikan Seminar. Dua orang tokoh dijemput menyampaikan kertas kerja. Mereka ialahTuan Haji Aluwi bin Paiman, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-Undang Keluarga, JAIS dengan Judul: Maqasid Syariah: Rahmat Sekalian Alam dan kertas Kerja Kedua disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Zahazan bin Haji Mohammed, Pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu, UIAM dengan Kertas Kerja berjudul, Maqasid Syariah: Cabaran Dan Penyelesaian Merealisasikan Maqasid Syariah. Hadir sama di dalam majlis ialah Tuan Haji Ali bin Muhammad Timbalan Pengarah JAIS yang mewakili SS Dato` Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi Pengarah JAIS

Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan dan terima kasih oleh Tuan Muhamad Sujak bin Mohd Dasuki selaku Pengarah Seminar yang juga adalah Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Islam, Petaling. Menurut beliau `Maqasid Syariah bidang yang tidak begitu diketahui umum, lantaran itu seminar pada hari ini menganjur Seminar Maqasid Syariah yang beliau harapkan dapat memberi manfaat kepada para peserta dan dimaklumkan juga kepada yang lain.

Bagi perasmian, oleh kerana Y.B. Dato` Dr. Hasan bin Mohamed Ali mempunyai tugas yang bertembung dengan masa Seminar Maqasid Syariah, khususnya waktu perasmian, maka beliau tidak dapat hadir, maka beliau mewakilkan kepada Adun Bangi bagi perasmian dan Adun Bangi menyampaikan `Mohon Maaf` beliau kepada peserta.
Dalam ucapan Adun sebagai Pembantu Exco, Adun memaklumkan, bahawa:

Syariat ialah bererti Jalan, Aturan, bahkan undang-undang. Jadi Maqasid Syariat bermaksud – Tujuan-Tujuan Aturan Syariah Islam. Ianya tidak lain dari untuk rahmat kepada Alam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

``Tidaklah kami utuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan semata-mata sebagai rahmat kepada Alam. (Al-Anbiya`, 21: 107).

Tiap kejadian ditentukan aturan yang dengan aturan menjadikannya selamat. Bumi, planet dan semua cakrawala ada aturan. Misalnya bergerak dan beredar di dalam orbit menurut aturan. Jika tidak menurut aturan akan bertembung dan rosak binasa. Bumi juga ada aturan – bergerak di atas paksi dan berlaku siang dan malam dan dengan aturan bumi selamat dan seluruh kandungan berada di dalam selamat. Dan bagi manusia juga ada aturan yang menjadikannya selamat. Bagi keselamatan dunia dan akhirat – Islam menentukan aturan. Misalnya berdasarkan Al-Qur`an dan Al-Hadith menjadi sumber perundangan Islam yang melahirkan seperti aturan Fiqah yang terkandung di dalamnya Ibadat, Muamalat, munakahat, Jinayah dan Jihad, diulas oleh ulama-ulama seperti oleh Imam Malik, Shafie, Hanafi dan Hanbali. Jika dilihat misalnya dari segi membina keluarga sakinah dan bahagia. Maka aturannya boleh dilihat dan berpandu kepada bidang Munakahat yang membicarakan semua aspek bagi membina keluarga bahagia.

Maqasid Syariah adalah bertujuan baik dan rahmat bagi alam. Terdapat di dalam Islam peraturan-peraturan yang dikategorikan kepada seperti, wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Hukum-hukum ini tidak lain dari rahmat dan kebaikan. Misalnya mengapa diharamkan arak – kerana ianya boleh merosakkan.

Berbagai-bagai kaedah fiqhiyyah yang memberi faedah dari segi keilmuan, kefahaman dan amalan. Misalnya kaedah Ijma` Ulama`, qiyas, Istihsan. Di dalam Usul al-Fiqh misalnya terdapat kaedah-kaedah seperti Amar bagi wajib, nahi bagi haram, tiada suruh dan larang bagi harus, penggalakan bagi sunat dan tidak menggalakkan (keji) sebagai makruh. Di samping di sana ada aspek-aspek darurah, tahaluf, rukhsah, ijtihad, jihad. Semuanya ini adalah kaedah-kaedah yang tujuannya adalah bagi kebaikan manusia. Pendeknya Maqasid Syariah tidak lain dari kebaikan, teratur, panduan, indah, harmoni dan rahmat. Adun mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa, terutamanya kepada pembentang-pembentang kertaskerja.

Dari segi kertas kerja Adun hanya mendapat sebuah kertas kerja yang dibekalkan yang bakal disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Zahazan bin Haji Mohammed.



Antara rumusan dan kesimpulan kertas kerja berjudul:
Cabaran Dan Penyelesaian Merealisasikan Maqasid Syariah:

Termasuk di dalam Maqasid Syariah, iaitu jalan dan tatacara ialah hukum hakam, akidah, ibadah, akhlak yang dijelas oleh Allah dan disampaikan oleh Rasulullah.
Maqasid Syariah ialah objektif-objektif atau hikmat-hikmat yang dipelihara dan hendak direalisasikan oleh Allah dalam penetapan hukum-hukumnya,bagi kebaikan para hambanya.’
Hukum hakam Islam sebenarnya terikat dengan tujuan dan hikmat tertentu bagi manafaat dan menolak mudarat.

Maqasid Syariat terbahagi kepada tiga jenis:

Daruriyyat (Pertama)
Iaitu sesuatu yang sangat diperlukan sehingga sampai kepada tahap terdesak, terpaksa dan tidak dapat dielakkan.
Daruriyyat ada lima, iaitu agama, jiwa atau nyawa, akal, keturunan dan harta
Semuanya memerlukan kepada pemeliharaan.

Hajiyyat (Kedua)

Ialah perkara yang berkaitan dengan keperluan umum, tetapi tidaklah sampai kepada tahap darurah.
Hajiyyat diperlukan untuk memberi kemudahan dan mengelakkan kesukaran. Hajiyyat sebenarnya melengkapkan kepada daruriyyat.

Manakala Tahsiniyyat (Ketiga)

ialah adab-adab baik yang patut diamalkan, di samping menjauhi keadaan-kedaan yang mencemarkan dan ditolak oleh akal yang matang. Tahsiniyyat merujuk kepada perkara-perkara yang elok yang merupakan tambahan kepada daruriyyat dan hajiyyat, kerana ketiadaan tahsiniyyat tidak akan mencacatkan kledua-duanya. Bahkan tahsiniyyat itu lebih bberbentuk penambahbaikan dan penghiasaaaan kepada kedua-duanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment