Tempoh bagi Iran menghentikan pengkayaan uranium bagi tenaga nuklear negaranya tamat pada Rabu 21 Februari 2007, setelah diberi peluang oleh Majlis Keselamatan PBB berbuat demikian 60 hari sebelum tarikh akhir tersebut.
Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad secara alegori menjawab, bahawa kereta apinya bergerak tanpa menggunakan brek dan tidak mempunyai gear ke belakang, tetapi negaranya tidak pernah menutup pintu rundingan! Ini adalah merupakan kelangsungan pendirian Iran sebelumnya.
Semasa menanti-nanti Iran menentukan sikapnya, pelbagai spekulasi timbul mengenai tindakan yang akan diambil terhadap Iran, khususnya oleh pihak musuh ketatnya Amerika! Sedang spekulasi makin memuncak, Iran dengan berani dan penuh berstrategi mengumumkan bahawa, 'Iran sedia berperang dan tetap meneruskan program nuklear, walaupun diancam Amerika!' Iran tidak setakat memaklumkan persediaan, tetapi mengumumkan kejayaan Iran melancarkan roket pertamanya ke angkasa lepas (The Star, Monday 26 February 2007: W29). Kejayaan Iran ini merupakan perang psikologinya terhadap musuh dan mengukuhkan pendirian Iran.
2. Logik sejarah dari perkembangan revolusi
Apakah Iran mengambil sikap tegas terhadap musuhnya sekadar bagi memenuhi cita rasa sebagai sebuah kuasa tenaga nuklear? Tindakannya adakah berpandukan kelicikan Presiden Korea Utara, Kim Jong II memperdayakan kuasa Barat sehingga mampu menghasil dan menguji bom nuklearnya pada Oktober 2006 lepas dan lantas mengumumkan melalui satu rundingan, kesediaan menutup loji nuklearnya dengan syarat mendapat pampasan dan bantuan daripada Barat dan Korea Utara tetap sebagai kuasa nuklear. (The Economist Februari 13th -23rd 2007: 13 & 28-30).
Apa yang dilalui oleh Iran dalam pembinaan kekuatan Negara dan umat adalah bukan menurut landasan yang dilalui Korea Utara. Iran perlu mantap dan bersikap sebagai yang diambilnya kini sebagai logik sejarah. Iran perlu memperkukuh pertahanan sebagaimana dituntut Islam (Al-Anfal 8: 60), memperluaskan perkembangan revolusi (1979), mempastikan keselamatan negaranya yang berada di tengah-tengah kekacauan negara-negara jiran yang dieksploitasi imperialis dan mengawal kekayaan negara daripada lanjutan pencerobohan negara-negara imperialis berkenaan.
Sejarah tidak pernah lupa 'Iran Baru' yang lahir dengan identiti baru sebagai 'Republik Islam Iran' di bawah kepimpinan awal - Ayatollah Rohullah Khomeini, adalah hasil daripada revolusi rakyat terhadap imperialis Amerika yang mendalangi Shah Iran (Reza Pahlawi) dan mengawal kekayaan negara Iran.
Revolusi Iran bukan saja menghambat Amerika keluar dari Iran, tetapi juga Shah Iran terpaksa mengungsi keluar dari Iran dan meninggal di Mesir. Sejarah juga tidak lupa dendam meluap-luap Amerika terhadap Iran, bukan saja mengeluarkan Amerika, tetapi memerangkap `mission impossible' Amerika bagi menyelamatkan CIA dan talibarut-talibarut Amerika yang menjadikan kedutaan Amerika pusat risikan dan berusaha menggagalkan revolusi Iran pada peringkat pemulaan revolusi (1979), tetapi 52 mereka ditawan oleh pengawal-pengawal revolusi dan aktivis-aktivis pelajar - termasuk Amadinejad yang menjadi Presiden Iran sekarang. Selama lebih setahun mereka ditahan dan pasukan penyelamat Amerika, cuba menyelamatkan mereka, tetapi gagal dan helikopter-helikopter mereka terperangkap dan musnah dengan komando dan tentera mereka di padang pasir.
