December 31, 2007

Institut Islam Hadhari di UKM: Lanjutan Muzakarah Imam-Imam

Kini para imam yang menyertai 'Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007' yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi selama lima hari (25–29 Jamadilawal 1428=11-15 Jun 2007) telah pulang ke tempat masing-masing.

Setiap imam tentulah membawa pulang gagasan-gagasan yang dianggap bernas yang dicapai di dalam muzakarah dan berazam untuk melaksanakannya di masjid masing-masing. Mereka juga tentulah membawa kenangan manis berdepan dengan pemimpin tertinggi Negara, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Badawi Perdana Menteri dan mendengar amanatnya ketika merasmikan muzakarah.

Menambahkan kemanisan, mereka juga berdepan dengan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak ketika merasmikan majlis penutup pada 29 Jamadilawal bersamaan 15 Jun di Dectar dan juga pada majlis keraian imam-imam di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri berkenaan di Putrajaya, pusat pemerintahan negara.

Khabarnya imam-imam dikejutkan di majlis jamuan makan ini dengan persembahan kugiran dan nyanyian-nyanyian. Muzakarah Imam-Imam ini adalah merupakan perhimpunan terbesar imam-imam pernah diadakan. Mereka adalah imam-imam dijemput dari masjid-masjid seluruh negara yang berjumlah lebih kurang 6,000 buah. Oleh kerana faktor tempat dan penginapan, lebih dari separuh daripada imam-imam sahaja dijemput dan yang hadir dari mereka berjumlah 3,950 orang.

Namun jumlah ini cukup besar memadatkan ruangan di Dectar dan memasalahkan dari segi persediaan makanan, terutama pada tempat penginapan. Secara kebetulan pada hari akhir muzakarah Jumaat 29 Jamadilawal penulis sendiri bersembahyang Jumaat di Masjid UKM. Walaupun penulis pergi agak awal ruang di Masjid UKM dua tingkat itu penuh dan terpaksa dihampar tikar di atas rumput di halaman masjid untuk memberi ruang para jemaah yang berlebihan bersembahyang.

Oleh kerana peserta-peserta muzakarah tidak sempat pulang ke penginapan masing-masing dan sesudah mengikuti agenda muzakarah ke tengah hari hari Jumaat itu, mereka terus ke masjid maka beg galas dipenuhi bahan-bahan muzakarah dan bahan-bahan berharga masing-masing termasuk beg kertas yang dijinjing terpaksa dibawa ke masjid bersama-sama. Lantaran itu di tepi dinding masjid terdampar beg-beg galas peserta muzakarah berwarna kuning dan bercop crest lambang Kerajaan Persekutuan, manakala di hadapan sebahagian dari peserta-peserta terletak beg kertas masing-masing yang merupakan hadiah daripada kerajaan Terengganu.

Pada sebelah beg kertas tertera prinsip-prinsip Islam Hadhari yang berjumlah 10 rukun iaitu Keimanan dan ketakwaan kepada Allah, Kerajaan yang adil dan beramanah, Rakyat berjiwa merdeka, Penguasaan Ilmu Pengetahuan, Pembangunan Ekonomi Seimbang & komprehensif, Kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti & wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan alam semula jadi dan kekuatan pertahanan.

Pada bahagian bawah rukun Islam Hadhari berhias dengan gambar Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, Wilayah Persekutuan pada bahagian bawah dan wajah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Badawi, bersongkok dan berbaju Melayu pada sebelah kanan beserta pada lipatan bersebelahan tertera kata-kata Cemerlang, Gemilang & Terbilang, iaitu slogan paling popular diungkapkan pada zaman era pemerintahan Pak Lah. Pada bahagian permukaan sebelah lagi beg kertas yang dihadiah oleh Kerajaan Terengganu ini tertera lapan Nilai Islam Hadhari, khusus bagi aliran (mazhab?) Islam Hadhari Negeri Terengganu, iaitu negeri yang paling kuat dan paling teguh berpegang kepada Islam Hadhari di Malaysia (di dunia?)

