Berita penarikan balik cadangan melaksanakan Cukai Taksiran MPKj 2007, mulai awal Januari (MM: 10 Disember 2006) berdasarkan penilaian baru MPKj yang menimbulkan kejutan kepada pemegang-pemegang hartanah di bawah MPKj disambut baik seluruh pemegang hartanah.
Penarikan balik Cukai Taksiran 2007 merupakan kejayaan rakyat yang membantah kenaikan penilaian hartanah mereka di luar dari kewajaran dan meningkatnya Cukai Taksiran. Di dalam hal ini AJK Bertindak Menentang Kenaikan Cukai Taksiran yang dipengerusikan secara bersama saya dan En. Lee Kim Sim merasa lega, usaha AJK bersama Rakyat membuahkan kejayaan.
Kempen membantah kenaikan cukai taksiran
Kempen membantah kenaikan Cukai Taksiran MPKj 2007 ini bermula sebaik maklumat cadangan MPKj didapati. Ianya bermula apabila MPKj menghantar Notis Penilaian Semula dan Penyata Pemunya/Penduduk mulai dari awal Jun 2006. Berhubung dengan ini Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo membuat kenyataan di Bangi pada 29 Jun 2006, bahawa Cukai Taksiran MPKj akan dinaikkan mulai Januari 2007.
Berikutnya YDP MPKj, Zainal Abidin Arshad turut membuat kenyataan mengesahkan berhubung dengan kenaikan Cukai Taksiran Januari 2007 ini pada 12 Julai 2006 di Kajang. Tiga hari berikutnya, iaitu pada 15 Julai 2006 mesyuarat pembentukan AJK bertindak yang terdiri dari perwakilan Serdang dan Hulu Langat diadakan. Antara keputusan yang diambil AJK ialah menghantar Memorandum Membantah Cadangan Menaikkan Cukai Taksiran MPKj.
Tindakan ini dilakukan oleh AJK pada Khamis 20 Julai 2006 dengan dihadiri berpuluh-puluh penyokong. Memorandum dapat disampaikan secara terus kepada YDP MPKj di Pejabat MPKj. Sidang media juga diadakan berikut dari penyampaian memorandum berkenaan.
Tindakan seterusnya ialah kempen memungut tandatangan membantah Kenaikan Cukai Taksiran MPKj yang pertama kali dilancarkan di Pasar Kajang pada 23 Julai 2006 (Ahad). Berikutnya kempen sedemikian dilakukan di pasar-pasar dan pasar-pasar malam seperti di Bandar Baru Bangi, Sungai Chua, Suntex, Semenyih, Tan Ming Jaya, Balakong, Taman Sri Ramal, Bandar Seri Putra dan Jalan Reko.
Usaha menghimpun tandatangan juga dilakukan di cawangan-cawangan dan atas anisiatif individu-individu di tempat masing-masing. Sambutan terhadap kempen memungut tandatangan Membantah Kenaikan Cukai Taksiran MPKj ini amat menggalakkan
Alasan-alasan
Antara alasan membantah ialah kenaikan Cukai Taksiran MPKj baru dinaikkan kadar 10 % pada awal Januari 2005. Adalah tidak wajar cukai dinaikkan secara selang setahun pada hal sebelum 2005 dua dekad (dari 1985) tidak dinaikkan cukai. Cukai yang dikenakan tahun 2005 sudah cukup tinggi.
Pertambahan taman perumahan dan jumlah penduduk di bawah MPKj telah menambahkan pendapatan cukai MPKj dari RM57 milion kepada RM 95.8 milion setahun. Jumlah ini mencukupi bagi bajet tahunan MPKj.
