December 31, 2007

Selangor maju tetapi kaya dengan masalah

Pendahuluan

Dengan kehadiran 27 Ogos 2006, maka genaplah setahun Selangor mengisytiharkan dirinya sebagai 'Negeri Maju'.

Walaupun ada pendapat yang mempertikaikan kewajaran Selangor mengisytiharkan dirinya sebagai 'Maju', lantaran tidak ada negara atau negeri berbuat demikian, Selangor tetap meneruskannya.

Maka tercatatlah di dalam sejarah, Selangorlah negeri pertama di dunia yang mengisytiharkan dirinya sebagai 'negeri maju' dan sejarah ini tercipta pada masa Selangor di bawah pimpinan Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo. Syabas!

Menteri Besar ini mengakui bahawa:

"That the 'developed status' is a do - it - yourself proclamation'. (The Sun, Wednesday, July 6, 2006: 11).

Beliau mendakwa keputusan mengisytiharkan 'Selangor Negeri Maju' berasaskan kepada kajian yang dibuat oleh 'National Productivity Cooperation' (NPC) dan kajian dua buah pengajian tinggi tempatan berdasarkan model yang dibina oleh Swiss Institute berhubung dengan 'World Competative'.

Namun dakwaan Khir Toyo ini disanggah, bahawa kajian perbandingan NPC terhadap 29 negara yang kependudukan di bawah 20 juta ini dan dakwaan kajian berasaskan model Swiss Institute tidak ada hubungan dengan pemberian gelaran negeri maju. Apa yang jelas:

'Selangor was never awarded 'fully developed state' by any independent body' (The Star, Wednesday, June 29, 2006: 3).

Dengan ini bermakna bahawa perisytiharan 'Selangor Maju' dibuat adalah atas dasar ijtihad persendirian. Namun penilaian Khir Toyo ini berubah lagi dengan kenyataan mutakhirnya mengatakan ukuran Selangor Negeri Maju dengan menggunakan 75 penanda aras 'hard data' dan 'soft data' berdasarkan perbandingan dengan 32 buah Negara.

Ukuran berasaskan empat faktor, iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan kemudahan infrastruktur (BH, Jumaat 1 September 2006: 15).

Menurut seorang pengkritik, Saudara Nades,

"Self – praise is no praise and all the chest thumping and putting each other on the back is meaningless if we are not told as to how such a status has been achieved". (The Sun, Wednesday, July 6, 2006:11).

2. Bukti maju?

Memanglah diakui tanpa pengisytiharan dan mendabit dada, Selangor memangnya sebuah negeri relatifnya maju berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Kemajuan Selangor, bukannya secara berdikari, tetapi lebih dari segi keberadaannya pada pusat pemerintahan Negara.

Kuala Lumpur dan Putrajaya, kedua-duanya berasal dari bahagian Selangor dan kini berada di tengah-tengah negeri Selangor. Oleh kerana pusat pemerintahan Federal, jabatan-jabatan, tenaga manusia berkualiti dan segala kegiatan ekonomi dan pendidikan banyak berlaku di pusat pemerintahan ini, maka lempahan kemajuan dan kemakmuran turut tercurah di negeri Selangor. Maka ramailah mereka yang mencari peluang pekerjaan datang ke Selangor mencari rezeki. Maka majulah Selangor.

Selangor adalah negeri yang mempunyai paling ramai penduduk, iaitu seramai 4.8 juta orang. Negeri ini paling terkedepan dengan kemajuan industri. Sektor ini menyumbang sebanyak 60.8% KDNK dan memberi peluang pekerjaan kepada 36.5% penduduk.

Manakala sektor perkhidmatan memberi peluang kepada 60.8% pekerjaan. Antara 2000 hingga 2004 Selangor menerima pelaburan sebanyak RM28.54 bilion yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 100,000 pekerjaan. KDNK Selangor dalam masa tersebut sebanyak RM228 bilion yang per kapitanya ialah RM48,900 (melebihi US 10,000 dolar).

Dengan kemakmuran ini bajet tahunan dibentang di dalam DUN Selangor melebihi satu bilion. Dengan peluang pekerjaan, pendidikan yang sebahagian besar universiti-universiti, kolej dan pusat-pusat latihan di Negara ini berada di Selangor dan kemewahan yang ditawarkan Selangor, maka di sinilah berhimpunnya kelompok pimpinan, intelektual, hartawan, budayawan, seniman, golongan atasan, menengah atas, rendah, awam juga golongan miskin, setinggan, pendatang halal dan haram.

3. Status politik di Selangor

Melihat pada pusat pemerintahan berada di dalam negeri Selangor, kegiatan politik di Selangor melebihi dari negeri-negeri lain, lantaran di dalam negeri itu bertumpu dan sebahagiannya menetap di Selangor, logiknya Selangor terkehadapan dari segi politik, tetapi realitinya tidak sedemikian. Anak-anak Selangor memanglah berkecimpung di dalam bidang politik.

Namun dari zaman perjuangan kemerdekaan hinggalah kini, Selangor sebagai negeri maju tidak mampu menyumbang sebarang pemimpin tertinggi di dalam parti dan pemerintahan. Tidak ada seorang Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sumbangan dari Selangor. Ada yang berkedudukan di dalam Umno sebagai Naib Presiden seperti Tan Sri Muhammad Haji Mohd Taib tidak pernah diberi jawatan menteri pada peringkat Federal, apalagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Tidak ada menteri-menteri dari Selangor yang pernah dilantik agak menonjol. Yang agak menonjol pimpinan pada peringkat negeri dan negara, ialah Dato' Harun Idris yang menjadi Menteri Besar Selangor 1970an, tetapi pemimpin yang berkarisma ini terbantut akibat dari konflik pucuk kepimpinan dalam Umno sendiri pada peringkat pimpinan tertinggi. Pimpinan-pimpinan parti pada peringkat negeri yang lain agak sederhana dan biasa.

Pimpinan trerkini pada peringkat negeri, iaitu Dato' Seri Mohamad Khir Toyo dianggap bintang baru di negeri Selangor yang dipilih oleh Dr. Mahathir Mohamad menggantikan Dato' Seri Abu Hassan Omar.
Kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal pertama melonjakkan namanya sehingga ia mampu meraih sokongan tertinggi sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno 2003, namun sesudah diberi kepercayaan memimpin Selangor bagi penggal kedua, tiada significant yang dapat dibawa bagi negeri Selangor dan kewibawaannya tidak semakin menonjol, bahkan beliau makin terseret dengan masalah-masalah dan kontroversi di negeri Selangor.

Berhubung dengan konflik yang berlaku antara Mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir dengan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi, Khir Toyo 'playing safe'. Beliau amat terhutang budi kepada Dr. Mahathir yang memilihnya menjadi Menteri Besar Selangor, lantaran itu tidak terlihat komitmennya yang tinggi terhadap Abdullah, bahkan beliau pernah ditempelak Perdana Menteri pada bulan Februari 2005 berhubung dengan penggondolan tanah di keliling Taman Pertanian (1986) seluas 860 hektar sehingga menjadikan taman berkenaan sebagai pulau di tengah kegondolan tanah oleh 35 pemaju.

Asalnya tanah seluas 3,145 ekar (1,258 hektar), kini selepas digondol tinggal 2,116 ekar (858 hektar). Kedudukan Khir Toyo benar-benar teruji dengan peristiwa ini. Khir Toyo juga teruji dengan isu pembinaan 10 banglo di Seksyan 10 berharga RM40 juta (menurut Khir Toyo cuma RM 21 juta) yang diperuntukkan bagi Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Mutakhir isu billboards yang kontraknya dimonopoli oleh satu syarikat (Bernam - Kiara Sdn. Bhd.) untuk selama 15 tahun di PJ. Isu ini dieksploitasi oleh The Sun dan memperlihatkan Khir Toyo goyah dan tidak tetap pendirian di dalam membela MPPJ dan menempelak penyelewengan.