Lapan nilai tambahan itu ialah Ilmu (Iqra`), Akhlak, Mesra, Kompetitif; inovatif & Kreatif, Moden & Kontemporari, Global (Ummatan Wahidah), Syumul dan Seimbang (Ummatan Wasata) dan Cemerlang (Khaira Ummah). Pada bahagian tengahnya gambar Pejabat Pentadbiran Negeri Terengganu (Wisma Darul Iman) dengan crest Kerajaan Terengganu pada bahagian kiri dan gambar Dato' Seri Idris Jusoh bersongkok dan berbaju Melayu pada bahagian sebelah kanan. Pada bahagian lipatan beg kertas hadiah tersebut terakam ungkapan slogan bagi negeri Terengganu iaitu 'Islam Hadhari Terengganu Bestari'.

Di dalam beg kertas yang disumbang oleh Kerajaan Terengganu ini terdapat antaranya buku cenderamata yang berjudul Terengganu Le Ning (Loghat Terengganu bermaksud 'Sekarang Ini') bergambar berhubung dengan projek-projek yang dilaksanakan di Terengganu dan satu risalah empat halaman bergambar berjudul 'Bukan Cakap..! Kita Buat..'. Begitulah peserta-peserta Muzakarah Imam-Imam ini dihormati, dirai, dibekalkan dengan berbagai-bagai kemudahan dan peruntukan. Para-para imam ini dijemput ketibaan mereka, dibawa melawat ke lokasi-lokasi tertentu terutama Putrajaya dan Kuala Lumpur. Untuk kejamuan keraian mereka dibawa oleh sejumlah lebih dari 80 buah bas secara berkonvoi. Pendek kata kampus UKM semasa pelajar-pelajar cuti ini diramaikan oleh para imam dan jalan-jalan dipenuhi konvoi bas-bas disediakan.

Pentingnya Imam

Melihat kepada judul `Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan, tanggapan spontan kita tentulah anjuran bermuzakarah ini dilakukan oleh JAKIM sesuai ianya sebagai institusi yang bersifat sebagai jabatan yang mengawal, mengurus dan menyelaras perkara-perkara yang berhubung dengan kegiatan Islam di negara ini. Sangkaan ini sebenarnya tidak betul, kerana yang menganjurkan muzakarah ini ialah Sekretariat Islam Hadhari di bawah Penasihat Bidang Keagamaan Perdana Menteri Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induknya, iaitu Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan Timbalan Pengerusi Induknya, Dato' Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Penerangan.

Dengan demikian fahamlah kita anjuran muzakarah ini adalah bermotifkan politik dan ianya merupakan pertanda dekatnya pilihan raya. Apakah hubungan imam-imam dengan politik sehingga mereka dikerah datang dari seluruh negara? Muzakarah ini amat penting, bukan bagi imam-imam, tetapi bagi agenda politik Umno-BN. Pentingnya muzakarah ini dapat dilihat dari pembukaannya dirasmikan oleh Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa 12 Jun.

Imam adalah tokoh dan institusi penting di tengah masyarakat. Seorang imam adalah pemimpin sebuah bandar atau kariah yang mungkin terdiri dari puluh ribuan orang. Ianya bukan saja menjadi imam sembahyang Jumaat dan waktu, tetapi juga pemimpin bagi acara agama dan sosial seperti perkahwinan, kelahiran, kematian, kenduri-kendara, sambutan-sambutan keagamaan seperti Maulid al-Rasul, Aidilfitri, Aidiladha, kerja amal masyarakat dan menyempurnakan acara-acara majlis dengan doa dan sebagainya. Bayangkan dengan pengaruh imam yang begitu rupa, jika dapat sokongan seorang imam bererti dapat menarik sokongan pengikut-pengikutnya yang mungkin beribu orang jumlahnya. Di dalam konteks ini dapat dilihat betapa pentingnya perhimpunan imam-imam yang ditaja oleh bahagian Penasihat Bidang Keagamaan Perdana Menteri dan dari bahagian Kementerian Penerangan yang sengaja menggunakan kedua-dua saluran bagi tujuan politik.