Kelemahan MPKj memungut hutang tertonggak pembayar cukai berjumlah RM20 milion hendaklah diatasi dengan cara lebih berkesan. Janganlah diambil jalan mudah kegagalan memungut cukai dipindah kepada rakyat dengan menaikkan cukai. Rakyat tidak bersetuju sebarang kekurangan peruntukan bagi menyiapkan bangunan MPKj yang baru di belakang bangunan kini dibebankan kepada rakyat dengan menaikkan cukai lebih tinggi.Lagi pula rakyat sudah cukup terbeban dengan kenaikan minyak,elektrik, air, tol dan tol dinaikkan lagi pada awal 2007, kesannya berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Sebenarnya dengan cukai yang dikenakan kini rakyat merasakan perkhidmatan yang diberi MPKj tidak sepadan dengan cukai yang dibayar. Kawasan di bawah pentadbiran MPKj tidak sebaik, seteratur dan seindah kawasan pentadbiran seperti di MPSJ, Shah Alam dan PJ. Jalan-jalan di bawah MPKj banyak yang rosak, jambatan-jambatan yang runtuh lambat diperbaiki, peralatan di taman permainan banyak yang rosak dan tidak diganti, banyak tempat yang perlu ada lampu jalan tidak dibekalkan, sementara lampu-lampu yang rosak tidak diperbaiki. Manakala masalah lalu lintas di Bandar Kajang masih belum diatasi.
Masalah kekurangan tempat parking amat terasa. Cadangan agar didirikan bangunan bertingkat bagi keperluan parking yang dipersetujui hingga kini belum dilaksanakan. Masalah perparitan juga tidak dapat diatasi dan banjir berlaku termasuk di Bandar Kajang. Masalah kebersihan adalah masalah utama. Kotoran ketara di Kajang, Bandar Baru Bangi, Sungai Long, Pekan Semenyih, Pekan Suntex. Sampah-sampah tidak diangkat secara teratur dan permasalahan pencemaran adalah persoalan serius termasuk sungai-sungai di Hulu Langat, tempat pembuangan sampah di Sungai Kembong Bangi dan tapak-tapak perniagaan pasar malam yang tidak diselenggarakan secara sempurna.
Oleh kerana masalah kebersihan ini, maka didapati bahawa kawasan di bawah MPKj adalah antara kawasan yang tertinggi dengan kes denggi di Selangor, bahkan di Malaysia. Setakat ini penduduk di bawah MPKj jangan mimpikan sebagai kawasan taman seperti di MPSJ, Shah Alam atau PJ. Tanpa perancangan yang konkrit dan meyakinkan adalah tidak wajar bagi MPKj semata-mata menaikkan cukai. Atas kekurangan, kelemahan dan khidmat yang tidak sepadan MPKj dilihat tidak wajar menaikkan Cukai Taksiran yang baru.
Kenaikan nilai mengejutkan
Walau pun bantahan dibuat seawal pengumuman Cukai Taksiran mau dinaikkan, MPKj nampaknya meneruskan perancangan menaikkan Cukai Taksiran. Mulai pertengahan Disember 2006 pemegang-pemegang hartanah di bawah MPKj mula menerima Notis Menyemak Senarai Nilaian Hartanah yang nilaiannnya amat mengejutkan dan di luar dugaan. Nilai rumah-rumah kediaman melompat sebanyak antara 250% hingga 260%.
Misalnya nilai rumah pangsa bernilai RM1,380 meningkat pada tahun 2007 kepada RM3,450, teres setingkat dari RM1,680 kepada RM4,450, teres dua tingkat dari RM2,640 kepada RM6,890, Rumah berkembar dari RM3.600 kepada RM9,000, manakala rumah banglo dari RM6,000 kepada RM24,000 (400%) dan rumah kedai meningkat dan melompat dari RM6,840 kepada RM37,280 (545.03%).
Dengan penilaian yang baru pemilik hartanah terkejut Topik kenaikan nilaian menjadi bualan di tempat-tempat perhimpunan dan kedai-kedai kopi. Semua pihak bimbang kiranya dengan peningkatan penilaian ini menyebabkan cukai hartanah mereka akan melambung naik.
