Kenyataan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo di Bangi pada 29 Jun 2006 (The Star, 1July: Metro M3) diperkukuhkan dengan kenyataan YDP MPKj, Encik Zainal Abidin Arshad pada 11 Julai 2006 (The Star, 12 July 2006, Metro, M8), bahawa MPKj akan menaikkan Cukai Taksiran mulai Januari 2007, selepas menaikkannya awal Januari 2005.
Menurut YDP MPKj kadar kenaikan Cukai Taksiran 2007 telah dipersetujui oleh Exco Kerajaan negeri. Kenaikan berselang tahun ini satu keluarbiasaan selepas tidak menaikkannya 20 tahun sebelum 2005.
Sebelum itu tanda-tanda untuk menaikkan cukai ini dapat dijangka dengan penghantaran Notis Penilaian semula Dan Penyata Pemunya/Penduduk oleh MPKj kepada pemegang-pemegang harta di bawah MPKj sejak awal Jun 2006.
Maklumat dari borang yang dihantar kembali, membolehkan MPKj menilai semula dan mengenakan cukai berhubung dengan luas kawasan, kedudukan, nilai kegunaan, penyewaan dan penerangan yang perlu untuk tujuan penilaian dan cukai.
Memandangkan isu kenaikan Cukai Taksiran ini melibatkan penduduk di bawah pentadbiran MPKj secara menyeluruh (Hulu Langat dan Serdang) dan memandangkan kenaikan 100 peratus berbanding dengan kenaikan 2005, kenaikan begitu besar dan diluluskan secara tidak demokratik, iaitu membuat keputusan dahulu sebelum dirujuk kepada pemegang harta, maka pihak PAS Serdang berpendapat kenaikan sewenang-wenang tidak boleh dibiarkan.
Isu ini tidak boleh ditunggu `masa bantahan rasmi` dibuka terlebih dahulu baru hendak bertindak. Masa pada ketika itu sudah begitu suntuk dan sukar untuk diubah. Atas dasar isu ini perlu diambil tindakan segera, maka pihak PAS Serdang memanggil AJK Bertindak Serdang bersama dengan pemimpin PAS Serdang dan Hulu Langat dan PKR Hulu Langat dan Serdang membincangkan perkara di atas. Ini dilakukan pada 15 Julai 2006.
Berikutnya sebuah AJK Bertindak Membantah Kenaikan Cukai Taksiran MPKj ditubuhkan. Beberapa tindakan segera diambil keputusan. Antaranya menghantar memorandum bantahan kepada YDP MPKj dan menghimpun tandatangan rakyat membantah kenaikan Cukai Taksiran 2007 yang dicadangkan.
Tindakan ini perlu dilakukan dalam masa MPKj juga dalam proses untuk menggezetkan kenaikan Cukai Taksiran
Kini dalam masa 6 bulan, pihak MPKj memproses borang-borang yang dihantar kembali oleh pemilik-pemilik harta, membuat taksiran, khususnya jika berlaku penambahan harta pemegang harta dan menilai kriteria-kriteria yang melayakkan pemegang harta dikenakan cukai tambahan.
Berikutnya notis kenaikan Cukai Taksiran akan diiklankan di dalam akhbar-akhbar perdana, sekurang-kurangnya di dalam dua buah akhbar berbahasa kebangsaan. Selepas pengumuman kenaikan dibuat, sejumlah 42 hari diperuntukkan bagi pemegang-pemegang harta membuat bantahan.
Setelah proses ini selesai kenaikan cukai ini akan digazetkan, dijangka pada bulan November 2006 kelak.
Menghantar memorandum bantahan
Bertindak atas keputusan maka Ahli Jawatankuasa Bertindak Membantah Kenaikan Cukai Taksiran MPKj yang diketuai Pengerusi Bersama oleh penulis dan Encik Lee Kim Sin dan penyokong-penyokong dari PAS dan PKR dengan lebih kurang 30 orang ahli berhimpun di pekarangan MPKj pada pagi 20 Julai 2006 (Khamis) bagi menyampaikan Memorandum kepada YDP MPKj sebagai bantahan terhadap kenaikan Cukai Taksiran MPKj bermula awal Januari 2007.