Selepas kejayaan Revolusi, Iran berdepan dengan tekanan-tekanan Amerika dan imperialis Barat. Iran berdepan dengan peperangan yang diadu-dombakan oleh Amerika - peperangan Iraq (proksi Amerika) dengan Iran yang berlangsung hampir sedekad lamanya. Peperangan yang boleh disifatkan sebagai kalah jadi abu dan menang jadi arang.
3. Premis palsu bagi menghalalkan tindakan
Kenaikan Bush bagi penggal kedua memperlihatkan perancangan besar Bush bagi merakamkan sejarah sebagai salah seorang Presiden Amerika terpenting. Tiga pendekatan yang diambil Amerika, iaitu mencetuskan peristiwa di luar jangka, menuduh ganas serta mewujudkan suasana keliru di kalangan umat Islam dan menyerang Iraq bagi menguasai ekonomi dan melindungi keselamatan Israel.
Ketiga-tiga pendekatan yang diambil semuanya bertolak dari premis palsu yang membawa kepada natijah palsu yang menikam Amerika. Kejayaan Iran dan kebangkitan Umat Islam membimbangkan Amerika. Bagi Amerika mengecap Iran sebagai paksi kejahatan tidak cukup. Kerana umat Islam, bahkan dunia masih melihat revolusi Iran sebagai satu kejayaan yang menyakitkan hati Amerika.
Tuduhan yang menyeluruh dan mengelirukan umat Islam perlu dilakukan. Bagi keuntungan lebih besar Amerika sanggup mengorbankan beribu nyawa rakyatnya dan harta (tindakan batil) dalam peristiwa 11 September 2001 dan menuduh tindakan ini dilakukan oleh apa yang diistilahkan sebagai `Al-Qaeda` dan menuding jari kepada pejuang-pejuang dan pendukung-pendukung yang mempertahankan negara dan kesucian Islam sebagai `ganas dan militan` lambang utama bagi tuduhan ini ialah Usamah bin Laden yang dikambinghitamkan.
Tuduhan ini diassosisikan dengan Iran yang dituduh sebagai `paksi kejahatan` itu. Al-Qaeda adalah perkataan biasa yang jamak atau pluralnya `qawa`id` bermaksud `kaedah-kaedah`, cara, jalan dan pendekatan. Tetapi `Al-Qaeda` sebagai satu `gerakan` atau `pertubuhan` adalah di luar dari kebiasaan dan asing dari makluman sebelum ianya dimanipulasi oleh Amerika. Ianya juga merupakan premis palsu yang dikenakan terhadap umat Islam yang mendukung tuntutan Islam, iaitu patuh kepada Islam, pertahan maruah negara daripada pencerobohan dan kekuasaan asing merupakan tuntutan Islam yang termasuk di bawah istilah `jihad'.
Jadi tuduhan boleh dikenakan terhadap semua orang Islam selama ia mengamalkan Islam, khususnya yang mempraktikkan jihad sebagaimana berlaku di Afghanistan, Iraq, Palestin, Lubnan dan di mana jua umat Islam yang menentang penindasan. Dari sini dapat difahami, mengapa Amerika dan Barat beriya-iya mau menghapuskan jihad dan istilah jihad itu daripada korikulum pendidikan, bahkan dari Islam.
Bertolak daripada peristiwa 11 September yang berasaskan tuduhan palsu dan premis palsu yang dikenakan terhadap pejuang dan orang-orang Islam, Amerika juga bertindak menyerang Iraq pada Mac 2003 berasaskan tuduhan palsu yang mengatakan Iraq yang di bawah kepimpinan Saddam Hussein menghasilkan senjata pemusnah secara besar-besaran dan dijadikan alasan menyerang Iraq (Mac 2003), walaupun tidak mendapat keizinan PBB dan ternyata tuduhan sedemikian terbukti palsu.