Islam Hadhari

Kita difahamkan oleh mereka yang sempat mengikuti muzakarah dan berbincang dengan peserta-peserta, kita dimaklumkan sebenarnya bukan semua imam-imam yang datang mereka yang berpihak kepada Umno dan menurut mereka, mereka datang kerana dipaksa datang dan bukan bersetuju dengan gagasan Islam Hadhari yang terpaksa mereka ikuti. Sememangnya menurut mereka arah muzakarah adalah kepada satu pihak dan program memang sengaja disusun sedemikian rupa, hatta khutbah pada hari Jumaat, hari akhir bermuzakarah juga adalah bertajuk Islam Hadhari sebagaimana pada beg kertas juga tertera rukun Islam Hadhari Persekutuan dan Nilai Islam Hadhari Terengganu. Nampaknya gagasan Islam Hadhari yang bersifat politik itu, jika pada permulaannya dicetus dan diulang-ulang di dalam majlis-majlis dan persidangan, kini telah diangkat di dalam khutbah dan menjadi tajuk muzakarah imam-imam.

Kini semakin nyata, walaupun selalu dinafikan bahawa Islam Hadhari bukan agama, bukan mazhab baru dan cuma ianya satu pendekatan, mau tidak mau, lebih-lebih lagi gagasan ini dibawa oleh pihak atasan dan diperkasakan dengan infra-struktur yang ada pada kekuasaan itu, maka apa yang dinafikan makin menjelma sebagai satu kenyataan. Ianya akan mengulangi sejarah yang melahirkan aliran-aliran di dalam Islam. Sebagai contoh kelahiran Mu`tazilah yang berasal dari perbalahan seorang murid, iaitu Wasil bin `Ata` terhadap gurunya , iaitu Hasan Basari membawa kepada pengasingan diri Wasil dari gurunya dan mengasaskan aliran yang dikenali sebagai Mu`tazilah.

Pengasasan aliran ini menurut dakwaan Mu`tazilah bertujuan baik, iaitu untuk memurnikan akidah keislaman dengan menegakkan keesaan Allah dan keadilanNya hingga mereka menggelarkan aliran mereka sebagai `Ahlul `Adli wa`l-Tawhid`. Namun oleh kerana perbezaan masalah `kuasa` dan `ikhtiar` dan masalah keadilan hingga melahirkan pendapat `tempat antara dua tempat` bagi Mu`tazilah dan beberapa masalah lain yang melibatkan berlakunya kelainan pendapat antara ahlu al-Sunnah wal Jamaah dan Mu`tazilah menyebabkan aliran ini dianggap tidak murni di dalam Islam, bahkan ada yang menganggapnya sebagai menyeleweng dan terkeluar dari Islam.

Kebimbangan yang sedemikian ditakuti berlaku kepada apa yang dikatakan `Islam Hadhari` yang sedang dipopularkan kini di negara ini. Sememangnya dilihat kepada semua prinsip-prinsip yang disusun berdasarkan pemikiran manusia itu semuanya elok, namun implikasinya amat besar bagi Islam dan pendukung-pendukung dan perkembangan masa depannya. Kita bimbang implikasi Islam Hadhari merupakan sebagai satu aliran baru dalam Islam sebagai `Mu`tazilah Moden` dalam Islam ! lantaran ianya seolah-olah memisah diri dari Islam sejati yang dipegang selama ini.

