Di tengah situasi mendesak
Berada di tengah situasi dialami Iran kini menuntut pemilihan berani dan berisiko tinggi. Mempertahankan maruah atau tunduk mengalah kepada kehendak Barat.
Iran merupakan sebuah negara Republik Islam mempunyai keluasan 1,648,000 km. persegi dengan penduduk 69 juta orang adalah negara keempat di dunia banyak mengeluarkan gas dan petroleum (hingga 5.8 milion tong minyak sehari) dengan jualan harian berjumlah US60 milion dolar sehari.
Ianya berjiran dengan negara Iraq dan berdekatan dengan Saudi Arabia yang kedua-dua negara Islam tersebut adalah merupakan negara-negara pengeluar utama petroleum di dunia.
Lantaran itu kawasan `Bumi Emas Hitam` ini menjadi idaman kuasa besar, terutama Amerika untuk kepentingan ekonomi, politik dan strategi.
Iran sebelum berlakunya revolusi rakyat (1978) di bawah kekuasaan Shah Iran terakhir – Shah Mohammed Reza Pahlavi. Revolusi rakyat mengeluarkan beliau dari Iran dan berlindung di luar negara (akhirnya meninggal di Mesir) dan bertukar pemerintahan secara republik di bawah Ayatollah Ruhollah Khomeini yang sebelumnya menjadi pelarian politik di Iraq dan Paris ( Newsweek, January 29, 1979 – Iran Aftar Shah pp. 16 – 22).
Amerika semasa Presiden Jimmy Carter menjadi `Pelindung` terakhir kekuasaan Shah di Iran. Amerika yang menyifatkan Iran sebagai sekutu pentingnya, tetapi di luar jangkaannya berlakunya revolusi rakyat, terpaksa keluar sebagaimana keluarnya Shah dari Iran. Dengan bertukarnya pemerintahan negara Iran kepentingan Barat, khususnya Amerika dan British, termasuk Israel yang mendapat 60 peratus bekalan minyak negaranya dari Iran terjejas teruk.
Dengan itu Barat mendendami Iran. Berbillion dolar harta Iran di Amerika dan di Barat dibekukan.
Melaga-lagakan Iraq dengan Iran
Barat, khususnya Amerika mengadu domba Iran dengan musuh tradisinya, iaitu Iraq. Saddam Hussein yang telah memerintah Iraq pada masa itu dibekalkan dengan senjata-senjata canggih untuk menghadapi Iran yang juga mendapat bantuan senjata, antaranya dari Russia. Ianya bertujuan melemahkan Iran (juga Iraq) dan melariskan jualan senjata, di samping memberi keuntungan kepada Israel.
Amerika bukan saja membantu Iraq, tetapi sanggup menceroboh dan menyusup ke Iran di waktu malam pada April 1980 bagi menyelamatkan warga negaranya yang ditahan dikedutaannya di Iran sejumlah 52 orang kerana mengintip dan merancang menjatuhkan kerajaan Republik Islam Iran (terdapat seramai 40,000 orang Amerika di Iran menjelang revolusi). tetapi perancangan yang disifatkan sebagai `mission impossible` mengalami kegagalan dengan berpuluh tenteranya terkorban dan helikopter-helikopternya pula berlanggar sesama sendiri, rosak dan terperangkap di padang pasir di Iran (Newsweek September 1, 1980: 20).
Selepas terlepasnya Iran dari pengaruh Amerika, pihak perisik Amerika mengatur rancangan terus melaga-lagakankan Iraq dan Iran hingga berlakunya peperangan antara kedua negara tersebut. Antaranya pada September 1980 yang memakan masa berbulan lamanya. Iran mempunyai sejumlah 285,000 tentera dengan Iraq melebihi setengah juta tentera.
Peperangan ini dan siri-siri peperangan lain berikutnya selama lapan tahun lamanya pada dasarnya tidak memberi keuntungan kepada kedua belah pihak, sebaliknya melemah dan membakar kekayaan kedua belah pihak.
