December 31, 2007

Jangan naikkan cukai taksiran MPKj: Khir Toyo dusta?

1. Pendahuluan

Menurut sebagaimana yang diiklan dan disebarkan ke seluruh kawasan yang ditadbirkan oleh Majlis Perbandaran Kajang di Hulu Langat dan sebahagian dari Serdang yang termasuk di bawahnya Balakong, bahawa `Program Turun Padang` dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato` Seri Khir Toyo bersama pegawai-pegawainya dari Shah Alam dengan disertai kakitangan MPKj ke Bandar Baru Bangi bertempat di Kompleks Sukan, Seksyen 15, pada Khamis 29 Jun 2006 bermula jam 8.30 pagi.

Tujuan kehadiran ialah sempena dengan `Hari Inventori Permasalahan Rakyat` (HIPR). Perlaksanaan `Program Turun Padang` yang dilakukan pihak Kerajaan Negeri Selangor ini adalah merupakan kali kedua ke Daerah Hulu Langat selepas pilihanraya 2004 dan ianya lebih bersifat politik bagi menunjukkan bahawa Menteri Besar Selangor bersama wakil rakyat kawasan turun padang menemui rakyat.

Sebenarnya program seperti HIPR ini adalah ciplakan dari program yang mula dicetus dan diadakan oleh Mantan ADUN Kajang (1999-2004) di pelbagai lokasi di DUN Kajang. Program mingguan Mantan ADUN Kajang pada masa itu dikenali dengan `Kaunter Pengaduan Wakil Rakyat DUN Kajang` atau secara ringkas dikenali dengan `Kaunter Terbuka ADUN Kajang`.

Cetusan idea mengadakan Kaunter Terbuka ini, oleh kerana Wakil Rakyat DUN Kajang adalah dari parti pembangkang, iaitu PAS. Maka tidak ada kemudahan baginya di jabatan-jabatan kerajaan, bahkan beliau tidak dilantik menjadi ahli dalam MPKj atau sebarang jawatan di dalam Majlis Daerah Hulu Langat.

Tidak ada mekanisme saluran dan maklum balas bagi ADUN dari jabatan-jabatan berkenaan. Sebab itu sejak awal dipilih sebagai ADUN Kajang, maka dengan persetujuan PAS Kawasan Hulu Langat sebuah ahli jawatankuasa dikenali sebagai `Ahli Jawatankuasa Bertindak ADUN Kajang` telah ditubuhkan.
Tujuannya ialah menerima aduan dari berbagai-bagai pihak dan turun ke kawasan, cawangan dan lokasi menyelesaikan masalah-masalah yang diterima melalui aduan dan dikenalpasti secara turun padang. Setelah memberi khidmat melalui rumah ADUN (peringkat permulaan) dan kemudian berpejabat di Kajang Utama, maka mulai awal 2002, cetusan idea mengenai `Kaunter Terbuka` mulai dijanakan. Iaitu selepas operasi ADUN Kajang berpejabat di Bandar Baru Bangi

(22 Mac 2001)

Mekanisme `Kaunter Terbuka` ialah dengan cara ADUN Kajang bersama AJK Bertindak turun ke lokasi-lokasi orang ramai seperti pasar harian, pasar malam, perhimpunan, sambutan dan taman perumahan dengan membuka kaunter aduan.

Pada tempat kaunter aduan ini dibawa sebuah meja kecil dengan beberapa buah kerusi plastik. Kain rentang bertulis Kaunter Terbuka ADUN Kajang dipasang. Bendera Persekutuan, Negeri Selangor dan juga bendera PAS juga direntang. ADUN dan AJK memakai baju `ADUN KAJANG` berwarna putih berkolar merah bercop lambang Kerajaan Negeri Selangor yang di bawahnya tertulis warna merah `KAJANG` dan di atas poket tertera `Dewan Undangan Negeri Selangor berwarna kuning, manakala pada bahagian belakang baju tertera `DUN KAJANG` berwarna hijau dan di bawahnya slogan `DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT` berwarna merah. ADUN dan AJK Bertindak berada di meja menerima aduan yang dicatat pada borang yang disediakan. Antaranya diambil maklumat dan alamat pengadu, no. telefon pengadu, perkara yang diadukan dan lokasi aduan.