Sesungguhnya dengan meminda dan mengetengahkan apa yang dikatakan Islam Hadhari, secara logiknya meletakkan Islam yang dipegang oleh umat Islam dari dahulu hingga kini sebagai tidak hadhari, ketinggalan zaman, tidak maju, mundur dan sebagainya. Pandangan yang seumpama ini boleh menjejaskan keimanan. Pada hal di dalam Islam bukan saja rukun Islam Hadhari yang sepuluh dan Nilai Islam Hadhari yang lapan wujud, tetapi lebih dari itu wujud di dalam al-Qur`an dan Islam, tanpa perlu meminda dan mengubah terhadap Islam yang asli dan murni itu. Islam tidak perlu dipinda dan diubah. Baik rukun Islam Hadhari dan nilai tambahan bagi negeri Terengganu itu amat menekankan kemajuan yang bersifat material, nyata dan kekinian dan mengabaikan kerasulan dan yang bersifat akidah, kerohanian dan keakhiratan. Sesungguhnya telah ramai para mujaddid Islam berlalu dan mereka adalah golongan bijaksana seperti al-Ghazali, Ibn Taymiyyah, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan sebagainya, tidak ada di kalangan mereka yang cuba dan menganjur perubahan terhadap Islam.

Muzakarah dan Islam Hadhari

Oleh kerana muzakarah berorientasikan `Islam Hadhari`, kita tertanya-tanya dan ingin tahu apakah `Islam Hadhari` yang berhubung dengan masjid. Dari maklumat yang dapat diikuti dari muzakarah seperti dari kertas-kertas kerja yang dibentangkan antaranya,` Masjid Sebagai Sumber Kekuatan Umat` dibentangkan oleh Prof. Dr. Nik Aziz Nik Pa dari Universiti Malaya dan kertas berjudul `Masjid Sebagai Sumber Potensi Pengukuhan Ekonomi (Tinjauan dari Perspektif Penggabungan Dana Umat)` oleh Nik Kamal Wan Mohammad dari Universiti Teknologi Tun Hussein Onn menelurkan pendapat-pendapat antaranya menggesa agar diperkukuhkan gandingan ulama` dan umara` bagi memajukan Negara, mengingatkan agar tidak mempolitikkan khutbah, menggunakan masjid sebagai tempat menimba ilmu pngetahuan, mewujudkan perpustakaan, masjid sebagai pusat sumber dan tempat memupuk perpaduan dan menyelesaikan masalah kemasyarakatan,, masjid sebagai tempat kegiatan ekonomi dan pelajaran, menguruskan masjid secara professional dengan mencontohi Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makakah, persekitaran dan fizikal yang bersih, kemas dan cantik, tempat rekreasi dan riadah, zon masjid sebagai zon tidak merokok dan imam-imam disarankan tidak merokok dan menubuhkan Perbadanan Amanah Masjid.

Meneliti kepada natijah-natijah dari muzakarah di atas, kita bertanya adakah ini merupakan apa yang dikatakan Islam Hadhari berhubung dengan masjid-masjid? Sebenarnya ianya amat terhad dikaitkan dengan Masjid yang merupakan Rumah Allah itu. Fungsi masjid lebih besar dari itu jika dirujuk kepada ayat-ayat Qur`an, hadith Nabi, peranannya semasa sahabat-sahabat, tabi`in dan atba` al-tabi`in dan perjalanannya di dalam sejarah Islam.

Semua yang disebut dan dicadangkan itu bukan sesuatu yang baru dan telah berlaku di dalam Islam dan tidak perlu pun dikaitkan dengan Islam Hadhari. Barangkali cadangan menubuhkan Perbadanan Amanah Masjid dianggap baharu, tetapi sebenarnya bukan baru dan ianya sebagai meniru pandangan original yang dicetuskan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz bagi penubuhan Tabung Haji.

Sebenarnya sebahagian besar dari masjid dan surau sudah mempunyai Tabung Amanah yang bukan saja menjaga kepentingan masjid atau surau, tetapi membantu pengajian pelajar, orang miskin, mereka yang kemalangan dan berbagai-bagai kebajikan yang lain. Lagi pula pelaburan secara institusi ini dapat dipersoalkan dari segi praktiknya berbanding dengan Tabung Haji yang tujuan asal untuk menunaikan haji.