Secara kebetulan, tanpa temujanji YDP MPKj Encik Zainal Abidin Arshad tidak mempunyai tugas luar dan berada di pejabat. Setelah meminta izin Setiausaha YDP MPKj dan setelah tamu yang menemuinya terlebih dahulu keluar, penulis dan En. Lee dibenarkan masuk jam 10.30 pagi dan pengiring-pengiring menunggu di ruang tamu dan di luar, termasuk pemberita-pemberita. Mereka berdua bersalam dan diterima baik oleh YDP di kerusi tamu di dalam bilik pejabatnya.
Perbincangan
Penulis memulakan kalam dengan menyatakan bahawa mereka berdua mewakili Badan Bertindak dan rakyat datang bagi menyampaikan memorandum membantah cadangan menaikkan Cukai Taksiran MPKj yang akan dilaksanakan pada awal Januari 2007.
YDP memulakan respon dengan menyatakan bahawa pihak MPKj telah turun ke beberapa tempat termasuk Bangi menerangkan antaranya tentang kenaikan Cukai Taksiran berkenaan. Katanya, sepatutnya tidak timbul bantahan, jika penerangan tersebut diikuti.
Penulis menghujah, walau apa pun kenaikan Cukai Taksiran MPKj adalah di luar dari kewajaran, oleh kerana Cukai Taksiran telah dinaikkan pada awal tahun 2005 sebanyak 10 peratus dan kini akan dinaikkan dengan kadar seratus peratus dari kenaikan 2005 terutama bagi pemegang harta di kawasan yang dikategorikan sebagai maju.
Menurut YDP, ianya adil, kerana hartanah mereka makin naik dari segi nilai pasaran dan jika hartanah mereka disewakan, mereka mendapat sewaan lebih tinggi. Sebab itu cukai wajar dinaikkan. Menurut En.Lee, kenaikan adalah terlampau tinggi dan di luar dari kebiasaan.
Penulis mengemukakan hujah yang disokong En.Lee bahawa dalam keadaan rakyat menderita memikul beban kenaikan harga minyak petrol & diesel sebanyak 30 sen seliter dan 30 sen bagi satu kg.gas, serta kenaikan tarif elektrik sebanyak 12 peratus, diikuti kenaikan harga barang, perkhidmatan dan inflasi antara 20-30 peratus, amatlah tidak wajar MPKj turut sama dalam kelab menaikkan harga.
MPKj perlu ada rasa kemanusiaan dan kasihan belas terhadap rakyat yang rata-rata amat tertekan dengan kenaikan dan menderita kekurangan pendapatan bagi menampung perbelanjaan. YDP mengelak dari menjawab hujah ini, kerana ianya suatu realiti yang sedang dihadapi rakyat yang sempit dan perit mendepani penghidupan.
Sebaliknya YDP mengemukakan bahawa dalam keadaan sekarang seorang pemegang harta di bawah MPKj menurutnya, hanya meyumbang (membayar) hitung panjang secara bulanan ialah sebanyak RM25.04 sebulan. Katanya, dengan bayaran sejumlah inilah MPKj memberi khidmat kepada pemegang harta seperti mengangkat sampah, memotong rumput, lampu jalan, baiki jalan, membersih longkang dan sebagainya.
Menurutnya dengan jumlah ini sebenarnya tidak cukup bagi menampung perbelanjaan khidmat yang diberi oleh MPKj. En. Lee berhujah, bahawa hutang yang gagal dipungut MPKj, contoh 2004 sebanyak RM20 juta yang sepatutnya ditekan oleh MPKj agar mereka membayar hutang, bukannya membebankan rakyat.
YDP menjawab, bahawa prestasi MPKj dari segi memungut Cukai Taksiran makin baik. Menurutnya bagi tahun 2005 hingga akhir Disember, bagi satu jumlah cukai (hutang ?) yang patut dipungut sebanyak RM25 juta, MPKj mampu memungut sebanyak RM23 juta, manakala simpanan semasa RM10 juta. Menurutnya cukai paling tinggi dipungut ialah Kajang 40 peratus, Cheras 37 peratus, Semenyih 10 peratus dan di tempat-tempat lain 13 peratus.