Mereka tidak berpuashati dan AJK bertindak menerima banyak aduan. Berdasarkan peruntukan di dalam Notis Menyemak Senarai Nilaian bahawa,``Sesiapa yang tidak berpuas hati di atas alasan-alasan yang terkandung di dalam seksyen 142, Akta Kerajaan Tempatan 1976, bolehlah membuat bantahan secara bertulis kepada YDP Majlis Perbandaran Kajang 2 minggu dari tarikh yang diberikan. Hasil dari desakan masyarakat AJK Bertindak sekali lagi mengadakan mesyuarat pada 18 Disember dan mengambil keputusan menghantar Memorandum Bantahan kepada YDP MPKj tentang kenaikan nilaian harta secara melampau dan turun kepada masyarakat memberi penerangan dan mengedarkan borang-borang untuk pemilik hartanah membuat bantahan.
Pada pagi 30 November (Khamis) AJK Bertindak telah menghantar Memorandum Bantahan kepada YDP MPKj melalui Setiausahanya dan mengadakan sidang media di ruang tamu pejabat YDP..Kempen penerangan dan mengedarkan borang-borang bantahan ini pula dilakukan di Pasar Kajang pada 3 Disember (Ahad) dan di Pasar Malam Langat Jaya pada 4 Disember (Isnin). Menurut perancangan kempen ini diteruskan di pasar-pasar dan pasar-pasar malam.
Sementara itu surat-surat bantahan yang diserahkan kepada AJK Bertindak diproses dan dihantar ke MPKj pada 6 Disember yang menjadi tarikh akhir penyerahan bagi sebahagian dari notis-notis yang dikeluarkan oleh MPKj.
Rasional bantahan terhadap penilaian
Kegelisahan rakyat, khususnya pemegang-pemegang hartanah ada kewajarannya. Antara sebab-sebabnya ialah penilaian yang dibuat terhadap hartanah adalah mengejut dan meningkat terlampau tinggi dari 250 % hingga 545.03%, bahkan terdapat peningkatan melebihi 1,000%. Contoh rumah papan dimiliki warga mas Sungai Chua, Kajang dari RM780/= kepada RM7,890/=, iaitu peningkatan sebanyak 1,011.54%, iaitu sesuatu yang dianggap tidak rasional (Star Metro, Thursday 7 December 2006:M1 & M3).
Semua pihak bimbang dengan peningkatan penilaian akan membawa kepada peningkatan Cukai Taksiran MPKj. Pihak MPKj didapati tidak membuat kajian secara teliti sebelum membuat penilaian terhadap hartanah dan tidak memberi alasan yang wajar terhadap nilaian yang dibuat. Penilaian dikatakan berdasarkan nilai dan kadar sewa semasa hartanah, tetapi terdapat penilaian yang bercanggah dari prinsip penilaian berkenaan. MPKj dianggap tidak telus dengan membiarkan pemegang harta tertanya-tanya apakah jumlah sebenar Cukai Taksiran akan dikenakan pada awal 2007.
Sepatutnya MPKj boleh terus menyatakan jumlah Cukai Taksiran bakal dikenakan pada notis dihantarkan. Orang ramai hanya mendengar secara khabar angin bahawa cukai akan dikenakan antara 3 - 5.5 % dari nilai hartanah. Bukankah lebih elok dan lebih jelas jika jumlah Cukai Taksiran disertakan ? Notis Menyemak Senarai Penilaian pula tidak dihantar secara teratur dan masa untuk membuat bantahan pula terlampau singkat, iaitu 14 hari sebelum 20 Disember 2006, sedangkan notis dihantar mulai pertengahan November.
Mereka yang ingin membuat bantahan mesti menghantar surat bantahan selewat-lewatnya pada 6 Disember. Kebanyakan pemegang hartanah menerima notis penilaian pada tarikh hampir luput, bahkan ramai dari mereka menerima selepas tarikh luput. MPKj didapati terlampau ghairah untuk menambahkan cukai, tanpa memberi penjelasan bajet dan perbelanjaan yang wajar. MPKj haruslah telus dengan mengemukakan jangkaan pendapatan dari penilaian dan Cukai Taksiran Baru berdasarkan unjuran pendapatan 2005 (60 Milion) dan 2006 dijangka (66 milion).