Kita berpendapat masjid dan surau adalah tempat ibadat, sumber ilmu dan kegiatan masyarakat umat. Masjid selain dari fungsi utamanya tempat ibadat perlu diteruskan dengan pengajaran-pengajaran terutama berhubung dengan akidah dan ibadat. Rasulullah s.a.w, mengambil masa 13 tahun di Makkah dengan memberi tumpuan khusus bagi menegakkan akidah Islam di samping ibadat dan memperbaiki akhlak umat. Kemudian diteruskan semasa di Madinah di dalam pembinaan masyarakat, Negara dan umat. Persoalan bagaimana menarik orang ramai ke masjid dan surau perlu diberi penekanan agar mereka dapat menunaikan ibadat, khususnya sembahyang secara jamaah dan dapat mengikuti pengajaran akidah, ibadat, sirah.dan sebagainya Menularnya gejala sosial di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan anak-anak muda oleh kerana mereka tidak mendapat didikan dan bimbingan agama. Penyertaan mereka di masjid dan surau dapat mengurangkan gejala berkenaan.

Gangguan Terhadap Masjid

Kita berpendapat di dalam mengurus masjid ada gangguan yang membelenggui masjid dan surau di negera kita kini dan perlu dibincangkan. Ahli-ahli kariah terutama bagi masjid kini tidak bebas mempraktikkan suruhan Islam yang menggesa supaya memilih pimpinan melalui syura. Diimaksudkan di sini kini pemilihan AJK masjid dan juga surau bukan hak mutlak bagi ahli-ahli kariah bagi masjid dan surau, perlantikan dikehendaki mendapat kelulusan ketua Umno setempat dan setengahnya mensyaratkan orang besar tempatan menjadi penasihat atau AJK dan kuasa penentu akhirnya pada pihak berkuasa Jabatan Agama Negeri yang mengawal masjid-masjid termasuk khutbah-khutbah Jumaat.

Tidak jarang yang dilantik kerana kuasa politik dan bukan `orang masjid` atau `orang surau` dan ada kala akhlak dan pembawaan mereka yang dilantik tidak mencerminkan orang yang berkelayakan menjadi AJK masjid dan surau. Akibat pemilihan yang tidak demokratik dan orang yang tidak berminat dengan masjid atau surau, maka masjid dan surau tidak makmur. Masjid hanya berfungsi pada hari Jumaat bagi sembahyang Jumaat, manakala bagi waktu-waktu yang lain kurang makmum, bahkan lebih berfungsi pada waktu maghrib Isyak dan subuh.

Tiada pengajaran, kerana wujudnya sekatan-sekatan tertentu dan jika ada oleh kerana sekatan, amat kurang dengan mereka yang mendengar dan terpaksa ditutup, maka masjid dan surau dilihat sebagai berfungsi untuk sembahyang pada waktu-waktu tertentu. Ada pula masjid terus dikunci selepas menunaikan sembahyang. Kadang-kadang timbul soalan adakah pihak berkuasa bersifat jujur bagi memakmurkan masjid dan surau atau ada semacam perancangan agar masjid dan surau tidak diimarahkan bagi kepentingan tertentu.

Kita juga persoalkan, dengan keputusan yang diambil di dalam Muzakarah Imam-Imam yang diperkatakan di atas, apakah perkara yang dibincang dan dicapai sebagai rumusan itu sebenarnya akan dilaksanakan di masjid-masjid? ataukah perbincangan sekadar mengisi program dan tidak bertujuan lebih dari itu. Lantaran itu tidak ada program pelaksanaan dan tidak ada sebarang peruntukan disebut bagi meningkatkan prestasi masjid dan muzakarah hanya sekadar muzakarah. Tujuan utama ialah untuk mengawal minda imam-imam, mempengaruhi mereka dengan gagasan Islam Hadhari terutama bagi menyokong kerajaan dan menggunakan isu muzakarah ke arah satu agenda yang lebih besar. Institut Islam Hadhari

Imam-imam tidak menyedari ada agenda yang lebih penting di sebalik himpunan muzakarah terbesar itu, sebenarnya di sebalik himpunan ini dan di tempat berlangsungnya muzakarah, iaitu di Kampus UKM telah dirancang penubuhan `Institut Islam Hadhari`. Institut ini akan mempunyai bangunannya sendiri sebagaimana institut-institut yang lain di Kampus UKM.

