Mulai akhir Mac 2006, apabila Rancangan Malaysia ke-9 dilancarkan, maka Kabinet Dato' Seri Abdullah Badawi yang dibentuk pada 27 Mac 2004 berusia dua tahun. Pembentukan ini dibuat selepas keputusan pilihan raya ke sebelas 21 Mac 2004 lalu.
Sebelum pilihan raya ke-11 itu, Dato' Seri Abdullah Badawi telah diberi amanah mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak akhir Oktober 2003, setelah Tun Dr Mahathir mengundurkan diri.
Dengan ini pemerintah kerajaan sekarang berada pada bahagian akhir separuh pertama penggal pemerintahan. Adalah wajar dalam tempoh tersebut, sebelum Rancangan Malaysia ke-9 bermula dilihat tentang pencapaian rancangan pemerintah sebagaimana digariskan. Sesungguhnya sejak dari awal kenaikan Abdullah menjadi Perdana Menteri Malaysia dan selaku pemimpin baru Malaysia banyak harapan yang digantungkan oleh rakyat pada pemerintah dan dalam masa yang sama banyak pula kekecewaan yang berlaku.
Strategi menaikkan Abdullah sebelum pilihanraya kesebelas dalam suasana rakyat amat tidak menyenangi pemimpin yang beliau mengambil alih darinya. adalah tepat dan sekaligus meredakan keadaan dan mewujudkan harapan baru terhadap pimpinan yang dikenali pada masa itu sebagai `Mr. Clean`. Imej bersih kepimpinan ini pada masa itu berkesan, walaupun tidak dapat dinafikan, wujudnya penyelewengan dan keabnormalan dalam pilihanraya ke 11.
Umno-BN dapat menawan kembali negeri Terengganu dan meningkatkan prestasi Umno-BN di parlimen (199/219) dan di dewan-dewan undangan negeri (452/505). Ini adalah kejayaan besar bagi pimpinan Abdullah yang membayangkan harapan tinggi rakyat terhadap beliau. Majalah Massa edisi khas pasca pilihan raya 2004 meyifatkan kejayaan sebagai pencapaian keajaiban politik Abdullah !
Mulai dari situ kehebatan politik Abdullah digilat dan digemerlapkan oleh media dengan ungkapan-ungkapan seperti ``Kerja bersama saya, bukan untuk saya`` dan ``Bantu saya untuk membantu anda`` juga ``Cemerlang, Gemilang dan Terbilang`` yang dengan ungkapan-ungkapan ini beliau mula meletakkan asas rhetorika politiknya. Kejayaan pilihanrayanya menjambatani kejayaan pemilihannya sebagai Presiden Umno dalam Mesyuarat Agung Umno pada 23 September 2004.
Elemen permasalahan
Walaupun Abdullah menambahkan koleksi kejayaannya dengan mengambilalih pimpinan Umno, sebenarnya bermula di sini beliau mulai menghadapi benih-benih masalah. Abdullah selama ini walaupun sudah mengambilalih kepimpinan Umno yang dengan sendiri juga mengambilalih kepimpinan BN, beliau tidak berani mengadakan perubahan secara total, bahkan dalam periodi transisi boleh dikatakan beliau meneruskan apa yang dituntut dan yang diwarisi dari Dr. Mahathir dari pengekalan anggota kabinet yang tidak ketara perubahannya kecuali secara kosmetik, bahkan pemilihan timbalan Perdana Menteri dikatakan ada tekanan kemahuan dari Perdana Menteri sebelumnya.
Melihat kepada visi dan misi Abdullah, beliau menekankan kepada pembangunan sektor pertanian dan pelajaran. Pendekatan ini disifatkan oleh Far Eastern Economic Review sebagai ``Think small`` (Nov. 6, 2003: Cover page) berbanding dengan Dr. Mahathir, kata FEER, ``Mahathir Mohamad ruled Malaysia with a `think big credo. Prime Minister Abdullah Badawi will distinguish himself by getting back to basics`` (Ibid., hlm. 14), iaitu pendekatan yang dianggap asas dan mudah. Dalam pada itu Abdullah menghadapi tuntutan menghapuskan rasuah, iaitu tuntutan yang berlanjutan dari zaman Mahathir. Rais Yatim yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu dan bertanggungjawab mengenai perundangan dikatakan menyebut sejumlah 18 orang yang terlibat dengan rasuah dari pihak atasan.
Fakta ini diguna dan didesak terutama oleh pihak pembangkang agar diambil tindakan. Abdullah juga meneruskan polisi Mahathir yang menekankan penggunaan bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran matematik dan sains. Manakala Abdullah sendiri mengutarakan apa yang dianggap kontroversi, sejak Januari 2004, iaitu berkenaan `Islam Hadhari`. Dari segi ekonomi beliau mewarisi kepayahan kewangan yang membantutkan pembangunan dan dalam masa yang sama berlaku kenaikan harga minyak secara berterusan yang sejak dari tahun 2000 hingga kini sudah berlaku kenaikan minyak sebanyak 11 kali. Ini semua amat memeritkan rakyat.
Gugatan
Tindakan Abdullah mengutarakan gagasan `Islam Hadhari` yang mungkin untuk melemahkan PAS adalah sesuatu yang tidak perlu. Ianya adalah pembaziran masa, menghabiskan peruntukan dan mengundang perpecahan. Olahan positif di dalam `Islam Hadhari` sebenarnya sedia wujud dalam Islam dan tak perlu diubahsuai Islam. Adalah terbuka bagi sesiapa yang mau membina Islam secara ikhlas. Islam Hadhari adalah kemahuan politik Umno yang dipaksakan kepada pegawai-pegawai kerajaan dan sektor pendidikan dan ditolak oleh orang awam lebih-lebih lagi pembangkang beragama Islam.
Kempen ke luar negara tidak mendapat sambutan dan kita berharap ianya tidak menjadi satu mazhab yang meminggirkan Malaysia dari aliran Sunni. Kempen ini tidak membantu menggemilangkan Umno, sebaliknya memudarkan Umno dan pimpinan. Umumnya pendukung-pendukung ialah mereka yang mencari kesempatan selagi peluang masih kedapatan dan mereka yang takut hilang kedudukan. Islam Hadhari dikatakan adalah manifestasi `Islam Liberal` yang amat disenangi barat dan sekular.
Positif dan negatif
Sesuatu yang positif sememangnya pada permulaan kenaikan Abdullah beliau mengambil tindakan membasmikan rasuah, misalnya dengan terseretnya Eric Chia ke mahkamah berhubung dengan kes Perwaja di Terengganu (penerusan dari zaman Dr. Mahathir), terhukumnya Pengarah PPRT berhubung dengan penyelewengan kewangan, terseretnya bekas Menteri Tanah dan Wilayah Kasitah Gaddam ke mahkamah dan berbagai-bagai kes lagi termasuklah berhubung dengan pegawai PDRM dan prestasi PDRM itu sendiri. Ekoran dari itu dan bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan imej PDRM tertubuhnya Suruhanjaya Diraja Bagi Memperbaiki Operasi dan Pentadbiran PDRM yang diumumkan pada pertengahan Mei 2005.
Dengan tindakan-tindakan ini ketelusan kelihatan berlaku di dalam usaha membasmikan rasuah bagi kesalahan-kesalahan awam, walaupun dianggap tidak sepenuhnya. Namun negatifnya berhubung dengan kesalahan-kesalahan yang melibatkan politik berlaku double standard dan bersifat terpilih. Pada masa Abdullah imej Umno rosak teruk dengan terpaparnya skendal rasuah politik yang sebenarnya telah lama membudayakan Umno, tetapi di dalam mesyuarat agung pertama kali di bawah Abdullah (September 2004) , isu ini pecah dan bukan rahsia lagi politik wang berlaku di dalam Umno, khususnya di dalam pemilihan Umno 2004.
Mungkin untuk menunjukkan ketelusan Isa Samad pemenang Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi (1507 undi) telah disabitkan kesalahan oleh Lembaga Disiplin Parti (Umno) dan dipecat dari parti serta digugurkan dari jawatan Menteri Wilayah.
Oleh kerana isu rasuah sesuatu yang umum di dalam Umno, orang melihat hukuman bersifat terpilih, Isa Samad menjadi `Kambing Hitam` dan yang lain terlepas. Orang mempersoalkan kalau rasuah wang berlaku, mengapa ianya dan lain-lain dilindungi di sebalik tabir parti. Mengapa tidak dilibatkan penyiasatan oleh polis ? Hingga kini adalah menjadi pertanyaan apakah Negara kita diperintah oleh mereka yang benar-benar terpilih dan menang secara jujur ?.
Keadaan double standard dan tidak telus dari segi politik ini bukan saja berhubung dengan parti pemerintah, tetapi juga berhubung dengan perjalanan politik yang melibatkan pembangkang. Pihak pemerintah tidak bersifat telus. Banyak adu-aduan yang berhubnug dengan penyelewengan dalam pilihanraya umum 2004 dan pilihanraya kecil, pihak pemerintah tidak bersifat telus dan Abdullah selaku Perdana Menteri mengamalkan budaya sepi berhubung dengan perkara ini.
Sektor pertanian
Abdullah meletakkan pertanian dan industri asas tani sebagai prioriti pembangunan. Ramai menganggap pemilihan sektor pertanian tidak tepat dan tidak menguntungkan dari segi politik Abdullah. Walaupun ada kemurnian tujuan, tapi pelaksanaan dan pencapaian kemajuan bermasalah dan lembab. Sektor ini tidak dapat menarik perhatian tenaga muda, infrastruktur tidak dapat disediakan dengan baik dan pulangannya tidak setara dengan pulangan di dalam sektor-sektor yang lain.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu jujur dan berdedikasi harus dipuji diatas komitmen beliau di dalam memajukan sector ini yang melibatkan bio-teknologi, insentif-insentif dan subsidi-subsidi, tetapi masih jauh mendekati kemajuan pertanian sebagaimana di Negara maju. Masih belum ada impak pada masyarakat tentang keunggulan dan kemajuan yang dicapai. Bahkan jauh dan tidak sehebat kemajuan FELDA yang diasaskan oleh Tun Razak Perdana Menteri Malaysia kedua. Penggunaan bio-teknologi dan ICT sebagai pendekatan terbaru belum tentu dapat melonjakkan kemajuan sektor pertanian dan industri asas tani..
Sektor pendidikan
Berbanding dengan pertanian, prioriti yang diberi terhadap pelajaran adalah pilihan yang tepat dan terpuji, khususnya dengan mewujudkan kementerian pengajian tinggi yang telah lama dicadang dan ditunggu-tunggu. Namun begitu ada masalah-masalah warisan di dalam kementerian pelajaran baik pada peringkat persekolahan dan pengajian tinggi yang juga tidak ada azam bertindak.
Abdullah sebenarnya mempunyai peluang mengambil tindakan popular dengan mengubahsuai pendekatan Mahathir dengan mengukuhan bahasa Inggeris pada setiap peringkat pengajian, iaitu dengan penambahan masa pengajian bahasa Inggeris dengan mewujudkan `Applied English` bagi sains, matematik, ekonomi dan komunikasi yang diwajibkan kepada semua pelajar mengambilnya. Manakala pengajian asal matematik dan sains kekal dalam bahasa kebangsaan.
Dengan ini maruah dan kemampuan bahasa Melayu yang telah teruji kemampuannya sejak 35 tahun dapat dipertahan dan diperkembangkan. Dalam keadaan sekarang kerajaan berdepan dengan tentangan dari masyarakat Cina yang diwakili antaranya oleh Dong Jiao Zong, Parti Gerakan dari pihak kerajaan, sebahagian dari kaum India dan lebih-lebih lagi orang Melayu. Agak bercelaru bila sekolah Cina sanggup mengajarkan matematik dan sains dalam bahasa Inggeris yang dipaksakan dan dalam bahasa Cina sebagai mempertahankan bahasa dan budaya mereka.
Pada peringkat pengajian tinggi setelah menteri Dr. Shafie Mohd Salleh dilantik berlaku semacam `Ketiadaan Dasar dan Arah Sepadu` yang hendak dituju. Menteri berkenaan menyentuh aspek-aspek pengajian tinggi di sana sini hingga ianya ditegur oleh Pemuda Umno sendiri (BH, 13 Mei 2005: 17). Janji mau mewujudkan Buku Dasar Pengajian Tinggi hingga kini belum muncul. Yang menghairankan mengapakah pihak berkuasa tidak memantau dan membetulkan keadaan hingga menimbulkan beberapa masalah seperti krisis dengan Naib-naib Canselor (UPM & UTM).
Sebenarnya pembaikan dan perubahan sepatutnya berlaku sebaik keputusan Pemilihan Kepimpinan Umno selepas mesyuarat agung (September 2004) dan rombakan kabinet sepatutnya berlaku, tetapi keadaan terapung berlaku walaupun Kementerian Wilayah kosong (dipangku) selepas pemecatan Isa Samad. Pemberita akhbar yang sering menjolok pertanyaan tentang perombakan kabinet selalu menerima jawapan klisye,`belum ada ilham`.
Kemelut
Hingga ke peringkat akhir separuh pertama penggal pemerintahan kerajaan di bawah kepimpinan baru nampaknya makin hilang wibawa. Slogan ` Cemerlang, Gemilang dan Terbilang` makin hilang sinar dan makin kurang kedengaran, Kekocohan timbul berhubung dengan penyelewengan AP di bawah Kementerian Perdagangan Antara Bangsa.
Wibawa Menteri Kerja Raya dipersoalkan berhubung dengan kerosakan jejambat di Kepng. Syarikat Automatif Negara – Proton yang selama ini dibanggakan terumbang ambing dan diugut untuk ditutup. Syarikat Penerbangan Negara yang amat dibanggakan, iaitu MAS mengalami kerugian berulang tahun melebihi satu bilion ringgit setahun dan terpaksa dilantik Pengarah Urusan yang baru bagi membaikpulih MAS, Bank Islam kehilangan wang sebanyak RM700 million dan kemelut-kemelut yang lain.
Sektor pendidikan yang diberi prioriti oleh Perdana Menteri, khususnya pengajian tinggi merosot dengan mendadak. Universiti Malaya sebagai universiti tertua di Negara ini yang sebelumnya berada pada ranking 89 terbaik di dunia turun kepada kedudukan ke169 tahun 2005. Universiti-universiti lain turut menurun dari segi kualiti, kecuali dilihat di dalam bidang-bidang khusus misalnya UM baik di dalam bidang sastera dan UKM di dalam bidang Sains (dalam lingkungan 100). Apakah kemelut-kemelut di atas menunjukkan ada kelemahan dari segi kawalan dan kepimpinan ?
Satu peritiwa yang belum pernah berlaku dan mencerminkan tanggapan pihak berkenaan terhadap Perdana Menteri ialah perkara yang berkait dengan isu Moorthy @ Muhammad Abdullah. Dalam isu ini 10 Menteri bukan beragama Islam menghantar memorandum terhadap Perdana Menteri membantah tentang isu Moorthy yang diurus jenazahnya secara Islam dan membelakangkan kemahuan keluarganya.
Sikap mereka ini bukan saja luar biasa, tidak menghormati Perdana Menteri, tetapi boleh menjadi precedent berhubung dengan sesuatu isu yang boleh bukan saja menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi juga kerajaan, apalagi lagi dikombinasikan dengan isu-isu yang lain. Isu ini sepatutnya diambil tindakan sebagai pengajaran, tetapi dimatikan sekadar memohon maaf dari mereka. Apakah ada kebimbangan lain sekiranya mereka diambil tindakan ?
Fungsi media
Satu yang menjadi pertanyaan, ialah berhubung dengan media yang selalunya lebih senang memuji, tetapi menyepi, jika sesuatu yang tidak disenangi, bukannya bertanggungjawab dan secara jujur memperbaiki keadaan. Sempena dengan ulangtahun kedua pemerintahan Perdana Menteri 31 Oktober 2005 tidak ada sanjungan sempena ulangtahun ini. Tidak ada supplement yang dibawa oleh akhbar-akhbar sebagai sisipan menyanjungi ulang tahun pemerintahan Perdana Menteri. Apakah ertinya ini ? Keadaan amat berlainan dengan sempena ke 100 hari pemerintahan Perdana Menteri, lebih-lebih lagi sempena genap setahun pemerintahannya. Bagi genap setahun pemerintahan, akhbar-akhbar membawa sanjungan.
``Kami percaya dengan visimu, kami percaya dengan kepimpinanmu`` (MM 31 Oktober 2004), ``Mengungguli Kecemerlangan`` (BM 31 Oktober 2004) dan sebagainya. Apakah tahun kedua berlaku kepudaran ?
Sememangnya pada tahun kedua ini slogan dan rhetorika yang dulu bersifat berterusan makin sepi. Islam Hadhari kurang diulang, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang hilang daya tarikan. Cuma rhetorika tahunan terutama bagi memukau dan menarik sokongan Melayu terus diulang-ulang, iaitu `Agenda Melayu` yang merupakan isu tahunan di dalam mesyuarat Agung Umno.
Namun begitu baru-baru ini di luar musim isu ini dibangkitkan agar di dalam kemelut yang dialami sekarang Melayu tidak kehilangan pedoman dan tidak melupai jasa Umno yang diasaskan oleh Dato` Onn Jaafar itu. Acara ini dilakukan di Batu Pahat Februari baru-baru ini.
Rombakan kabinet
Kelesuan yang dialami dan kemelut-kemelut yang mendatangi dalam pemerintahan perlu diatasi untuk meletakkan dinamika pemerintahan kembali di atas landasan dan keyakinan rakyat berterusan. Peluang yang paling baik ialah melalui rombakan kabinet yang telah lama ditunggu-tunggu itu dengan merehatkan menteri-menteri yang menimbulkan masalah, termasuklah timbalan-timbalan dan setiausaha parlimen, iaitu dengan mengisikan tenaga-tenaga baru berkepakaran dan golongan muda berpotensi. Dengan tindakan ini mewujudkan kesegaran dan dinamika baru.
Tetapi kesempatan ini tidak diambil oleh Perdana Mentari yang dijangka begitu teliti dari segi pemilihan, oleh karana mengambil masa begitu lama, tetapi sebaliknya apa yang dikatakan rombakan kabinet yang dilakukan pada 14 Februari 2006 disifatkan oleh setengah pihak sebagai `Kabinet Kitar Semula` yang kebanyakannya orang lama yang tidak berubah portfolio, seorang dua berundur atau gugur, bahkan dua yang direhatkan dari kabinet yang prestasi mereka sebelum ini dipersoalkan dibawa kembali. Banyak pihak menyatakan kekecewaan dengan kabinet baru, tetapi lama itu.
Oleh kerana kabinet memakai kasut dan baju lama yang merupakan warisan, selepas rombakan ini tidak ada blue print tindakan strategic yang baru dan segar dikemukakan baik dari peringkat Perdana Menteri dan menteri-menteri yang dapat kita lihat dari segi pembaharuan dan kesegaran yang dapat memikat minda dan sokongan rakyat. Sebaliknya yang kita dengari ialah soal AP masih berterusan, Rafidah Aziz mendakwa masih di bawah kuasanya, yang lain mau diletak di bawah pemantauan, masalah jambatan rosak berterusan, kedegilan peminjam wang Mara dari melunaskan hutang berterusan dan perkara-perkara lain lagi. Sebab itu irama dan lagu lama akan terus didendang dan diperdengarkan.
Keperitan
Belum sempat rakyat mendengar dan melihat menu yang segar dan menyelerakan yang disajikan kepada rakyat, tiba-tiba keperitan luar dugaan dikenakan sebelum Rancangan Malaysia kesembilan dilancarkan, iaitu kenaikan petrol dan bahan api dinaik sebanyak 30 sen seliter. Kenaikan tertinggi pernah dikenakan.
Pengumuman ini bukan berikut dari pengumuman lonjakan terakhir minyak dunia, kerana berita terakhir menunjukkan berlaku surplus minyak dunia dan Negara-negara Opec mau membincangkan kemungkinan menurunkan harga minyak dunia. Pengumuman kenaikan harga bahan api di Malaysia adalah berasaskan spekulasi semata-mata dalam jangka setahun.
Akibatnya keluhan rakyat jelata berlaku secara menyeluruh. Tindakan ini dianggap tidak bijaksana dalam masa Negara-negara jiran (Thailand dan Filipina) menghadapi ancaman dan tentangan rakyat yang boleh meruntuhkan kerajaan.
Adalah dibimbangi pengaruh sedemikian berlaku dicetuskan oleh kenaikan harga bahan api berkenaan. Akibat tindakan ini dan reaksi rakyat yang tidak menyenangkan kerajaan sedang bertungkus lumus menggembeling 4.4 juta tenaga manusia untuk menjastifikasi tindakan kerajaan menaikkan harga berkenaan, kononnya betapa ihsannya kerajaan yang terus memberi subsidi dan berjajnji hasil dari kenaikan harga minyak, iaitu RM4.4 bilion akan digunakan untuk pembangunan rakyat.
Di dalam hal ini kurang dibicarakan tentang keperitan rakyat menanggung kenaikan harga bahan api yang diikuti dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, termasuk kenaikan tarif letrik yang akan dinaikkan pada Mac 2006 nanti.
Sepatutnya rasa syukur kepada Allah dilahirkan kerana mengurniakan kekayaan minyak diperut bumi Negara. Antara manifestasi kesyukuran mencari jalan sebaik mungkin mengurangkan bebenan rakyat dengan merendahkan harga minyak.
Penutup
Setelah separuh penggal pertama pemerintahan slogan cemerlang, gemilang dan terbilang makin sepi dan hilang daya tarikan. Rhetorika baru dicari mulai tahun kedua, iaitu `Modal Insan`. Ini sekarang digembargemburkan. biarpun hingga kini tidak ada satu projek besar dan maju yang identik dengan pemerintahan kini. Sikap tidak berani membuat perubahan, tidak bersegera bertindak serta bertangguh dan tidak percaya kepada tenaga muda menjadikan lembabnya iklim politik dan kemajuan Negara.
Rakyat menjadi amat terseksa dengan kenaikan minyak dan harga barangan. Sesungguhnya penderitaan rakyat tidak mampu dihibur dengan slogan yang molok-molok. Bagi kerajaan dan kabinet mungkin mereka tidak merasa tergugat. Mereka ada senjata baru selepas pelancaran Rancangan Malaysia ke 9. Darinya banyak janji pembangunan dan politik akan didendangkan dan slogan-slogan baru akan dilontarkan. Semua ini pada jangkaan mereka akan menenggelamkan kemelut yang sedang dialami. Namun dengan kenderaan lama yang bergerak di atas landasan lama, dijangka tidak banyak kemajuan mampu ditawarkan oleh pengendalinya.
Sekian. Wallahu a`lam.
Bandar Baru Bangi,
7 Safar 1427.
No comments:
Post a Comment