Penulis menimbulkan bahawa selama ini MPKj dapat memungut cukai dari pemegang harta berjumlah 179,000 orang sebanyak RM57 milion. Pada tahun 2007 pemegang harta dijangka bertambah kepada 210,000 orang dengan cukai yang akan didapati sebanyak RM95.8 milion. Dengan ini MPKj sebenarnya mendapat tambahan cukai tanpa membebankan rakyat. Sebab itu MPKj tidak perlu menaikkan cukai baru, kerana dengan pertambahan pemegang harta di bawah MPKj bererti bertambahnya cukai.
Kenaikan cukai dari pemegang harta baru sebanyak RM38.8 milion (RM95.8 – RM57 milion) adalah pertambahan wajar dan sesuai bagi keperluan MPKj bagi 2007, iaitu kenaikan 68% dari peruntukan sebelum 2007. Pertambahan sedemikian sudah cukup, bahkan memungkinkan MPKj menggandakan pembangunan di bawah MPKj berdasarkan pendapatan cukai yang bertambah. Kenaikan Cukai Taksiran berganda sebagaimana dicadangkan boleh disifatkan sebagai tamak dan rakus.
Encik Lee membangkitkan bahawa pihak MPKj perlu membuat perbelanjaan secara berhemat dan mengelak pembaziran. Beliau menimbulkan beberapa projek yang dibuat di Kajang terbiar dan membazirkan kewangan MPKj berpuluh juta ringgi. Antara projek terbiar ialah Kajang Point, Muzium Sate Kajang, Taman Air JPS berhampiran dengan Dewan Orang Ramai, Kajang dan Pasar Kajang Utama. Beliau bimbang dengan usaha menambahkan pendapatan MPKj secara berganda dan mendapat Cukai Taksiran berganda akan membuat pihak MPKj lebih terdorong kepada pembaziran yang lebih banyak.
Apabila ditanya kepada YDP oleh penulis, tidakkah MPKj berhasrat menjadikan Kajang termasuk Bangi `Bandar Taman` sebagaimana perbandaran Subang, Petaling Jaya dan Shah Alam? Menurut YDP, MPKj tidak mampu mencapai taraf ketiga-tiga perbandaran yang memang berada pada ranking perbandaran terkeatas daripada 22 kawasan di negeri Selangor. MPKj berada pada ranking ketiga dari bawah, kita sedang berusaha untuk meningkat ke ranking yang lebih atas. Encik Lee menambah, tetapi hingga kini mengapa MPKj tidak dapat menyelesaikan masalah lalulintas di Bandar Kajang dan masalah kebersihan? Menurut YDP MPKj, pemungutan sampah oleh Alam Flora, makin baik dan masalah lalulintas semakin diselesaikan dengan terbukanya jalan-jalan SILK, projek Jalan KASEH –Kajang Seremban yang dalam proses pembinaan.
Apabila ditanya penulis, adakah cadangan menaikkan Cukai Taksiran MPKj bertujuan untuk meringankan beban kos bangunan baru MPKj lapan tingkat (RM25 milion) yang sedang dalam pembinaan di belakang bangunan sekarang?
YDP MPKj tidak menafikan bahawa dari kewangan terkumpul MPKj, sebahagian daripadanya digunakan untuk menyempurnakan peruntukan kewangan bagi binaan tersebut. Menurut penulis adalah tidak adil perbelanjaan bagi membina bangunan tersebut dibebankan kepada pemegang-pemegang harta di bawah MPKj.
Menurutnya Selangor sebagai 'Negeri Maju' patut menampung kekurangan peruntukan bagi binaan tersebut. Menurut YDP bangunan MPKj yang baru adalah untuk kepentingan pentadbiran MPKj dalam urusan-urusan berhubung dengan rakyat.