Setelah butir-butir pengaduan lengkap, pengadu diminta menandatangani borang aduan. Pengadu dan orang ramai dihadiahkan dengan bahan-bahan maklumat termasuk dari pejabat ADUN. Edaran termasuk laporan tindakan yang telah dibuat terhadap aduan yang dibuat sebelumnya. Waktu aduan bagi Kaunter Terbuka jika di Pasar bermula dari jam 8.30 pagi dan berterusan hingga 12.00 tengahari dan jika Kaunter Pengaduan` di pasar malam, maka waktu operasi ialah pada petang dan malam.

Tempat-tempat dibuka `Kaunter Aduan` secara giliran dan bersifat bulanan ialah di Pasar Kajang, Pasar Kg. Baharu Semenyih, dan Pasar Sungai Long, manakala kaunter bagi pasar malam ialah seperti Pasar Malam Bandar Baru Bangi, Taman Mutiara, Taman Delima, Batu 10 Cheras, Jalan Reko, Kajang Utama dan Sungai Jelok.

Sambutan terhadap Kaunter Terbuka dan maklumbalas masyarakat daripada semua kaum amat menggalakkan . Antara aduan yang biasa diterima ialah mengenai masalah prasarana, ketiadaan air, masalah kebersihan, lalulintas, alam sekitar, kerosakan jalan, masalah peniaga, perumahan dan kawasan perumahan, rumah terbengkalai dan sebagainya. Semua aduan dari `Kaunter Terbuka` dan aduan-aduan yang diterima melalui lawatan, aduan terus ke pejabat, melalui telefon, surat dan maklumat melalui media dikompailkan secara bulanan dan dianalisa.

Satu salinan aduan yang dikompailkan dan tindakan dihantar secara tangan kepada jabatan-jabatan yang berkenaan termasuk ke MPKj dan Pejabat Daerah dan berbincang dengan pihak jabatan mengenai aduan untuk tindakan. Perkara-perkara yang penting dibawa ke Dewan Undangan Negeri dan dijadikan soalan-soalan lisan dan tulisan. Setiap bulan juga satu salinan dan tindakan aduan yang dikompailkan ini dihantar kepada YAB Menteri Besar Selangor untuk makluman dan tindakan (jika berkenaan).

Setiap kali turun padang juga disediakan jawapan-jawapan dan tindakan yang diambil dan diselesaikan bagi bulan sebelumnya yang juga dikompail dan diedarkan. Di luar dari hari minggu ADUN bersama AJK turun padang menyelesaikan aduan-aduan dan masalah-masalah yang diterima selain dari tugas-tugas parti dan mesyuarat-mesyuarat DUN dan menunaikan berbagai-bagai jemputan.

2. Ciplakan Idea

Sebagaimana dibentangkan di atas Laporan Aduan Dan Tindakan turut dihantar kepada Menteri Besar Selangor. Apa yang dilakukan oleh ADUN Kajang ini diciplak oleh Menteri Besar Selangor dan dijadikan contoh bagi program turun padangnya ke daerah-daerah di negeri Selangor bersama wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai di jajahan yang berkenaan.

Pada peringkat awal bagi melaksanakan program yang dikenali dengan `Inventri Permasalahan Rakyat` satu pertemuan dari wakil-wakil rakyat BN dan pegawai-pegawai telah dijemput ke bilik mesyuarat di bangunaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pertemuan ini berlaku pada 5 Februari 2003.