Mengepung Iran
Bagi mengawal zon ekonomi Amerika di Asia Barat, kekuatannya juga dihala ke Afghanistan sesudah tentera Russia yang menguasai Afghanistan pada Disember 1979, tetapi tidak mampu bertahan kerana ditentang oleh Mujahidin dan Russia terpaksa berundur pada pertengahan Februari 1989 (Retreat From Kabul: The Soviets Pull Out – Newsweek, February 13, 1989, Cover page).
Kekuasaan Afghanistan kemudian diambil alih oleh Taliban, maka Amerika yang mencari kesempatan mengalahkan Taliban dan menguasai Afghanistan pada akhir November 2001. Walaupun Afghanistan tidak sekaya Iraq dan Iran dari segi hasil buminya, tetapi penguasaan Afghanistan dapat mengepung Iran dari bahagian Timur Laut dan mengambil alih kekuasaan Russia di Afghanistan serta mengawal kepentingan ekonomi di kawasan-kawasan yang berdekatan dengannya.
Manakala Iraq yang kaya dengan hasil bumi dan impikan kekuasaan besar di Asia Barat dengan tentera dan kelengkapan yang kuat dan mengancam Israil dengan peluru-peluru berpandu scud dan abbasnya yang jaraknya sampai ke Israel diperangkap oleh Amerika apabila Iraq menyerang Kuwait awal Ogos 1990 (sebenarnya dimaklum dan diketahui Amerika), apabila Amerika di bawah pimpinan George Bush (bapa Presiden Bush sekarang) pula menyerang Iraq akhir Januari 1991 atas permintaan Kuwait.
Demikianlah permainan politik dan taktik Amerika melemahkan Iran dan Iraq serta mengepung kedua-dua negara bersama negara-negara Islam di Asia Barat dari berbagai penjuru.
Serangan kedua terhadap Iraq
Iraq selepas diserang Amerika kerana menguasai Kuwait tidak sampai ditawan Amerika keseluruhannya, kembali menguatkan ketenteraannya sehingga dilihat sebagai ancaman terhadap Israel. Atas tuduhan yang sengaja diada-adakan bahawa Saddam Hussein menyimpan senjata pemusnah secara besar-besaran dan bercita-cita mengeluarkan senjata nuklear, Majlis keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dipengaruhi kuasa Barat, maka dengan tujuan untuk melemahkan Iraq dan menjadikannya medan ujian senjata canggih dan moden agar tidak mengancam Israel, Iraq sekali lagi pada Mac 2003 diserang Amerika - British dan kuasa-kuasa barat, hingga kawasan peradaban dunia terawal itu hancur lebur, biarpun ternyata tuduhan yang dibuat terhadap Iraq tidak benar.
Dalam keadaan sekarang Amerika telah menguasai zon ekonomi di Asia Barat dari Saudi, Kuwait dan di Iraq. Amerika tidak akan keluar dari bumi Iraq, bahkan kini Amerika membina bangunan kedutaannya seharga US600 milion di atas keluasan tanah 104 ekar di dalam zon hijau, khusus untuk warga Amerika. Turut dibina dalam zon ini 21 bangunan terdiri dari pejabat-pejabat, apartmen-apartmen, gimnasium dan kolam mandi.
Selain dari itu turut dibina setengah dozen super landasan penerbangan, di samping sebuah lapangan `Balad` kedua terbesar di dunia selepas Lapangan Terbang Heathrow London yang menampung 27,500 pendaratan dan penerbangan sebulan (Newsweek, May 1, 2006: 19).
Tekanan terhadap Iran
Amerika yang kononnya menjunjung demokrasi, menguasai (menjajah secara tidak langsung) Asia Barat hingga ke Afghanistan, yang tinggal di luar dari kekuasaannya, sebuah bumi kaya dengan penghasilan dan peradaban yang dulu pernah di bawah pengaruhnya ialah Iran. Sejak revolusi Iran Barat melancarkan penentangan terhadap Iran dengan berbagai-bagai cara.