Kedudukan politik Selangor pada peringkat Federal juga adalah lemah. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai keahlian Umno ketiga tertinggi antara negeri-negeri di Malaysia dan memenangi semua 22 parlimen di Selangor yang sepuluh daripadanya dipegang Umno.

Kini tidak ada seorangpun menteri kabinet dilantik pada peringkat Menteri dari Selangor, selepas Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Shafie Salleh digugurkan dari jawatan Menteri Pengajian Tinggi. Aziz Shamsuddin sungguhpun mewakili parlimen Shah Alam menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau tidak mewakili Umno negeri Selangor.

Beliau adalah orang Perak dan Ketua Umno kawasan Gopeng, Perak. Berbanding dengan sekecil negeri Perlis mempunyai dua menteri penuh pada peringkat pusat dan Wilayah Persekutuan seramai tiga orang. Selangor hanya diberi dua jawatan Timbalan Menteri, iaitu Dato' Noh Omar Timbalan Menteri Pelajaran dan Dato' Mohd Zin Mohamad Timbalan Menteri Pertahanan, manakala seorang Setiausaha Parlimen, iaitu Noriah Kasnon.

Mengapakah tidak ada pimpinan dari Umno menduduki kerusi menteri ? Apakah tidak ada dari kalangan mereka dianggap berkelayakan ? Sedang yang sudah dilantik diturunkan ? Padahal Selangor begitu gigih memencilkan parti-parti pembangkang.

4. Slogan 'sifar' Khir Toyo di Selangor

Bagi mengukuhkan pemerintahan Umno-BN di Selangor, khususnya selepas pilihan raya 1999, apabila pembangkang menguasai 6 daripada 48 kerusi DUN (kini 56), iaitu 4 kerusi PAS dan dua DAP, Khir Toyo, memperkenalkan slogan politik bagi negeri Selangor, iaitu 'pembangkang sifar'.

Istilah yang menjadi identiti Khir Toyo ini dikembangkan di Selangor kepada aspek-aspek yang lain seperti 'Setinggan Sifar' dan 'Dadah Sifar'. Di dalam berpolitik sememangnya parti terutama pemerintah berusaha untuk meniadakan pembangkang, tetapi dari segi dasar pemerintahan negara bersifat demokrasi hak pembangkang diakui bagi menyuburkan demokrasi, sebab itu sungguhpun pihak yang berkuasa cuba menghapuskan pembangkang, tidaklah sampai diungkapkan secara terang-terang 'Sifar Pembangkang', tetapi inilah ciri politik pemerintah Selangor yang tidak demokratik dan tidak berlaku di negeri-negeri yang lain.

Bukan setakat itu sahaja, walaupun Selangor bersungguh-sungguh mahu mensifarkan pembangkang pada pilihan raya Mac 2004, tetapi pihak pembangkang dari DAP masih dapat menguasai dua buah kerusi.
Oleh kerana polisi 'Pembangkang Sifar' tak terlaksana, maka berbagai cara tidak demokratik dilakukan, lebih-lebih lagi pembangkang di Selangor terutama Wakil Dari Sungai Pinang, Teng Chang Khim begitu lantang dan selalu menggugat kerajaan dengan pendedahan demi pendedahan yang menggemparkan dan hujah-hujah perundangan di dewan yang menyukarkan perjalanan Dewan Undangan Negeri.

Kelantangan Teng dan didorong oleh hasrat mensifarkan pembangkang, kesilapan Teng di dalam Dewan (kerana mencampakkan buku Peraturan Tetap Dewan sebagai membantah kepada speaker yang tidak menurut peraturan), maka Teng melalui siri usul digantung dari DUN selama 30 bulan mulai pertengahan 2005.

Tempoh ini melangkaui 2007, mungkin ditambah lagi melalui usul baru ? Dengan ini secara tidak demokratik tercapailah hasrat pihak UMNO-BN menyekat pembangkang yang digeruni ini dari bersuara di dalam dewan. Bagi kepentingan negeri dan rakyat negeri Selangor, sikap Umno-BN ini tidaklah wajar.
Tanpa bangkangan yang efektif mereka bebas melakukan apa saja, walaupun tidak menguntungkan rakyat sebagaimana peristiwa penggondolan tanah mengelilingi Taman Cahaya Shah Alam, pembinaan rumah mewah untuk Exco dan monopoli billboard di Petaling Jaya dan sebagainya.