Secara kebetulan ADUN Kajang pada hari itu dijemput sama (mungkin tersilap jemput). Dengan tujuan untuk mengetahui apakah pendekatan program yang akan dibincangkan ADUN Kajang turut hadir ke jemputan tersebut. Malangnya setelah para jemputan hadir pada sebelah petang jemputan itu, pertemuan tersebut dibatalkan.

Mungkin kerana disedari berlaku kesilapan dari segi jemputan dari kalangan ADUN pembangkang. Tidak ada jemputan lanjut ke mesyuarat sedemikian dibuat terhadap ADUN Kajang selepas itu untuk program `Turun Padang`. Walaupun idea turun padang secara membuka kaunter pengaduan berkenaan diciplak dari idea asal ADUN Kajang, Mantan ADUN Kajang tidaklah menghalang dari dicontohi idea berkenaan. Ianya merupakan pengiktirafan secara tidak langsung terhadap pendekatan yang dibuat oleh ADUN Kajang pada masa itu.

Walau bagaimana Mantan ADUN Kajang berpendapat fungsi kaunter terbuka yang dibuat oleh pihak Menteri Besar dan ADUN-ADUN baik dari UMNO atau BN tidak begitu penting dan lebih bersifat politik. Ini ialah kerana mekanisme bagi rakyat membuat aduan kepada kerajaan termasuk wakil-wakil Rakyat UMNO-BN telah wujud setiap hari, iaitu melalui jabatan-jabatan kerajaan, majlis-majlis perbandaran, ahli-ahli majlis perbandaran yang ditentukan kawasan-kawasan mereka mewakili dan bertugas, ahli JKK, penghulu, ketua kampong dan sebagainya.

Segala masalah dan aduan rakyat dapat disalurkan ke saluran-saluran di atas dan wakil rakyat UMNO-BN boleh mendapat maklumat dan mengarahkan tindakan melalui jabatan-jabatan dan saluran berkenaan. Lagi pula apa kesannya, selain dari menunujuk-nunjuk, Menteri Besar dan wakil rakyat tempatan turun secara sekali bagi dua tahun atau paling cepat sekali setahun ? Ianya bersifat meniru dan menunjuk-nunjuk.

Keadaan yang sedemikian tidak berlaku kepada wakil rakyat dari pembangkang. Mereka tidak mendapat kerjasama dari jabatan-jabatan dan saluran resmi kerajaan. Sebab itu wakil rakyat dari parti pembangkang seperti Mantan ADUN Kajang terpaksa turun sendirian bersama AJKnya untuk mendapat maklumat dan pengaduan dari rakyat yang dibuat dari lokasi ke lokasi berturut minggu.

Bagi menyelesaikan aduan-aduan rakyat yang berhubung dengan jabatan kerajaan, Mantan ADUN Kajang terpaksa membuat urusan sebagai rakyat biasa dan jika orang ramai terpaksa berbaris menurut giliran. Tidak dapat dinafikan setelah menurut procedure sebagai rakyat biasa, kebanyakan dari pegawai dan kakitangan jabatan memberi kerjasama yang baik.

Namun begitulah karinah dan beban yang terpaksa dipikul oleh wakil rakyat dari pembangkang. Segala perbelanjaan terpaksa ditanggung sendiri, tidak sebagaimana wakil rakyat kerajaan diberi peruntukan mula-mula seratus ribu setahun dan kemudian meningkat kepada RM400 ribu setahun.

3. Khir Toyo berdusta?

Pada hari Menteri Besar Selangor bersama-sama pegawai-pegawainya turun ke Bandar Baru Bangi, pada Khamis 29 Jun 2006 sebagaimana dilaporkan oleh Geetha Krishnan di dalam bahagian Metro The Star, bahawa dari 101 pengaduan yang diterima, iaitu berkurang dari tahun lepas (303), satu soalan yang amat penting diajukan kepada YAB Dr. Khir Toyo berhubung dengan:

``… the proposed hike in MPKj assessment rates next year.`` (The Star, Saturday 1 July, 2006: M3).