George W.Bush, Presiden Amerika kini menuduh Iran pada tahun 2002 sebagai `Paksi Kejahatan` (Time, June 13, 2005: 39) dan menggambarkan pemimpin Iran sebagai `Ghost` dan juga sebagai `Pendusta Besar` dan sebagainya.
Ini selari dengan gelaran yang diberi terhadap penentang-penentang Barat, khususnya selepas peristiwa 11 September di Amerika dari kalangan pejuang-pejuang Islam yang berjihad terhadap hegemoni barat di Negara-negara Islam dan penguasaan terhadap ekonominya sebagai `militant` atau `pelampau`. Sedang Barat yang membunuh lebih suku juta orang di Iraq dalam perang terakhir Mac 2003 dan seumpamanya di Afghanistan tidak dianggap pembunuh?
Bagi umat Islam Revolusi Iran ialah sebagai salah satu mercu tanda kebangkitan Islam yang bermula sejak 1970an. Sebaliknya bagi Barat usaha terus dilakukan bagi memprojek imej bahawa Islam sebagai seolah-olah seluruhnya sebagai `kegananasan`. Tekanan ini menyebabkan setengah Negara Islam sendiri memandang serong terhadap sebarang kegiatan yang dikaitkan dengan Islam, bahkan menyekat kegiatan Islam di dalam Negara sendiri.
Membina kekuatan dengan tenaga nuklear
Berada di tengah-tengah ancaman terhadap keselamatan seperti di Iran, apakah yang harus dilakukan ? Tidak lain dari memperkukuhkan diri sebagai persediaan menghadapi ancaman-ancaman. Salah satunya ialah mencari sumber tenaga di samping sumber petrol dan gas yang sedia Iran memilikinya.
Iran berhasrat membina tenaga dari `kuasa nuklear` dengan tujuan keamanan. Usaha membina reaktor bagi menghasilkan tenaga nuklear telah dilakukan sejak 1990an, iaitu pada zaman pemerintahan Presiden Ali Akbar Hashemi Rafsanjani (1989-1997) dengan bantuan Russia. Power plant ini dibina di Bushehr, Isfahan dan Natanz dengan janji bahawa,
``We won’t move from peaceful nuclear technology to military technology.`` (Time, June 13, 2005: 39).
Usaha dilakukan oleh Iran berunding dengan Britain, Perancis dan German menyatakan hasrat Iran berhubung dengan reaktor bagi tujuan menjana tenaga secara aman. Tetapi Iran disekat dan dikenakan syarat yang ketat dan tak wajar (Iran`s Nuclear Ambitions, The Economist, May 14th-20th, 2005: 39-40).
Dalam hubungan mendapat tenaga kuasa nuklear ini sesuatu yang tidak wajar dari segi protokol antarabangsa bahawa, ianya dianggap milik istimewa sesuatu Negara yang berjaya menghasilkannya dan terlepas dari tekanan antarabangsa, bukannya `hak bebas` bagi kebolehan sesuatu Negara yang menghasilkannya. Sejak kuasa nuklear pertama kali dihasilkan di Amerika sejak 35 tahun dahulu dan pertama kali diuji di Padang Pasir New Mexico dan sebagai senjata canggih digugurkan di Yokohama dan Nagasaki di Jepun menamatkan perang Dunia Kedua 1945, rahsia nuklier ini dikawal ketat.
Ianya hanya dimonopoli oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika, British, Perancis, Rusia dan Cina. Satu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa `International Atomic Energy Agency` (IAEA) diwujudkan yang terdiri dari 35 anggota di samping Majlis Keselamatan PBB juga mengawal perkembangan tenaga nuklear antarabangsa. Mana-mana Negara yang cuba membina reaktor tenaga nuklear akan ditekan dan diancam. Anehnya apabila Negara berkenaan berjaya mengatasi sekatan diterima ke dalam `Kelab Kuasa Nuklear.