Menurutnya lagi MPKj berusaha untuk kebaikan rakyat. Dengan secara bergurau beliau mencadangkan tajuk, ``Memorandum Membantah Kenaikan Taksiran MPKj (2007) diubah kepada ``Memorandum Menyokong Kenaikan Cukai Taksiran MPKj (2007).
Namun penulis dan En. Lee berpendapat, hujah-hujah dan jawapan dari YDP MPKj tidak meyakin dan mewajarkan Cukai Taksiran dinaikkan. Mereka berpendapat Kenaikan Cukai Taksiran 2007 akan membebankan rakyat yang telah sedia terbeban, apa lagi cukai baru dinaikkan awal 2005. Mengakhiri pertemuan mereka mengucapkan terima kasih di atas kesudian YDP menerima mereka. Pertemuan selama 45 minit itu diakhiri dengan upacara penyerahan Memorandum kepada YDP MPKj dihadapan pemberita-pemberita dan penyokong-penyokong.
Sinopsis Memorandum
Memorandum setebal tiga halaman dapat diringkaskan kepada point-point berikut:
2005, Cukai Taksiran MPKj baru dinaikkan10%, 2007 mau dinaikkan lagi ! Kali ini lebih dahsyat lagi, hampir 100% ! Hidup rakyat sudah pun susah, mau ditambah lagi beban !
Pentadbiran MPKj tidak telus – Penyata Kewangan Tahunan harus dibentangkan secara telus kepada rakyat. Terdapat projek-projek seperti Kajang Point, Muzium Sate, Taman Pinggiran Sungai Langat dan pasar Kajang Utama yang menelan belanja berjuta-juta ringgit dibiar dan terbengkalai.
MPKj berhasrat menggandakan pendapatan tahunannya melalui kutipan Cukai Taksiran , penilaian semula hartanah dan pegangan merupakan strategi muslihatnya untuk menaikkan cukai.
Perkhidmatan MPKj tidak efektif, masalah jalan berlubang, sampah, longkang tersumbat, jambatan runtuh, banjir kilat dan tiada kelulusan CF tidak diatasi; tidak wajar dinaikkan cukai, kerana perkhidmatan diberi tidak setempal dengan kenaikan cukai.
Wang Cukai Pintu Rakyat tidak patut digunakan untuk menampung perbelanjaan Projek Bangunan Pejabat Baru MPKj. Kerajaan Negeri dan Pusat yang sepatutnya menanggung perbelanjaan tersebut. Wang Cukai Taksiran mesti digunakan hanya untuk pertingkatkan perkhidmatan tempatan.
Jumlah pembayar cukai kini 179,000 pegangan, jumlah kutipan cukai RM 57 juta, bilangan kena cukai meningkat 210,000 pada 2007 dengan anggaran kutipan RM95.8 juta. MPKj tidak perlu menaikkan cukai kerana pembangunan pesat dan cukai daripada pertambahan pegangan tempatan sudah cukup menampung perbelanjaannya.
MPKj tidak efisien dalam mendapatkan cukai tertonggak sebanyak RM 20 juta. Usaha harus ditumpukan bagi mendapatkan kembali hutang, bukannya membebankan rakyat dengan menaikkan cukai.
Kategori penilaian pegangan untuk kiraan Cukai Taksiran dibahagikan kepada Tanah Simpanan Melayu & Bukan Tanah Simpanan Melayu yang perbezaan antaranya sebanyak 100% ! Kadar yang dikenakan bagi kedua-dua kategori tidak adil dan harus diturunkan dengan julat perbezaannya yang munasabah.
MPKj tidak wajar menaikkan Cukai Taksiran 2007 dalam masa rakyat sudah terbeban dengan kenaikan minyak, gas, tariff letrik, kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
MPKj tidak sepatutnya mementingkan diri. Perlu ada rasa kemanusiaan dan kasihan terhadap rakyat yang makin terbeban.
Turun menemui rakyat
Tindakan membantah kenaikan Cukai Taksiran MPKj (2007) tidak terhenti dengan penghantaran memorandum kepada YDP MPKj, sebaliknya ianya adalah permulaan ke arah tindakan seterusnya bagi mendesak pihak MPKj, menarik balik cadangan menaikkan Cukai Taksiran..
