March 31, 2015

Masjid Al-Umm: Pendekatan Mentakmilah Diri Mendekati Ilahi


Adalah pendekatan dan prinsip
Bahawa masjid perlu diasas di atas dasar taqwa
Menjadi pusat ibadat mendekati Ilahi
Wadah  berlumba membuat kebajikan
Demi  `Rumah Allah` secara keikhlasan
Demikian Masjid Al-Umm nyata terbina
Dari susunan kepingan keikhlasan
Berbagai lapisan masyarakat menghulurkan.

Menjelma ke arah itu
Ketika tapak masih bernama hutan kecil
Terkepung oleh pembangunan kelilingan
Masih tiada keputusan antara dua pilihan
Menggantikan surau yang lama dan utama
Atau mendirikan masjid di tapak belum digezet
Namun atas satu komitmen diambil
Adalah janji bagi merealisasikan masjid di sini
Sesuai dengan cetusan `Bangi Bandar Ilmu`
Sambutan tiga dekad (1977-2007) Bandar Bangi
Dan tiga tahun berikutnya (2010) adalah keputusan
Diambil dalam mesyuarat pertemuan
Bahawa Masjid Al-Umm akan didirikan
Atas kerjasama berbagai pihak dan komitmen
Maka hari ini Masjid Al-Umm menjadi kenyataan.

Secara kebetulan
Sejak 1990an teori Takmilah dicetuskan
Keterlibatan di dalam pembinaan Masjid Al-Umm
Mengilham meluaskan teori dari semata sastera
Kepada bidang berciri estetika, khususnya masjid
Ilham ini menjelma bagi membentang kertas kerja
Tahun 2014 di Universiti Pendidikan Sultan Idris
Teori Takmilah Perluasan dan Penafsiran
Masjid adalah satu wadah pendekatan.

Lantaran itu masjid dilihat tiga dimensi
Pertama utama dimensi ibadat
Ruangnya sentiasa terbuka bagi sesiapa
Datang beribadat setiap waktu solat
Mengamal sunat bertahajud dan iktikaf
Bersedekah bantuan yang memerlukan
Menaja program masjid bersifat kemasyarakatan.

Dimensi pengajian aktiviti disusunkan
Di Masjid Induk  Wadi Ilmu
Dapat diikuti setiap solat fardu mengiringi
Lebih intensif pada hari-hari minggu
Pengajian berjadual mirip pengajian tinggi
Kerjasama institusi tenaga pengajian tinggi
Dihadiri pengaji tempatan atau luaran
Anak-anak mengikuti pengajian tahfiz
Mendalami tajwid bertarannum memahiri khat
Para muslimat dengan pengajian khas
Warga emas ala pondok pengajian kitab
Acara berkala mengadakan seminar konvensyen
Dengan topik pilihan menurut kesesuaian.

Mengisi Tamilah dimensi seni rohani
Bukan semata pendidikan menghayati keindahan
Berdepan senibina masjid indah terpampang
Dari kubah, menara, mihrab, tiang-tiang
Pintu-pintu, jendela-jendela arch semi circle
Mengambil bentuk bulat lambang sempurna
Mengagungkan Yang Esa Maha Pencipta
Tapi seni rohani itu juga dapat dihayati
Dari tilawah al-Qur`an muazzin melafaz azan
Salawat tahlil ratib zikir dan tabhil
Bahkan pengajian bersifat kerohanian
Adalah pembersihan karat logam hati
Gemerlap tergilap suci murni.

Masjid Al-Umm dan penghayatan
Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu
Membuka ruang pendekatan
Mendekati diri kepada Ilahi
Melalui ibadat, pendidikan, seni rohani
Tiganya bersepadu mentakmilah diri
Mengagung Ilahi.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
09 Jamadil Akhir 1436

30 Mac 2015.

March 30, 2015

Menaikkan Rangka Kubah Ke Kemuncak Bangunan Masjid Al-Umm - Sejarah Bagi Pembinaan


BBB,  08 Jamadil Akhir 1436 = 29 Mac 2015 (Ahad):


Pagi ini tepat jam 11.15 pagi rangka kubah Masjid Al-Umm berjaya diangkat ke tapaknya di puncak Masjid Al-Umm dengan menggunakan crane kuasa tinggi seberat 400 tan mengangkat rangka kubah seberat 10 tan yang dipasang di medan parkir hadapan masjid sejak pertengahan Mac ini. Upacara mengangkat rangka kubah ini disaksikan lebih kurang 120 tamu termasuklah Pengerusi AJK Induk Dr. Shafie Abu Bakar, Pengerusi AJK Teknikal Ir. Tuan Haji Ishak Haji Arshad, Pengerusi AJK Tapak Ir. Tuan Haji Ghazali bin Hussin, Pengarah Pembangunan Masjid Tuan Haji Adul Rahman Daud, Pengarah Urusan Syarikat Majliza Sdn Bhd. Tuan Haji Abdul Majid sub. kontrektor Pembinaan Kubah, Tuan Haji Marzuki bin Hj. Che Omar Pengarah Tekad Nusantara Sdn. Bhd. Kontrektor pembangunan masjid, Ar.Raja Fuaddin bin Raja Ahmad Arkitek bagi Masjid Al-Umm, wakil-wakil Juru Perunding, AJK-AJK dan orang ramai. Dalam majlis itu diedarkan secara percuma kepada yang hadir buku `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` yang di dalam buku tersebut maklumat mengenai Masjid Al-Umm yang diharap menjadi induk bagi perkembangan ilmu di Wadi Ilmu secara khusus dan Bangi secara menyeluruh.



Sebelum daripada pengangkatan rangka kubah dilakukan satu Majlis Kecil diadakan. Pengerusi Majlis Tuan Haji Ghazali bin Haji Abas membukakan majlis dengan pembacaan `Al-Fatihah`. Berikut dari itu beliau menjemput Tuan Haji Abdul Rahman Pengarah Pembangunan menyampaikan ucapan.
Tuan Haji Abdul Rahman bercakap tentang bangunan masjid yang terdiri dari tiga tingkat dengan tingkat bawah tanah adalah tambahan baru dari asalnya dua tingkat. Tingkat bawah adalah sebagai `bonus` hasil dari cadangan AJK mesyuarat. Ruang solat utama dapat menampung jamaah seramai 3,000 orang. Pada tingkat ini ada bilik imam, bilik mesyuarat dan bilik tarbiah anak-anak. Tingkat atas adalah untuk muslimat. Pada tingkat ini ada 6 bilik termasuk bilik mesyuarat, seminar, tahfiz,  IT dan bilik sumber.



Tingkat bawah tanah ialah bilik seminar (besar), jamuan perkahwinan, bilik aqad nikah, persalinan dan bilik penyediaan makanan. Menurutnya pungutan derma yang didapati adalah sejumlah RM10.2 juta dari jumlah keperluan RM16 juta. Beliau menyeru kepada penderma-penderma bagi memenuhi jumlah keperluan  pembinaan masjid atau memilih menderma item-item khusus seperti carpet, kipas, air-cond dan sebagainya.
Ir. Tuan Haji Ishak Arshad Pengerusi AJK Teknikal turut dijemput bercakap. Beliau memaklumkan setakat ini pembinaan Masjid Al-Umm adalah 65%. Ada sedikit kelewatan dan tarikh dijangka siap pada 25 Mei 2015 menjelang Ramadhan mungkin lewat daripada itu, walau bagaimana beliau berharap penggunaan masjid dapat dilakukan dan digunakan bagi Hari Raya Idul Adhha 1436/2015 ini – Insya Allah.
Berhubung dengan Kubah yang akan diangkat berikut dari majlis pagi ini adalah dilakukan oleh Sub-Kontrektor – Syarikat Majleza Alluminium Sdn. Bhd. Dari Ulu Tiram, Johor.  iaitu sebuah syarikat yang memang pakar dan banyak membina kubah-kubah di berbagai tempat di tanah air, terbaru majlis mengangkat kubah seperti ini dilakukan di Masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP) beberapa hari yang lepas.