Ini sebagaimana dialami oleh India dan Pakistan. Negara-negara yang sedang berhempas pulas bagi menjayakan program tenaga nuklearnya dan menghadapai tekanan, ialah Korea Utara dan Iran. Tekanan yang dihadapi Korea Utara tidaklah sehebat Iran dan tidak ada ancaman untuk menyerangnya.
Sejak bermulanya program nuklear pada zaman pemerintahan Presiden Ali Akbar Hashemi Rafsanjani, Iran mengambil sikap berhati-hati dan sikap ini diikuti penggantinya Presiden Mohamed Khatami, usaha dilakukan untuk mendapat restu kuasa-kuasa Barat atas dasar menghasilkan tenaga nuklear secara aman, bukan untuk persenjataan. Ianya merupakan hak bagi setiap Negara. Atas dasar ini Iran sedia diperiksa oleh IAEA diketuai Mohamed El Baradei.
Kewajaran Iran memiliki reactor nuklear berasaskan makin berkurangnya petrol dan makin meningkat harganya di pasaran dunia yang kini melebihi US70 dolar satu tong. Bahkan kini terdapat gesaan agar dicari tenaga alternatif dan yang paling sesuai ialah tenaga nuklear.
Nuclear power is increasingly seen as the only energy source that can square the needs of the environment and industry. More research is necessary before renewable sources will be able to provide in sufficient quantities at a realistic price``. (Newsweek, February 6, 2006: 39).
Atas dasar penggunaan secara aman ini Cina melakukannya dengan baik:
``Chinese leaders recognize that their reliance on fossil fuels – about 80 percent of China’s energy comes from coal – is unsustainable. Nuclear power has thus become an essential part of their plan to prevent an energy and environmental crisis. China intends to increase its output of nuclear power at least fourfold by 2020, from 8,700 to 36,000 megawatts. That will require building up to three reactors a year until then. So far, Beijing has committed $50 billion toward construction. China will soon add two more reactors to the nine it already has running. At least 16 provinces and municipalities plan to build nuclear power plants. The goal is to derive at least 4 percent of the country’s energy from nuclear power in 15 years.`` (Ibid., pp. 36-37).
Finland juga berhasrat menggunakan tenaga nuklear untuk menjana tenaga bagi menghasilkan bahan binaan bagi mendirikan 5,000 apartmen dan sebagainya. Jika tenaga nuklear begitu penting bagi mengatasi bahan bakar dari petrol dan gas yang makin berkurang, mengapa hasrat secara aman sedemikian dihalang.
Usaha Iran untuk membina reaktor nuklear mendapat bantahan tanpa kompromi dari Amerika. Ianya bertujuan untuk menekan Iran. Episod sedemikian berlaku terhadap Iraq sebelum Negara itu dimusnah dan ditawan Amerika. Iraq dituduh dengan sesuatu yang tidak wujud. Iran juga ditekan oleh IAEA dan diberi amaran agar menghentikan hasrat mengkayakan uranium di Iran.
Pendekatan Ahmedinejad
Pertukaran pemerintahan Iran (2005) di bawah Presidennya yang baru, iaitu Mahmoud Ahmedinejad mengambil pendekatan agresif, memandangkan pihak IAEA dan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kedua-duanya di bawah tekanan Amerika tidak akan berkompromi dengan Iran. Ahmedinejab adalah bekas aktivis mahasiswa yang merupakan salah seorang penggempur Kedutaan Amerika di Iran selepas Revolusi Iran yang menahan 52 orang Amerika.
Kedutaan digunakan oleh perisik-perisik Amerika untuk menjatuhkan kerajaan Republik Iran, bahkan dikatakan ada perancangan untuk membunuh Ayatollah Ruhollah Khumeini. Penahanan ini menggerakkan misi penyelamat Amerika menyelamatkan mereka, tetapi gagal. Daripada peristiwa ini terbungkar pakatan dalaman dari mereka yang bersifat sekular bekerjasama dengan pihak musuh untuk menjatuhkan kerajaan.