Salah satu tindakan yang dipersetujui ialah kempen menghimpun tandatangan bantahan penduduk di bawah MPKj dan mereka yang bersimpati. Buat kali pertama Jawatan Kuasa Bertindak dari PAS dan Keadilan Serdang dan PAS dan KeADILan Hulu Langat dan penyokong-penyokong telah turun ke Pasar Kajang pada pagi Ahad 23 Julai 2006 mulai jam 8.00 pagi dan berterusan hingga jam 11.00 pagi.
Waktu tersebut adalah waktu puncak dan hari tertinggi penduduk sekitar Kajang datang ke pasar membeli keperluan mereka. Format operasi adalah sebagaimana pernah dilakukan Mantan ADUN Kajang (1999-2004) turun ke pasar berkenaan secara giliran bersifat bulanan bagi menerima aduan-aduan dari rakyat.
Bahkan peralatan yang sama digunakan, iaitu dengan membawa sebuah meja plastik kecil 2 x 3 kaki dengan tiga buah bangku plastik. Meja ini diletak di tepi bangunan berhadapan Pasar Kajang berlatarbelakangkan kain rentang yang tertera tulisan berbahasa Malaysia dan Cina:
RAKYAT BANTAH KENAIKAN CUKAI PINTU MPKj
(Tulisan berbahasa Cina di bahagian bawah berwarna merah. Bahasa Malaysia berwarna hitam). Pada kiri kanan membentuk seperti pintu gerbang kain bergantung bertulisan Bahasa Malaysia dan Cina:
TUNTUT HAK ANDA (berwarna merah)
KEMPEN TANDA TANGAN BANTAH KENAIKAN CUKAI PINTU MPKj
Diikuti di bawah tulisan bahasa Cina.
Pada bahagian bawah `Bulatan` beranak panah ke atas berpangkah.
Pada bahagian paling bawah ialah lambang PAS dan Keadilan bagi Hulu Langat dan Serdang.
Di atas meja disediakan borang-borang untuk ditandatangani dan bahan-bahan edaran yang terdiri dari salinan memorandum yang dihantar kepada YDP MPKj bercop penerimaan pada 20 Julai 2006 dan juga sehelai sinopsis point-point bantahan terhadap MPKj dalam bahasa Malaysia (seperti yang diperturunkan di atas) dan sebelahnya berbahasa Cina.
Pembantu-pembantu juga mengedar kedua-dua bahan tersebut kepada pengunjung-pengunjung pasar dan menggalakkan mereka ke kaunter untuk menandatangani bantahan, di samping borang juga di bawa (beralas kertas keras) untuk ditandatangani secara berdiri. Al-hamdulillah sambutan yang diberi masyarakat berbagai kaum amat menggalakkan.
Bantahan berposter
Satu ketika semasa tanda tangan di kaunter rancak berjalan. Pemberita-pemberita mengambil gambar bantahan berkain rentang dan bersepanduk kertas yang mempamerkan berbagai-bagai ungkapan. antaranya:
RAKYAT MENDERITA KENAIKAN MINYAK, MPKj TIDAK PATUT TAMBAH SUSAH RAKYAT.
HUTANG MPKj TIDAK PATUT DI BEBAN KEPADA RAKYAT.
CUKAI DI BAYAR TAK SEPADAN KHIDMAT DI BERI
CUKAI MPKj NAIK 2005, MENGAPA MAU NAIK LAGI 2007 ? (Amat Tidak Wajar)
DON`T INCREASE THE ASSESSMENT RATE
WE OPPOSE THE NEW MPKj ASSESSMENT RATE (100% HIKE)
Jumlah tanda tangan bantahan
Dalam masa lebih kurang tiga jam operasi, jumlah tandatangan yang dihimpun lebih dari 300 orang. Ini bermakna dalam masa satu jam dapat dipungut seramai lebih kurang100 orang. Butir-butir yang diambil dari penandatangan ialah nama, no. Kad Pengenalan, alamat/no. telefon dan tandatangan. Penandatangan di Pasar Kajang, dilihat dari segi respon kaum Melayu berjumlah 135, Cina 122 dan India 74 orang.