Berhubung dengan kubah ketumpatan luasnya ialah 800 meter persegi dengan 11 diemeter lilit seberat 10 tan yang bakal diangkat. Rangka dipasang dengan dua layers dengan warna permukaan ialah warna keemasan. Siang hari terpantul warna keemasan bila dipancar cahaya matahari dan bila malam warna keemasan itu bertambah seri bila digemerlapkan dengan cahaya lampu. Pada puncak kubah  adalah lambang Al-Umm sebagai `tunjuk langit`. Menurutnya pemasangan kubah melibatkan ikatan 16 bolt, setiap bolt adalah 4 inci. Satu-satu bolt berkekuatan 5 ton.
Pengerusi AJK Induk Dr. Haji Shafie Abu Bakar pula memaklumkan dalam ucapannya bahawa, setelah setahun tiga bulan selepas penyerahan tapak dan mulai masuk kerja pada  10.12. 2013, maka pada hari ini insya Allah dengan menaikkan rangka kubah Masjid Al-Umm, maka sempurnalah rangka binaan fizikal Masjid Al-Umm keseluruhan, masa seterusnya ialah kerja-kerja finishing yang kebanyakannya dalaman bagi masjid. Merujuk kepada pembinaan kubah, sebenarnya sebelum penyerahan tapak, AJK telah berusaha mencari jurubina kubah. Misalnya pada 11.9.2013 kita telah memanggil Syarikat Aktif Alluminium Sdn. Bhd. Kuala Lumpur berbincang mengenai kepakaran syarikat, berikut dari itu pihak AJK juga menginterview dua syarikat yang menawarkan diri untuk bina kubah, iaitu Kubah Anum dari Setapak dan TA Deck Sdn. Bhd. dari Subang.  Kedua-dua telah datang untuk dinterview pada 14.5.2014, walau macam mana pihak AJK tidak mengambil keputusan untuk mencari syarikat terbaik dan banyak pengalaman di dalam membina kubah. Kita diperkenalkan dengan Syarikat Majleza Sdn. Bhd. Dari Ulu Tiram, Johor sejak 28.8.2014 dan pihak AJK menginterview Pengarah Urusan Syakitat Tuan Haji Abdul Majid pada 9.9.2014 dan berpuashati. Pihak Majleza sering datang membincang proposal yang bukan saja melibatkan kubah, tetapi mihrab, mimbar, kipas dan dekorasi bahagian hadapan dalam, tiang seri dan bahagian  dalaman dari kubah. Harga bagi pembinaan kubah sahaja mencecah RM800,000 dan kesemua yang melibat bahagian-bahagian yang disebutkan  perbelanjaan RM2.689 juta. Untuk memastikan kemampuan syarikat ini sebahagian AJK telah melawat kilang syarikat berkenaan pada 3.3.2015 dan berpuashati dengan kemampuan syarikat dan hari ini kita melihat, sejak pemasangan rangka kubah dua minggu lepas di medan parkir hadapan masjid ini pada hari rangka kubah ini akan dinaikkan ke tapak di puncak Masjid Al-Umm. Saya difahamkan kata Pengerusi AJK Induk, Crane yang didatangkan pada hari semalam  seberat 400 ton, dan berat kubah Masjid Al-Umm diangkat cuma 10 tan.
 Reka bentuk kubah Masjid Al-Umm adalah mengambil bentuk bujur telur. Bilah yang dibina bagi membentuk rangka kubah ini ialah 30 bilah dengan bilah lilit lintang ialah 10 bilah. Kita berharap dengan siapnya  Masjid Al-Umm ianya menjadi daya utama bagi masyarakat setempat datang berjamaah dan mengimarahkan masjid. Sesungguhnya dari segi visi dan misi masjid ini pertama dan paling utama ialah sebagai tempat ibadat bagi masyarakat setiap waktu dan masa, kedua sebagai pusat pengajian yang setiap lepas solat ada pengajian berbagai keilmuan. Ada pengajian berkurikulum pada hari minggu yang dapat  dihadiri bukan saja penduduk tempatan, tetapi luar dari Bangi, bahkan luar dari Selangor. Penmgajian juga ada bagi muslimat. Pengajian yang dianjurkan adalah dengan kerjasama pengajian tinggi tempatan dan dinilai untuk diberi ijazah dan pengiktirafan. Kita juga akan mengadakan pengajian tahfiz di samping pengajian ala pondok bagi warga emas. Ketiga masjid juga diharap menjadi pusat kegiatan kemasyarakatan, terutama menggunakan aras bawah tanah. Di sini dapat diadakan konvensyen, seminar dan kursus dan berbagai sambutan. Juga sebagai tempat jamuan perkahwinan, bahkan disediakan tempat aqad dan juru nikah. Pihak masjid juga menyediakan kegiatan bagi kalangan muda seperti kerjasama melalui Belia Abim yang pejabatnya berdekatan dengan masjid. Berbagai kegiatan dapat diadakan seperti sukan, kembara, kelas nasyid, kelas tarannum dan berbagai lagi. Bangunan Surau al-Umm sekarang akan dinaik taraf menjadi rumah imam-imam dan bilik-bilik tumpangan.



Pengerusi AJK Induk memaklumkan pihak AJK Masjid selain dari membina masjid, bercadang membangunkan kawasan Medan Usahawan dengan kompleks bangunanan 10 tingkat sebagai pusat komersil dan pusat pendidikan disamping membangunkan padang berdekatan masjid dengan kompleks pendidikan dan sukan dengan mengekalkan padang permainan.  Kos bagi pembangunan semua  ini dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM100 juta. Bagi menjayakan hasrat ini koperasi bagi pembangunan bangunan-bangunan dalam proses penubuhan. Beliau berharap orang ramai, termasuk hadirin dapat sama terlibat bagi menjayakan hasrat murni yang agak besar ini.
Selepas Pengerusi AJK Induk berucap, Ustaz Ahmad Haji Hasbullah membaca doa selamat dan selepas itu crane mulai mengangkat barang-barang keperluan bagi kubah ke atas dan diikuti dengan pengangkatan kubah. Semasa kubah sedang diangkat crane, Cikgu Nasir Jali Bilal Surau Al-Nur menyampaikan azan dan apabila kubah berjaya diletakkan kepada tapaknya di puncak masjid dan membetuli kiblat menurut tanda pada bilah yang telah ditanda sebelum daripada itu, maka takbir Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar dilaung beramai-ramai secara berturut-turut, tanda menyatakan kesyukuran dan kebesaran Allah di atas kejayaan meletakkan kubah ke tapaknya di puncak Masjid Al-Umm. Orang ramai mengikuti pergerakan kubah yang diangkat crane dan mereka turut sama merakamkan saat bersejarah dengan handphone masing-masing, bahkan ramai pula bergambar berlatarkan kubah sama ada sebelum atau sedang diangkat. Orang ramai selain dari dihadiah cenderahati berupa buku dijamu dengan nasi lemak, karipap dan air mineral yang disediakan di bawah khemah yang dipasang sejak petang semalam.

Sekian.