Antaranya Bani Sadr yang menjadi pemerintah Iran semasa Ayatulloh Khumeini dan melarikan diri ke Paris. Kemudian Iran sebagai sebuah Republik Islam sepenuhnya diperintah oleh golongan ulama` dan pendukung perjuangan Islam. Ahmedinejab sebagai aktivis pemuda yang menuntut pemerintahan secara Islam adalah bekas pensyarah yang mengambil alih tampuk pemerintahan meneruskan perjuangan keislaman di Iran.
Berhubung dengan isu nuklear Iran berikut dengan tempoh arahan pemberhentian usaha pengkayaan uranium Iran (28 April 2006), Ahmedinejad melancarkan perang psikologi terhadap Amerika dengan menolak cadangan membekukan program nuklear Iran sambil menegaskan bahawa ``Mereka (Barat – Amerika) tidak mampu menghalang Iran dari menyertai kelab Negara-negara yang mempunyai tenaga nuklear, sambil menuduh Amerika merancang untuk menyerang Iran.
Berikutan dengan itu, Iran membuat pengumuman yang mengejutkan dunia, bahawa Iran telah berjaya melakukan pengayaan uranium dengan penggunaan unit emparan (centrifuge) sebanyak 164 unit emparan dengan memasukkan gas uranium ke dalamnya. Ianya mampu digunakan pada peringkat rendah bagi penghasilan tenaga.
Ini disahkan oleh Bekas Presiden Iran Ali Akbar Hashemi Rafsanjani (UM, 12 April, 2006: 19). Iran mendakwa bahawa ianya bakal menjadi kuasa besar (UM 29 April, 2006: 18) dan minta dilayan sebagai negara berkuasa nuklear.
Keberanian Iran menyanggah Amerika berdasarkan perkiraan bahawa, Amerika dalam keadaan tenat menghadapi tentangan di Iraq. Moral tenteranya di Iraq menurun dan ramai yang tidak mematuhi arahan dan memberontak, manakala rakyat Amerika sendiri bosan dengan keterlibatan Amerika di Iraq tanpa kesudahan dan mendesak Amerika keluar dari Iraq.
Genap 3 tahun Amerika menjajah Iraq (Mac 2003-Mac 2006) tunjuk perasaan berlaku di berbagai tempat di dunia mengecam Amerika dan mendesak keluar dari Iraq. Amerika sendiri dibenci oleh masyarakat dunia termasuk jiran-jirannya di Selatan (Amerika Selatan) yang berpihak kepada Fidal Castro seperti Presiden Hugo Chavez dari Venezuela, Lula da Silva dari Brazil, Nestor Kirchner dari Argentina, Tabare Vasquez dari Uruguay, Evo Morales dari Bolivia dan Michelle Bachelet dari Chile.
Mereka semuanya condong ke kiri dan anti Amerika (Bush). Lebih malang Bush disifatkan sebagai, ``Bush’s World. The Isolated President: Can He Change ?`` (Newsweek December 18, 2005: Cover Page & pp. 10 - 19). Iran sendiri berkeyakian tidak semua Anggota Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat keputusan berpihak dan menekan Iran, sekurang-kurangnya dua kuasa besar di Majlis Keselamatan PBB yang rapat dengan Iran iaitu Rusia dan China menyokong Iran dan akan memveto mana-mana resolusi berpihak kepada kemahuan Amerika menekan Iran.
Dalam keadaan sedemikian Bush tidak akan menyerang Iran dan tidak sanggup menghadapi tambahan kutukan dari dunia. Walaupun di atas mejanya Amerika mempunyai beberapa option, termasuk menyerang Iran, tetapi dijangka buat masa ini cara diplomasi adalah menjadi pilihan.