Iran yang tersepit antara keganasan Amerika di Afghanistan yang menguasai negara tersebut (2001) dan kini diperkukuh dengan tentera Nato dan juga tertekan dengan kehadiran Amerika di Iraq terpaksa berwaspada dan bersiap sedia di dalam menghadapi musuh yang hadir ke bahagian pintu utara dan barat negaranya. Namun begitu di dalam menghadapi kempen Amerika dan Barat di dalam memburukkan Iran dan umat Islam, pimpinan Republik Islam Iran di sepanjang tempoh ini dari Imam Khomeini, Rafsanjani, Khameni dan Muhammad Khatami bersikap tenang dan berhati-hati dari serangan media Barat yang bersifat agresif di dalam memburuk-buruk pimpinan dan revolusi Iran. Namun selama ini kedua-dua pihak mengelak dari terbukanya medan perang ketiga yang menghuruharakan secara serentak ketiga-tiga negera berdekatan. dan mungkin tak terkawal, terutama oleh Amerika.
4. Amerika makin lemah
Hasrat Amerika menyerang Iraq untuk menguasainya dalam tempoh beberapa minggu tidak kesampaian, bahkan peperangan berterusan tanpa kawalan dengan bertambahnya angka korban. Pada masa Amerika kehilangan kawalan, Iran memilih pimpinan baru yang diketuai Presiden Ahamadinejad (2005), sebagai bekas aktivis pelajar dan bekas tenaga akademik universiti beliau mengambil sikap berani, lantang dan mencabar. Beliau menyatakan pendirian tidak mengiktiraf negara Israel dan berikrar menghapuskan negara tersebut. Menurut beliau: `It is an illegitimate regime and there is no reason for its existence. They prepare the ground for the domination of big powers.` (NST, Friday, August 4, 2006: 7).
Beliau mendedahkan peristiwa 'holocaust' yang dibesar-besarkan oleh Israel terhadap Nazi Jerman sebagai palsu dan tidak sebenarnya berlaku di dalam sejarah sebagaimana yang digembar-gemburkan. Menurut Ahmadinejad lagi: `the Jewish Holocaust was a piece of fiction and that Israel had to be `wiped off the map.`` (Ibid.)
Usaha Iran membina reaktor tenaga nuklear sejak Presiden Rafsanjani dipertingkatkan bahkan diumum oleh Ahmadinejad hasrat negaranya menjadi kuasa nuklear. Sejak ini Amerika dan Barat meningkatkan konfrantasi terhadap Iran. Barat menuduh Iran mau menghasilkan bom nuklear, tetapi Iran menyatakan ianya untuk tujuan keamanan bagi menjanakan tenaga elektrik. Namun Barat tidak dapat menerimanya dan melalui PBB menekankan Iran agar menghentikan usahanya dan mengugut untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Ahmadinejad semasa berada di PBB di New York dan bertikai pendapat dengan Bush (The Sun, Thursday, September 21, 2006:16) mempertahankan usaha Iran menghasilkan tenaga nuklear dan dalam masa yang sama di Teheran diadakan perbarisan mengingati peristiwa tercetusnya peperangan Iran-Iraq angkara Amerika, Naib Presiden Iran Parviz Davoodi memberi amaran terhadap serangan musuhnya dari Barat bahawa angkatan bersenjata Iran: `Our lions are so powerful that they can strike the enemy like lightning and destroy them``, he added, `Iran has never been shy of warning it would retaliate if the Republic was attacked and the parade included its longest-range missile, the shahab-3, which has the range to hit Israel and US installations in the Middle East`. (NST, Saturday, September 23, 2006: 29).
Iran juga mengumumkan dua kehebatan ketenteraan dengan jet pejuang `Saeghah` yang bermaksud `Kilat` yang menurutnya lebih hebat dari jet pejuang F-18 Amerika dan bom `Ghased` bermaksud `Perutusan` yang kedua-duanya merupakan pelengkap pertahanan ketenteraan Iran bagi menghadapi ancaman musuh`. (BH: Khamis 7 September, 2006: 16).