March 29, 2015

Ghazal Kurang Terkenal Dalam Bahasa Melayu


BBB, 07 Jamadil Akhir 1436 = 28 Mac 2015 (Sabtu):
 Satu lagi puisi yang masuk melalui Islam di dalam persuratan Melayu ialah Ghazal. Kemasukannya dapat dikatakan bersamaan dengan mathnawi dan rubai dan bentuk-bentuk ini terdapat di dalam Taj al-Salatin. Dikatakan puisi ghazal sudah ada di dalam kesusasteraan Arab sejak zaman Jahiliyyah, tetapi tidak begitu berkembang oleh kerana suasana kehidupan mereka selalu di dalam persengkitaan, peperangan dan perpindahan. Ghazal dari segi kata bermakna `tenunan` atau juga bermaksud `rusa`. Dari segi istilah kepuisian ialah puisi yang bertemakan puisi kecintaan – khususnya terhadap perempuan atau boleh juga dikatakan puisi kasih dan cinta. Puisi yang bertemakan sedemikian memang ada di dalam kehidupan Arab badui, tetapi gambaran adalah langsung yang mencerminkan hubungan kasih sayang di dalam kehidupan badui yang keras dan kasar.


Namun tema puisi ghazal yang tidak berkembang di dalam zaman Jahiliyyah ini, mendapat tempat dan berkembang pada zaman Umawiyyah. Pada zaman tersebut kehidupan masyarakat Arab yang dahulunya bersifat badui dan padang pasir, maka dengan naiknya kerajaan Umawiyyah wujud masyarakat bandar yang bertukar dari sifat badui yang tinggal di khemah-khemah di padang pasir kepada kehidupan di kota yang mendiamai bangunan batu , kuat, kukuh dan mencerminkan kemewahan hidup. Maka sebahagian dari penduduk, termasuk kalangan penyair mengalami kehidupan mewah dan berpoya-poya dan mempunyai hubungan dengan wanita-wanita yang hidup di bangunan-bangunan hebat dengan gaya kehidupan mewah. Tema ghazal dikatakan berkembang pada zaman Umawiyyah hingga ke zaman Abbasiyyah.
Perkembangan ghazal dapat dibahagikan kepada dua, iaitu ghazal badui dan ghazal bandar
Ghazal badui dianggap lebih murni dan jauh dari bersifat berpoya-poya, mereka bertempat di Najd dan Hijaz. Kecintaan mereka dikatakan lebih bersifat setia. Gambaran lebih kepada kepedihan perpisahan, kepahitan berhijrah dan halangan-halangan. Antara penyair ghazal badui ialah seperti Jamil bin Ma`mar, Qays bin Duraij atau lebih dikenali dengan Layla dan Majnun.
Adapun penyair ghazal bandar ditenggelami suasana senang dan kelalaian, perpoya dan pembaziran lebih cenderung kepada berlindung di bawah pengaruh khalifah untuk mendapat rahmat dan kurniaan. Lantaran mereka berada di dalam kelazatan, lalai dan berpoya-poya, maka terpancarlah dari mereka puisi-puisi ghazal yang bersifat bandar dan istana. Antara penyair-penyair ghazal bandar antaranya Umar bin Abi Rabi`ah, Al-`Arji al-Qurashiyyan, dan Al-Ahwas bin Muhammad al-Ansari.
(Butrus al-Bustani, Shu`ara` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Aud,, Beirut, 1989: 283-285).
Contoh puisi Jamil bin Ma`mar yang dianggap kasihnya lebih murni:
Pemula yang membawa kepada pengenalan antara kami

Di Wadi Baghid, Ya Bushayn yang malu bercakap
Sepatah ditanya sepatah dijawab
Tiap percakapan Ya Bushayn menjawab.
Agak biasa dan bersahaja dari segi ungkapan dan kandungan.
(Butrus al-Bustani, hlm. 286).
Adapun ungkapan ghazal bandar ialah seperti ungkapan ghazal Umar bin Abi Rabi`ah yang berkesempatan dengan Hassan bin Thabit;
Runtuh hatiku oleh perpisahan dengan kekasih
Di hari perpindahan menggoncangkan kedudukan.
((Butrus al-Bustani, hlm. 294).
Ungkapan Umar bin Abi Rabi`ah lebih mendalam dan intuitif berbanding dengan ungkapan Jamil bin Ma`mar.


Pengaruh Ghazal tiba ke Alam Melayu terutama melalui persuratan zaman Acheh. Namun dari segi bentuk agak berlainan dari ghazal di dalam bahasa Arab. Sifatnya semacam susunan syair yang dikawal oleh wazan dan qafiah, tetapi ghazal di dalam bahasa Melayu jadi terikat dengan aaaa dan seterusnya yang tentulah membosankan. Contoh:
Ghazal
Kekasihku seperti nyawapun adalah kekasih dan
                                                                     Mulia juga,
Dan nyawapun, mana daripada nyawa itu jauh
                                                                           Ia juga,
Jika seribu tahun lamanyapun hidup kita sia-sia juga,
Hanya jika pada nyawa ini hampir dengan sedia
                                                                          Suka juga,
Nyawa itu yang menghidupkan sentiasa nyawa
                                                                          Manusia juga,
Dan menghilangkan cintanyapun itu kekasihku
                                          Yang setia juga,
Kekasihku itu yang mengenak hatiku dengan rahsia
                                                                             Juga,
Bukhari yang ada serta nyawa itu ialah berbahagia
                                                                               Juga.
(S. Takdir Alisjahbana, Puisi Lama,  Zaman Baru Limited, Petaling Jaya, 1965: 120).
Yang mnengukuhkan puisi di atas sebagai ghazal ialah dari segi tema yang berhubung dengan kecintaan, selain daripada itu pada akhir puisi dibawa sama nama penggubahnya.
Kerana cirinya yang agak terikat dan tidak jelas dari segi ciri dan sifat puisi, maka adalah wajar ianya tidak berkembang. Puisi seperti ini turut digunakan dalam lagu-lagu. Contoh di Johor umpamanya ada kumpulan lagu dinamakan ghazal, bahkan ghazal di Johor sebagai satu aliran lagu dan muzik khusus yang berkembang di Johor.
Perkembangan ghazal dari satu segi tidak digemari oleh masyarakat dan kalangan yang mendukung nilai budaya yang lebih beradab, lantaran itu ghazal menghadapi tentangan dari golongan sufi yang mau memurnikan kehidupan dan membersih diri berhadapan dengan Allah. Perkembangan tasawuf turut sama berkembang dari segi persuratan. Mereka yang mendalami kerohanian ini turut menghasilkan puisi, bahkan puisi mereka jauh lebih tinggi dan bermutu dari puisi ghazal. Bahkan puisi-puisi sufi adalah puncak dari ketinggian perpuisian di dalam Islam. Mereka yang mengungkapkan puisi kerohanian seperti Jalaluddin Rumi, Hafiz, Sa`di. Firdausi, Jami dan ramai lagi membawalah ke pada Muhammad Iqbal.

Sekian.