Penilaian Baru dilihat bukan saja mengejut, tetapi tergesa-gesa, tidak jelas dan tidak telus. Kerja-kerja yang tidak teratur dan tidak bersistematik yang dilakukan oleh MPKj ke arah mengumumkan penilaian baru hartanah dan ke arah melaksanakan Cukai Taksiran yang baru merugikan masa, tenaga dan kewangan. Hasilnya mengecewa dan dipersoalkan. Akibatnya ianya terpaksa ditarik balik dan menjatuhkan imej dan kewibawaan MPKj sendiri.
Tuntutan
Kita bersetuju bahawa penilaian baru hartanah di bawah MPKj perlu ditarik balik lantaran ianya dikemukakan secara tergesa-gesa, tidak teratur, di luar kewajaran dan mengejutkan pemegang-pemegang hartanah. Namun kita tidak bersetuju pembekuan kenaikan Cukai Taksiran hanya untuk tahun 2007 sahaja. Ini ialah kerana kenaikan Cukai Taksiran 10% baru dilakukan pada tahun 2005.
Pengekalan tahap cukai ini hendaklah berterusan, sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun (hingga 2010). Sebelum ini pengekalan cukai tanpa kenaikan selama 20 tahun (1985-2005).
Kita tidak bersetuju penilaian baru hartanah yang ditarik balik itu bersifat penangguhan sahaja dan akan digunapakai bagi taksiran 2008. Oleh kerana penilaian baru itu bersifat melampau, mengejutkan dan di luar rasional, maka dalam tempoh penangguhan (2010), hendaklah dibuat kajian semula secara teliti dan membuat penilaian baru secara wajar dan adil dan pergerakan kenaikan cukai pada masa akan datang dilihat secara wajar dan tidak membebankan.
Di dalam penilaian baru yang ditarik balik, khususnya penilaian bagi rumah kediaman peratusan cukai minimum yang menyamai cukai kini, hendaklah berada di bawah 3% dari penilaian baru. Ini bererti ruang bagi kenaikan cukai bertahap pada masa akan datang yang biasanya akan meningkat kepada 10% begitu tinggi. Contoh bagi rumah teres dua tingkat dengan cukai 3% kadar cukai 2007 melebihi cukai sebelum 2007, bila dinaikkan kepada lima peratus ianya meningkat lebih dari tiga kali ganda (lebih 300%) dari cukai kini dan kiranya dinaikkan kepada 10% ianya melompat kepada lebih dari enam kali ganda (lebih dari 600%).
Keadaan yang lebih kurang sama berlaku kepada kediaman-kediaman yang lain. Keadaan akan lebih fleksibal dan wajar jika diturunkan penilaian hartanah lebih rendah dari penilaian untuk 2007. Contoh hanya sekali ganda dari penilaian lama, walaupun ianya terpaksa dinaikkan sedikit peratus cukai, tetapi peningkatan selanjutnya tidak begitu mengejut dan tidak begitu membebankan..
Kita berharap kepada pihak MPKj tidak sangat terpengaruh dengan kadar sewa perumahan, kerana kebanyakan rumah dibeli ialah untuk dihuni oleh penghuni. Sebab itu janganlah membebankan mereka dengan cukai yang tinggi. Lagi pula jika kadar nilai rumah tidak tinggi dapat membantu masyarakat mendapatkan rumah sewa dengan kadar sewa yang wajar dan tidak terlampau membebankan. MPKj tidak seharusnya berpihak kepada pemilik-pemilik rumah sewa, tetapi lebih tertumpu kepada pemilik dan penghuni rumah.