Sindrom 'sifar' juga dipraktikkan bagi membasmikan setinggan di Selangor dengan slogan 'Setinggan Sifar'. Menjelang perisytiharan Selangor Maju kerajaan negeri meletakkan matlamat menghapuskan setinggan dari muka bumi negeri Selangor menjelang akhir 2005.

Bagi menjayakan hasrat banyak peristiwa menyayat hati berlaku dalam mana pihak berkuasa perbandaran, tanpa mengambil kira faktor kemanusiaan memusnahkan pertempatan setinggan tanpa kesihan belas. Setengah dari mereka menduduki tanah Tol melebihi 40 tahun.

Ini sebagaimana berlaku di kawasan-kawasan petempatan setinggan di Ampang, Hulu Klang, Hulu Langat dan lain-lain. Walaupun penyerangan terhadap setinggan dilakukan dengan cara yang amat agresif dan tanpa kasihan belas, hasrat setinggan sifar tidak tercapai. Pada akhir 2005 daripada jumlah setinggan 49,000 hanya dapat dikurangkan dua pertiga dari mereka sahaja.

Sindrom sifar juga diaplikasikan kepada penagihan dadah di Selangor dengan slogan 'Sifar Dadah' (perbicaraan di bawah).

5. Selangor negeri bermasalah

Selangor sebenarnya mempunyai dua wajah. Satu wajah kemajuan yang kerajaan negeri ghairah memperkata dan memperlihatkannya, tetapi pada sebelah wajah yang lain Selangor mengalami masalah-masalah yang setengahnya lebih parah dari kemajuan yang dicapai.

Di dalam perkara-perkara berikut Selangor adalah tertinggi berbanding dengan negeri-negeri yang lain, iaitu tertinggi dari segi penyalahgunaan dadah, dengue, kemalangan jalanraya, projek perumahan terbengkalai, pencurian pasir, jenayah pencemaran dan tanah runtuh..

Selangor menurut Menteri Besar Selangor meletakkan matlamat 'Sifar Dadah' pada tahun 2010 (The Star, Saturday 12, August, 2006: M4).

Namun gejala dadah yang menelurkan berbagai-bagai gejala sosial ini tak berkurangan. Jenayah dan pembunuhan akibat penagihan dadah menjadi-jadi termasuk anak membunuh ibu bapa.

Dari segi denggi sehingga pertengahan Jun, 2006 terdapat 5,000 kes denggi. Angka ini tidak banyak menurun berbanding dengan tahun 2005 sebanyak antara 12,000 hingga 15,000 kes. Kawasan yang tinggi dengan kes denggi ialah Kajang, Shah Alam dan Subang. Kawasan ini menunjukkan kes denggi meningkat dari jumlah normal 20 kes seminggu melompat kepada 40 kes seminggu (The Sun, Monday June 26, 2006: 8).

Oleh kerana Selangor pesat membangun, segala ruang digunakan untuk pembangunan. Bukan saja tanah-tanah rata digondol, bahkan bukit-bukit turut diratakan, lantaran itu di Selangor banyak berlaku tanah runtuh. Antara kawasan yang paling banyak berlaku peristiwa tanah runtuh ialah di Hulu Klang seperti di Kampung Pasir (31 Mei 2006), Bukit Antarabangsa (5 Oktober 2000), Menara Athenaeum (15 Mei 1999), Highland Tower 11Disember 1993 dan Taman Hillview (20 November 2002).

Runtuhan ini antaranya diakibatkan oleh hujan lebat dan banjir yang kerap berlaku di Lembah Kelang yang banjirnya tidak menentu dan kadang-kadang lebih teruk dari Pantai Timur. Misalnya banjir yang berlaku di Shah Alam pada akhir Februari 2006 menenggelamkan rumah, kedai dan merosakkan lebih kurang 6,000 kenderaan.