March 28, 2015

Rubai Popular Berlainan Dari Rubai Hamzah Fansuri


BBB,  06 Jamadil Akhir 1436 = 27 Mac 2015 (Juma`at):



Rubai adalah puisi popular di dalam persuratan dan kesusasteraan Islam. Ia digunakan oleh penyair-penyair besar Islam, tetapi rubai dikaitkan dengan `Umar Khayyam, selain dari turut digunakan oleh Jalaluddin Rumi, Shamsuddin Muhammad Hafiz dan lain-lain lagi.
Rubai adalah puisi yang disusun secara empat baris, tetapi berlainan dengan syair yang juga empat baris. Bentuk susunan syair ialah aaaa empat-empat baris (dua bayt), tetapi bagi rubai juga empat baris, tetapi bentuk susunannya ialah aaba. Sebagai contoh rubai Shamsuddin Muhammad Hafiz:
Rindu Seruling Bambu
Setiap detik `kan kutangisi perpisahan dengan Mu !
Jika bayu sampaikan tidak sedu sedanku.
Malam dan siang hatiku merintih hancur luluh,
Betapa tidak! ku berjauhan dari wajahmu Ayu !
(Hashim Musa, Islam Dalam Pengucapan Seni, dlm. Kesusasteran Melayu Dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur, 1980: 208).
Dapat dilihat bahawa bentuk rubai di atas ialah aaba.
Konon bentuk ini dikaitkan dengan Umar Khayyam (Umar Khemah) yang tinggal di dalam khemah. Bahawa aaba ialah sebagai pancang bagi mendirikan khemah. Di dalam khemah (bandingan dengan rubai) mempunyai rahsia dan harta, untuk mengetahuinya ialah dengan membuka `pintu` khemah yang dilambangkan dengan baris `b` dari aaba. Bermaksud juga bagi rubai, baris ketiga yang mempunyai kelainan pada akhir baris ini ialah pemalingan dari bentuk aa sebelum bagi menarik perhatian bahawa inti kandungan atau mesej utama ialah pada baris keempat.
Bentuk rubai turut masuk ke dalam persuratan Melayu, selewat-lewat pada awal abad ke 17, lantaran bentuk puisi berkenaan terdapat di dalam Taj al-Salatin yang dikarang pada 1603 itu. Terdapat banyak bentuk rubai di dalam Taj al-Salatin. Contoh rubai:
Dunia
Dunia juga yang indah, maka tercenganglah manusia,
Sebab terkadang ia terhina dan lagi termulia,
Bahawa seseorang tiada kenal dunia itu,
Dalam dunia juga hidupnya sehari sia-sia.
(S. Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, Zaman Baru Limited, Petaling Jaya, 1965: 119).
Juga dalam Taj al-Salatin dengan sedikit perbezaan. (Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966: 34).
Contoh rubai lagi di dalam Taj al-Salatin ialah:
Pangkat Nubuwwah Dan Hukamah
Pangkat nubuwwah dan hukamah yang nyata,
Satu cincinlah dengan dua permata maha mulia,
Kedua pangkat nubuwwah dan hukamah itu,
Lihatlah kemuliaan hai yang bermata.
(Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, hlm. 49).
Di dalam persuratan Melayu terdapat istilah `rubai` digunakan oleh Hamzah Fansuri. Rubai dimaksudkan Hamzah ialah pada bilangan empat, empat baris dan berbentuk aaaa yang pada hakikatnya ialah syair yang dipastikan oleh Hamzah Fansuri sendiri. Contoh rubai Hamzah Fansuri:
Unggas itu bukannya balam,
Nentiasa berbunyi siang dan malam,
Tempatnya bermain pada sekalian alam
Di sanalah tamathil melihat ragam.
(Al-Attas, Syed Muhammad Naguib, The Mysticism of Hamzah Fansuri, University of Malaya Press, 1970: 496).
Dilihat dari segi masa mencipta puisi rubainya sebagaimana dikatakan oleh Hamzah:
Hamba mengikat shair ini
Di bawah hadrat raja yang wali.
Iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Ri`ayah Shah di Acheh (1588-1604). Dengan menggubah rubai yang berbentuk syair, Syed Muhammad Naguib berpendapat bahawa Hamzah Fansurilah yang mula-mula mencipta syair di dalam bahasa Melayu. Syed Naguib menjangka Hamzah Fansuri meninggal tidak lewat dari 1607M.
(Al-Attas, Syed Naguib, The Mysticism of Hamzah Fansuri, hlm. 12).
Di dalam konteks Taj al-Salatin yang dihasilkan pada 1606, maka adalah di dapati bahawa Hamzah Fansuri tidak berkeseorangan di dalam menghasilkan puisi rubai syairnya di dalam bahasa Melayu, sebaliknya sebelum kematian Hamzah Fansuri berbagai-bagai bentuk puisi keislaman masuk ke dalam persuratan Melayu sekitar akhir abad 16 dan awal abad ke 17. Pada zaman Hamzah Fansuri Acheh tidak saja maju dengan berbagai keilmuan Islam, tetapi juga berkembang dengan berbagai bentuk sastera, khususnya berbagai-bagai jenis puisi. Cuma haruslah diakui bahawa sungguhpun begitu banyak bentuk-bentuk puisi lahir di dalam persuratan Melayu, tetapi yang paling popular ialah syair. Adapun bentuk-bentuk puisi yang lain tidak begitu berkembang di dalam persuratan Melayu.

Sekian.

March 27, 2015

Puisi-Puisi Pengaruh Islam Dalam Persuratan Melayu - Mathnawi


BBB, 04 Jamadil Akhir 1436 = 25 Mac 2015 (Khamis):
Selain dari puisi syair dari pengaruh Arab yang masuk di dalam persuratan Melayu, terdapat beberapa puisi yang lain yang masuk ke dalam persuratan Melayu sebagaimana syair melalui Islam, tetapi ianya tidak boleh dikaitkan dengan Arab, kerana bentuk puisi lain dari syair tidak didapati di dalam bahasa Arab, tetapi ianya masuk melalui Islam yang antaranya ada pengaruh Parsi atau tumbuh di dalam rahim peradaban Islam itu sendiri.


Zaman Acheh terutama abad ke 17 adalah zaman yang prolifik dengan keilmuan dan persuratan Islam. Di Acheh lahir penulis-penulis seperti Bukhari al-Jauhari, Hamzah Fansuri, Shamsuddin Al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Di dalam karya-karya ilmiah mereka turut terbawa puisi-puisi. Antara karya yang banyak membawa beberapa jenis puisi ke dalam bahasa Melayu, ialah karya Taj al-Salatin (1603) karya Bukhari al-Jauhari sebuah karya ketatanegaraan di samping Bustan al-Salatin oleh Nuruddin al-Raniri. Taj al-Salatin bermaksud Mahkota Raja-Raja tebal dengan pengaruh Islam dan terpengaruh dengan beberapa karya kenegaraan Islam seperti Al-Taj fi Akhlak al-Muluk (Mahkota Akhlak Raja-Raja). Kandungan karangan ini ialah peraturan dan panduan bagi pemerintah, pegawai dan juga rakyat jelata bagi sebuah negara yang berasaskan Islam. Karangan ini diungkap dengan bahasa dan intuisi ketasawufan. Ini adalah bersesuaian dengan Acheh adalah merupakan pusat keilmuan Islam di dalam abad ke 17, khususnya mengenai ilmu tasawuf sama ada yang bersifat falsafah dan sunni. Tasawuf adalah membicarakan bidang kerohanian dan seni jiwa yang halus. Bagi seorang yang mempunyai cita rasa seni, mendalam tasawuf lebih mempertajamkan sentuhan seni rohani yang tinggi dan kiranya ianya mengungkapkan puisi, maka ianya mampu menghasilkan karya seni puisi yang tinggi. Bukhari al-Jauhari ialah seorang ilmuan tentang ketatanegaraan dan dalam masa yang sama adalah seorang yang menguasai dan menghasilkan puisi-puisi kerohanian. Lantaran itu di dalam Taj al-Salatin kedapatan di sana sini ungkapan-ungkapan puisi yang tinggi mutunya. Antara puisi yang kedapatan di dalam Taj al-Salatin ialah `Mathnawi`. Mathnawi puisi yang memuji, menghargai, melahirkan kekaguman terhadap tokoh. Bentuknya aa dua-dua baris yang bersamaan pada akhir ayat yang juga memberi makna bagi puisi mathnawi – dua, dua itu. Biasanya di dalam mathnawi itu disebut tokoh yang disanjung. Terdapat beberapa puisi mathnawi di dalam Taj al-Salatin antaranya tentang Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq sahabat yang awal membenarkan Rasulullah s.a.w. juga yang awal masuk syurga bersama Rasulullah s.a.w. Mathnawi yang dikemukakan berasaskan Hadith Rasulullah s.a.w. Tentang Sayyiduna Abu Bakar Baginda bersabda bermaksud:
``Orang terawal membenarkan daku ialah Abu Bakar al-Siddiq dan orang yang awal masuk bersamaku ke dalam syurga ialah Abu Bakar al-Siqqiq``, lalu diikuti mathnawi:
Mathnawi Abu Bakar
Bahawa yang pertama percaya padaku Abu Bakar jua,
Dan bahawa yang pertama masuk syurga sertaku Abu Bakar r.a. jua
Mathnawi Abu Bakar itu yang pertama ashab cahaya
Segala mihrab Amirul Mu`minin itu namanya
Khalifah itu pun lagi adanya
Imam muslimin ialah air syurga
Ia jualah pada antara ashab itu
Adalah ia terbesar dan termulia qari Islam itu
Daripadanya dan sifat Islam itu.
(Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, Selenggaraan Khalid Hussein, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966: 3).
Tentang keadilan Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab juga dimathnawikan selepas disebut sabda Nabi s.a.w. tentang Umar bermaksud:
``Kebenaran diucap dari lidah Umar``. Dan mathnawi berkenaannya ialah:
Umar
Umar yang adil dengan perinya,
Nyatalah pun adil sama sendirinya.
Dengan adil itu anaknya dibunuh,
Inilah `adalah yang benar dan sungguh,
Dengan bedah antara isi alam,
Ialah yang benar pada siang malam;
Lagipun yang menjauhkan segala sharr,
Imamul haq dalam padang mahshar,
Barang yang Hak Ta`ala katakan itu,
Maka katanya sebenarnya begitu.
(Bukhari al-Jauhari, hlm. 3 -4) & (S.Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, Zaman Baru Limited, Petaling Jaya, Selangor, 1965: 117).
Tentang Sayyiduna `Uthman Rasulullah bersabda bermaksud:
``Setiap Nabi ada kawan di syurga, dan kawanku (di syurga) ialah `Uthman.``
Mathnawi Uthman
Akan seorang Nabi ada baginya teman,
Syurga dan teman aku Uthman (r.a),
Mathnawi Amirul Mu`minin Uthman,
Yang menghimpunkan Al-Qur`an.
(Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, hlm. 4).
Berhubung dengan Sayyiduna `Ali karramallahu wajhah Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Aku Bandar Ilmu dan `Ali adalah pintunya.`` berhubung dengan mathnawi `Ali:


Mathnawi `Ali
(Akulah Bandar ilmu dan Ali pintunya)                                                                          
Mathnawi `Alilah yang membongkar
 pintu Kota Khaibar
Ali jugalh wasi  Mustafa
Lagi ialah Haidar Wali Murtada.
(Bukhari al-Jauhari, hlm. 4-5).
(Catatan: Terlalu banyak kesilapan dilakukan oleh penyelenggara dan terlalu sukar untuk mencari kesahihan).
Sebuah lagi mathnawi ialah yang berjudul:
Budi
Dengarlah olehmu hai yang budiman,
Budi itulah sungguh pohon ahsan,
Kerana ahsan itu puri budilah,
Jika lain maka lain jadilah,
Orang yang berbudi itu kayalah,

Yang bukan berbudi itu papalah,
Jikalau kau dapat arta alam ini,
Dan budi kurang padamu di sini,
Bahawa ke sini jua namamu,
Dan segala ke sinipun adamu,
Jika kamu mau menjadi kaya,
Mintalah budi bagimu cahayai,
Hai Tuhanku, Bukhari yang biasa,
Minta selamat budi sentiasa,
Sudah Tajul Salatin fii akhir
Dan Bukhari dengan Taju itu faqir,
Seribu syukur pada Tuhannya.

Yang menanugerhkan tolongannya,
Pada Bukhari yang Taju itu ada,
Bahawa pada raja gembira itu pada,
Menjadi hakim kerajaan arti
Dan nyatalah raja yang baik pekerti,
Sedang ada mahkota di kepalanya,
Dan artipun hendaklah dinyawanya,
Isi perbendaharaannya lahir
Terindah dan sekaliannya jauhar,
Apatah gerangan sekarang kau kata,
Melihat hartanya artilah semata ?
Bukhari kan ingatkan pangkat itu.
Maha benar daulatlah daulat itu,
Dan syukur akan kurnia Shah Alam,
Sambil katakan begitu siang malam.
(S.Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, hlm. 118-119).
Demikianlah konsep puisi mathnawi yang memuji tokoh yang disusun secara dua-dua baris aa, bb, cc dan seterusnya. Dalam mathnawi terdapat tokoh yang disanjung dan kadang-kadang penggubah turut menyertakan namanya.
Dengan mathnawi yang masuk ke dalam persuratan Melayu melalui Islam memperkayakan persuratan 

March 26, 2015

Syair Melayu Tidak Sama Dengan Syair Arab


BBB,  04 Jamadil Akhir 1436 = 25 Mac 2015 (Rabu):
Puisi syair jelas dari bahasa Arab. Gubahan syair di dalam bahasa Arab dapat dikesan dan diketahui penyairnya sejak awal abad ke 6M. Contoh penyair-penyair gelandangan seperti Al-Shinfari (awal abad ke 6M.), Ta`abbata Sharran (m. 530M.) dan `Urwah bin Al-Ward (m. 596M. ?). Penyair-penyair Al-Mu`llaqat seperti Imru`ul-Qays (500-540M. ?), Tarfah bin al-`Abd (543-569M. ?), Zuhayr bin Abi Sulma (530-627M. ?), Amru ibn Kalthum (Awal Abad ke 6M.), Al-Harith bin Hillizah (Abad ke 6M.), `Antarah bin Shaddad (525-615M. ?) (Al-Bustani, Fuad al-Afram, Al-Majani al-Hadithat `an Majani al-Abi Shaykhu, Al-Matba`at al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 3 – 166).  
Antara ciri-ciri puisi syair Arab:


1)      Timbangan bagi satu bayt berdasarkan wazan-wazan
2)      Akhir bagi satu bayt (qafiah) biasanya bersamaan dengan bayt berikutnya misalnya berakhir dengan mim, ha` dan sebagainya
3)      Akhir bagi separuh bayt tidak semestinya bersamaan dengan akhir bayt
4)      Berbagai rentak pengungkapan bagi syair seperti al-wafir (cukup), al-kamil (sempurna),al-tawil (panjang), al-mutadarik (bersambutan), al-raml (bertaburan), al-basit (meluas), al-mutaqarib (berdekatan), al-rajz (berentak), al-masrah (melepas), al-khafif (ringan) dan  al-sari` (laju).
5)      Pendahuluan bagi puisi ialah gambaran peristiwa lepas atau alam sebagai pembukaan yang sesuai bagi tema puisi.
6)      Tema dominan bagi puisi seperti madah, ratap, semangat, dendam, menuntut bela, peperangan dan gambaran alamiah.
7)      Syair zaman Jahiliyyah, sebelum zaman persuratan panjangnya antara dua hingga 40 bayt, iaitu jumlah normal mampu dihafal.
Adapun syair Melayu sungguhpun namanya diambil dari bahasa Arab, tetapi tidak sama dengan syair bahasa Arab, lantaran kata-kata bahasa Melayu tidak mempunyai pecahan kata dan timbangan seperti bahasa Arab yang satu bayt ditimbang dengan wazan-wazan dan bahagian akhir tengah tidak mesti sama dengan akhir bayt yang dinamakan qafiayah. Sebaliknya bagi syair bahasa Melayu adalah berbentuk aaaa. bbbb, cccc dan seterusnya.
Contoh:
Syariat akan ripinya
Tariqat akan budinya
Haqiqat akan tirainya
Ma`rifat yang wasil akan isinya.