Khir Toyo menjawab:

``It was about time for the local authority to do so as the rates were last reviewed 20 years ago,`` beliau menambah, ``the council would announce the new rates soon but the hike would not be more than 10%.`` (Ibid.).

Jawapan ini adalah tidak teliti yang boleh disifatkan sebagai dusta, mempermain dan memperbodohkan rakyat di bawah pentadbiran MPKj. Pihak MPKj juga boleh disifatkan sebagai bersekongkol dan menyembunyikan maklumat dari rakyat dengan tujuan untuk menaikkan cukai penilaian MPKj secara sewenang-wenangnya.

Sebagai Mantan ADUN Kajang, segala perkembangan yang berlaku di MPKj diikuti dan terus dipantau Mantan ADUN Kajang. Sebagai orang yang pernah diamanahkan oleh penduduk di DUN Kajang dan sebagai mengenang jasa mereka Mantan ADUN Kajang akan terus memberi perhatian dan membela mereka di dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan kepentingan penduduk Kajang – termasuk Bangi, secara khusus dan negeri Selangor secara keseluruhannya.

4. Kenaikan cukai MPKj 10% sudah dilakukan mulai Januari 2005

Apa yang dimaklumkan oleh Khir Toyo bahawa, MPKj belum menaikkan cukai taksiran MPKj sejak 20 tahun lepas adalah tidak benar dan dusta. Untuk makluman sejak UMNO-BN berkuasa di Selangor, termasuk merampas kembali DUN Kajang dari pembangkang, maka tidak sampai setahun selepas kemenangan mereka (Mac 2004), mereka mulai menaikkan cukai taksiran MPKj. Perkara ini dimaklumkan dan dipraktikkan oleh YDP MPKj pada masa itu, iaitu Muhammed Khusrin. Makluman yang dibuat oleh Muhammed Khusrin yang dilaporkan oleh Ahmad Fauzi Mustafa adalah sebagaimana berikut:

``MPKj naik cukai 10%`` sebagai tajuk berita. Keterangan lanjutnya:

``Kajang: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan menaikkan cukai taksiran 10 peratus, mulai satu Januari tahun depan (2005), kali pertama dalam tempoh 20 tahun bagi menampung kos penyelenggaraan dan meningkatkan kemudahan infrastruktur. Yang Dipertuanya Muhammed Khusrin Munawi, berkata langkah itu selaras Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana tidak pernah dinaikkan sejak 1985.`` ( Berita Harian, Sentral, Isnin 6 Disember, 2004: 2).

Pengumuman kenaikan ini serentak dengan upacara mengangkat sumpah ahli-ahli MPKj yang baru dilantik. Berikut dari pengumuman ini Mantan ADUN Kajang bersama AJK Bertindak PAS Serdang, Hulu Langat dan PKR mengumpul tandatangan penduduk dan mengadakan tunjuk perasaan (26.12.2004) di Pasar Kajang dan menghantar bantahan kepada YDP MPKj (27 Dis.) mendesak agar ditarik balik kenaikan Cukai Taksiran mulai 2005.

Namun kenaikan cukai dilaksanakan juga mulai Januari 2005. Jadi bagaimanakah Khir Toyo mengatakan cukai taksiran MPKj tidak pernah dinaikkan sejak 20 tahun lepas ? Pada hal sebaik mereka menguasai Kajang 2004, maka mulai dari awal 2005 cukai taksiran telah dinaikkan dan kini dalam proses untuk menaikkan sekali lagi - mungkin awal 2007. Dua kali naik untuk penggal kekuasaan BN 2004-2008 ?

Sememangnya mulai awal 2005 cukai taksiran di bawah MPKj dinaikkan. Contoh (Cukai 2 kali setahun. Di bawah, cukai bagi setengah tahun pertama atau kedua)

Bil. Jenis Premis Tempat Sebelum 2005 Selepas 2005

1. Teres 2 tingkat B.B.Bangi RM92.40 RM101.64

2. 1 unit rumah pangsa B.B.Bangi RM48.30 RM 53.13

3. Kedai dua tingkat B.B.Bangi RM273.60 RM300.96

Ini membuktikan bahawa Cukai Taksiran MPKj memang telah dinaikkan mulai 2005. Adalah pendustaan yang terang dan nyata, sebagaimana dikatakan oleh Khir Toyo, bahawa Cukai Taksiran MPKj tidak dinaikkan sejak 20 tahun lepas.

5. Percubaan menaikkan cukai taksiran masa ADUN Kajang

Sebenarnya bukan tidak ada percubaan MPKj untuk menaikkan cukai sebelum 2005. Misalnya pada tahun 2001 (masa DUN Kajang di bawah PAS) pihak MPKj telah menaikkan Cukai Taksiran MPKj secara sewenang-wenang, tanpa kelulusan dari pihak Kerajaan Negeri Selangor. ADUN Kajang pada masa telah menegur dan membangkitkan kenaikan Cukai Taksiran dan meminta ditarik balik. Catatan di dalam handserd DUN Selangor adalah sebagaimana berikut:

``Begitu juga kita kesal apa yang dilakukan oleh MPKj, Majlis Perbandaran Kajang, dengan sewenang-wenang telah menaikkan cukai pintu antara 60 hingga 100% tanpa mendapat kelulusan dari pihak Exco ataupun Dewan Undangan Negeri, rakyat di Hulu Langat sudah terpaksa membayar cukai pintu ini yang waktunya tidak lewat pada akhir Februari, kalau tidak akan didenda. Kebanyakan rakyat telah membayar cukai ini.`` (Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, Mesyuarat Pertama (Pembukaan), Penggal Ketiga, DUN Selangor Kesepuluh 27 – 30 Mac 2001: 93-94).

Bagi membantah kenaikan Cukai Pintu (Cukai Taksiran MPKj) berkenaan ADUN Kajang pada masa itu telah bersama-sama rakyat di Kajang mengadakan tunjuk perasaan membantah dan menghantar surat bantahan kepada YDP MPKj. Hasil dari tunjuk perasaan tersebut pihak Kerajaan Negeri Selangor telah menarik balik kenaikan cukai tersebut. Dipetik maklumat ini dari ucapan ADUN Kajang di DUN negeri:

``Kemudian selepas kita menunjuk perasaan dan membuat protes, baru ditarik balik cukai ini. Tetapi kita mengharapkan pihak MPKj dapat memulangkan bayaran yang telah dibayar oleh rakyat di Hulu Langat. Kalau tidak dipulang, kita mengharapkan pihak MPKj akan membayar dividen apabila tiba kepada pembayaran tahun hadapan.`` (Ibid. hlm. 94)

Ini bererti pada penggal ADUN Kajang sebagai Wakil Rakyat di DUN Kajang (1999-2004), tidak ada sebarang kenaikan Cukai Taksiran MPKj berlaku. Ada percubaan menaikkannya, tetapi dibantah dengan tunjuk perasaan dan bantahan bersurat hingga dibawa persoalan ke Dewan Undangan Negeri dan cukai berkenaan ditarik balik. Mereka menangguhkannya hingga selepas pilihanraya Mac 2004 bagi kepentingan politik dan pilihanraya. Menteri Besar Khir Toyo menyatakan:

``There will be no increase in assessment rates by the Kajang Municipal Council despite the council facing financial constraints in paying solid waste disposal concessionaire Alam Flora Sdn. Bhd. Selangor Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo said the council (MPKj) needed to step up its efforts to recover the RM20 million in assessment arrears owed by ratepayers as well as improves its services to the people before the State Government could approve the application to raise assessment rates.`` (NST, Saturday, February 28, 2004).