Penduduk di Selangor mempunyai pemilikan kenderaan tertinggi di Malaysia. Ianya bukan saja menyumbang kepada kesesakan jalan raya, tetapi meningkatnya dari segi kemalangan jalan raya. Menurut laporan berkenaan kemalangan jalan raya di Selangor:

``The State is tops in terms of road accidents``. (The Star Saturday 12, August 2006, M4).

Menurut kenyataan itu, kemalangan jalan raya di Selangor pada tahun 2005 ialah 3,330 kes, iaitu tertinggi dalam negara. Ianya merupakan 24.5% dari keseluruhan kemalangan di dalam negara yang berjumlah 13,153 tahun lepas. Jumlah bayaran saman kesalahan jalan raya di Selangor pada tahun tersebut berjumlah RM44 juta.

Selangor juga tertinggi dengan projek perumahan terbengkalai. Terdapat 61 projek perumahan terbengkalai, 23 daripada projek ini terhenti dari pembinaan lebih dari 10 tahun. Ini melibatkan seramai 18,000 pembeli. Daripada 61 projek di atas melibatkan 22 projek yang berhubung dengan bangunan perniagaan, 2 industri dan 6 perluasan perumahan kampong (The Sun, March, 27, 2006: 1).

Oleh kerana pembangunan yang pesat, kes kecurian pasir juga banyak berlaku, di samping terdapat juga penyalahgunaan kuasa di dalam pengeluaran pasir. Denda yang terlampau rendah bagi kes hanya RM500 tidak menakutkan pencuri yang terlibat meneruskan pencurian selepas didenda. Ada cadangan menaikkan denda kepada RM5,000. Namun belum tentu berkesan.

Selangor juga tertinggi dari kes jenayah. Pada tahun 2005 kes jenayah meningkat 10% berbanding tahun sebelumnya (2004), iaitu sejumlah 156,455 (2004) menjadi 157,499 (2005). Ini merupakan 28% dari keseluruhan jenayah di dalam Negara. Gejala jenayah ini bukan saja disumbangkan oleh penghijrahan dalaman dari negeri-negeri luar dari Selangor, tetapi juga banyak disumbangkan oleh pendatang-pendatang haram dari luar negara terutamanya Indonesia.

Pendatang haram yang jumlah hampir dua juta itu, kebanyakan tertumpu di Sabah dan pantai barat semenanjung, khususnya di Selangor. Kes-kes rompak, bunuh, penyeludupan dan jenayah-jenayah berat lain banyak dilakukan mereka.

Selangor juga bergelut dengan masalah pencemaran sungai. Tidak ada sungai yang tidak tercemar di Selangor. Selain itu kilang-kilang melupuskan sisa-sisa toksik secara haram dan membahayakan kesihatan. Kilang-kilang mengeluarkan pencemaran ke sungai-sungai.

Terdapat 16 syarikat melupus sisa aluminium secara haram di Selangor (UM, 20 Mei 2006: 1).

Manakala syarikat seperti Syarikat Jongkong Perak yang melupuskan sisa secara haram sejak 10 tahun lepas, kini baru hendak bertindak ((UM, 23 Mei, 2006: 1).

Selangor juga bermasalah dengan tempat pelupusan sampah yang toksiknya mengalir ke sungai yang sumber airnya diguna oleh penduduk seperti tempat pelupusan sampah di Sungai Kembong di Rinching Hilir yang air dan toksik ammonianya mengalir ke Sungai Langat, juga pembuangan sampah secara haram dekat Kuala Sungai Long yang racunnya mengalir ke Sungai Langat yang airnya diguna oleh sejuta pengguna di Selatan Kuala Lumpur.

Begitu juga dengan Sungai Kundang Selangor. Selain dari itu Selangor juga menghadapi masalah menampung pelupusan sampah yang mungkin tidak dapat ditampung tempat pelupusan seperti di Bukit Tagar dan Air Hitam (NST, April 30, 2006: V3).