Akan Nasut nama hambanya
Perisai malakut akan katanya
Duldul jabarut nama kudanya
Menyerang lahut akan kerjanya.
(Al-Attas, Syed Muhammad Naguib, The Mysticism of Hamzah Fansuri, University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1970: 501).
Jelas puisi Hamzah Fansuri di atas bersifat a a a a. Bahagian pertama lebih pendek dari bahagian kedua.
Di dalam bahasa Melayu tidak ada sifat ungkapan puisi yang dinisbahkan kepada wafir, tawil, sari`, kamil dan sebagainya. Yang dilihat di dalam syair ialah dari segi tema dan kandungan persoalan. Sebagaimana syair di dalam bahasa Arab, demikian di dalam bahasa Melayu ada syair yang pendek dan ada yang panjang. Syair yang panjang biasanya bersifat cerita seperti Syair Siti Zubaidah, Bidasari dan sebagainya.


Adapun dari segi gambaran peristiwa bagi permulaan syair bahasa Arab, terutama syair zaman Jahiliyyah, bagi syair bahasa Melayu yang ringkas tidak semestinya dicari gambaran peristiwa lepas, biasanya terus kepada isi. Tetapi jika syair panjang, maka wajar ada gambaran peristiwa atau latar bagi melengkapkan kefahaman pembaca. Contoh Syair Siti Zubaidah Perang Cina ialah syair panjang setebal 481 halaman. Bahagian permulaan:
Bismi l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim
Dengarlah tuan satu peri,
Syair dikarang dagang yang ghari,
Bukan menunjukkan bijak bistari,
Sekadar menghiburkan hati sendiri.

Bukan bijak faqir tunjukkan,
Sekadar cerita hendak dinyatakan,
Orang dahulu saya nyatakan,
Riwayat orang yang dikarangkan.

Encik tuan muda yang pokta,
Jangan kiranya fakir dikata,
Kerana mengarang suatu cerita
Hendak melipur hati bercinta.

Kerana faqir hina dan miskin,
Tiada menaruh baju dan kain
Lagi kerja tiada yang lain,
Disuratkan syair jadi pemain.

Inilah kisah suatu cetera,
Ceritanya Raja Kembayat Negara,
Kerajaan besar tiada terkira,
Banyak raja-raja tiada setara.

Inilah konon akan certeranya,
Seorang raja sangat besarnya,
Sultan Darman Syah konon namanya,
Kembayat Negara nama negerinya.
(Syair Siti Zubaidah Perang China, Selenggaraan Abdul Mutalib Abdul Ghani, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala lumpur, 1991: 1 -2).
Tidak ada pengkategorian syair dalam bahasa Melayu kepada madah, rintihan, semangat, kecam dan sebagainya sebagaimana pengkategorian di dalam bahasa Arab, khususnya pada zaman Jahiliyyah. Terpulanglah pada tema yang dibawa di dalam syair untuk dikategori kepada jenis, sifat dan sebagainya. Cara membacanya boleh dilakukan dengan berbagai-bagai cara dan kaedah.
Dari contoh puisi Hamzah Fansuri kepada Syair Siti Zubaidah menunjukkan kemantapan syair di dalam bahasa Melayu. Setiap baris bagi syair bahasa Melayu sebagaimana pantun biasanya antara 9 hingga 12 sukukata. Temanya boleh bersifat berat seperti falsafah seperti puisi-puisi Hamzah Fansur dan boleh bersifat cerita seperti Syair Siti Zubaidah dan boleh bersifat nasihat, pendidikan, keilmuan dan sebagainya.
Walaupun syair di dalam bahasa Melayu menyimpang dari syair Arab dan ada perbezaan bentuk dan ciri, tetapi ia tidak dapat dinafikan mempunyai pertalian pengaruh dengan syair bahasa Arab.

Sekian.

March 25, 2015

Puisi-Puisi Dipengaruhi Luar - Upajati Dan Syair: Hamzah Fansuri Pemula Syair


BBB, 03 Jamadil Akhir 1436 = 24 Mac 2015 (Selasa):
Sebagaimana Nusantara dan bangsa Melayu pernah bertembung dengan budaya luar seperti India, Cina dan Arab, maka antara seni budaya mereka turut sama masuk ke dalam budaya Melayu Nusantara. Antara pengenalan dan pengaruh yang berlaku ialah di dalam bidang sastera -  puisi. Dari India terdapat pengaruh seperti cerita-cerita Seri Rama dan Mahabharata. Turut masuk ialah puisi yang dikenali dengan Upajati sebagaimana terakam pada Batu Bersurat di Minye Tujuh bertarikh 1380 yang menggunakan huruf Pallava. Kandungannya walaupun mencerminkan pengaruh Islam tapi belum menggunkan tulisan Jawi yang sudah dikenali di Terengganu sejak 1303M. Puisi tersebut ialah:


Hijrat Nabi Mungstapa yang prasaddha
Tujuh ratus asta puluh savarasa
Haji catur dan dasa vara sukra
Raja Iman (Warda) rahmatullah
Gutra bha(ra)bha sa(ng)mpu hak Kadah Pase ma
Tarukk  tasih tanah samuha
Ilahi ya Rabbi Tuhan samuha
Taruh dalam svargga Tuhan tatuha.
(Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam, Brunei, 1995: 110).
Puisi di atas mempunyai baris-baris yang semi-terikat, tetapi tidak seimbang dari segi panjang suku kata bagi setip baris. Ciri upajati nampaknya tidak jelas dan tidak meluas pengaruhnya. Sebab itu bentuk sedemikian tidak berkembang di dalam bahasa Melayu.
Bentuk puisi-puisi yang lain yang masuk ke dalam bahasa Melayu, ialah dari pengaruh Islam. Beberepa bentuk puisi Arab seperti syair dan nazam sudah dikenali sejak zaman Melaka. Antara buktinya, menurut Sejarah Melayu Sultan Mahmud berguru dengan Maulana Yusof mempelajari kitab `Al-Luma` (Maklumat –silap penyalin)  (Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 195).
Kitab Al-Luma` ialah kitab tasawuf yang dikarang oleh Abu Nasr al-Sarraj (m. 378H.), yang di dalamnya banyak terdapat puisi-puisi dari tokoh-tokoh sufi penyair yang tinggi nilainya. Jadi sejak masa itu, khususnya pelajar-pelajar di Melaka telah mengenali syair dan nazam.
(Al-Tusi, Abu Nasr al-Sarraj, Al-Luma`, Tahqiq Dr. Abdul Halim Mahmud & Taha Abdul Baqi Surur, Dar al-Kutub al-Hadithat, Misr – Maktabah al-Muthanna Baghdad, 1380/1960: 646hlm.).
Pengenalan masyarakat Melayu, khususnya kalangan ilmuan lebih dekat dan mendalam berkenaan syair ialah pada zaman Kerajaan Acheh pada akhir abad ke 16M.  lagi. Pada masa ini pengaruh kerajaan Moghul begitu menonjol yang mendukung budaya Arab-Parsi. Antara pelabuhan bagi perjalanan ke Alam Melayu termasuk Sharul Nawi di Ayuthia yang di dukung oleh pedagang-pedagang Arab-Parsi, juga pelabuhan Aceh dan Melaka (telah jatuh ke tangan Portugis). Pada masa ini pengajian-pengajian yang bersifat falsafah (Islam) begitu popular. Karya seperti Futuhat Makkiyyah oleh Ibn `Arabi begitu terkenal dan juga karya Al-Insan al-Kamil oleh Abdul Karim al-Jili pengikut Ibn Arabi dan pendukung falsafah Wahdatul Wujud. Antara pelajar yang mengikuti pengajian menurut falsafah wahdatul wujud Ibn Arabi dan Al-Jili ini ialah Hamzah Fansuri dan juga murid Hamzah Fansuri, iaitu Shamsuddin al-Sumatrani. Perlu disebut bahawa pegangan dengan falsafah wahdatul wujud adalah sebagai pegangan negara di Acheh pada abad ke 17. Banyak hasil-hasil persuratan beraliran tersebut dihasilkan.
Apa yang hendak ditekankan ialah karya seperti Futuhat Makkiyyah oleh Ibn Arabi dan Al-Insan al-Kamil oleh Al-Jili adalah karya-karya mempunyi matan-matan syair yang mendukung aliran Wahdatul wujud, maka tidaklah menghairankan bahawa tokoh seperti Hamzah Fansuri yang berasal dari Acheh, tetapi dilahirkan di Shahr al-Nuwi, Ayuthia (mungkin keluarganya berdagang dan berdakwah ke sana) belajar dan mendalam falsafah wahdatul wujud dan mendalami kaedah-kaedah menggubah puisi yang beraliran wahdatul wujud.
Keterlibatan Hamzah Fansuri menghasilkan puisi, menurut Syed Naguib al-Attas menjadikan beliau adalah orang yang terawal mencipta puisi syair di dalam bahasa Melayu. Beliau menggubah puisi yang dinamakan ruba`i  pada zaman Sultan Alauddin Riayat Shah (1588-1604) Sultan Acheh. Pada masa Baginda Hamzah Fansuri menggubah puisi ruba`inya sebagaimana diungkap oleh Hamzah Fansuri:


