March 28, 2015

Rubai Popular Berlainan Dari Rubai Hamzah Fansuri


BBB,  06 Jamadil Akhir 1436 = 27 Mac 2015 (Juma`at):



Rubai adalah puisi popular di dalam persuratan dan kesusasteraan Islam. Ia digunakan oleh penyair-penyair besar Islam, tetapi rubai dikaitkan dengan `Umar Khayyam, selain dari turut digunakan oleh Jalaluddin Rumi, Shamsuddin Muhammad Hafiz dan lain-lain lagi.
Rubai adalah puisi yang disusun secara empat baris, tetapi berlainan dengan syair yang juga empat baris. Bentuk susunan syair ialah aaaa empat-empat baris (dua bayt), tetapi bagi rubai juga empat baris, tetapi bentuk susunannya ialah aaba. Sebagai contoh rubai Shamsuddin Muhammad Hafiz:
Rindu Seruling Bambu
Setiap detik `kan kutangisi perpisahan dengan Mu !
Jika bayu sampaikan tidak sedu sedanku.
Malam dan siang hatiku merintih hancur luluh,
Betapa tidak! ku berjauhan dari wajahmu Ayu !
(Hashim Musa, Islam Dalam Pengucapan Seni, dlm. Kesusasteran Melayu Dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur, 1980: 208).
Dapat dilihat bahawa bentuk rubai di atas ialah aaba.
Konon bentuk ini dikaitkan dengan Umar Khayyam (Umar Khemah) yang tinggal di dalam khemah. Bahawa aaba ialah sebagai pancang bagi mendirikan khemah. Di dalam khemah (bandingan dengan rubai) mempunyai rahsia dan harta, untuk mengetahuinya ialah dengan membuka `pintu` khemah yang dilambangkan dengan baris `b` dari aaba. Bermaksud juga bagi rubai, baris ketiga yang mempunyai kelainan pada akhir baris ini ialah pemalingan dari bentuk aa sebelum bagi menarik perhatian bahawa inti kandungan atau mesej utama ialah pada baris keempat.
Bentuk rubai turut masuk ke dalam persuratan Melayu, selewat-lewat pada awal abad ke 17, lantaran bentuk puisi berkenaan terdapat di dalam Taj al-Salatin yang dikarang pada 1603 itu. Terdapat banyak bentuk rubai di dalam Taj al-Salatin. Contoh rubai:
Dunia
Dunia juga yang indah, maka tercenganglah manusia,
Sebab terkadang ia terhina dan lagi termulia,
Bahawa seseorang tiada kenal dunia itu,
Dalam dunia juga hidupnya sehari sia-sia.
(S. Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, Zaman Baru Limited, Petaling Jaya, 1965: 119).
Juga dalam Taj al-Salatin dengan sedikit perbezaan. (Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966: 34).
Contoh rubai lagi di dalam Taj al-Salatin ialah:
Pangkat Nubuwwah Dan Hukamah
Pangkat nubuwwah dan hukamah yang nyata,
Satu cincinlah dengan dua permata maha mulia,
Kedua pangkat nubuwwah dan hukamah itu,
Lihatlah kemuliaan hai yang bermata.
(Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, hlm. 49).
Di dalam persuratan Melayu terdapat istilah `rubai` digunakan oleh Hamzah Fansuri. Rubai dimaksudkan Hamzah ialah pada bilangan empat, empat baris dan berbentuk aaaa yang pada hakikatnya ialah syair yang dipastikan oleh Hamzah Fansuri sendiri. Contoh rubai Hamzah Fansuri:
Unggas itu bukannya balam,
Nentiasa berbunyi siang dan malam,
Tempatnya bermain pada sekalian alam
Di sanalah tamathil melihat ragam.
(Al-Attas, Syed Muhammad Naguib, The Mysticism of Hamzah Fansuri, University of Malaya Press, 1970: 496).
Dilihat dari segi masa mencipta puisi rubainya sebagaimana dikatakan oleh Hamzah:
Hamba mengikat shair ini
Di bawah hadrat raja yang wali.
Iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Ri`ayah Shah di Acheh (1588-1604). Dengan menggubah rubai yang berbentuk syair, Syed Muhammad Naguib berpendapat bahawa Hamzah Fansurilah yang mula-mula mencipta syair di dalam bahasa Melayu. Syed Naguib menjangka Hamzah Fansuri meninggal tidak lewat dari 1607M.
(Al-Attas, Syed Naguib, The Mysticism of Hamzah Fansuri, hlm. 12).
Di dalam konteks Taj al-Salatin yang dihasilkan pada 1606, maka adalah di dapati bahawa Hamzah Fansuri tidak berkeseorangan di dalam menghasilkan puisi rubai syairnya di dalam bahasa Melayu, sebaliknya sebelum kematian Hamzah Fansuri berbagai-bagai bentuk puisi keislaman masuk ke dalam persuratan Melayu sekitar akhir abad 16 dan awal abad ke 17. Pada zaman Hamzah Fansuri Acheh tidak saja maju dengan berbagai keilmuan Islam, tetapi juga berkembang dengan berbagai bentuk sastera, khususnya berbagai-bagai jenis puisi. Cuma haruslah diakui bahawa sungguhpun begitu banyak bentuk-bentuk puisi lahir di dalam persuratan Melayu, tetapi yang paling popular ialah syair. Adapun bentuk-bentuk puisi yang lain tidak begitu berkembang di dalam persuratan Melayu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment