December 31, 2007

Ke arah pilihan raya telus, adil

Perbincangan mengenai tajuk di atas secara formal dianjurkan oleh Web TV 8 bagi mengisi ruang penerbitannya. Menurut penganjur ia bersifat Forum Perdana.

Ahli panel forum ini sepatutnya terdiri daripada Dato' A Kadir Jasin, Ketua Editor Berita Publishing yang juga bekas Ketua Editor Kumpulan NST; Prof Dr Abd Aziz Bari, Public Law Department, Kuliyah Undang-Undang UIAM; Jeff Ooi, Pengendali Laman Web Screenshots di www.jeffooi.com dan Anuar Mohd Nor, Editor Umno-reform.com. Malangnya dua daripada panel - Kadir dan Jeff Ooi tidak hadir.

Tetapi majlis yang berlangsung pada Ahad 18 Mac 2007 bertempat di Kompleks 3K, Subang Jaya mulai jam 2.30 - 5.00 petang dihadiri lebih kurang 60 jemputan khas itu berlangsung dengan jaya berikutan dengan perubahan format yang penulis sifatnya sebagai diskusi.

Kejayaan diskusi pada pertemuan ini dengan hadirnya tokoh-tokoh jemputan terkenal yang secara spontan mereka dijemput berbicara mengenai topik di atas. Antara hadirin termasuklah Pak Said Zahari, Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu yang pernah ditahan selama 17 tahun oleh Kerajaan Lee Kuan Yew di Singapura yang juga Bekas Karyawan Tamu UKM; Syed Shahir Syed Mohamud Presiden MTUC; Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Kepong; Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat; Senator Mumtaz Ubaidah dari Kelantan; Abu Zarr Mohd Yasin bekas Setiausaha Umno Bandar Tun Razak; Anual Bakri Haron Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan; penulis Dinsman dan lain-lain. Diskusi dipimpin oleh Roslan Shahir Mohd Shahir yang juga selaku Ketua Penerbit WTV8.

Diskusi yang dilangsungkan ini bolehlah disifatkan salah satu pendekatan yang dapat memberi kesedaran dan kefahaman kepada rakyat tentang perjalanan pilihan raya di Malaysia. Pandangan dari tokoh-tokoh berwibawa di dalam berbagai-bagai bidang lebih diyakini rakyat dari sebuah penulisan biasa.

Forum yang sedemikian juga memberi kesan kepada pihak pemerintah, khususnya BN yang bermati-matian mempertahankan perjalanan pilihanraya yang sudah berusia lebih setengah abad dan dianggap ketinggalan zaman. Dari kedua-dua sasaran ini, kefahaman terhadap rakyat amatlah penting, kerana walau bagaimana kerajaan ingin terus mempertahankan kaedah dan perjalanan pilihan raya seperti selama ini, kerana banyak faedah yang dapat dimanfaatkan oleh BN, tetapi jika kesedaran menyeluruh dapat sampai kepada rakyat betapa perlunya perubahan dan pembaikan pilihanraya secara telus dan adil yang merupakan hak rakyat, maka rakyat akan dapat merubah pemerintahan yang membuka jalan ke arah perubahan kaedah dan perjalanan pilihan raya di negara ini.

Titik tolak diskusi

Anuar Mohd Nor dijemput pengerusi sebagai pemula bicara. Dari awal beliau melontarkan pandangannya yang bersifat provokatif bahawa telus dan adil di dalam pilihan raya menurutnya bersifat subjektif dan relatif. Sukar menentukan ukuran sebenar. Bagi pihak tertentu, khususnya pembangkang berpendapat pilihan raya sebagaimana telah dijalankan tidak telus dan adil berdasarkan salahlaku yang mereka buktikan.

Manakala bagi pihak penguasa atau kerajaan BN, mereka berpendapat pilihan raya yang berlangsung selama ini adalah telus dan adil. Jika berlaku sebarang kesalahan dan penyelewengan undang-undang memperuntukkan boleh dicabar di mahkamah. Sememangnya banyak kes-kes 'kesalahan' pilihan raya dibawa ke mahkamah. Ada pihak pencabar menang disamping ada yang kalah. Lontaran pendapat Anuar segera disambut Abd Aziz Bari.

Beliau tidak bersetuju dengan Anuar yang melihat soal telus dan keadilan sebagai sesuatu yang subjektif dan ilusif, sebaliknya `telus` dan `adil` dua istilah yang penting dari segi perundangan, bahkan pembuktian secara telus dengan bukti dan fakta membawa kepada tertegaknya keadilan. Telus dan adil dua istilah yang mempunyai maknanya yang konkrit yang membezakannya dari makna sebaliknya, iaitu tidak telus, tidak terbuka, tertutup dan perjalanan yang boleh menimbulkan keraguan.

Manakala adil ialah lawan bagi zalim, iaitu melaksana atau menghukum sesuatu secara tidak betul, tidak memberi hak kepada yang berhak dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Dari segi akta pilihan raya sebagai contoh, menurut Profesor Abd Aziz, adakah amalan yang tidak telus dan adakah pihak parti pemerintah lebih mendapat faedah dari pihak pembangkang? Jika ada menandakan ada ketidaktelusan dan ketidakadilan.

Pada dasarnya menurut Profesor Abd Aziz, Suruhanjaya Pilihan Raya seharusnya bebas dan tidak sepatutnya diambil kesempatan oleh pihak politik tertentu yang berkuasa. Suruhanjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam hal ini Baginda berhak membuat keputusannya sendiri tanpa mendengar nasihat Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong kemuncak bagi `check and balance` dalam pemerintahan. Secara menyindir Profesor Abd Aziz berkata, kita berdepan krisis dari golongan Mat Rempit, tapi Bapak Mat Rempit yang berkuasa dan mengeksploitasi pilihan raya sepatutnya lebih merisaukan kita. Tidakkah sewajarnya bila berlaku perkara yang sebegini kalangan rakyat yang prehatin mengangkatkan perkara ini kepada Agong?

Tuntutan `Bersih`

Selepas dua panel menyampaikan pandangan masing-masing, Syed Shahir dijemput menyampaikan pandangannya. Beliau melahirkan rasa tidak puas hati beliau terhadap perjalanan pilihan raya. Beliau merujuk kepada Badan Bertindak `Bersih` yang beliau sama terlibat memperjuangkan pilihan raya secara bersih yang menuntut agar SPR membersih senarai pilihan raya dari `illegitimate` pengundi, menghapuskan `undi pos` kerana negara kita bukan di dalam keadaan perang dan menandakan jari dengan dakwat bagi yang telah mengundi.

Menurutnya biarpun cara ini dianggap kolot, asalkan bersih. Beliau juga membangkitkan tuntutan, selepas pembubaran parlimen dan sebelum pilihan raya berlangsung tentang`Care Taker Government` hendaklah benar-benar dijalankan. Dalam keadaan sekarang, walaupun sesudah dibubarkan parlimen, seolah-olah tidak wujud `Care Taker Government` dan kerajaan sebelumnya terus menjalankan pemerintahan, bukan atas dasar `Care Taker Government`, tapi merupakan penerusan dari kerajaan yang memerintah, bahkan meluluskan projek-projek yang baharu bagi kepentingan pilihanraya. Ini melanggar amanah dalam tempoh `Care Taker Government` yang diamanahkan.

Menurut Syed Shahir peruntukan bagi sesuatu kawasan parlimen RM100,000 dan DUN RM30,000 adalah tidak dipatuhi. Bagi kawasan parlimen yang perlu menghadkan perbelanjaan kepada RM100,000, maka perbelanjaan oleh parti yang berkuasa dan berkewangan melebihi RM100,000,000 dan perbelanjaan bagi DUN RM30,000, maka perbelanjaan sebenar berjumlah RM30,000,000. Bagi Batu Talam selain dari perbelanjaan melebihi had, turut ditumbangkan 81 ekor lembu. Ini tidak termasuk `lembu kotak`! Pilihan raya bagi parti yang memerintah adalah tempat pesta melambakkan peruntukan dan kewangan. Perkara seperti ini tidak disiasat dan diambil tindakan.

Ragu pada perjalanan pilihan raya

Manakala Pak Said Zahari menyatakan keraguan dan ketidakyakinannya terhadap `kebersihan`perjalanan pilihan raya. Sepatutnya rakyat mendapat kebebasan dan benar-benar menjadi `hakim` di dalam pilihan raya. Apa yang berlaku sebagaimana yang dialami, mereka yang dianggap menggugat kerajaan ditahan di bawah ISA. Mereka yang seumpama ini, walaupun sudah `bebas` diekori. Beliau sendiri mengalaminya, lap topnya yang banyak mengandungi maklumat diselongkar dan dicuri semasa menghadiri bengkel di PD. Rakyat, terutama pegawai-pegawai kerajaan ditakut-takutkan daripada menyokong pihak pembangkang.

Untuk pusingan kali kedua Anuar Mohd Nor bersetuju perjalanan pilihan raya di batu Talam, walaupun diboikot tetap tidak adil. Pihak yang datang ke Batu Talam dari parti kerajaan adalah berkuasa yang tidak mau melepaskan kuasa dan datang dengan habuan-habuan, memperlihatkan pertandingan yang jauh tidak seimbang dan tidak bebas. (Sebagai tambahan pilihan raya kecil Macap yang berlangsung pada 12 April yang sedang rancak dengan kempen-kempen tidak terlepas daripada umpan dan habuan-habuan sebagai contoh pada masa ini berbagai projek dan habuan segera sedang dicurahkan di Machap seperti menurap kembali jalan daripada Kampung Bulat ke Macap Baru.

Projek dan habuan di sini tentulah jauh lebih banyak dan lebih mahal daripada di Batu Talam. Dijangka umpan dan habuan seperti ini juga akan dilakukan di Ijok, Selangor yang wakil rakyat di DUN tersebut meninggal pada 4 April 2007 itu dan apabila pengumuman pilihan raya kecil dadakan).

Suburkan demokrasi

Bagi pusingan kedua ini Prof Abd Aziz, mau rakyat dan pihak-pihak tertentu, khususnya NGO bersifat positif menyedarkan semua pihak ke arah perubahan. Sebagai contoh penyelewengan `Care Taker Government` di Bangladesh disanggah rakyat dan pilihan raya terpaksa ditangguhkan sehingga dilakukan perubahan pada sistem pilihan raya di negara tersebut.

Beliau mahukan amalan demokrasi berkembang subur dan menggalakkan rakyat memahami dan menggunakan saluran perundangan bagi sesuatu perkara yang dianggap tidak wajar dan tidak adil. Beliau memberi contoh bagaimana pelajar membawa kes AUKU ke mahkamah yang dianggap bercanggah dengan peruntukan perlembagaan negara dan bagaimana seorang pelajar yang lain tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya kampus membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Perundangan sewajarnya memberi keputusan dan penjelasan mengenai kes-kes berkenaan. Namun Profesor Abd. Aziz juga menyatakan pendapatnya bahawa mahkamah juga kadang kala kelam kabut, bahkan bercelaru dari segi pengendalian kes-kes pilihan raya. Di dalam hubungan dengan pengendalian pilihan raya, Malaysia sepatutnya malu dan mencontohi perjalanan pilihan raya yang lancar dan teratur sebagaimana berlaku di India, Taiwan dan Thailand, bahkan kita patut malu dengan Indonesia yang dapat menjalankan pilihanraya secara teratur dan baik, biarpun Indonesia 20 tahun terkebelakang dari Malaysia dari segi mengamalkan demokrasi.

Peranan media

Untuk pusingan ketiga pengerusi mengalihkan fokus pembicaraan kepada peranan media yang menurutnya dimonopoli oleh pihak kerajaan dan amat tidak adil terhadap pembangkang. Pihak parti yang memerintah mengawal sepenuhnya media letronik seperti TV dan radio bagi semua saluran dan menguasai semua media cetak perdana.

Pembangkang tidak dibenar mengeluarkan penerbitan kecuali kepada ahli secara terhad dan untuk tempoh dua minggu sekali. Malaysia sebenarnya jauh ketinggalan dari segi mengamalkan kebebasan media. Rakyat disogokkan dengan pandangan sepihak dan berpihak. Bagi pembangkang saluran terbuka pada masa ini ialah menggunakan website dan blog.

Namun bagi Profesor Abd. Aziz beliau kurang percaya dengan apa yang diisi di dalam internet, website dan blog dan menganggap menghabiskan masa mengikutinya, walaupun beliau tidak menafikan turut mengikutinya. Namun bagi Anuar kita patut memberi kebebasan bagi mereka yang mau menyampaikan idea dan pandangan.

Masyarakat bebas membuat penilaian dan keputusan. Internet satu-satu saluran segera yang dapat digunakan secara bebas. Sebab itu pembangkang hendaklah menggunakannya sebaik mungkin. Berhubung dengan media ini Mahfuz Omar setuju bahawa pihak pembangkang perlu menggunakan apa saja media yang boleh menyampaikan maklumat kepada rakyat termasuk menggunakan internet, web site dan blog. Kita tidak boleh mengharapkan kepada media perdana yang dikuasi kerajaan.

Melalui media rakyat dididik memahami proses pilihan raya, cara menggunakan kekuasaan yang ada pada mereka dan cara dan proses pemindahan kuasa. Menurut Mahfuz media lebih banyak mengulas isu tapi kurang mendidik minda dan budi masyarakat. Izam Hashim mempertahankan bloggers, menurutnya inilah satu-satunya cara yang ada bagi masyarakat mengeluarkan pendapat secara bebas yang menurut pendapatnya pada dasarnya membawa manfaat, walaupun mungkin mengancam pihak pemerintah dan mau mendaftar dan mengongkong pengendali-pengendali blog.

Beliau mahu pihak-pihak pengendali blog hendaklah bersifat professional dan bertanggungjawab. Sewajarnya pengendali-pengendali blog bersatu di dalam satu `Coalation Bloggers` bagi menjaga kepentingan mereka dan masyarakat. Manakala Mumtaz menyesali generasi baru kurang memberi perhatian kepada perkembangan semasa dan tidak menyedari potensi yang ada pada mereka. Mereka disekat di dalam masa persekolahan dan sesat bila keluar ke tengah masyarakat terbuka. Sebab itu mereka harus dididik dan disedarkan dengan perkembangan semasa yang mengelilingi mereka.

Politik dan undang-undang

Persoalan politik dan undang-undang disinggung oleh pengerusi dengan apa yang ditimbulkan oleh Profesor Abd. Aziz sebagai kelam kabut di atas dengan membawa beberapa contoh bandingan kes Pulau Pinang (Padang Kota) dibatalkan kerana pembawa peti undi ke pusat pengiraan singgah dalam perjalanan yang boleh membawa keraguan, manakala kes Dr. Lee Chong Meng yang dicabar BN yang kemenangannya ditarik balik dan diberi kemenangan kepada calon kedua dan juga Kes Ismail Kamus Gombak dengan penambahan waktu mengundi dari jam 5.00 - 7.00 petang yang tidak dianggap menjejaskan keputusan.

Bagi Profesor Abd Aziz sekiranya perjalanan politik berlaku secara matang tidak memerlukan mahkamah, sekiranya perjalanan pilihan raya dijalankan secara teratur dan menurut akta-akta termaktub di dalam peraturan-peraturan pilihan raya di samping perlunya pembaikan SPR.

Sebarang perubahan contohnya persempadanan hendaklah dijalankan secara betul dan tidak berkepentingan kepada sesuatu pihak. Dr Tang Seng Giaw Ahli Parlimen Kepong bersetuju sepatutnya perjalanan pilihan raya selesai tanpa ke mahkamah, tetapi banyak perkara yang menjadikan pihak terutama pembangkang tidak puas hati contoh cara perubahan sempadan Kepong yang dialami di kawasan beliau dan banyak kes-kes yang lain yang perlu dibawakan ke mahkamah. Beliau secara berseloroh menyatakan Chin Peng juga membawa kesnya - hak kembali ke Malaysia ke mahkamah.

Autonomi universiti, AUKU

Turut bercakap dalam diskusi ialah wakil dari Solidariti Mahasiswa Malaysia, iaitu Mohd Nazri Mohd Yunus. Beliau membangkitkan tentang kehilangan kuasa autonomi universiti dan terikatnya mahasiswa dengan AUKU yang menyebabkan mahasiswa bahkan tenaga pengajar terpenjara di menara gading.

Akibatnya, walaupun bertambah jumlah universiti tidak lahir bakat-bakat kepimpinan dari kalangan mereka. Pemimpin-pemimpin tajaan biasanya teruji dan patah diperjalanan. Kalangan tenaga pengajar yang pada satu masa dahulu berani mengeluarkan fikiran dan pandangan kepada masyarakat dan pernah menjadi pemimpin pelajar kini membisu dan kelu. Beliau mhau akta dan sistem pendidikan sekarang dikaji agar ianya dapat memberi faedah kepada rakyat dan negara, bukan bagi menjamin kepentingan penguasa secara sementara.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dapatlah dibuat rumusan dari berbagai-bagai pendapat di atas bahawa:

Sistem pilihan raya yang telah berjalan selama lebih dari setengah abad itu perlu kepada perubahan dan perombakan agar Akta dan Peraturan Pilihan Raya menjadi lebih lengkap dan semperna dan pilihanraya menjadi lebih telus dan adil. Pembaikan peraturan pilihan raya ini dapat dilakukan dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas yang terdiri dari pakar-pakar perundangan, wakil-wakil parti politik, kalangan NGO, para professional dan individu berkedudukan dan dihormati masyarakat.

Sebagai Suruhanjaya Bebas ianya hendaklah terpisah daripada kekuasaan politik pemerintah dan bertanggungjawab langsung kepada Yang di-Pertuan Agong.

Badan ini diberi kuasa perundangan yang boleh menegur kesalahan dan penyelewengan yang berlaku di dalam pilihan raya. Kes-kes kesalahan pilihan raya boleh dibawa ke saluran mahkamah pilihan raya dan diputuskan oleh mahkamah pilihan raya.

Rakyat hendaklah diberi kefahaman berterusan betapa pentingnya sistem pilihan raya yang dapat mengangkat, mengekalkan sesuatu pemerintahan negara dan menurunkannya dengan menggantikan dengan yang lain. Rakyat hendaklah dididik agar menggunakan kuasa yang ada pada mereka secara bebas dan sebaik mungkin.

Media seharusnya bersifat bebas dan tidak berpihak. Pihak berkuasa seharusnya tidak menguasai media. Peluang yang sama harus dinikmati pembangkang dan orang awam.

Perjalanan pilihan raya hendaklah benar-benar bersifat bersih dan telus. Rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan tidak dipaksa dan diugut di dalam membuat pilihan. Larangan keras dari rasuah politik dan kewangan hendaklah dilakukan sama ada di dalam parti, maupun menggunakan peruntukan kewangan kerajaan bagi kawasan-kawasan parti seperti pernah ditimbulkan perkara ini di dalam parlimen (2.4.2007 , Peruntukan RM3 juta bagi satu kawasan parlimen parti kerajaan). Hukuman sewajarnya hendaklah dikenakan terhadap pertubuhan politik dan mereka yang terbabit

Pemerintahan secara `Care Taker Government` hendaklah dilaksanakan secara telus dan jujur dari masa perletakan jawatan kerajaan yang memerintah sebelum diambil alih pemerintahan kerajaan yang baharu.

Autonomi universiti hendaklah dikembalikan dan AUKU hendaklah ditarik balik. Kalangan akademik dan mahasiswa diberi hak menyuarakan pendapat termasuk di dalam bidang politik. Bangi, 17 R. Awal 1428, 5 April 2007. - lanh

No comments:

Post a Comment