Hamba mengikat shair ini
Di bawah hadrat raja yang wali.
Raja ini diulas lagi oleh Hamzah di dalam puisinya:
Shah Alam Raja yang adil
Raja qutub sempurna kamil
Wali Allah sempurna wasil
Raja Arif lagi mukammil.
(Al-Attas, Syed Muhammad Naguib, The Mysticism Hamzah Fansuri, University Malaya Press, Kuala Lumpur, 1970: 12).
Gelaran tersebut adalah merujuk kepada Sultan Alauddin Riayat Shah di atas. Syed Naguib di dalam mengkaji tentang puisi Hamzah Fansuri adalah mendapati Hamzah Fansuri adalah pemula yang menggubah syair di dalam bahasa Melayu dan tiada yang lain mendahuluinya di dalam menggubah puisi syair yang dipaggil juga Ruba`i (ruba`i bermaksud empat-empat baris) Hamzah Fansuri.
Contoh puisi Ruba`i Hamzah Fansuri yang membicarakan tentang `A`yan Thabitah`:
Aho segala kamu yang bernama taulan !
Tuntut ma`rifat pada mengenal a`yan
Kerana di sana sekalian `arifan
Barang katanya setengah dengan firman.

A`yan thabitah bukankah shu`un dhatiyyah ?
Mengapa pulang dikata wujud ilmiyyah !
Tatakala awwal belum muqabalah
Olehnya janggal sebab lagi mentah.
(Al-`Attas, Syed Muhammad Naguib, The Mysticism of Hamzah Fansuri, hlm. 490).
Di sini kita bukan bertujuan untuk mengkaji tentang persoalan a`yan thabitah, tetapi tentang puisi syair ruba`i Hamzah Fansuri yang jelas mengambil bentuk a a a a  yang membuktikan ianya berbentuk syair yang menurut Syad Naguib bahawa Hamzahlah memulai bentuk syair di dalam bahasa Melayu yang kemudian berkembang luas di dalam perpuisian Melayu tradisi dan ianya menjadi jambatan kepada pertumbuhan puisi Melayu moden yang dikenali dengan sajak.

Sekian.

March 24, 2015

Puisi Melayu Tradisi - Berada Di Dalam Kategori Tersendiri


BBB, 02 Jamadil Akhir 1436 = 23 Mac 2015 (Isnin):
Bidang puisi perlu dilihat secara berasingan dari hasil-hasil sastera bukan puisi. Ini ialah kerana kelahiran kebanyakan jenis-jenis puisi di dalam bahasa Melayu kurang jelas untuk dikaitkan dengan tokoh-tokoh dan tempat-tempat tertentu. Sebaliknya lebih bersifat Nusantara dan diwarisi sejak tradisi dan milik bersama, kecuali bentuk-bentuk yang jelas penggubah dan antaranya dikenalpasti berasal dan di bawa dari luar – namun antaranya tidak diketahui pencipta dan tarikh ciptaan.
Melayu sebagai rumpun yang mendiami kawasan Nusantara yang kawasannya bersemenanjung dan pulau-pulau berada di kawasan samudera yang digerak angin dan gelombang ombak dengan permukaan bumi yang subur menghijau sama memupuk kelembutan jiwa penduduknya. Fenomena alamiahnya mempertajamkan persepsi masyarakat tradisi tentang elemen persamaan seperti sama tingginya rumpun padi. Rendahnya bukit berbanding dengan gunung. Berbagainya warna tumbuhan dipinggir kediaman tentulah menyentuh jiwa bagi yang mempunyai sentuhan seni. Elemen persamaan, pertentangan, keselarian dan kepelbagaian dijelmakan misalnya di dalam seni binaan pondok dan laman dan juga terpengaruh di dalam ungkapan yang bahasa Melayu itu sendiri tersusun dari suku-suku kata yang boleh disama, bertentang, selari dan kepelbagaian dari segi sebutan yang menghasilkan sesuatu yang bersifat seni.


Demikianlah lahirnya di dalam bahasa Melayu puisi yang paling popular, asli dan identik dengan bahasa dan bangsa Melayu, iaitu pantun. Pada peringkat permulaan adalah bersifat ringkas dan pendek. Misalnya:
Berakit-rakit ke tepian
Bersakit-sakit untuk senang
Atau:
Padi masak kita ketam
Nasi ditanak kita makan.
Kemudiannya ungkapannya makin berkembang sebagaimana berlaku di dalam perkembangan pantun. Berbagai pendapat diberi pengkaji-pengkaji, tapi tiada bukti ianya dari unsur luar dan ternyata ianya hasil tempatan dan tidak dipastikan ianya bila bermula, tetapi yang pastinya ianya dihasilkan sejak zaman tradisi dan milik masayarakat Melayu Nusantara.
(Mohd. Yusof Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh, Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1991: Vi).
Sebagai bangsa kreatif yang hidup bermasyarakat, melihat alam berperaturan siang malam, sakit senang, susah payah, kecil besar, muda tua, baik jahat, derita bahagia maka timbul kesedaran perlu peraturan di dalam masyarakat, maka ketua, lembaga atau luak yang kreatif mengungkapkan aturan bermasyarakat, maka lahirlah di tengah masyarakat ungkapan yang dikenali sebagai teromba sebagaimana berlaku di dalam masyarakat beradat seperti di Negeri Sembilan. Ianya menjadi lembaga dan panduan bagi masyarakat. Contoh ungkapan:
Adil jangan memilih kasih
Benar jangan memilih kawan
Baik jangan mencari laba
Elok jangan mengambil muka,
Sayang jangan mengharap upah
Budi jangan mengharap dipuji.
(Mohd Rosli Saludin, Teromba, Hubungan Dengan Pendidikan Kesusasteraan, Karisma Publications Sdn. Bhd., Shah Alam, 2009: 37).
Teromba sebagaimana pantun lahir dari bumi masyarakat yang memupuknya, Cuma pantun lebih luas, manakala teromba dalam masyarakat khusus dan lebih tertutup yang dikenali masyarakat beradat – Adat Perpatih. Ungkapannya adalah indah, berirama yang mencerminkan masyarakat yang beradat dan berperaturan.
Satu lagi jenis puisi yang lahir di dalam bahasa Melayu, ialah `gurindam`, iaitu puisi berirama di dalam dua baris yang kadang-kadang bersyarat dan jawab syarat, perutusannya lengkap. Hujung bagi setiap baris bersamaan. Isinya mengandungi kebenaran dan nasihat dan dekat dengan sifat pepatah dan peribahasa. (S.Takdir Ali Sjahbana, Puisi Lama, Zaman Baru Limited, Petaling Jaya, Selangor, 1965: 77).