5. Peluang
Iran sebenarnya tahu dan mengambil peluang dan kesempatan yang ada bahawa Amerika dan sekutunya terutama British berada di dalam keadaan paling lemah dan Iran tidak perlu takut dan gentar terhadap Amerika dan British. Rakyat Amerika marah terhadap Bush dengan peperangan di Iraq melebihi tiga tahun dan tiada kesudahan. Lebih dari 3,100 tentera Amerika terkorban dan lebih dari 650,000 rakyat Iraq terbunuh yang kebanyakannya terdiri dari orang awam. Puncak kemarahan rakyat Amerika dengan menghukum Bush dengan parti Republikannya kalah dalam pilihan raya di tangan Demokrat awal November 2006 pada peringkat Senet dan Kongres.
Tunjuk perasaan berlaku di Amerika dan di pelosok dunia meminta Amerika keluar dari Iraq. Secara gimik rakyat Amerika melalui satu karikatur berwajah Bush yang sedang merangkak menjemput orang ramai menendang Bush yang ditulis di punggung berlapit getah. Tak kurang pula apa yang dialami Tony Blair Perdana Menteri British, pak turut Bush yang juga mengalami penangan perang Iraq yang disertainya. Tindakannya mengikut membuta tuli mengundang rakyatnya menolaknya dan akan dihalau dari kediaman rasminya No. 10 Downing, Street dalam masa terdekat ini. Kesempatan ini benar-benar diambil Ahmadinejad menegaskan pendirian dan komitmen Iran di dalam menghasilkan tenaga nuclear negaranya.
6. Serangan terhadap Iran?
Meskipun Bush dalam keadaan lemah, ia masih menunjukkan keangkuhannya. Bush masih beriya-iya hendak menghantar askar tambahannya sebanyak 21,500 lagi ke Iraq, meskipun dibantah oleh pihak Demokrat yang menguasai Kongres dan Dewan Senat. Bush menghantar kapal perangnya mendekati Teluk Parsi dan menghantar Timbalan Presiden, Dick Cheney ke negara sekutu perangnya, khususnya Australia berbincang dengan Howard sambil memberi amaran kemungkinan pelancaran serangan terhadap Iran, di samping meninjau medan perangnya di Afghanistan, juga meninjau laluan pesawat udaranya dengan negara-negara yang dianggap sahabat.
Apakah ini merupakan petanda-petanda serangan terhadap Iran akan berlaku? Sedangkan Iran sendiri menjawab ianya dalam keadaan siap sedia untuk berperang!
Penganalisis politik lebih banyak berpendapat, bahawa dalam keadaan Bush menghadapi tekanan dalam dan luar negara dan menyedari kedudukannya yang lemah, Bush tidak mampu untuk mengambil tindakan menyerang Iran. Dia tidak akan membuka medan perang ketiganya dalam keadaan serentak, lebih-lebih lagi sekutu rapatnya Tony Blair bertindak menarik keluar tenteranya.
Jumlah tenteranya menurun dari 40,000 tahun 2003 kepada kini hanya 7,100 orang. Pada akhir tahun ini akan berkurang kepada 5,000 orang dan akan menarik semua tenteranya akhir 2008, iaitu sebelum berakhir tempoh pemerintahan Presiden Bush (awal 2009). (Newsweek, March 5, 2007: 4). Manakala pihak Demokrat sendiri memberi amaran kepada Bush agar tidak melepaskan masalahnya kepada Demokrat bila parti itu mengambil alih pemerintahan. Manakala Robert Gates, Setiausaha Pertahanan Amerika yang menggantikan Donald H Rumsfeld berikutan kekalahan Parti Republikan berkata, ``We are not planning for a war with Iran,`` tambahnya, ``You cannot be much clear than that``. (The Economist, February 10th - 16th 2007: 11). Namun penganalisis tidak menafikan kemungkinan Bush akan meluahkan api kemarahan pada peringkat akhir pemerintahan dengan mengarahkan serangan terhadap Iran.