Menurut seorang penulis (Gerard Baker, Over Iran, the sword is unlikely option) berkata bahawa:
``The United States isn’t going to be attacking Iran any time soon; not this year, not this administration rightly or wrongly the Bush team is note remotely in the frame of mind. It was the over Iraq four years ago … The ambitions wings of the Pentagon’s civilian leadership have been clipped by setbacks in Iraq and in fighting among the generals.`` (NST, April 29, 2006: 22).
Dalam hal ini kata Menteri Luar Iran Manouchehr Mottaki memberitahu berita rasmi Iran `IRNA` bahawa:
``Kami sedang mencari penyelesaian diplomatik. Amerika perlu sedar, mereka bukan dalam kedudukan untuk mencetuskan satu lagi krisis di rantau ini``, sambil itu beliau menyebut bahawa pihak Amerika merisik Iran untuk mengadakan rundingan bagi menamatkan serangan gurila di Iraq (UM 17 April 2006: 19). Ini merujuk bahawa Iran mempunyai pengaruh di Iraq kerana mejoriti penduduk Iraq adalah dari kalangan Shiah. Namun begitu seorang Pengawal Revolusi Iran General Yahya Rahim Safavi mengingatkan Amerika jika tindakan keras diambil bahawa:
``Kamu boleh memulakan perang, tetapi bukan kamu yang akan menamatkannya.`` (Ibid.)
Secara psikologi dan berani Presiden Mahmoud Ahmedinejad sempena Hari Angkatan Tentera Kebangsaan mengarah tenteranya bersiap sedia untuk `memotong tangan`, mana-mana penceroboh.`` (UM, 19 April 2006:19). Sambil mengugut bahawa Iran akan menggunakan `rangkaian pengganasnya untuk menyerang kedudukan Amerika (UM 17 April 2006: 19).
Dunia juga diberitahu bahawa kumpulan militant Iran berfaham extreme sedang mengumpul pasukan berani mati untuk bertindak terutama di Israel. Adalah dikatakan mereka merekrut seramai 52,000 pejuang yang 30% daripada mereka adalah wanita (UM, 20 April 2006: 18).
Mententeramkan kegelisahan Iran
Apa yang dipaparkan di atas mebayangkan kegelisahan Iran terkepung dan ditekan Amerika dan kuasa-kuasa Barat. Selepas cara diplomasi, Iran bertindak agresif mencabar barat. Walau apapun dendam Amerika tidak akan padam.
Mereka akan terus menekan dan mencari sebab dan helah menjatuhkan Iran, meskipun secara peperangan. Iran memerlukan pertolongan bukan saja kepada Russia dan Cina, lebih-lebih lagi dari Negara-negara Islam. Dalam kemelut yang dihadapi Presiden Iran Ahmedinejab datang ke Malaysia (Akhir Feb & awal Mac 2006) dan kini ke Indonesia (10-12 Mei) bagi menghadiri sidang Negara-negara D8.
Kehadiran Pemimpin Iran, Menteri-Menteri dan pegawai-pegawainya hendaklah ditafsirkan bukan setakat mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran. Malaysia sebenarnya tidak cukup dengan pernyataan menyokong secara lisan program nuklear Iran secara aman, tetapi wajar sebagai Pengerusi OIC mengambil inisiatif menjadi orang tengah berunding dengan IAEA, anggota Majlis Keselamatan PBB dan Barat mewajarkan usaha Iran dan menjamin bahawa tenaga nuklear yang dihasilkan benar-benar untuk tujuan keamanan.
Dengan ini menambahkan tekanan bersama Russia dan Cina terhadap Barat. Ini memberi peluang Malaysia meningkatkan imejnya sebagai pemimpin OIC. Jika dalam isu ini Malaysia takut-takut, tentulah ianya lebih takut lagi untuk membantu Palestin di bawah Hamas yang amat memerlukan bantuan kewangan, iaitu sesuatu yang dilakukan oleh rakyat Indonesia sekarang.
Bangi, 13 R. Akhir 1427
No comments:
Post a Comment