Tetapi pada Raja Ali Haji gurindam yang asalnya bertema gurau senda dan main-main digunakan untuk menyampaikan dakwah dan nasihat sebagaimana terkenalnya beliau dengan Gurindam Dua Belasnya: Contoh (Gurindan Keenam):
Cahari olehmu akan sahabat – yang boleh dijadikan ubat
Cahari olehmu akan guru – yang boleh tahukan setiap seteru
Cahari olehmu akan isteri – yang boleh menyerahkan diri
Cahari olehmu akan kawan – pilih segala orang setiawan
Cahari olehmu akan abdi – yang ada baik sedikit budi.
(Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 280).
Terdapat beberapa lagi puisi asli dan tempatan yang mencerminkan kreativiti msyarakatnya seperti seloka, teka teki, talibun dan mantera yang diungkapkan secara berirama, berseni dan berciri sastera.
(Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 366-525).
Pendeknya sastera Melayu kaya dengan puisi tradisi yang tumbuh dan berkembang di tengah masyarakat tradisi yang bukan saja bersifat sastera, tetapi mendidik masyarakatnya dengan nilai dan peradaban yang tinggi.

Sekian.

March 23, 2015

Persuratan Tradisional: Batas Antara Klasik Dan Moden


BBB, 01 Rabiul Akhir 1436 = 22 Mac 2015 (Ahad):
Tidak jelas di dalam mengklasifikasikan Persuratan Melayu. Tetapi yang nyata di dalam mengklasifikasikan lahir istilah-istilah seperti klasik, tradisional dan moden. Ada juga digunakan istilah `lama`. Tapi sastera lama ini adalah lebih bersifat umum dan dapat dikategorikan di bawahnya klasik dan tradisional. Istilah ini kurang digunakan di dalam pembicraan yang bersifat akademik. Jadi istilah yang popular yang sering digunakan oleh pengkaji-pengkaji akademik ialah klasik, tradisional dan moden. Penggunaan istilah `Lama` seperti yang digunakan oleh Sutan Takdir Alisjahbana bagi buku puisinya `Puisi Lama`.


Sebagaimana telah diperkatakan penggunaan istilah klasik dengan memasukkan semua hasil kesusasteraan dari zaman awal sehingga zaman moden, tetapi satu istilah yang digunakan ialah `tradisional` yang tidak membicarakan sastera peringkat awal, tetapi tidak pula lari dari membicarakan bahagian daripada apa yang dikategorikan sebagai sastera klasik. Demikianlah ada duplikasi antara yang dikatakan sebagai sastera klasik dan tradisional.
Penulis berkecenderungan membataskan kepada tiga kategori pembahagian persuratan Melayu.
1)      Sastera Klasik
Terletak di bawahnya ialah sastera yang bersifat purba. Ini termasuklah prasasti Batu Bersurat, Batu nisan dan artifek-artifek yang seumpamanya yang dijumpai.
Termasuk di bawah kategori ini ialah pantun, cerita-cerita asal usul, kejadian dan binatang serta cerita-cerita yang berasal dari Hindu.
2)      Sastera Tradisional
Ialah persuratan yang terhasil selepas kedatangan Islam bermula dari karya yang dihasilkan pada zaman kerajaan Pasai seperti Hikayat Raja-Raja Pasai, zaman Melaka hinggalah kepada zaman penjajahan  dan persuratan moden sekitar akhir abad ke 19.
3)      Sastera Moden
Bermula dengan pendidikan moden yang melahirkan berbagai-bagai genre penulisan moden yang belum wujud sebelumnya.
Sebagaimana telah dibicarakan tentang sastera klasik, maka sebagai penerusan dibicarakan sastera tradisional.  Menurut Zalila Sharif dan Jamilah Ahmad:
``Istilah `tradisional, `lama` dan `klasik` saling digunakan apabila memperkatakan sastera tradisional. Namun istilah ini mempunyai ukuran yang berbeza dari segi penggunaannya tetapi saling melengkapi dari segi zaman, bentuk dan ciri sastera itu sendiri. Sastera `lama` memperlihatkan pembahagian zaman, iaitu tahun 1800 M. dirujuk sebagai sempadan pembahagi antara sastera  lama dan sastera baru. Istilah `klasik` pula memperlihatrkan objektiviti dari segi pemilihan sifatnya yang mudah dari segi gaya dan strukturnya yang jelas dan formal. Istilah `tradisional` pula merujuk kepada bentuk dan ciri, iaitu merangkumi, struktur, plot, gaya dan teknik yang dicirikan oleh bahasa, persembahan, fungsi dan faktor-faktor yang lain.``
(Zalila Sharif & Jamilah Ahmad, Kesusasteraan Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: XI).
Seterusnya kata pengarang yang dimaksudkan dengan sastera tradisional di dalam pembicaraan:
``Dalam buku ini istilah `tradisional` dimaksudkan bertepatan dengan sifatnya yang kolektif, milik bersama masyarakat, oleh sebab keseluruhan karya ini tidak menyatakan nama pengarang atau penulisnya. Karya-karya sastera Melayu tradisional, baik prosa maupun puisi biasanya tidak menyebutkan nama pengarangnya, khususnya karya-karya sebelum Hamzah Fansuri.``.(Ibid.).
Pendapat di atas dikemukan bagi menunjukkan bahawa batas dan ciri yang dikemukakan adalah longgar. Batas bagi sastera tradisional ialah selepas 1800 adalah bercanggah dengan pendapat tokoh-tokoh yang lain yang mengambil kira sastera zaman Melaka misalnya adalah juga termasuk sastera tradisional dan ciri-ciri yang membedakan tidak konkrit.


Melihat pendapat yang mengatakan bahawa sastera tradisional Melayu bermula dengan tradisi penulisan yang dibawa oleh Islam dan tidak bercanggah dengan berbagai-bagai pendapat mengenai sastera Melayu klasik dan tradisional, maka sesungguhnya bidang dan ruanglingkup sastera Melayu tradisional adalah amat luas yang dari segi masanya adalah merentangi zaman dari abad ke 14 hingga 1850. Lantaran itu kata Noriah Taslim:
``Budaya Melayu tradisional sebenarnya menawarkan satu sistem kesusasteraan yang begitu luas wawasan dan cakupannya yang memungkinkan kita menelitinya daripada pelbagai sudut dan perspektif.``
(Noriah Taslim, Teori Dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: VII).
Dalam konteks di atas sastera tradisional adalah melibatkan semua bidang sastera selain dari klasik (bagi yang memisahkannya) dan sastera moden. Ini adalah melibatkan semua pendapat mereka yang membicarakan tentang sastera klasik dan tradisional. Kepelbagaian jenis sastera di dalam sastera tradisional mencerminkan watak Melayu yang terbuka yang mempunyai tradisi, ciri dan nilai sendiri dan dengan secara terbuka menerima nilai budaya dan sastera dari luar yang memperkayakan sastera Melayu itu sendiri. Sifat ini juga dapat dilihat di dalam hasil-hasil sastera berbahasa Melayu berkenaan. Elemen-elemen berkenaan juga memperkayakan bahasa Melayu yang menjadi bahasa Nusantara dan lingua franca bagi kawasan tersebut. Sesungguhnya persuratan sastera, khususnya tradisional adalah arkib yang menyimpan dan memancarkan keunggulan nilai budaya dan peradaban Melayu.

Sekian.