Di dalam hal ini kita melihat kadar yang dibuat terhadap rumah kedai terlampau tinggi dan amat mebebankan. Penilaian yang berlipat kali ganda (hampir 600%) adalah melampau dan terlalu tinggi. Ianya amat mebebankan sama ada pemilik kedai,apalagi penyewa. Dengan kadar penilaian baru contohnya rumah kedai dua tingkat seperti di Bandar Baru Bangi dikenakan penilaian sebanyak RM37,280 berbanding sebelumnya RM6,840 dengan cukai tahunan sebanyak RM601.92, maka dengan penilaian baru yang dikenakan sebanyak 5.5%, maka cukai tahunan yang dikenakan melonjak kepada lebih dari tiga kali ganda iaitu RM2,050.40. 'Rate' yang lebih kurang sama dikenakan kepada bangunan industri (bergantung kepada jenis dan saiz).
Perloncatan cukai sedemikian memadamkan semangat peniaga-peniaga terutama bumiputra untuk mempunyai premis perniagaan yang kini untuk satu tingkat bahagian bawah sahaja di lokasi seperti Bandar Baru Bangi, melebihi RM400,000 dan untuk premis perniagaan 3 tingkat melebihi RM700,000. Untuk menyewa bagi bangunan sedemikian juga sukar ditanggung peniaga-peniaga yang sewanya tentulah dalam lengkongan RM4,000 sebulan. MPKj janganlah menjadi sebab menghalang, terutama bumiputra untuk menceburi diri dalam bidang perniagaan.
Perlu diingatkan bahawa tidak semua bangunan kedai berada pada lokasi maju dari segi perniagaan dan tidak semua kedai digunakan untuk perniagaan. Pada dasarnya material bangunan dan tapak bukanlah setinggi harga menghampiri sejuta. Harga dan Cukai Taksiran perlu pada kadar realistik dan wajar.
Bagi premis yang maju mereka hendaklah dikenakan cukai melalui cukai pendapatan dan sebagainya. Bagi bangunan yang bukan digunakan bukan untuk perniagaan hendaklah dikenakan kadar cukai berlainan. Cukai yang tinggi dikenakan terhadap premis perniagaan dan perindustrian membantutkan perkembangan di dalam bidang perniagaan, khususnya bagi bumiputra yang tidak kukuh di dalam bidang perniagaan.
Dengan cukai yang tinggi perkembangan industri juga terbantut, bahkan menyebabkan pengusaha-pengusaha yang sudah berada di Negara ini berangkat meninggalkan negeri ini ke Negara-negara lain yang lebih murah dari segi buruh dan kos operasinya.
Kesimpulan
Notis Penilaian hartanah baru (2007) MPKj mengejutkan pemilik hartanah dan rakyat, kerana pinilaian berganda tinggi, iaitu meningkat dari 250% kepada hampir 600%. Rakyat membantah kenaikan penilaian ini. Mereka bimbang ianya menyebabkan Cukai Taksiran akan melonjak tinggi. Penarikan balik Penilaian dan Cukai Taksiran 2007 adalah wajar dan merupakan kemenangan rakyat.
Pengekalan cukai lama jangan setakat 2007 sahaja, tetapi hendaklah kekal sekurang-kurangnya hingga 2010, kerana cukai terbaru baru dinaikkan pada tahun 2005. Kerajaan diingatkan janganlah membuat penangguhan setahun kerana kepentingan pilihanraya yang dijangka berlaku dalam tahun 2007.
Dalam masa pengekalan Cukai Taksiran ini hingga 2010, mekanisme baru bagi Cukai Taksiran Baru MPKj hendaklah dicari, iaitu melalui penilaian yang wajar dan tidak membebankan dari segi Cukai Taksiran. MPKj juga diingatkan agar memperbaiki prestasi pentadbiran dan perkhidmatan hingga rakyat merasakan cukai yang dikenakan sepadan dengan perkhidmatan yang diberi.
24 Zulkaedah 1427
15 Disember 2007
No comments:
Post a Comment