December 31, 2007

Pengisian Ramadhan PAS Serdang

Di dalam pertukaran bulan bagi takwim tahunan Islam, tidak ada bulan yang paling ditunggu kehadirannya dan paling dirindu pemergianya selain dari Ramadhan. Walaupun banyak bulan, tetapi Ramadhan bulan istimewa bagi berbagai perkiraan dan penilaian.

Istimewanya Ramadhan terakam di dalam Qur`an sebagai bulan difardukan siyam, diturunkan padanya al-Qur`an dan bulan ditawarkan Lailatul Qadar melebihi kebaikan dari seribu bulan. Banyak Hadith Rasulullah s.a.w. tentang kelebihan Ramadhan, bulan bermuhasabah dan mencegah diri dari kejahatan, bulan menggilat akhlak, bulan ibadat, bulan berkat, bulan rahmat, bulan keampunan dan mohon kebebasan dari neraka seksaan.

ImageLantaran itu kehadiran Ramadhan disambut merdu azan bersahut-sahutan dan penuhlah masjid surau dengan jamaah menunaikan salat fardu dan sunat, gemersiklah salawat dan salam mengiringi tarawih, tahmid dan tasbih mengiringi witir, tadarrus dilakukan berkumpulan ke perut malam, di hening malam bangkit hamba sekudus hati mendirikan tahajjud dan menjelang fajar sekeluarga bersahur sebelum subuh menjelang dan azan berkumandang.

Demikianlah indah dan berkatnya Ramadhan mendidik hamba bertaqwa dan iman. Di sana pula tuntutan-tuntutan bersederhana menyediakan makanan tanpa membazir terutama bagi berbuka, waktu memuncaknya nafsu selira makan, sebaliknya dituntut unjuk mengunjuk makanan kepada jiran.

Ramadhan membuka ruang untuk banyak membuat kebajikan, bukan semata mengeluarkan zakat fitrah dan harta, tetapi membantu faqir miskin dan anak yatim, menderma ke masjid surau, madrasah, yayasan dan mereka yang memerlukan. Wajah Ramadhan, wajah kudus, wajah ihsan dan menceriakan.

2. Kesempatan Terbuka

Ramadhan adalah ruang terbuka untuk membuat kebaikan dan kebajikan, tiada batas dan had dikenakan. Bagi individu berpeluang meningkatkan amalan dengan bermuhasabah diri, mengikhlaskan hati, menggilat peribadi, mendekatkan diri dengan terbaik amalan kepada Ilahi. Kepada masyarakat baik hubungan, hulur menghulur makanan dan bersadakah sekadar termampu.

Pada bulan berkat ini sifat berlumba-lumba membuat kebaikan dan kebajikan ini bukan saja dilakukan oleh individu-individu, tetapi juga oleh badan-badan tertentu. Institusi zakat mengagihkan zakat kepada yang layak menerima, pihak koporat turut menyampaikan bantuan kepada faqir miskin dan anak-anak yatim, surau-masjid menyampaikan bantuan kepada ahli-ahli qaryah yang memerlukan, bank-bank membuat tajaan bantuan, turut sama hotel-hotel menjamu makan terutama kepada anak-anak yatim.

Manakala NGO-NGO turut sama terlibat mengadakan amal kebajikan dan bantuan. Rumah orang tua dan rumah anak yatim pada Ramadhan turut dilempah pemberian. Bulan Ramadhan memang benar-benar bulan rahmat. Rahmat dari Allah dengan pahala berganda dijanjikan, rahmat dan kekudusan ibadat yang didirikan pada siang dan malam, rahmat dengan pemberian sadakah, derma dan bantuan.

Bulan Ramadhan juga dilihat sebagai bulan ceria dan gembira yang kadang-kadang di luar dari tuntutan. Pasar-pasar Ramadhan bercambah tumbuh di sana sini. Peniaga-peniaga riang mendapat kesempatan menambahkan pendapatan.

Berbagai juadah, lauk pauk dan kuih muih dijual. Manakala pengunjung yang `lapar mata` berpusu-pusu datang membeli yang pada kebiasaannya melebihi keperluan dan mengakibatkan pembaziran. Gedung-gedung pakaian dan keperluan raya berpesta jualan.

Pembeli-pembeli seolah-olah berhabis-habisan tanpa memikirkan keperluan perbelanjaan masa depan - keperluan anak-anak sekolah dan tabungan kecemasan. Media juga turut merancakkan suasana dan keadaan dengan iklan dan hiburan yang kadang-kadang boleh menghakiskan pahala berpuasa.

3. Program Ramadhan PAS Serdang

PAS Serdang sebagai sebuah badan sejak berbulan sebelum Ramadhan merangka pendekatan dan kegiatan bagi memenuhi Ramadhan. Lajnah Kebajikan lebih banyak mengadakan kegiatan. Program kebajikan lebih melibatkan masyarakat, setiap program yang disusun mempunyai keistimewaannya. Sehari sebelum Ramadhan gotong royong diadakan di Pejabat PAS Serdang menyediakan bahan-bahan sambutan Ramadhan.

3.1. Cenderahati Ramadhan

Pada tahun ini Ramadhan bermula pada hari Ahad (24 September). Sejak dari petang hari pertama Ramadhan (jam 5.00 petang) Lajnah Kebajikan dengan ahli jawatankuasanya turun ke pasar Ramadhan berdekatan Shell dan Maybank (tapak pasar malam). YDP Pas Serdang dengan AJK Lajnah Kebajikan berdiri di tepi jalan keluar-masuk ke pasar Ramadhan menghulur `Cenderahati Ramadhan` yang berupakan kotak-kotak plastik berisi kurma (antara 25 - 30 biji kurma) secara percuma kepada setiap orang yang lalu sambil mengucapkan Selamat Menyambut Ramdhan dan Selamat Berbuka Puasa kepada mereka.

Cenderahati tersebut. diedarkan dalam masa tidak sampai satu jam. 'Cenderahati Ramadhan' buat permulaan berjumlah 150 kotak diedarkan kepada mereka yang secara kebetulan melewati meja kaunter. Ada dikalangan penerima agak tergamam menerima 'Cenderahati Ramadhan' yang di luar dugaan itu.

Pihak AJK merasa puas dapat berkongsi 'kemesraan Ramadhan' bersama pengunjung. Pembahagian 'Cenderahati Ramadhan' ini diteruskan setiap petang hari-hari Ahad didalam bulan Ramadhan dengan mengubahkan lokasi-lokasinya. Iaitu ke Pasar Ramadhan Kajang Utama, Pasar Ramadhan PKNS dan Pasar Ramadhan Bandar Seri Putra yang jumlah 'Cenderahati Ramadhan' ditambah antara 200 - 250 kotak setiap kali turun.

3.2. Bubur Lambuk Bangi

Tradisi membahagi bubur lambuk cara percuma pada bulan Ramadhan dalam jumlah yang banyak dipelopori oleh Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur. Identiti bubur lambuk Masjid Kampung Baru ini terkenal ke seluruh Negara sejak berpuluh tahun. Amalan baik dan budaya ini wajar diikuti dan dipopularkan.

Membuat bubur lambuk ini memang disediakan oleh keluarga, juga masjid dan surau secara terhad, tetapi amalan mengagihkan secara percuma dan meluas bagi menampung juadah berbuka masyarakat - sekurang-kurangnya setempat patut dipopularkan.

Atas kesedaran bagi membuat kebajikan dan mempopularkan budaya yang baik ini pada tahun ini Lajnah Kebajikan Pas Serdang memilih acara memasak 'Bubur Lambuk Bangi' sebagai satu program kegiatan bulan Ramadhan. Pada peringkat permulaan ini tiga lokasi dipilih bagi mengadakan gotong royong memasak 'Bubur Lambuk Bangi' pada tarikh-tarikh berlainan.

Jika pembahagian kurma percuma dilakukan pada setiap hari Ahad, maka gotong royong membuat bubur Lambuk Bangi diadakan pada setiap hari Sabtu. Sejumlah peruntukan sebanyak RM300/= disediakan bagi setiap kali gotong royong diadakan. Sabtu pertama Ramadhan penyediaan 'Bubur Lambuk Bangi' diadakan di Pejabat Pas Serdang di Bandar Baru Bangi.

Bagi menjayakan gotong royong diadakan sejak dari jam 9.00 pagi. Resipi didapati oleh pihak muslimat dari tukang masak yang telah biasa membuat bubur lambuk ala Kampung Baru dan bahan-bahan disediakan dua hari sebelumnya, iaitu 10 kilo daging segar, beras, kelapa, minyak, kentang dan rempah-rempah berkenaan.

Muslimin ditugaskan membasuh beras, memotong daging, menyiapkan dapur dan proses awal menurunkan bahan-bahan ke dapur dilakukan oleh muslimat dan seterusnya kerja mengacau bubur di dapur memerlukan tenaga dilakukan oleh muslimin. Hampir jam satu tengah hari bubur dicedok ke dalam bekas-bekas plastik. Berikutnya kerja mengedar dilakukan setiap yang datang ke rumah-rumah jiran..

Penyediaan bubur lambuk pada minggu kedua dilakukan di surau Sungai Ramal Luar. Gotong royong dilakukan oleh ahli-ahli surau dan pembahagian dilakukan di surau kepada ahli-ahli qaryah. Sebahagian daripadanya diperuntukkan untuk masa berbuka dan slepas tarawih.

Manakala gotong royong memasak bagi Sabtu minggu ketiga dilakukan di Surau Bukit Mewah. Walaupun pada tengaharinya hujan turun dengan agak lebat, tidak menghalang ahli jamaah surau menyiapkan masakan tiga kawah bubur lambuk yang setiap satunya berlainan perisanya.

Gangguan hujan tidak menghalang pengagihan dan dapat dihabiskan menjelang asar. Keceriaan dapat dirasai dari kerja gotong royong dan kemesraan dengan penduduk dapat dijalinkan melalui pengagihan bubur lambuk. Penduduk tanpa mengira pangkat dan kedudukan tidak kekok datang mengambil bubur lambuk dari surau semasa diagihkan. Mereka menghargai amal kebajikan yang kita lakukan, walaupun dikira dari segi nilai bahan (bubur) tidak seberapa.

3.3 Menziarahi Surau-Surau

Tradisi menziarah surau-surau secara khusus pada bulan Ramadhan, bukanlah perkara baru, tetapi dilakukan setiap tahun, khususnya selepas penulis menjadi ADUN Kajang dan tradisi ini berterusan sehingga ke Ramadhan kini, walaupun tidak lagi menjadi ADUN.

Mekanisma lawatan berdasarkan jadual yang disusun sebelum Ramadhan, biasanya atas permintaan atau keinginan ziarah ke surau berkenaan. Pemergian biasanya diiringan sahabat-sahabat dan kadang-kadang berseorangan. Masalahnya untuk tempoh sebulan Ramadhan tidak semua surau dapat diziarahi, kerana jumlah surau melebihi dari hari-hari Ramadhan, walaupun bagi satu petang Ramadhan terpaksa dikunjung lebih dari satu tempat (maghrib bersama di satu surau dan Isyak dan tarawih disurau lain).

Pada tahun ini target ziarah ialah terhadap tidak kurang dari 20 buah surau DUN dan beberapa surau di luar kawasan. Selebihnya terpaksa berada disurau qaryah sendiri berhubung dengan tugas di surau. Ziarah ke surau-surau ini biasanya dilakukan secara isya` dan tarawih bersama. Setiap surau yang diziarahi dibawa bersama sekotak bahan makanan dan minuman untuk digunakan surau tersebut sebagai moreh.

Namun terdapat juga jemputan dari petang untuk berbuka dan terus kepada Isya' dan tarawih.. Sepanjang pengalaman yang dilalui setiap surau yang diziarahi terasa kemesraan dan kemeriahan. Kehangatan sambutan menerima kedatangan, kekhusyukan menunaikan sembahyang, mersiknya suara salawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w selepas setiap dwi rakaat sembahyang dan kudusnya doa` yang dipanjatkan.

Keriangan dan kemesraan amat terasa, setelah sekian masa tidak berjumpa khususnya semasa moreh disajikan kembali dianjung surau atau di bawah khemah atau pondok disediakan di tepi surau. Percakapan tidak sampai mengganggu kumpulan-kumpulan yang mulai tadarrus selepas membasahkan tekak.

Kemesraan berterusan sehingga permisi mohon diri biasanya sebelum melepasi jam sebelas malam. Kegembiraan ini membuat diri tidak merasa penat dan letih, walaupun setiap malam terpaksa bergerak bertukar tempat dan surau.

3.4. Ziarah Istimewa Presiden

Satu ziarah istimewa berlaku pada bulan Ramadhan pada kali ini ialah dengan turun menziarahnya Presiden, Yang Berhormat Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ke Kawasan Serdang di luar jangkaan. Kehadiran Tuan Guru Presiden dalam rangka menziarah rumah Timbalan Presiden Ustaz Nasharuddin bin Mat Isa yang tinggal di Bandar Tun Hussein Onn di bawah kawasan Serdang.

Bagi meraikan acara ziarah Presiden ini, jemputan terhad dibuat terhadap pimpinan dan AJK kawasan berdekatan, iaitu dari Serdang (Penulis dan dua AJK), Hulu Langat (Sdr. Haji Abdullah Aceh dan AJK) dan Putrajaya - AJK dan pemimpin dan ahli-ahli di Bandar Tun Hussein Onn.

Penulis merasa terhormat dengan jemputan Timbalan Presiden dan membuat 'adjustment' program kawasan yang ziarah tersebut jatuh pada Ahad 8 Ramadhan bersamaan 1 Oktober dengan menukarkan ziarah ke Surau Kajang Utama kepada ziarah berbuka dan sembahyang maghrib di surau, setelah mengedarkan kurma percuma di pasar Ramadhan di Kajang Utama.

Selepas sembahyang maghrib dan mohon maaf kepada Pengerusi dan jamaah terus bergegas ke Bandar Tun Hussein Onn dan berkesempatan secara tepat berjamaah Isya` dan tarawih bersama Tuan Guru Presiden di salah sebuah surau di Bandar Tun Hussein Onn. Tuan Guru datang selepas berbuka di Melewar. Selepas itu Tuan Guru diiringi ke rumah Timbalan Presiden.

Dalam pertemuan ringkas, tetapi padat, (Tuan Guru pulang ke Marang pada malam itu juga untuk esoknya berkuliah di Marang). Pada pertemuan itu Ustaz Nasharuddin Timbalan Presiden bertindak sebagai Pengerusi. Beliau menjemput Tuan Guru menyampaikan amanat sebelum dialog ringkas dibuka.

Di dalam amanatnya Tuan Guru menyatakan bahawa,

Para amilin disarankan melipatgandakan kerja secara jamaah di dalam menegakkan Islam. Perjuangan Pas menurutnya berbeza dari parti-parti yang lain, khususnya Umno. Mereka semata-mata berpolitik bagi mencapai kepentingan sementara - jawatan dan kepentingan material di dunia ini. Mereka sanggup bersengkita bagi merebut jawatan dan rasuah wang.

Berbeza dengan Pas yang bukan saja parti politik, tetapi juga dakwah. Sebab itu kerja Pas adalah kerja berterusan. Bila selesai pilihanraya kegiatan Pas kembali berterusan dari segi berdakwah dan menegakkan Islam. Kerja ini adalah kerja mujahid Islam dari dahulu sehingga sekarang.

Jika kita cuai , maka kekosongan dipenuhi orang lain. Presiden memetik ayat Qur`an yang maksudnya:

"Dan jikalau kamu berpaling (cuai dan menarik diri), nescaya ia akan menggantikan tempat engkau dengan orang lain. Setelah itu mereka tidak berkeadaan seperti kamu." (Muhammad 47: 38).

Sudah tentu di dalam perjuangan, menempuh banyak cabaran, gagal dan jaya, suka dan duka, berundur dan mara. Bagi para amilin Pas perlu sabar dan meneruskan perjuangan. Presiden memetik ayat Qur'an bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman ! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkan kesabaran kamu (lebih dari kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya" (Ali Imran 3: 200).

Sesungguhnya perjuangan menegakkan kebenaran, pada hakikatnya tidak pernah kalah. Kemengan tetap menjelang.

Di dalam dialog ringkas beberapa soalan telah dikemukakan kepada Tuan Guru Presiden. Tuan Haji Abdullah Acheh YDP Pas Hulu Langat bertanyakan Tuan Guru mengenai sikap Pas terhadap penangguhan Mesyuarat Agung Pemilihan Umno 2007 dan persiapan Pas menghadapi pilihanraya yang mungkin dalam masa terdekat.

Penulis bertanya mengenai konspirasi kuasa besar - imperialis barat terhadap ummah seperti di Lubnan, Palestin, Iraq, Afghanistan dan mengenai pertelagahan kepimpinan di dalam Umno, khususnya antara Dr. Mahathir Mantan Perdana Menteri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi dan soalan terakhir dari Haji Ahmad bin Shaari mengenai sikap Pas berhubung dengan pergolakan umat Islam di Selatan Thailand. Soalan terpaksa dihadkan kerana jam pada masa itu menunjukkan jam 11.00 malam.

Sebagai respond tuan guru menghuraikan, berhubung dengan tindakan Umno menangguhkan pemilihan sehingga lepas pilihanraya yang menandakan kemungkinan pilihanraya lebih awal, Pas mengambil sikap tunggu dan lihat. Perjalanan Pas tetap seperti biasa. Andainya pertanda menunjukkan pilihanraya diadakan segera perubahan dan penyesuaian akan dilakukan.

Berhubung dengan usaha Barat menindas umat, Negara dan gerakan Islam, termasuk pihak berkuasa di dalam Negara sendiri. Inilah jihad yang mesti kita hadapi. Mereka merancang, tetapi jangan lupa pada perancangan Allah sebagaimana kemenangan Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Palestin. Kita perlu mengambil iktibar untuk mencapai kemenangan.

Berhubung dengan pertikaian antara pemimpin Umno, kita berdiri di atas kekuatan kita, perpecahan mereka memperkukuhkan kedudukan kita dan memperlihatkan kemantapan kita dan diharap rakyat dapat menilai mereka dan pemerintahan mereka.

Berhubung dengan pergolakan di Selatan Thai, sikap kita, bahawa rakyat perlu mendapat keadilan dan layanan yang sama. Mereka tidak sepatutnya disisih dan dipinggirkan sehingga tertinggal dari segi pendidikan, ekonomi dan sosial. Sewajarnya mereka diberi kuasa otonomi sebagaimana berlaku pada Aceh dan juga sewajarnya bagi Selatan Filipina.

Pada pertemuan itu juga penulis selaku Pengerusi Munaqasyah Ucapan Dasar ke 52 Presiden pada peringkat Anjung Selatan dan Tenggara Selangor yang telah diadakan pada 26 Rejab 1427 bersamaan 20 Ogos 2006 bertempat di Markaz Tarbiyyah Pas Pusat di Taman Melewar yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden - Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyerahkan kertas kerja, rumusan Ucapan Timbalan Presiden, perbahasan dan resolusi kepada Presiden dengan disaksikan Timbalan Presiden.

Ini adalah atas permintaan Timbalan Presiden agar menyerahkan rumusan perbahasan kepada pejabat Agung pada masa pembukaan munaqashah.

3.5. Melawat Hospital Kajang

Salah satu aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan Pas Serdang bagi mengisi kegiatan Ramadhan ialah melawat pesakit di Hospital Kajang. Sebelum menjelang Ramadhan lagi keizinan telah dipohon dari Pengarah Hospital Kajang bagi melawat pesakit pada tarikh yang bersesuaian.

Keizinan didapati dan tarikh ditentukan ialah pada Selasa 10 Oktober 2006 (17 Ramadhan) sempena Nuzulul Qur`an. (Sambutan Nuzulul Qur`an peringkat Kawasan diadakan di Teras Jernang pada Khamis 19 Ramadhan) YDP Pas Serdang bersama Sdr. Azemi Ahmad Ketua Lajnah Kebajikan dan AJK diiringi Metron Pn. Sharifah Salmah mewakili Pengarah, Ketua Perhubungan Sosial En. Mohidin, pegawai-pegawai Hospital Kajang dan ahli sukarelawan Hospital mengadakan lawatan ke Wad satu dan dua Hospital Kajang dan diikuti ke wad Hemodialisis.

Sambil bertanya khabar dan keadaan kesihatan pesakit YDP menyampaikan `buah tangan` kepada setiap pesakit yang dilawati. Seramai lebih kurang 100 pesakit berbagai kaum dapat dilawati yang lawatan berakhir dengan ucapan ringkas jam 12.00 tengahari. YDP mengucapkan terima kasih kepada pihak Hospital Kajang yang membenarkan rombongan membuat lawatan dan menyumbang bakti pada pesakit dan mengharapkan kerjasama sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang.

Manakala Pn. Sharifah bagi pihak hospital juga berterima kasih di atas lawatan yang sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan kepada pesakit. Menurut En . Mohidin Ketua Bahagian Sosial di Hospital Kajang, banyak ruang untuk masyarakat membantu pesakit-pesakit dan sumbangan amat dialu-alukan.

3.6. Menyampaikan Sumbangan Faqir Miskin Dan Anak Yatim

Kegiatan ini merupakan kegiatan tahunan yang diadakan pada kebiasaannya pada sepuluh Ramadhan terakhir. Buat tahun ini beberapa cara diadakan. Acara biasa, ialah rombongan Pas Kawasan dan cawangan berkenaan menziarah membawa sumbangan bertemu dengan penerima-penerima dilokasi-lokasi berdekatan dengan penerima-penerima seperti di surau, di situ dibahagi-bahagikan sumbangan.

Oleh kerana setengah penerima berada di tempat berjauhan antara satu sama lain, maka cara lain, ialah rombongan menziarahi penerima di rumah masing-masing berdasarkan alamat yang telah disenaraikan. Tugas ini memakan masa setengah hari.

Pada akhir Ramadhan ini juga bantuan faqir miskin dan anak yatim, bahkan sagu hati kepada anak-anak yang setia bertadarrus dibahagikan di surau-surau. Majlis penyampaian bantuan dan sagu hati biasa dilakukan beriringan dengan sembahyang isyak dan tarawih. Kadang-kadang diadakan majlis khatam Qur`an terlebih dahulu antara jamaah dan anak-anak dan diiringi dengan penyampaian bantuan kepada faqir miskin, anak-anak yatim dan sagu hati kepada anak-anak yang bertadarrus.

Antara majlis diadakan secara tersusun dengan anak-anak yang terlibat berpakaian selengkap dan majlis berlangsung dengan tertib dan meriah. Turut sama hadir ibu bapa mereka sebagai meraikan majlis dan kejayaan anak-anak khatam Qur`an. Acara sedemikian menjadi salah satu ciri istimewa Ramadhan yang patut dipupuk dan dihidupkan.

Sememangnya acara sedemikian banyak dilakukan, khususnya berdasarkan pengalaman di kawasan Serdang dan Hulu Langat. Namun oleh kerana acara majlis ini tertumpu pada 10 terakhir Ramadhan, kerana pada masa ini tadarrus-tadarrus yang dijalankan disuarau-surau mulai khatam, maka banyak surau yang mengadakan majlis dan berlaku pertembungan sehingga kita yang dijemput menghadapi masalah pertembungan jadual bagi menghadirinya.

Dalam setengah keadaan terpaksa dibahagi-bahagi waktu dan menghadirkan diri sebahagian dari majlis yang diadakan dan berkejar ke tempat yang lain yang biasanya berdekatan untuk turut hadir ke majlis yang diadakan. Ini adalah merupakan kemeriahan Ramadhan al-Mubarak yang kemerihannya bersambung kepada kemeriahan sambutan Idil Fitri, terutama melalui surau-surau dan masjid.

4. Penutup

Ramadhan al-Mubarak adalah bulan berkat, bulan yang mau diisikan dengan ibadat. Secara individu masing-masing dapat mengisikannya sedaya yang termampu. Apa yang dibicarakan adalah merupakan pengisian secara berjamaah. Dorongan Ramadhan menggerakkan jamaah melakukan amalan secara ikhlas. Warna-warna Ramadhan yang mulia ini melempahkan kekudusan dan rasa cinta di hati hamba. Ramadhan yang makin tirus bakal pergi mengguris rasa pilu dihati dan rindu pada kehadirannya mulai berputik kembali..

Sekian. Wallahu a'lam.

Bangi,

26 Ramadhan 1427
19 Oktober 2006.

No comments:

Post a Comment