6. Syarikat kerajaan rugi

Tidak semua pembangunan Kerajaan Negeri Selangor berjaya. Beberapa syarikat yang melibatkan kerajaan negeri mengalami kerugian. Kumpulan Hartanah Kerajaan Negeri Selangor Berhad mengumumkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM188.87 milion, manakala Kumpulan Perangsang yang dulu berprestasi membanggakan turut mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM97.904 juta (Syarikat ini terlibat dengan pembinaan bangunan Miti yang begitu lama terbengkalai dan terpaksa dibaikpulih dengan perbelanjaan berganda).

Begitu juga ASAS Selangor (Amanah Saham Selangor), mengalami kerugian. Nilai seringgit sesaham merudum ke peringkat paling rendah seharga 29.89 sen dan terpaksa ditutup. Kerajaan terpaksa membayar ganti rugi kepada pemilik saham atas kadar RM1.00 dibayar kembali RM1.00.

Kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan sebanyak RM200 milion bagi membayar balik kepada pemegang saham.(Berita Harian, Khamis 1 Mei, 2003: C7).

Di sebalik itu pembinaan rumah murah melambak melebihi pasaran iaitu berjumlah 225,000 unit yang terjual hanya 50,000, menyebabkan Menteri Besar mencadangkan agar dijual kepada golongan berada, tetapi cadangan ini tidak disetujui Perdana Menteri (Harian Metro, Isnin 12 April, 2004, C7).

Sudah tentulah banyak lagi masalah dan kegagalan yang dialami negeri Selangor yang tidak dibicarakan di sini.

7. Antara kejayaan dan permasalahan

Sememangnya apa yang ingin diutarakan oleh pihak pemerintah negeri semuanya perkara yang baik bagi menggambarkan Selangor sebagai 'Negeri Maju', tetapi Selangor sebenarnya tidak sunyi dari masalah-masalah, bahkan masalah mengatasi kemajuan yang dapat dicapai.

Dari segi ekonomi dapatlah diterima Selangor mendahului negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi Selangor lebih banyak bermasalah di dalam bidang-bidang yang lain sebagaimana diperkatakan di atas. Selangor tidak boleh dijadikan contoh dari segi politik dan kepimpinan. Selangor kurang mengambil faedah dari berbagai-bagai institusi pendidikan yang wujud di negara itu, lantaran itu kepimpinan di dalam bidang keilmuan tidak menonjol dari kalangan anak Selangor.

Apa yang terlihat Selangor lebih bergelut dengan kesan pembangunan dari menampilkan significant pembangunan yang dicapai. Kejayaan pembangunan lebih kepada pusat dan negeri menerima akibat dari segi sosial, pencemaran alam sekitar, jenayah, permasalahan demografi manusia, kesesakan lalulintas, banjir dan sebagainya.

8. Perlunya audit pemerintahan

Selangor memang negeri yang paling berpotensi dengan kemajuan dan sememangnya kemajuan dapat dicapai pada tahap yang dicapai Selangor sekarang. Namun ruang bagi kemajuan bagi Selangor masih luas. Dalam keadaan sekarang banyak masalah yang dihadapi yang perlu di atasi disamping memerlukan percambahan idea bernas.

Selangor selama ini nampaknya syok dengan isolasi dan persendirian tanpa mengambil kesempatan sumber-sumber luar yang berada di sekelilingnya. Selangor mau menjauhi dari kritik dan teguran. Bahkan peruntukan perlembagaan Negara dan negeri yang memberi ruang kepada kritikan yang dikenali sebagai 'pembangkang' mau ditutup rapat sebagaimana tercermin di dalam slogan 'pembangkang sifar'.

Namun rakyat Selangor adalah bersifat terbuka, telus dan kritikal. Sejarah membuktikan Selangor tidak dibiarkan dimonopoli pemerintahan satu pihak. Banyak ruang pembaikan dapat dilakukan melalui kritikan, cadangan, percantuman idea dan perlaksanaan antaranya melalui institusi 'pembangkang'. Rakyat perlu merubah mentaliti penguasa politik 'Sifar Pembangkang' di Selangor sekarang kepada 'Pemerintahan Berimbang'.

Sekian.

Bangi,
11 Syaa`ban 1427
04 September 2006.

No comments:

Post a Comment