Berikutan dari kegagalan pihak berkuasa tempatan, iaitu MPKj dan Kerajaan Negeri menaikkan cukai pada tahun 2001, maka sebaik mereka berkuasa di DUN Kajang, mereka menaikkannya mulai 2005 dan dengan menganggap rakyat lupa (atau Khir Toyo lupa ?), maka Cukai Taksiran mau dinaikkan pula pada tahun 2007 ?

Dalam hal ini betapa penting wujudnya pembangkang yang efektif di dalam DUN Selangor sebagai mata dan telinga rakyat bagi menegur pemerintah sebarang penyelewengan dan tindakan yang merugikan rakyat. Polisi `Pembangkang Sifar` oleh kerajaan negeri hendaklah disanggah oleh rakyat. Kerajaan tak senang dan tak mau ditegur, sebab itu ada pembangkang yang digantung dari DUN untuk menyekat dari teguran dan kritikan. Amalan tidak demokratik ini hendaklah disanggah rakyat dengan mewujudkan pasukan pembangkang yang efektif di dalam DUN Selangor.

6. Jangan naikkan cukai taksiran

Bagi kepentingan rakyat di Hulu Langat dan juga Serdang Mantan ADUN Kajang dengan ini mendesak agar tidak dinaikkan Cukai Taksiran MPKj atas alasan berikut:

Jika 20 tahun sehingga 2005 maka baru dinaikkan Cukai Taksiran MPKj, maka tidaklah wajar hanya selepas dua tahun cukai tersebut dinaikkan sekali lagi. Ini semata-mata membebankan rakyat.

Masalah yang dihadapi oleh MPKj, ialah tonggakan hutang yang tidak dibayar oleh pembayar-pembayar cukai. Contoh RM20 milion bagi tahun 2004, maka tidaklah wajar kekurangan yang disebabkan oleh hutang yang tidak dibayar oleh pembayar-pembayar cukai ini ditanggung rakyat. Tumpukan usaha dengan pendekatan-pendekatan yang efektif bagi mendapatkan hutang tertonggak tersebut.

MPKj kini dalam proses menyiapkan bangunannya sendiri di Jalan Low Ti Kok berhampiran bangunan Telekom Kajang yang memakan biaya sebanyak RM25 milion. Difahamkan MPKj kekurangan peruntukan sebanyak RM11 milion. Kekurangan ini tidak sepatutnya dibebankan kepada rakyat.
Kerugian banyak dialami oleh MPKj berhubung dengan urusan penjualan hartanah kepada pihak swasta oleh pihak berkuasa politik negeri Selangor dahulu hingga menyebabkan tapak bekas Pejabat Daerah Hulu Langat yang menjadi bangunan MPKj sekarang tergadai. Seharusnya bangunan dan tapak yang strategic ini menjadi milik MPKj untuk dibangunkan.

Rakyat sekarang amat terbeban dengan kenaikan minyak dan gas, kemudian diikuti dengan kenaikan tariff elektrik. Ura-ura pihak Puncak Niaga Holdings Bhd bersama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang mempunyai 70% kepentingan dalam syarikat mau menaikkan kadar bayaran air terutama bagi penduduk di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Ini jika diluluskan amatlah membebankan rakyat. Usaha hendaklah ditumpukan kepada membasmikan kecurian air yang jumlah sebanyak 82 juta meter padu sejak 2005 (UM, 10 Julai 2006: 1). MPKj tidak sewajarnya menekan rakyat yang telah sedemikian terbeban.

Selangor diisytiharkan sebagai Negeri Maju pada Ogos 2005 yang lepas. Apakah ertinya maju jika rakyat makin miskin dan merempat ?

Jangan naikkan Cukai Taksiran MPKj. Rakyat kini makin sempit dan terdesak dengan kenaikan bahan bakar, barangan dan perkhidmatan.

Bangi
14 Jamadil Akhir 1427

No comments:

Post a Comment