7. Menggunakan kesempatan
Walau bagaimana di dalam keadaan Amerika kehilangan pendekatan untuk mengakhirkan peperangan dan dalam usaha mencari jalan untuk mengelak Amerika dari aib dan malu besar yang meletakkan Amerika sebagai negara kalah perang bagi kali kedua selepas Perang Vietnam, pendapat seorang kolumnis Muslim terkenal bagi Newsweek, Fareed Zakaria yang dipetik dari pendapat pengendali blog tempatan (Iraq), iaitu Omar dan Mohammed Fadhlil mencadangkan bahawa penyelesaian konflik di Iraq: ``But that cannot be done without having a cooperative Iraqi partner on the ground who share similar views for Iraq and the Middle East. And that's the point - that partner does not exist, at least not in the government.`` (Newsweek, December 4, 2006: 19).
Cadangan bernas yang dibawa oleh Fareed Zakaria ini mendapat reaksi yang baik dari Iraq dan Iran. Idea tersebut juga mendapat sambutan dan dipertajamkan lagi oleh Condoleezza Rice Setiausaha Negara Amerika yang pada masa ini dianggap seorang dihormati melebihi Bush dalam Kabinet Bush dan bintangnya dianggap masih cerah selepas turunnya Bush 2008 kelak.
Laporan cadangan kembali kepada akar umbi masyarakat Iraq dan jiran-jiran seperti Iran, Syria diberi fokus utama oleh Time pada kulit luar keluaran (February 19, 2007) dengan gambar Condoleezza Rice bertajuk ``Back to Reality: Why Iraq and Iran are forcing Condoleezza Rice to rethink U.S. foreign policy and deal with the world as it is. Dan bagi ulasan lanjut bagi pendekatan ini diberi ulasan, ``Condoleezza Rice has always known success. Now she's out to fix the Middle East mess, bringing new realism and focus to the Israeli-Palestinian conflict. But getting the U.S. Administration to admit mistakes - much less correct them - may take more time and clout than she has.`` ( Time, February 19, 2007: 3).
Mutakhir bahawa Persidangan Serantau Baghdad yang akan menghimpunkan perwakilan dari Baghdad, Iran, Syria, negara-negara Arab dan kuasa Besar seperti Amerika, Britain, Perancis, Rusia dan China akan berlangsung mungkin pada 10 Mac atau berikutnya yang belum dimaklumkan tempat.
Keterlibatan terutama Iran akan membawa kepada kekenduran konflik antara Iran dan Amerika berhubung dengan tenaga nuklearnya. Ruang baginya mengambil pendekatan secara diplomasi berhubung dengan konflik tenaga nuklearnya lebih luas. Meskipun Bush masih angkuh dan menegaskan tidak akan berurusan secara langsung dengan Iran berhubung dengan konflik Asia Barat.
Pengakuan betapa penting negara-negara berdekatan dengan kawasan konflik diajak berunding satu kemenangan bagi Iran. Dalam keadaan ini Amerika buat ketika ini tidak akan menyerang Iran. Adalah satu kesilapan besar bagi Amerika mengambil tindakan tidak rasional yang akan memudarkan peluang baginya keluar dari Iraq secara terhormat. Iran hendaklah mengambil kesempatan memperkukuhkan dirinya yang kini Iran dengan penduduknya 70 juta merupakan negara dominan di Asia Barat yang akan mengimbangi Israel, jikapun tidak mengatasinya. Di tengah-tengah gelombang tekanan, Iran setakat ini nampaknya mampu mengambil kesempatan untuk kepentingan negaranya melonjakkan dirinya di pentas antarabangsa.
Bangi, 15 Safar 1428, 5 Mac 2007 - lanh
No comments:
Post a Comment