Jumlah kesemua secara sebenar ialah 331 orang. Operasi yang dijalankan adalah secara aman. Pembukaan kaunter sedemikian tidak pernah dihalang polis sejak tradisi ini dilakukan pada masa Mantan ADUN Kajang dulu lagi.
Operasi memungut tandatangan ini juga dilakukan di Pasar Malam hari Sabtu Bandar Baru Bangi.pada 29 Julai 2006. Sungguhpun dinamakan Pasar Malam, tetapi ianya bermula dari petang. Urusan memungut tandatangan ini dilakukan sejak jam 5.00 petang dan berterusan sehingga jam 9.00 malam. Jumlah tandatangan yang di dapati juga lebihkurang 300 orang.
Walaupun masa diambil lebih panjang, oleh kerana pada waktu malam dan tandatangan hanya pada kaunter sahaja, maka jumlah yang dapat dipungut tidak secepat yang dilakukan pada waktu siang. Pungutan juga dilakukan di Pasar Baru Semenyih pada pagi Ahad 30 Julai 2006. Pasar tumpuan orang Melayu, kerana terdapat sebuah lagi pasar, iaitu Pasar Kampung Baru yang menjadi tumpuan orang Cina.
Jumlah pungutan di sini yang majoritinya orang Melayu, di samping jumlah kecil orang Cina dan India juga lebih kurang 300 tanda tangan.
Tidak berpuashati
Dari apa yang diperhati penduduk dari berbagai kaum memberi respond yang baik terhadap anjuran memungut tandatangan bagi membantah kenaikan Cukai Taksiran MPKj. Mereka semua adalah sekata tidak menyetujui kenaikan Cukai Taksiran MPKj.
Setiap orang yang menandatangan memberi komen tak patut dinaikkan cukai dalam masa rakyat sedang berdepan dengan kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan selepas kenaikan harga petrol, gas dan letrik. Lebih-lebih lagi Cukai Taksiran sudah dinaikkan pada awal 2005.
Mereka juga amat bimbang dengan kenaikan minyak yang sekarang sudah mencecah US75 dolar setong, minyak akan naik lagi pada awal 2007, sesudah tamat tempoh janji kerajaan menjamin tidak akan menaikkan harga minyak lagi pada tahun ini.
Wajar bertindak
Bagi Jawatankuasa Bertindak, peranan yang diambil mereka menganjur pemungutan tandatangan adalah sebagai satu kesedaran dan tugas kemasyarakatan membela rakyat. Apa lagi dalam peruntukan disediakan bahawa apabila diumumkan keputusan pada rakyat, mereka akan diberi peluang untuk membuat bantahan dalam tempoh 42 hari.
Mungkin pada masa itu ada kesedaran dari rakyat untuk membantah, tapi tindakan secara bersendirian tidak sekuat bertindak secara ramai-ramai. Adalah tidak wajar ditunggu kepada tempoh di atas baru hendak dilakukan bantahan.
Tindakan bersegera dari sekarang lebih berpeluang untuk mendapat sokongan yang lebih ramai. Pengerusi Bersama Jawatankuasa Bertindak ialah mereka yang layak dan sepatutnya mengetuai AJK Bertindak, kerana penulis adalah Mantan ADUN Kajang (1999-204), kedua-dua iaitu penulis dan En. Lee bertanding dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Bangi dan DUN Kajang (2004) dan masing-masing mendapat undi 42 peratus dari keseluruhan undi.
Ini bererti mereka adalah orang yang diberi kepercayaan oleh rakyat dan berhak bersuara untuk rakyat.
Penutup
Usaha mendapat tandatangan rakyat akan diteruskan bukan saja di pasar-pasar, bahkan di berbagai tempat dan saluran yang memungkinkan tandatangan didapati. Tandatangan-tandatangan yang terhimpun ini kelak akan dihantar kepada pihak MPKj dan jika perlu salinan-salinan juga akan dibuat untuk dihantar kepada pihak-pihak lain yang berkenaan.
Bangi,
15 Rejab 1427
No comments:
Post a Comment