December 18, 2007

Kritik terhadap kerajaan tempatan

Latarbelakang
Dari segi politik pemerintahan, di Negara kita terdapat tiga tahap pemerintahan, iaitu pemerintahan pada peringkat Federal yang diperturunkan melalui Parlimen yang ahli-ahlinya dipilih melalui pilihanraya parlimen.

Keduanya ialah pemerintahan pada peringkat negeri yang diperturunkan melalui Dewan Undangan negeri (DUN) yang ahli-ahlinya juga dipilih melalui pilihanraya yang biasanya serentak dijalankan dengan pilihanraya Parlimen. Ahli Parlimen dan ahli DUN merupakan penggubal-penggubal undang-undang yang diluluskan melalui sidang atau mesyuarat yang dijalankan. Ketiga ialah pemerintahan yang dilaksanakan melalui `Kerajaan Tempatan` (Local Government atau Local Council)` yang berfungsi pada peringkat Majlis Daerah atau diperingkatkan kepada yang lebih tinggi, iaitu Majlis Perbandaran atau Bandaraya. Bagi pemerintahan Kerajaan Tempatan, perundangan Negara memperuntukkan `Local Authorities Elections Ordinance, 1950` dan ordinance ini disemak dan dikenali dengan `The Local Government Election Act, 1960` berasaskan Laporan Suruhanjaya Reid. Maka sejak sebelum Negara Merdeka (Ogos 1957) pilihanraya pada peringkat Kerajaan Tempatan telah diadakan sebagai persediaan ke arah pilihanraya pada peringkat Parlimen dan DUN selepas Negara mencapai kemerdekaan.

Pilihanraya pada peringkat Kerajaan Temptan ialah di Pulau Pinang pada tahun 1951, di Kuala Lumpur 1952 diikuti dengan pilihanraya seperti di Johor Bharu, Muar, Melaka dan di perbandaran-bandaran yang lain. Pilihanraya Kerajaan Tempatan diwujudkan sehingga ke zaman Merdeka dan diteruskan hingga tahun 1965, kerana memberi peluang penduduk di dalam sesuatu perbandaran memilih wakil mereka memberi perhatian masalah kawasan mereka melalui mesyuarat `Kerajaan Tempatan`. Sungguhpun kuasa bagi `Kerajaan Tempatan` terhad berbanding dengan kuasa ADUN dan Ahli Parlimen, tapi melalui pemecahan kuasa kepada `Kerajaan Tempatan` yang kecil kawasannya, rakyat dapat berurusan langsung dengan pihak pentadbiran dan sebaliknya tanpa perlu terus kepada pihak negeri. Dengan mendekatkan rakyat dengan pihak berkuasa tempatan menjadikan mereka terlibat sama dengan pihak berkuasa dan memudahkan mereka menyampaikan permohonan dan berurusan. Ini tidak bererti berkurangnya kuasa negeri terhadap Kerajaan Tempatan. Negeri tetap mempunyai kuasa terhadap Kerajaan Tempatan. Pemecahan kuasa lebih kepada memudahkan pentadbiran.

