December 13, 2010

Hospital Pakar An-Nur Anjur Program Berkhatan Beramai-Ramai Di Masjid Al-Hasanah: Surau Taman Sutera Juga Mengadakan Acara Berkhatan

BBB, 06 Muharram = 12 Disember (Ahad):


Hospital Pakar An-Nur Bandar Baru Bangi hari ini menganjurkan Program Berkhatan Beramai-Ramai untuk anak-anak dari kalangan ibu-bapa miskin di BBB. Program ini mendapat kerjasama Masjid Al-Hasanah, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Ikram Hulu Langat. Adun Bangi diberi penghormatan merasmikan program tersebut.

Seramai 96 orang anak-anak dari berbagai taman dan kawasan di BBB menyertai program berkhatan ini. Acara berkhatan ini diadakan di Dewan-Dewan bersebelahan Masjid secara serentak.dengan peralatan dan tenaga-tenaga pakar di bawa dari Hospital An-Nur yang tidak jauh kedudukannya dengan Masjid Al-Hasanah.

Program ini bermula sejak jam 7.00 pagi dengan pendaftaran dan sarapan. Kemudian jam 8.00 pagi peserta-peserta berarak ke tempat `Bersiram` yang dilakukan oleh pihak bomba dan secara bergilir-gilir menurut susunan anak-anak dikhatankan.


Semasa acara berkhatan dijalankan, ibu bapa dan para tamu jemputan bersama berada di Dewan Utama Masjid untuk mengikuti acara perasmian dan penerangan. Bersama Adun Bangi di dalam majlis ialah Tuan Haji Shahrom bin Mohd Sharif CEO Medical Sdn. Bhd. Group, Dr. Tajul Ariffin Noordin Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Tuan Haji Hanafiah bin Sha`rani Nazir Masjid Al-Hasanah, Profesor Madya Dr. Mohd Hariffin Timbalan YDP IKRAM, Dr. Mohd Azlan Doktor Hospital Pakar An-Nur. Ibu bapa dan tamu-tamu dan keluarga yang mengiringi anak-anak yang datang berkhatan.

Ucapan-ucapan bermula dengan Tuan Nazir Tuan Haji Hanafiah Sha`rani berucap dan memaklumkan ini adalah program pertama diadakan Acara Berkhatan Beramai-Ramai Di Masjid Al-Hasanah. Menurutnya, ``Masjid bukan semata-mata tempat ibadat secara khusus, tetapi juga sebagai tempat berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan. Masjid sedia menerima dan bekerjasama dengan berbagai-bagai pihak yang menganjurkan berbagai kegiatan yang bersifat kebajikan, selagi ianya tidak sampai kepada batas kemungkaran. Dr. Tajul Ariffin Noordin menyataka bahawa pihak Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi bergembira dan memberi kerjasama di atas kegiatan amal yang bersifat kebajikan. Berkhatan menurutnya bukan bersifat adat, tetapi mempunyai hubungan yang rapat dengan ibadat yang menyempurnakan amalan ibadat itu sendiri.. Tuan Haji Shahrom memaklumkan bahawa kegiatan amal memang sering dilakukan oleh pihak Hospital Pakar An-Nur, termasuk kegiatan ke kampong-kampung, tetapi kegiatan hari ini adalah antara kegiatan yang besar dianjurkan oleh Hospital An-Nur dan mendapat kerjasama dari banyak pihak. Beliau berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan. Beliau mengumumkan yang Hospital Pakar An-Nur akan mempunyai kompleks bangunan yang lebih besar dan lengkap apabila kompleks Hospital An-Nur siap dibangunkan di Seksyen 15 BBB berhampiran dengan Stadium Bangi. Bangunan didirikan secara joint venture bersama dengan KLIA Group.

Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah di atas kejayaan Hospital An-Nur mengadakan Program Berkhatan Beramai-Ramai pada hari ini dengan bekerjasama dengan Masjid, Persatuan Penduiduk dan pihak IKRAM. Menurutnya pada musim cuti Sekolah ini adalah masa yang sesuai bagi diadakan program berkhatan. Dalam masa cuti Sekolah ini juga diadakan berbagai kegiatan bagi mengisi masa lapang anak-anak seperti kem motivasi, kem ibadat dan berkhatan. Kepada anak-anak yang berkhatan Adun mengucapkan tahniah kepada anak-anak yang bakal dikira sebagai perpindahan ke alam remaja dan layak berjamaah dengan orang tua. Adun mengingatkan yang kita baru berada di awal tahun Hijrah 1432 dan bakal menyambut awal Tahun Masihi lebih dari dua minggu lagi. Adun berharap kepada anak-anak memasang azam untuk lebih maju di dalam bidang pelajaran pada tahun mendatang dan kepada ibu bapa diharap memberi dorongan bagi kemajuan anak-anak. Kepada Hospital Pakar An-Nur beliau berharap bila bangunan baru siap ianya akan menjadi salah satu `Landmark` bagi BBB dan dapat menarik pesakit/pengunjung dari dalam dan luar negeri/negara. Sebagaimana Persatuan Penduduk begitulah Adun berharap IKRAM dapat menabur bakti dan kebajikan kepada masyarakat terutama bagi penduduk BBB. Adun sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi kepentingan penduduk dan masyarakat di BBB.. Selepas perasmian dilakukan oleh Adun, majlis penerangan mengenai khatan disampaikan oleh Dr Mohd Azlan. Menurutnya, kaedah berkhatan yang dijalankan ialah dengan dua cara iaitu secara Klem (Kapit) dan cara lazer yang tidak sakit dan segera sembuh.

Selepas itu, sambil menunggu giliran anak-anak mereka dikhatan, ibu bapa mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh Imam Masjid Al-Hasanah Tuan Haji Imam Supaat bin Abdul Rahman, manakala Adun diiringi melawat anak-anak yang sedang dikhatankan di tiga bilik yang berasingan.

Sementara itu pada Sabtu jam 8.00 pagi 11 Disember 2010, semalam Adun juga menghadiri upacara berkhatan di Surau Taman Sutera yang dianjurkan oleh pihak Surau Taman Sutera bersama dengan Persatuan Penduduk Taman Sutera. Seramai 12 orang kanak-kanak mengambil bahagian bersunat. Adun Bangi juga diminta merasmikan Majlis Berkhatan ini. Hadir bersama di dalam majlis ialah Yang Berbahagia Dato` Norhisham bin Haji Ishak Ahli MPKj, Tuan Haji Romlan Sarpin Presiden Persatuan Penduduk Taman Sutera, Cikgu Wan Mohd Nazri bin Wan Mohd Nasir Pengerusi Surau, En. Ahmad Yusof bin Abdul Rahim Pengarah Program Sunathon dan ibu bapa. Selepas ucapan alu-aluan oleh Tn. Hj. Romlan Sarpin dan pembukaan oleh Adun Bangi, penyampaian cenderamata kepada anak-anak dilakukan oleh Adun Bangi bersama Tamu-Tamu Kehormat, kemudian Adun melepaskan perarakan kanak-kanak mengelilingi Taman Sutera sebelum mereka dimandi bersiram dan berkhatan. Pihak penganjur mendapat kerjasama Hospital Kajang menjalankan acara berkhatan.

Terima kasih kepada semua pihak.

Sekian.

No comments:

Post a Comment