Kita dimaklumkan pengarahnya sudah dilantik dari seorang tenaga akademik yang berlatarbelakankan sains dan Timbalan Pengarahnya adalah dari tenaga pengajar berlatarbelakangkan pendidikan Islam. Khabarnya sudah ada tempat parking bagi tenaga-tenaga ini, walaupun mereka masih belum beroperasi pada satu tempat. Khabarnya juga ada surau tertentu di kampus UKM ini dinamakan dengan `Surau Islam Hadhari`. Setakat ini belum diketahui apakah struktur institut dan pendekatan yang akan diambil, tetapi sudah tentulah pemilihan tenaga penyelidik dan pegawai-pegawai sedang dilakukan dan tenaga-tenaga ini akan menumpukan perhatian pada pendekatan dan ruanglingkup kajian Islam Hadhari dan kaedah operasinya. Jelaslah pendekatan Islam Hadhari sedang menuju ke arah yang lebih serius. Identiti aliran ini akan menjadi lebih jelas dan ianya membawa keterbezaan dengan Islam yang dianuti masyarakat selama ini. Penjelmaan mazhab baru ini nampaknya akan menjadi kenyataan dan Malaysia akan menjadi terpisah dan terasing dari aliran perdana umat Islam.

Ada beberapa implikasi dari penubuhan institut ini di UKM. Perlu diingat tidak semua warga UKM bersetuju dengan Islam Hadhari, ini membawa perpecahan bagi warga kampus itu, Ini bererti membawa iklim yang tidak sihat bagi masyarakat kampus dan perkembangan ilmiah di kampus tersebut. Selain daripada itu di kampus UKM ini sendiri sudah ada fakulti yang mengajar dan mengkaji tentang Islam. Tidak semua tenaga di Fakulti berkenaan bersetuju dengan Islam Hadhari. Ini jua membawa kepada perpecahan dan pertentangan pandangan berhubung dengan Islam. Kekacauan dijangka lebih parah dari faedah yang diharapkan. Kita juga bimbang identiti UKM akan tercemar apabila masyarakat kelak akan lebih gemar memanggil secara sindiran terhadap UKM sebagai `Universiti Islam Hadhari`.

Selain dari itu dalam konteks penubuhan institut ini, timbul tanda tanya kita berapa banyakkah lagi institut yang mengkaji tentang Islam ini hendak ditubuh. Kita sudah ada JAKIM, IKIM, YADIM dan Institute of Islamic Thought di bawah UIAM. Apakah tidak dipersoalkan tentang fungsi keberkesanan institusi berkenaan Islam ini di dalam sumbangannya terhadap Islam? Suatu masa dulu Pengarah Yadim amat giat memperkatakan tentang Islam Hadhari, tetapi kini sudah menyepi. Pengarah IKIM kini juga sering menulis tentang Islam Hadhari, kini mahu ditubuhkan pula Institut Islam Hadhari di UKM. Apakah ini memberi faedah atau menjadi satu pembaziran dan lebih dari itu membawa kepada perpecahan kepada umat Islam di Malaysia?

Penutup
Kita tidak anti kepada kemajuan dan peningkatan Islam. Kita cinta dan kasih pada Islam dan mahu mempertahankan kemurniannya. Kita takut Islam Hadhari membawa perpecahan dan isolasi terhadap Islam di Malaysia. Janganlah untuk kepentingan politik sementara Islam sanggup diperkudakan. Sama-samalah kita pertahankan kesucian dan kemurnian Islam.

Sekian. Wallahu a'lam.

Bangi
13 Jamadil Akhir 1428, 28 Jun 200) – lanh

No comments:

Post a Comment