Walau bagaimana ideal mengadakan pilihanraya bagi memilih wakil-wakil di dalam `Kerajaan Tempatan` setelah berjalan selama sedekad terbantut atas alasan, mereka yang terpilih menganggotai `Kerajaan Tempatan` kebanyakannya tidak efficient, berlaku salahguna kuasa, tidak dapat memenuhi kehendak yang diharapkan menjadi saluran bagi rakyat menyalurkan kepentingan mereka, bahkan tidak menjalankan tugas sebenarnya (Jayum A. Jawan, Malaysian Politics & Government, 2003: 153). Ini adalah antara dapatan laporan Suruhanjaya Mengkaji Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang dilantik pada 1963 dan membuat rumusan cadangannya 1965. Hasil dari cadangan yang dibuat Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Senator Athi Nahapan itu, kerajaan menarik balik pilihanraya `Kerajaan Tempatan` dan menghapuskannya langsung di bawah Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Sebaliknya pengisian keahlian Ahli Majlis Perbandaran atau Bandaraya dengan cara perlantikan. Walau bagaimana kita berpendapat sebab paling penting kaedah pilihanraya Kerajaan Tempatan dihapuskan oleh kerana pilihanraya Kerajaan Tempatan ini diadakan di bandar-bandar yang penduduknya lebih celik politik, mereka sering memilih wakil-wakil bukan dari parti pemerintah. Ini tidak menyenangkan pihak pemerintah (Perikatan = BN) dan menyukarkan pentadbiran antara negeri dengan Kerajaan Tempatan. Dalam pilihanraya Kerajaan Tempatan yang pernah diadakan sebagaimana disebutkan di atas, Kerajaan Tempatan Pulau Pinang dimenangi (6 daripada 9 kerusi) pihak radikal yang menentang kerajaan. Pilihanraya di Kuala Lumpur walaupun Perikatan menang 9 dari 12 kerusi, ianya tidak menselesakan pihak pemerintah. Untuk jangka panjang bandar-bandar seperti Ipoh, Seremban, Melaka dan Johor Bharu memasalahkan kerajaan (BN) untuk menguasai pilihanraya Kerajaan Tempatan di bandar-bandar tersebut. Sebab itu pilihanraya bagi `Kerajaan Tempatan` ditarik balik.

2. Majlis Perbandaran

Kini `Kerajaan Tempatan` dikenali sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan beberapa kategori iaitu Majlis Daerah, Majlis Perbandaran atau Bandaraya menurut kelayakan kawasan. Contoh Majlis Daerah Hulu Langat, kemudian diangkat taraf menjadi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan bagi perbandaran yang lebih besar diangkat tarafnya sebagai Bandaraya seperti Bandar Raya Shah Alam. Kini di seluruh Malaysia terdapat sebanyak 146 PBT. Di Selangor saja terdapat 22 Kawasan PBT. Bagi setiap ahli Majlis bagi PBT ini biasanya dilantik sejumlah 24 ahli yang terdiri dari ADUN-ADUN di dalam majlis berkenaan, ahli-ahli politik kerajaan (BN), pemimpin-pemimpin tempatan, ahli-ahli perniagaan dan para professional. Setengah daripada mereka dilantik sebagai mewakili zon-zon di dalam Majlis Kerajaan Tempatan. Mengetuai ahli Majlis ialah Yang Dipertua yang bertaraf sebagai Pegawai Pentadbir (PTD) yang dengan jawatannya dikenali sebagai Yang Dipertua (YDP) atau Datuk Bandar. Mereka boleh ditukar-tukar ke atau dari Pegawai Daerah dan mana-mana jawatan yang setara dengan kelayakan. Walaupun Majlis diketuai oleh YDP, tetapi yang berkuasa di belakangnya ialah orang politik, khususnya ADUN-ADUN yang menganggotainya, khususnya bagi yang lebih senior.

Keahlian bagi Majlis Perbandaran PBT adalah melalui perlantikan yang dirasmikan melalui upacara mengangkat sumpah jawatan. Tempoh perlantikan ialah selama 3 tahun dan perlantikan boleh diperbaharui jika prestasi ahli majlis baik atau digugurkan jika tidak memuaskan. Dari segi perjalanan Majlis PBT, melalui mesyuarat penuh sebulan sekali yang dianggotai ahli-ahli yang dilantik berpandukan Akta Majlis PBT, membincang dan meluluskan perancangan-perancangan Majlis Perbandaran yang melibatkan berbagai bidang misalnya berhubung dengan infrastruktur, kemudahan awam, Setinggan, landscaping, kewangan, tender, pembangunan ICT, Pembangunan Bandar, Perumahan, Kebersihan, peniaga-peniaga kecil dan sebagainya. Tugas-tugas ini dibahagi-bahagi di kalangan ahli Majlis menurut kepakaran dan kemampuan. Setiap ahli Majlis menerima beberapa bidang tanggungjawab yang mereka mengadakan mesyuarat dengan ahli-ahli masing-masing untuk diajukan di dalam mesyuarat penuh. Peranan Ahli Majlis PBT sudah tentulah dengan kepakaran dan idea-idea bernas mereka dapat membantu sesuatu PBT menjalankan pentadbiran dan pembangunan di dalam sesuatu kawasan PBT. Bajet bagi perjalanan sesebuah Majlis Perbandaran bagi sesuatu PBT adalah bergantung pada cukai harta/bangunan, tapak, perlesenan dan cukai perkhidmatan Majlis Perbandaran PBT. 70% dari bajet adalah dari hasil cukai yang biasa jumlahnya di bawah dari RM100 million, kecuali bagi PBT yang besar dan maju serta mempunyai hasil pungutan yang tinggi. Selebihnya ditampung oleh pihak negeri dan lain-lain. Walaupun sebahagian PBT ini telah berjalan sekian lama (40 tahun), tidak bererti tidak ada masalah-masalah yang dihadapi.

3. Kelemahan-Kelemahan Berhubung dengan masalah-masalah PBT, yang paling menonjol membuat kritikan, bahkan kecaman terhadap PBT, ialah dilakukan oleh Datuk M. Kayveas, Presiden Parti Progressive Rakyat merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang PBT adalah terletak di bawah kementerian berkenaan. Ertinya beliau amat tahu dengan masalah-masalah yang berlaku di dalam majlis-majlis PBT. Kecaman beliau terhadap PBT dianggap keras. Menurutnya melalui ucapannya di dalam Mesyuarat Agung Parti Progressive kali ke 52 di Pusat Perdagangan Dunia Putra Kuala Lumpur Oktober 2, 2005 yang dibuka oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Kayveas mengatakan: ``Local governments are being run like secret societies, `` tuduhnya, ``most councillors of being rubber stamps``. (NST, October 3, 2005: 4). Tambahnya, ``They have failed to function as a `third government` and `front liner` to the Federal and State governments . They merely serve as an agency to collect taxes.`` (Ibid.).

Tuduhan Kayveas ini memang keras dan dijawab oleh beberapa YDP/Presiden Majlis Perbandaran dan beberapa ahli yang terdiri dari wakil-wakil rakyat UMNO yang menjadi ahli di dalam Majlis Tempatan (NST, October 4, 2005: 10), namun di sebalik kekerasan itu ada kebenarannya. Penulis sebagai Mantan ADUN Kajang (1999-2004), walaupun tidak dilantik menganggotai Ahli Majlis Perbandaran Kajang, tetapi banyak kali menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis MPKj sebagai rakyat biasa yang dikehendaki membuat surat permohonan bertulis kepada YDP MPKj dua minggu sebelum berlangsungnya sidang. Penulis terpaksa duduk di bahagian paling belakang bersama-sama dengan para wartawan dan tidak berhak bersuara dan tidak berhak mendapat agenda mesyuarat atau sebarang dokumen. Apa yang dapat diutarakan:

a) Majlis-Majlis Perbandaran tidak selayaknya dinamakan `Kerajaan Tempatan`, kerana perlantikan mereka tidak melalui pilihan rakyat (kecuali Wakil Rakyat) dari kawasan-kawasan yang sepatutnya mereka mewakili. Hak ini dicuri dari rakyat dengan pemansuhan peruntukan yang pernah diwujudkan. Keahlian mereka melalui lantikan lebih ditentukan oleh kuasa politik dan lebih bersifat politik dan terdapat pula unsur kronisme. Dengan kedudukan mereka sedemikian, mereka tidak sepatutnya diberi kuasa menggubal peraturan dan undang-undang.

b) Berlaku ketidakadilan dan perlanggaran demokrasi dan Hak Asasi dalamana wakil-wakil rakyat dari pembangkang yang menang di dalam sesuatu Majlis Perbandaran tidak dilantik di dalam Majlis Perbandaran PBT. Contoh ADUN Kajang (1999-2004). Dengan cara ini mereka menafikan hak rakyat dan seolah-olah tidak mengiktiraf system demokrasi yang mereka mendakwa kerajaan kononnya berpegang kepada system demokrasi.

c) Perjalanan mesyuarat memangnya lebih bersifat `rubber stamp` dan berahsia (mungkin dengan kehadiran pembangkang yang tidak diundang). Pernah minit mesyuarat tersalah edar dan ADUN diberi satu set minit. Apabila didapati ADUN mendapat minit berkenaan, secara tidak beretika minit itu diambil balik dari ADUN pada masa itu. Kuasa adalah pada tangan YDP dan ahli politik kanan. Mesyuarat lebih bersifat endorcement terhadap apa yang telah disusun. Tidak bersifat terbuka dan jarang berlaku perbahasan sebagaimana di DUN atau Parlimen. YDP pada masa itu amat tidak mesra. Beliau cuba mengelak setiap kali ADUN mau berjumpa dan bila dihulur tangan untuk bersalam, disambut secara mau dan tidak dan tidak bersetentang muka, jauh dari untuk bercakap. Keadaan ini berlaku berkali-kali. (Beliau akhirnya terseret ke mahkamah atas kes rasuah).

d) Ahli-ahli majlis adalah tertekan, tidak bebas mengeluarkan pendapat. Kalau mau bercakap perlu difikirkan masak-masak agar sesuai dengan rentak dan kehendak politik yang mengawal sidang atau lebih baik diam. Kita dimaklumi salah seorang ahli yang dilantik pernah mencadangkan, agar ADUN yang menang dari pembangkang diberi peluang di dalam majlis. Khabarnya selepas itu ahli berkenaan digugurkan dari keahlian kerana dituduh bersimpati dengan pihak pembangkang.

e) Mesyuarat Majlis adalah ruang bagi wakil-wakil rakyat BN dan kroni-kroni politik yang dilantik mengawasi dan mengatur kemahuan politik mereka. Mereka mempastikan sebarang polisi dan projek tidak bercanggah, bahkan memberi keuntungan bagi politik mereka. Sebarang projek dan pembangunan disalurkan kepada kontrektor dari kroni dan tempat-tempat pilihan mereka berdasarkan perkiraan politik.

f) Walaupun ahli Majlis dilantik dari kalangan yang berkelayakan dan professional, oleh kerana adanya tekanan dan tugas lebih bersifat suka rela dengan elaun yang amat kecil, sebahagian dari mereka kurang memberi komitmen dan bukannya priority dalam kerjaya mereka, maka aspek positif dari kepakaran dan pengalaman mereka tidak dimanfaatkan.

4. Penyelewengan-Penyelewengan

Selain dari kelemahan-kelemahan di dalam PBT sebagaimana dibicarakan di atas ruang-ruang bagi berlakunya penyelewengan terbuka dan sememangnya berlaku. Antaranya:

a) Membuat keputusan kerana atas kehendak tokoh politik bagi kepentingan ekonomi pihak tertentu. Sebagai contoh pada 1990an semasa Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Muhammad Mohd Taib melalui MPKj berlaku urusan penyerahan hartanah yang bernilai tinggi dari segi komersil di Bandar Kajang dengan Syarikat Metro Kajang yang dipengerusikan oleh Datuk Lee Kim Sai Bekas Pemimpin MCA dan Bekas Menteri Kesihatan yang antara syaratnya Metro Kajang dikehendaki membina Pejabat Daerah Hulu Langat di Bangi dan kuaters kerajaan di sana sebagai menggantikan bangunan Pejabat Daerah Hulu Langat di Kajang (kini buat sementara disewa oleh MPKJ dari Metro Kajang) dan terpaksa membina bangunan sendiri yang membebankan rakyat dengan kenaikan cukai. Selain dari tanah-tanah komersil di tengah-tengah Bandar Kajang dan tapak-tapak kuaters kerajaan di Kajang diserah, termasuk juga diserah ialah tanah kawasan Masjid Kajang kini. Rakyat amat tidak puas hati di atas urusan ini, kerana ada cara lain bagi membangunkan Kajang dan Pusat Pentadbiran Hulu Langat di Bandar Baru Bangi yang lebih menguntungkan kerajaan dan rakyat. Turut berpindah milik ialah Bangunan Datuk Nazir kepada pihak swasta. Namun atas desakan rakyat tapak masjid Kajang dikecualikan kemudiannya dari diambil.

b) Bertindak meluluskan tanah-tanah bagi pembangunan perumahan tanpa mengira kepentingan alam sekitar dan ekologi setempat. Contoh kelulusan tanah melalui MBSA beratus hektar di keliling Taman Seri Cahaya Alam, Shah Alam. Akibat dari pembangunan yang tidak terkawal berlaku kerosakan ekologi dan alam sekitar yang mengancam taman itu sehingga terpisah dan tersendiri sebagai sebuah pulau di tengah bangunan konkrit. Isu ini hangat diperkatakan pada akhir Februari-awal Mac 2005 dan Menteri Besar Selangor Datuk Sri Mohd Khir Toyo menjadi fokus kemarahan. Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi sendiri memberi perhatian serius dan meminta Menteri Besar bertindak menyelesaikan.

c) Bertindak mengambil tanah-tanah rakyat secara rakus dan zalim atas alasan pembangunan. Contoh pengambilan tanah satu keluarga besar di Kampung Simpang Balak Kajang sejumlah 15 ekar yang konon untuk pembinaan jalan SILK Highway. Jalan SILK sudah siap dan tidak melibatkan tanah yang diambil. Apakah ada motif pihak tertentu menggunakan kesempatan mendapat tanah untuk kepentingan komersil pada masa akan datang dan pihak-pihak terlibat mendapat habuan ? Sedang keluarga besar pecah berterabur dan setengah dari mereka masih tidak berumah akibat dari pengambilan tanah tersebut.

d) Kita percaya sebahagian dari ahli Majlis PBT jujur dalam menjalankan tugas yang lebih bersifat sukarela, tetapi ada yang menjadikan Majlis PBT sebagai sumber peluang mendapat projek. Dalam mesyuarat yang kita hadiri pernah YDP menyalurkan projek tertentu kepada ahli PBT tertentu. Contoh projek membina taman Tasik Rekreasi di Bandar Baru Bangi (Tasik Cempaka) yang peruntukannya lebih dari RM10 juta itu disalurkan kepada seorang dari ahli MPKj. Demikianlah kadang-kadang seorang dari ahli Majlis PBT lebih lumayan pendapatan dari Wakil Rakyat Parlimen. Ini bagi yang mencari kesempatan. Sudah tentulah banyak projek dan cara bagi mereka yang mau menjadikannya sebagai satu kesempatan.

e) Perlantikan kadang-kadang bukan berdasarkan kebolehan dan kepakaran, tetapi semata-mata kerana kedudukannya dalam politik UMNO-BN. Contoh oleh kerana individu tertentu orang kuat dan tajaan UMNO dan berhasrat untuk bertanding atas tiket UMNO dalam pilihanraya, tapi tidak berpeluang, maka sebagai gantian, ianya diberi peluang-peluang yang lain sebagai habuan, termasuk dilantik menjadi ahli PBT, lantas PBT digunakan bukan bagi kepentingan rakyat, tetapi bagi membina kedudukan dan kekuatan diri dalam politik, iaitu melalui penyaluran projek (tiap ahli PBT diperuntukkan RM30,000 setahun untuk pembangunan di kawasan yang dijaganya) dan pemilihan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu.

f) Pihak PBT umumnya bukanlah pembela yang baik dan prehatin terhadap rakyat, tetapi lebih berpihak kepada pihak koporat dan mereka yang berada. Contoh berapa banyak kawasan tanah yang dihuni penduduk sejak dari sebelum merdeka. Mereka berterusan memohon milik tanah berkenaan. Contoh di Sungai Sikamat, tapi tidak diluluskan, tetapi bila golongan berada lebih-lebih lagi kroni mau membangunkan tanah secara komersil, penduduk dicop sebagai setinggan dan mereka dihalau. Berapa ramai pula yang berusaha mencari rezeki dengan membuka warung-warung di satu-satu lokasi, akhirnya mereka dicop sebagai peniaga haram dan warung diroboh tanpa ditawarkan galakan dengan mendirikan warung halal ataupun diberi lesen untuk mereka berniaga.

Banyaklah lagi penyelewengan dan peristiwa menyayat hati yang dihadapi oleh rakyat marhen yang sepatutnya mendapat pembelaan.

5. Cara Mengatasi

Kelemahan perjalanan PBT kini agak ketara, ianya memerlukan perombakan dan pendekatan terbaik. Diperturunkan antara pendapat mengenai PBT, ``I refer to the report`Revamp Local Goverments` (NST, Oct. 3), and would like to suggest changes that can be effectively carried out by the local council to make it relevant and effective as proposed by Deputy Minister in the Prime Minister’s Department Datuk M. Kayveas.`` (NST, Oct. 11, 2005: 21). Antara cadangan-cadangan yang boleh difikirkan adalah sebagaimana berikut:

a) Mengembalikan semula kaedah pilihanraya bagi memilih wakil-wakil ke Majlis PBT. Penyertaan pilihanraya janganlah terhad kepada parti-parti politik Negara, tetapi juga kepada persatuan, perkumpulan tempatan dan juga orang perseorangan. Dengan ini rasa tanggungjawab mereka yang menang lebih tinggi, kerana jika prestasi mereka tidak baik, mereka tidak akan dipilih bagi penggal lain. Seelok-eloknya tiga tahun untuk sepenggal. Elaun yang bersesuaian hendaklah ditawarkan kepada yang memenangi pilihanraya Kerajaan Tempatan.

b) Jika difikirkan dengan pilihanraya terlalu politicking dan memerlukan perbelanjaan yang besar, perwakilan hendaklah mewakili undi parti politik secara peratusan dari pilihanraya Parlimen dan DUN. Mereka adalah 50% dari ahli Majlis PBT, manakala 50% lagi secara perlantikan dari kalangan professional. Pemilihan melalui survey bebas dari tokoh-tokoh masyarakat. Mereka diletakkan di bawah tempoh percubaan bagi melihat komitmen dan prestasi mereka untuk dikekal atau ditarik balik perlantikan.

c) Alternatif lain, tugas membincangkan PBT-PBT dilakukan di DUN setiap negeri oleh wakil-wakil rakyat bukan dari kalangan EXCO, tetapi diketuai EXCO Kerajaan Tempatan. Selama ini sidang DUN hanya sebanyak tiga kali setahun yang setiap sidang memakan masa hanya antara satu hingga 4 hari, terlalu sedikit. Fungsi dan tanggungjawab mereka kepada negeri dan PBT hendaklah dipertingkatkan dan persidangan mengenainya lebih kerap (sebulan sekali). Segala rumusan projek dan peruntukan dibahas dalam DUN dan diperturunkan ke PBT yang ahli-ahlinya dipilih secara saksama untuk dilaksanakan oleh majlis-majlis PBT. Segala laporan perjalanan PBT hendaklah dilapor ke DUN secara detail. Selama ini laporan yang dibuat tidak lengkap, bersifat melepaskan batuk ditangga dan selalu terlewat. Ketidaksempurnaan laporan pula tidak pernah dipersoal dan tidak diminta menyempurnakan kembali.

Ketelusan hendaklah menjadi budaya perjalanan PBT. Laporan tahunan perjalanan hendaklah dikeluarkan untuk diteliti rakyat. Survey dari pendapat kalangan professional dan rakyat hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa sebagai menilai perjalanan sesuatu Majlis PBT dan PBT hendaklah bersifat terbuka menerima kritikan dan cadangan-cadangan. Sekian. Terima kasih.

Bandar Baru Bangi,

16 Ramadhan 1426

20 Oktober 2005.

No comments:

Post a Comment